Jumaat, 2 November 2012

.

.


Mat Sabu: Himpunan diteruskan walau tanpa permit

Posted: 02 Nov 2012 05:00 AM PDT




Tidak timbul isu permit kerana tapak himpunan itu nanti akan diadakan di tanah lapang milik persendirian di Taman Seremban Jaya.
PETALING JAYA: Pra-Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban esok (Sabtu) tetap diteruskan walaupun tiada kebenaran permit daripada polis, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Beliau berkata, tidak timbul isu permit kerana tapak himpunan itu nanti akan diadakan di tanah lapang milik persendirian di Taman
Seremban Jaya, kira-kira 2 kilometer dari Plaza Tol Senawang, Seremban.
"Tak perlu permit. Kalau di Dataran Merdeka sebelum ni tiada permit pun boleh berjalan, inikan pula tempat persendirian," katanya ketika dihubungi FMT.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin kelmarin dilaporkan berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan permit kerana penganjur gagal mengisi maklumat permohonan dengan lengkap.
Sekaligus perhimpunan itu dianggap sebagai melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
Namun Mat Sabu berkata beliau mengharapkan kerjasama sepenuhnya daripada polis bagi memastikan program pada hari itu berjalan lancar.
Beliau juga optimis himpunan itu nanti akan mendapat sambutan sekurang-kurangnya 50,000 penyokong.
Ini merupakan kali ketiga lokasi berubah selepas usaha untuk menganjurkan himpunan di Majlis Perbandaran Seremban terpaksa ditukar kerana gagal mendapat kebenaran daripada pihak perbandaran dan polis.
Penganjur juga pada awalnya merancang untuk mengadakan himpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil namun dalam sidang media mengumumkan terpaksa ditunda atas alasan mahu memberi laluan kepada perlawanan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012.
Namun, FMT mendapati tiada sebarang perlawanan berlangsung di Bukit Jalil pada hari berkenaan, sebaliknya Piala Suzuki bermula pada 24 November depan di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Manakala Stadium Nasional hanya digunakan untuk perlawanan antara Harimau Malaya menentang Singapura pada 25 November ini.
Himpunan besar-besaran bagi mengumpul kekuatan sejuta penyokong di Bukit Jalil katanya akan diteruskan pada satu tarikh yang akan ditetapkan pada tahun depan.

Tiada ulasan:

Nuffnang