Bismillahir rahmaanir rahiim
Surah Ibrahim :
42. Dan janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa Yang dilakukan oleh orang-orang Yang zalim; Sesungguhnya ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari Yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan Yang berlaku).
43. (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka Dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).
44. Dan berilah amaran (Wahai Muhammad) kepada manusia Yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat Yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang Yang berlaku zalim akan merayu Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah Kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada Kami hingga ke suatu masa Yang dekat, supaya Kami menyahut seruanmu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya Kami menurut ugama Yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". dan (rayuan mereka akan ditolak Dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan Bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu Dalam dunia) dahulu, Bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?
KENAPA UMNO TAKUT DENGAN DOA ?
Media pro Barisan Basional cuba mengeksploitasikan doa yang digumandangkan dalam Majlis Solat Hajat sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat di stadium Sultan Muhammad V, Kelantan. Maka ulama UMNO mengambil kesempatan untuk memasyhurkan diri dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan untuk mempersalahkan doa tersebut.
1- Tidak boleh berdoa untuk kehancuran sesama Islam dan doa yang tiada adab.
2- Berdoa kehancuran untuk Narisan Nasional bermakna berdoa kehancuran untuk ahli-ahli dan pendokong-pendokong UMNO.
3- Tiada dalam ajaran Rasulullah berdoa " ko BN , BN ko".
Suka saya mengemukakan beberapa soalan sebelum saya menjawab tentang keraguan yang ditimbulkan oleh media tentang doa tersebut untuk menarik pengundi melayu agar membenci PAS.
1- Apakah pemimpin dan ulama UMNO berdoa untuk kekuatan PAS ?.
2- Apakah pemimpin dan ulama UMNO bertindak untuk memberi kekuatan kepada PAS atau memang setiap masa, pemimpin Barisan Nasional bercakap dan bertindak dengan kuasa untuk menghancurkan PAS ?.
3- Kenapa pemimpin dan ulama UMNO terasa amat takut dengan doa untuk kehancuran Barisan Nasional, sedangkan doa tersebut hanya dipohon kepada Allah yang Maha mengetahui dan Maha berkuasa untuk memustajabkan dan menentukannya ?.
4- Kenapa UMNO terasa takut untuk kehancuran Barisan Nasional, sedangkan Barisan Nasional disertai oleh banyak parti yang membenci dan menghina Islam seperti MCA atau memang UMNO sentiasa berdoa untuk kekuatan MCA dan parti-parti yang menghina syariat Islam ?.
5- Apakah ulama UMNO bersetuju dan menghalalkan supaya menunaikan solat hajat dan berdoa untuk kemenangan calon MCA dan MIC dalam pilihanraya, walaupun untuk kekalahan calon melayu Islam daripada PAS dan PKR ? Adakah doa dan solat hajat untuk tujuan ini tidak salah seperti pilihanraya kecil calon MCA di DUN Bandar, Terengganu dan calon MIC di Parlimen Hulu Selangor ?
BARISAN NASIONAL ZALIM
Barisan Nasional yang memegang tampuk pemerintahan Negara ini dengan kepimpinan dan sokongan pendokong-pendokong Barisan Nasional semenjak merdeka. Sepanjang kekuasaan Barisan Nasional, Barisan Nasional telah melakukan kezaliman terhadap syariat Islam dan sesama Islam dengan mengenepikan nilai-nilai Islam, kemanusiaan dan demokrasi. 20 tahun kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan rakyat Kelantan dizalimi dengan didiskirimasi oleh kerajaan Barisan Nasional, walaupun rakyat Kelantan terpaksa membayar berbagai cukai kepada kerajaan Persekutuan. Kerajaan Kelantan diketepikan dan dikhianati hak royalti petroleum, walaupun petroleum itu dijumpai di tanah dan lautan milik rakyat Kelantan tetapi kerajaan Barisan Nasional sanggup menyalurkan dan membangunkan petroleum di negara Thailand yang bukan Islam. Betapa media pro Barisan Nasional berpesta dan berseronok untuk memburukkan dan menipu dunia tentang kerajaan dan rakyat Kelantan. Kerajaan Barisan Nasional sanggup mengenepikan hak kerajaan Kelantan dan mengabaikan tanggungjawab pembangunan di Kelantan kerana tidak sanggup menerima pilihan rakyat Kelantan.
Pengarang kitab 'Al-Kabair' (Dosa-Dosa Besar) telah menyebut banyak nas-nas daripada Al-Quran dan Hadis Rasulullah yang mengingatkan tentang kebencian Allah dan azabnya terhadap dosa kezaliman. Bahkan Allah menggalakkan golongan yang dizalimi agar berdoa kepada Allah. Allah Taal berfirman dalam surah As-Syuaara
227. dan (ingatlah), orang-orang Yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.
Rasulullah bersabda kepada Muaz bin Jabal, ketika baginda mengutusnya ke Yaman :
((واتق دعوة المظلوم، فإنه ليس بينه وبين الله حجاب)).
Maksudnya : "Takutlah dengan doa orang dizalimi, tiada hijab antaranya dan Allah."
Rasulullah juga bersabda :
((ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ)).
Maksudnya : Tiga doa yang dimustajabkan tanpa keraguan padanya iaitu doa seorang ayah, doa musafir dan doa orang yang dizalimi.
TIDAK SALAH BERDOA UNTUK KEHANCURAN SI ZALIM
Nabi Musa yang berdoa untuk kehancuran Firman dan kerajaannya sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dengan firmannya dalam surah Yunus ; 88 – 89 :
88. Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda Yang mewah Dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (kemewahan Yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka Dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab Yang tidak terperi sakitnya.
89. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang Yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".
Penulis-penulis sejarah Islam menyebut, tatkala Rasulullah menghantar surat menyeru Kisra (raja Parsi) kepada Islam, tiba-tiba Kisra telah mengoyak surat Baginda. Rasulullah berdoa kepada Allah :
((اللهم مزق ملكه))
Maksudnya : Ya Allah ! Hancurkanlah kerajaan Kisra.
Hadis sahih menetapkan bahawa Rasulullah berkata :
((اذهبوا إلى صاحبكم فأخبروه أن ربي قد قتل ربه الليلة))
Maksudnya : Pergilah bertemu dengan raja kamu dan beritahu kepadanya, sesungguhnya Tuhanku telah membunuh tuhanmu pada malam ini."
Soalan yang dikemukakan kepada (اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء ) yang diketuai olehSheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan dianggotai oleh Sheikh Abdul Aziz Ali Sheikh, Sheikh Bakar Abu Zaid, Sheikh Soleh Fauzan dan Sheikh Abdullah Ghudyan.
" Adakah harus bagi seorang muslim berdoa kehancuran ke atas muslim yang melakukan kezaliman kepadanya ?. Adakah harus bagi seorang muslim melakukan perkara yang sama ke atas orang yang menzaliminya ?."
Jawapan : Seseorang yang dizalimi hendaklah menyebut nama Allah dan mengancam orang yang melakukan kezaliman dengan azab Allah, moga dia mengambil nasihat dan tidak melakukan kezaliman lagi. Jika dia terus melakukan kezaliman, maka buat aduan kepada pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan kezaliman itu. Orang yang dizalimi dalam semua keadaan ini, dia boleh memohon dan mengharapkan pertolongan daripada Allah untuk menyelamatkan dia daripada kezaliman dan si zalim. Jika dia berdoa ke atas si zalim agar Allah bertindak dengan sewajarnya, membalas segala kejahatannya dan menjadikan segala tipu daya terjerat pada leher si zalim, maka tidak salah kerana Firman Allah dalam surah an-Nisa'
148. Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk Yang dikatakan Dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang Yang dianiayakan. dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Sheikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut dalam kitab "Fiqh Al-Aqliyyat" dengan katanya : Ada doa setengah salafusoleh :
"اللهم اشغل الظالمين بالظالمين وأخرجنا من بينهم سالمين".
Sheikh berdalil dengan apa yang datang dalam kitab Kasyfu Al-Khafa' oleh Al-Ajluney :
إن الله ينتقم من الظالم بالظالم.
Maksudnya : "Sesungguhnya Allah akan membalas dengan menghancurkan si zalim dengan si zalim."
DOA SALAFUSOLEH KE ATAS SESAMA ISLAM YANG ZALIM
Kehidupan salafusoleh menjadi pengajaran sangat indah tentang doa untuk kehancuran golongan si zalim.
1- Seorang perempuan yang bernama Arwa binti Uwais telah mengadu kepada Marwan bin Al-Hakam, Gabenor Madinah pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufian. Perempuan ini menuduh Said bin Zaid telah mengambil tanahnya. Said bin Zaid berdoa kepada Allah : Ya Allah ! Jika perempuan itu berbohong, maka jangan engkau matikan dia sehingga engkau butakan matanya dan engkau matikan dia lemas di dalam telaga." Selepas berlalu beberapa hari, perempuan telah dibutakan oleh Allah. Ketika dia berjalan menuju ke rumahnya, tiba-tiba dia terjatuh ke dalam telaga dan mati di dalamnya.
2- Hajjaj bin Yusof Athaqafi merupakan seorang Gabenor kerajaan Umawiyyah yang menaruh jasa kepada Al-Quraan, tetapi dia bersifat zalim kepada golongan yang menentang kerajaan Umawiyyah sehingga dia sanggup membunuh dan menyeksa ulama yang tidak menyokong kerajaan Umawiyyah. Dia telah menyeksa dan membunuh seorang ulama tabein iaitu Said bin Jubair. Sebelum kematian Said bin Jubair, beliau berdoa ; Ya Allah jangan kurniakan kuasa kepada Hajjaj sehingga dia boleh membunuh orang lain selepas kematianku. Hajjaj mati selepas itu dengan doa kehancuran dan kemusnahan ke atas Hajjaj daripada Said bin Jubair.
3- Ibu Kathir telah menyebut dalam kitab "bidayah wa Nihayah" daripada Wahab bin Munabbih tentang satu kisah : Seorang anak raja yang masih muda telah memimpin satu angkatan tentera. Dia telah terjatuh daripada kudanya dan mati hampir dengan satu negeri. Ayahnya sangat murka dan bersumpah untuk membunuh semua penduduk negeri itu dan menghancurkan mereka dengan gajah-gajah. Maka tiada seekor gajah melainkan akan diiringi dengan beberapa kuda dan setiap ekor kuda akan ditunggangi oleh seorang tentera. Raja pun menuju ke negeri itu setelah diberi minum gajah-gajah dan kuda-kuda dengan arak. Penduduk negeri mendengar berita kemaraan tentera Tuanku Raja, maka mereka keluar semuanya berdoa, mengadu dan memohon kepada Allah supaya menyelamatkan kejahatan raja yang zalim dan usahanya untuk menghancurkan penduduk negeri ini. Ketika Raja dan tenteranya mara dan penduduk negeri mengadu, berdoa dan merintih kepada Allah. Tiba-tiba seekor kuda turun dari langit dan menerkam di tengah-tengah angkatan tentera Raja, maka gajah-gajah berkeliaran dan memijak kuda-kuda sehingga kuda-kuda memijak tentera-tentera Raja. Raja terbunuh dan seluruh tentera mati dihancurkan oleh gajah-gajah dan kuda-kuda. Allah telah menyelamatkan penduduk negeri ini daripada kezaliman dan kejahatan raja dan tentera-tenteranya.
4- Yahya bin Hubairah, seorang menteri yang soleh bercerita : "Sultan Masu'd bin Mohammad Al-Saljuqi dan pengikut-pengikutnya memerintah dalam tempoh yang sangat lama dan melakukan kerosakan sehingga Khalifah berazam untuk memeranginya. Yahya berkata : Kemudian saya terfikir dan berpendapat bahawa tidak tepat berhadapan dengan Sultan Mas'ud dan pengikut-pengikutnya secara terbuka kerana kekuatan pertahanannya. Aku mengadap Khalifah Al-Muktafa dan berkata : Aku berpendapat tiada jalan dalam urusan ini melainkan mengadu dan benar-benar bergantung harap kepada Allah. Khalifah menerima pendapatku dan bertitah : Tiada jalan melainkan doa. Kemudian aku menulis kepada Khalifah tentang doa Rasulullah ke atas kaum Ra'l dan Zakwan sebulan dan sepatutnya kita juga berdoa sebulan. Khalifah bersetuju. Kemudian aku terus berdoa setiap malam pada waktu sahur. Aku berdoa kepada Allah. Mas'ud Al-Saljuqi mati genap sebulan doaku, tidak lewat dan lebih daripada sebulan. Sultan Mas'ud dan pengikut-pengikutnya hilang kekuasaan di Iraq dan kami telah mewarisi tanahair dan kerajaan Iraq."
5- Di sebut dalam kitab sejarah, bahawa tatkala seluruh keluarga Khalid Al-Barmaqi hancur dan dia dan anaknya ditahan, anaknya berkata kepadanya : Wahai ayahku ! Selepas kemuliaan, hari ini kita berada dalam penjara dan diikat. Khalid al-Barmaqi berkata : Wahai anakku ! Doa orang yang dizalimi berlaku pada waktu malam dalam keadaan kita tidak menyedarinya tetapi Allah tidak pernah melupainya."
Bagusnya jika pemimpim-pemimpin dan seluruh pengikut Barisan Nasional merasa takut dengan doa pihak yang dizalimi, agar mereka kembali kepada Islam. Barisan Nasional telah melakukan kezaliman puluhan tahun dan terus tidak menyedari kezaliman mereka. Kehancuran Barisan Nasional akan tiba tetapi rakyat OK di bawah kerajaan yang adil dan berkebajikan. Ahli-ahli dan pengikut-pengikut Barisan Nasional jangan bimbang bahawa mereka akan selamat, jika mereka berenang meninggalkan BN dan bahtera yang hampir hancur dan segera menuju ke bahtera Pakatan Rakyat yang akan membangun Negara Berkebajikan.Wallahua'lam
Mohd Nor Hamzah
9 Muharram 1434
Tiada ulasan:
Catat Ulasan