Lupa kaki sudah tiada
Rumah milik Yahya dan isterinya, yang tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar berniaga, hangus dalam kebakaran di Kampung Titian Baru, Bukit Payung, Marang, semalam.
 
Lupa kaki sudah tiada
Mariam menunjukkan kaki kanannya yang sudah dipotong 10 tahun lalu.
 
Lupa kaki sudah tiada
Rumah milik Yahya dan isterinya, Fazilat hangus dalam kebakaran berkenaan.
 
MARANG - Terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan kecil menyelamatkan nyawa seorang nenek dan cucunya dalam kejadian kebakaran yang membabitkan dua rumah di Kampung Titian Baru, Bukit Payung, di sini, semalam.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu bermula dari sebuah rumah milik seorang peniaga makanan dan minuman, Yahya Harun, 41, yang terletak bersebelahan rumah dua beranak itu, Mariam Abdul Rahman, 60, dan Norsyuhaidah Zamari, 21.

Kebakaran itu menyebabkan bahagian tepi dinding rumah dua beranak itu musnah manakala rumah milik peniaga terbabit, Yahya dan isterinya, Fazilat Mamat, 49, yang tiada di rumah ketika kejadian, kerana keluar berniaga, hangus sama sekali.

Mariam berkata, dia dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh cucunya, Norsyuhaidah yang tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi letupan kecil bersebelahan rumah mereka sebelum cucunya segera keluar untuk meminta pertolongan.

"Kerana terlalu takut mak cik pula bingkas bangun dan berjalan namun rebah semula. Mak cik rebah kerana mak cik terlupa kaki kanan telah dipotong akibat penyakit kencing manis dan mak cik dah tidak boleh berjalan sejak 10 tahun lalu.

"Mak cik sampai terlupa kaki kanan sudah tiada kerana terlalu takut sebelum cucu dan beberapa orang penduduk naik semula ke atas rumah dan mengangkat mak cik turun ke bawah untuk menyelamatkan mak cik," katanya kepada Sinar Harian.

Selepas kedua beranak itu diselamatkan, penduduk kampung cuba membantu pasukan Bomba dan Penyelamat daerah memadamkan kebakaran tetapi gagal menyelamatkan rumah Yahaya namun pihak bomba berjaya mengawal api dari merebak.

Anggaran kerugian RM100,000

Sementara itu, bagi pasangan peniaga terbabit, Yahya dan isteri Fazilat, mereka bukan sahaja mengalami kerugian besar apabila rumah musnah, bahkan kesemua dokumen penting, termasuk sijil pengajian anak-anak mereka, juga tidak dapat diselamatkan.

Menurut Yahya, dia reda dengan kejadian yang menimpa keluarganya itu namun agak sedih apabila mengenangkan nasib anak-anak apabila pelbagai barangan penting anak mereka tidak dapat diselamatkan termasuk barang hantaran perkahwinan.

"Saya sedikit terkilan, barang-barang hantaran perkahwinan anak keempat untuk majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan turut musnah," kata bapa kepada lima anak itu ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Menurutnya, kesemua barangan seperti pakaian dan aksesori hantaran perkahwinan anak kelimanya yang kini bekerja di sebuah pelantar minyak milik syarikat tempatan itu musnah, manakala kerugian keseluruhan dianggarkan lebih kurang RM100,000.

"Kini semuanya sudah tiada, hasrat kami yang ingin mengekalkan rumah pusaka ini sebagai warisan keluarga juga tidak kesampaian, namun seperti yang saya katakan sebelum ini, kami reda dengan ujian ALLAH ini, walaupun perit," katanya.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Zamri Awang Long, mengesahkan terima laporan pada jam 3.41 petang dan kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 4.08 petang oleh sepasukan 22 anggota bomba.