Rabu, 7 November 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


MIC Kantoi, Minit Sahkan Mereka Sokong Bina Kondo

Posted: 07 Nov 2012 12:15 AM PST

(Muka depan akhbar The Sun hari ini yang mendedahkan minit mesyuarat MPS pada 29 Nov 2007)
PETALING JAYA: Minit mesyuarat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 29 November 2007 mengesahkan, projek kondominium bersebelahan Batu Caves turut disokong oleh ahli majlis dari MIC.

Antara ahli MPS yang menyokong cadangan pembinaan kondo itu adalah timbalan Menteri Luar, Datuk A Kohilan Pillay yang menjadi ahli majlis dari Gerakan antara 1997 hingga 2007.

Turut menyokong adalah tiga wakil MIC dalam MPS iaitu Rajakupal Sinarthamby, Jayakumaran Govindasamy dan Rajadran Muniandy, lapor muka depan akhbar harian The Sun hari ini.

MIC dan Gerakan baru-baru ini menyalahkan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat kononnya mereka yang meluluskan pembinaan itu.

Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu 26 Oktober lepas memimpin tunjuk perasaan membantah pembinaannya dengan alasan akan merosak alam sekitar Batu Caves yang menjadi kuil hindu itu.

Minit mesyuarat yang diperolehi oleh The Sun itu mengesahkan bahawa permohonan untuk pembinaannya turut disertakan dengan pelan lengkap layout dan bangunannya.

Minit itu juga mengesahkan, kebenaran telah diberikan kepada pembinaan 18 unit rumah kedai tiga tingkat dan dua bangunan menara, satu 25 tingkat dan satu lagi 29 tingkat.

Sumber: HarakahDaily

Liu: Selangor Mungkin Batal kelulusan Kondo Batu Caves

Posted: 07 Nov 2012 12:12 AM PST

Kerajaan Selangor mungkin membatalkan kelulusan projek kontroversi kondominium Park Avenue di Batu Caves untuk mengabaikan bantahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, kata Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu.

Kawasan tanah rizab yang terletak antara projek kondominium 29
tingkat itu dan Batu Caves adalah terlalu sempit, dan ini boleh menyebabkan batu runtuh dan ketidakstabilan tanah, kata Liu kepada Malaysiakini semalam.

"Projek ini adalah sangat dengan gua dan tidak ada langkah-langkah keselamatan yang mencukupi untuk mencegah batu runtuh," katanya sambil menambah bahawa sekarang pihaknya boleh membatalkan projek tersebut.

"Kami ada hak untuk membetulkan (kesilapan) masa lalu."

Liu berkata kerajaan negeri BN sebelumnya tidak sepatutnya meluluskan projek di tempat pertama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan dalam akhbar harian berbahasa Inggeris theSun pada hari Isnin bahawa surat JAS Selangor bertarikh pada 24 Januari 2007 kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menegaskan bahawa MPS telah meluluskan projek itu pada tahun 2007 walaupun dibantah oleh JAS.

Surat tersebut, salinannya diperolehi Malaysiakini, menyatakan dengan jelas bahawa JAS tidak menyokong projek tersebut.

Laporan cadangan pemajuan yang dikemukakan, tidak menyediakan tanah rizab yang mencukupi antara projek kondominium yang dicadangkan itu dengan bukit, yang dikehendaki di bawah dasar kerajaan negeri.

Oleh itu, jabatan berkenaan tidak menyokong pembangunan tersebut kerana ia mempunyai potensi untuk menyebabkan tanah runtuh dan masalah lain.

Satu lagi surat dari Jabatan Mineral dan Geosains di Selangor, yang salinannya juga diperolehi Malaysiakini, pula menyenaraikan lima syarat pembinaan yang perlu dipenuhi oleh pemaju.

Rancangan pembinaan kondominium tersebut berhampiran Kuil Sri Subramaniar yang bersejarah, menarik perhatian selepas jawatankuasa kuil itu, yang disokong oleh pemimpin tinggi MIC, termasuk bekas presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu, mengetuai bantahan terhadap kerajaan negeri Selangor.

Isu itu timbul selepas jawatankuasa kuil itu yang disokong MIC mengadakan bantahan terhadap projek tersebut pada akhir bulan Oktober.

Bagaimanapun, Liu kemudiannya mendedahkan dokumen-dokumen yang menunjukkan bahawa kerajaan BN telah, pada tahun 2007, meluluskan projek kondominium itu.

Liu dilaporkan sebagai berkata bahawa Senator A Kohilan Pillay dari Gerakan dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan dari MIC adalah antara mereka yang bertanggungjawab meluluskan projek tersebut.

Bagaimanapun, Kohilan dan Kamalanathan telah menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis mengenai perkara itu

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengumumkan bahawa sebuah pasukan petugas bebas ditubuhkan untuk mengkaji perkara itu.

Anggota pasukan petugas itu dijangka diumumkan hari ini, selepas mesyuarat exco kerajaan negeri.

Sumber: Malaysiakini

PKR Dakwa Wujud Satu Lagi Kejanggalan Daftar Pemilih

Posted: 07 Nov 2012 12:10 AM PST

KUALA LUMPUR, 7 NOV : PKR mendakwa wujudnya satu lagi bentuk kejanggalan manipulasi daftar pemilih dengan tidak melalui Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) yang dipamerkan di setiap suku.

Perkara ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, bentuk kejanggalan di dalam daftar pemilih boleh disifatkan sebagai kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta tidak menolak kemungkinan dimanipulasi dengan sengaja oleh SPR.

"RDPT merupakan 'audit trail' di dalam daftar pemilih. Dan SPR wajib boleh 'tally' jumlah pemilih di dalam daftar pemilih setiap suku yang disahkan melalui cara ini.

"Sebaliknya didapati SPR gagal berbuat demikian. SPR sewenang-wenangnya masukkan nama dan keluarkan nama, pindahkan nama pemilih tanpa di pamer terlebih dahulu," katanya yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Sebagai contoh, hasil audit daftar pemilih di antara daftar pemilik induk Suku ke-4 2011 dan daftar pemilih induk Suku Pertama 2012 seperti yang dibekalkan oleh SPR kepada PAC bagi Parlimen Kuantan (P083) mendapati, sebanyak 155 nama pemilih dimasukkan ke dalam daftar pemilih tanpa melalui RDPT.

"Kita mendapati nama yang sudah dipamerkan sebagai pemotongan sebelum ini dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih P083 sedangkan tiada bantahan dibuat ke atas nama tersebut.

"Terdapat 40,000 nama di seluruh negara. Sejumlah 15 undi pos (polis dan tentera) dimasukkan tanpa dipamerkan.

"Terdapat juga nama dipindahkan masuk tanpa dipamerkan terlebih dahulu. Mereka ini merupakan pemilih di kawasan lain sebelum ini," katanya.

Menurut Fuziah lagi, sebanyak 433 nama pemilih hilang dari daftar pemilih begitu sahaja tanpa dipamerkan.

"Semakan kami menunjukkan jumlah yang besar terus hilang (tiada dalam rekod). Kalau meninggal sekalipun tidak mungkin sampai 400 lebih nama.

"Selain itu sejumlah besar dipindahkan ke kawasan Parlimen lain tanpa dipamerkan (hampir 100 nama) dan jumlah pemilih yang dipamerkan keluar terdiri dari pemilih awam dan pos," ujarnya lagi.

Justeru, beliau menuntut penjelasan SPR mengenai perkara berkenaan.

Tegasnya keadaan ini membuktikan SPR tidak membersihkan daftar pemilih dan kemungkinan besar ianya dilakukan dengan sengaja untuk membantu Umno-BN.

Sumber: Selangorku

MB Selangor Rampas Tanah, Untuk Rakyat

Posted: 06 Nov 2012 09:45 PM PST


Selangor Buka Kembali Dua Loji Pakai Teknologi Membran

Posted: 06 Nov 2012 06:34 PM PST

KLANG 06 NOV : Kerajaan Negeri Selangor akan membuka dua lagi loji yang tidak beroperasi di Ampang dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran air yang terawat kepada pengguna Lembah Klang.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata kedua-dua loji itu merupakan aset Kerajaan Negeri tetapi telah diabaikan seperti Loji Bukit Jelutong.

Katanya, pihaknya sudah meminta Timbalan Pengarah UPEN, Nor Azmi Diron untuk menyelidik potensi loji-loji itu.

"Sekiranya kedua-dua loji itu berpontensi dan benar sudah tidak digunakan, saya akan berbincang perkara ini dengan lebih lanjut dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

"Kita juga akan menggunakan mana-mana aset-aset ini untuk bangunkan semula loji ini dengan menggunakan kaedah teknologi membran atau kaedah konservatif," katanya ketika ditemui TvSelangor.

Baru-baru ini, Loji Perawatan Air (LPA) di Bukit Jelutong yang ditutup sejak 17 tahun lalu akan dibuka semula untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat.

Kerajaan Negeri kini dalam proses menjalankan kajian rintis bagi membolehkan loji tersebut diguna semula dan dijangka siap Jun tahun depan.

"Dalam masa kajian yang akan dilakukan, kita akan membuka tender kepada mana-mana kontraktor yang berminat.

"Sekarang kita beri tempoh dua bulan kepada syarikat jurutera perunding untuk melaksanakan kajian menyeluruh untuk mengemukakan kertas kajian yang lengkap kepada Kerajaan Negeri," katanya.

Sumber: Selangorku

Adun Seri Andalas Membuat Lawatan Kawasan Banjir di Dun Seri Andalas

Posted: 06 Nov 2012 06:15 PM PST

Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor, YB Dr. Xavier Jayakumar yang juga Adun Seri Andalas telah turun padang melawat kawasan yang dinaiki air sekitar kawasan perumahan di  Kampung Jawa yang terletak di bawah Dun Seri Andalas pada 02 November 2012 yang lalu.

 Beliau kemudiannya menziarahi kawasan yang dinaiki air di Bandar Puteri dan kawasan berdekatan.

Ini berikutan hujan lebat turun beberapa hari menyebabkan hampir seluruh kawasan Taman Sentosa, Kampung Jawa, Kg. Johan Setia, Bandar Puteri dan kawasan sekitarnya dinaiki air untuk beberapa hari.

Ekoran hujan terus turun pada hari hari berikutnya menyebabkan air banjir mengambil masa untuk surut.  

Semasa lawatan tersebut lebih 3,000 paket roti canai dan nasi lemak telah diagih-agihkan dari rumah ke rumah kepada mangsa-mangsa banjir selama 3 hari berturut-turut di kawasan-kawasan terlibat.

Pada sebelah malam 03 November 2012, beliau telah melawat Jalan Abdul Hamid 17, Taman Sentosa dan terlibat sama memantau kerja-kerja mengorek dan melebarkan parit tambahan menggunakan mesin jengkaut (excavator)  bagi memudahkan laluan air banjir yang semakin naik di kawasan tersebut.  

Ujar Dr. Xavier hujan yang turun lebat mencurah-curah di sebelah petang untuk beberapa hari telah menyebabakan air naik dengan pantas di kawasan-kawasan terlibat. Ini ditambah dengan sistem perparitan yang tidak sistematik memandangkan parit dan longkang yang ada di Taman Sentosa telah dibina lebih 25 tahun yang lalu tidak dapat menampung air hujan yang banyak dalam satu-satu masa.    

Ujarnya lagi Kerajaan Negeri telah merancang untuk membina sebuah kolam takungan banjir ( flood retention pond) seluas 19 ekar di
Taman Botanik (yang terletak berhampiran) untuk mengatasi masalah banjir yang telah lama berlarutan.

Kerja-kerja pembinaan  dijangka dimulakan dalam beberapa bulan lagi dan siap dipertengahan tahun hadapan.

Dengan pembinaan kolam takungan tersebut ianya dapat menyelesaikan hampir keseluruhan masalah banjir di kawasan Taman Sri Sentosa, Bandar Puteri, Kg. Jawa dan kawasan sekitanya.












Tiada ulasan:

Nuffnang