N50 Dun Sri Muda |
- Umno BN hanya boleh menang dengan penipuan SPR dan JPN
- PKR S'gor mahu Faekah dipecat
- PR Selangor Jelajah Negeri Persiapan Hadapi Pilihan Raya
- Siri Jelajah Selangor benamkan Umno bermula 14 Oktober
- MB S’gor layak tadbir di Pusat, kata Shuhaimi
Umno BN hanya boleh menang dengan penipuan SPR dan JPN Posted: 09 Oct 2012 02:00 AM PDT (Sidiqin Omar) KUALA LUMPUR 8 Oktober: Umno BN boleh menang pilihan raya umum ke-13 hanya dengan penipuan dan konspirasi di antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei. "Kalau nak menang, lawan secara anak jantan. Saya nak ingatkan mereka, kalau masih menipu untuk menang, samalah macam Hosni Mubarak. "Sebab BN tak ada cara lain untuk menang melainkan muslihat dan penipuan," katanya ketika dihubungi. Dalam pendedahan sebelum ini, Projek Analisis Daftar Pengundi Malaysia (Merap) mendapati, terdapat kira-kira 100,000 nama bermasalah dan digabungkan dengan beberapa isu sebelum ini akan menjadi 400,000 pengundi meragukan. Merap menjelaskan, 400,000 pengundi meragukan dalam daftar pemilih itu mampu mengubah 35 kerusi Parlimen. "Daftar pengundi tercemar. Ribuan nama meragukan dalam senarai. Bila kita semak ke lokasi sebenar, alamat tidak wujud. "Sebagai contoh di Jalan 25/135, Taman Seri Muda. Rumah berakhir di nombor 85. Tapi dalam daftar pemilih ada nombor 86, 87 sehingga angka 200 lebih," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda itu. "Bantahan telah dibuat pada suku kedua 2011. Dari 136 nama, kita berjaya gugur 122 nama dengan kos RM10 setiap nama. Pelikya, pada suku pertama 2012, nama sama ada semula dalam daftar. Kalau ini bukan penipuan dan muslihat, apa lagi? "Ini jelas manipulasi Umno BN menggunakan SPR dan JPN," tegasnya. Shuhaimi turut mendedahkan pemindahan melibatkan pengundi Melayu dari kawasan majoriti bukan Melayu, ke kawasan yang ditandingi calon Melayu dari Pakatan Rakyat. Menurutnya, antara kes berkaitan membabitkan dari kawasan DUN Seri Andalas (Dr Xavier Jayakumar-KEADILAN) ke DUN Seri Muda. "Umno BN perlu lapan hingga sembilan kerusi DUN untuk menang di Selangor. Memindah pengundi Melayu akan mencipta persepsi Selangor dikuasai DAP. Ini strategi serampang dua mata mereka. Kita akan lawan," katanya. |
Posted: 08 Oct 2012 01:42 AM PDT Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Borhan Aman Shah mendesak supaya setiausaha politik menteri besar negeri itu, Faekah Husin meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa mengeruhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat. Katanya, beliau juga berharap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil tindakan sewajarnya ke atas Faekah yang "menimbulkan salah faham" apabila mengulas mengenai kenyataan timbalan presiden Azmin Ali berhubung kedudukan Khalid. "Kita minta agar menteri besar ambil tindakan pada Faekah. Semua tahu kita minta dia dilucutkan daripada jawatan yang ada. Ada beberapa perkara yang dia buat dah jadi salah faham. "Desakan ini daripada semua cabang PKR Selangor. Jika dia rasa ini sebagai tekanan untuk dia, terpulang sama ada menteri besar hendak ambil tindakan atau tidak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. Beliau berkata, desakan itu mewakili pandangan daripada majlis pimpinan PKR negeri. Faekah sebelum ini telah mempersoalkan niat Azmin (kiri) ketika memberi kenyataan kepada akhbar Sinar Harian, yang melaporkan bahawa Khalid akan dilantik sebagai menteri pusat jika Pakatan menang pilihan raya umum. Azmin menafikan membuat kenyataan seumpama itu. Faekah bagaimanapun tangkas mengulas perkara itu, yang menyebabkannya menerima teguran daripada timbalan pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin dan setiausaha PKR negeri, Shuhaimi Shafiei. Susulan itu, Faekah hari ini dilaporkan berkata, beliau akur dan tidak akan mengeluarkan kenyataan menyentuh kedudukan Khalid. Bagaimanapun, Borhan berkata beliau bersama kepimpinan cabang Selangor yang lain menanti "perubahan" yang akan ditunjukkan Faekah. Jika perkara sama berulang, Borhan berkata Faekah akan dianggap berlaku khianat kepada parti. "Kalau ikhlas (akur), kita tengoklah ada perubahan ke tak. Kalau masih berulang, kita anggap (Faekah) khianat," katanya yang mahu Faekah berhati-hati dalam membuat kenyataan dalam isu seperti itu. |
PR Selangor Jelajah Negeri Persiapan Hadapi Pilihan Raya Posted: 07 Oct 2012 02:37 AM PDT – October 5, 2012 PETALING JAYA 5 OKT : Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan mengadakan program Jelajah Selangor secara bersepadu dan sistematik sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Kesemua parti gabungan PR iaitu PKR, PAS dan DAP bersepakat menjelajah ke seluruh 22 parlimen dan 56 DUN dalam negeri Selangor. "Ia khusus bagi menerangkan tentang prestasi program yang sudah dilaksanakan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sepanjang empat tahun lepas. "Program ini juga diatur bagi memastikan setiap maklumat dan fakta penting berkaitan kejayaan Kerajaan Negeri dapat disampaikan kepada rakyat," ujar Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dalam satu sidang media. Sidang media yang diadakan di Pejabat Keadilan Selangor di sini pagi tadi turut disertai Ketua Penerangan PAS dan DAP Selangor iaitu Shaari Sungib dan Jenice Lee. Program jelajah tersebut akan bermula pada 14 Oktober ini di Parlimen Selayang dan dijadualkan berakhir pada 8 Disember di Parlimen Klang. "Kesemua program jelajah akan melibatkan semua anggota komponen parti di semua peringkat dengan pemantauan oleh Penerangan Pakatan Rakyat Negeri," jelas Shuhaimi lagi. Satu tema khas bersempena program Jelajah Selangor akan diputuskan selepas mesyuarat bersama semua Ketua-ketua Penerangan peringkat cabang, kawasan dan bahagian serta Penerangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor pada 7 Oktober nanti. |
Siri Jelajah Selangor benamkan Umno bermula 14 Oktober Posted: 07 Oct 2012 01:55 AM PDT (Oleh Aedi Asri) PETALING JAYA 5 Oktober: Pakatan Rakyat Selangor akan melancarkan siri Jelajah Selangor membabitkan semua 22 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN). Ketua Penerangan KEADILAN Negeri, Shuhaimi Shafiei berkata, jelajah yang dimulakan di Parlimen Selayang pada 14 Oktober ini akan berakhir di Parlimen Klang pada 8 Disember depan. Menurutnya, program ini melibatkan semua anggota parti komponen di setiap peringkat dan dipantau oleh Sekretariat Penerangan Pakatan Rakyat Selangor. Ia bagi memantapkan organisasi dan sistem jentera pilihan raya agar selari dengan misi dan visi Pakatan Rakyat. "Kita akan jelajah semua 22 Parlimen dan 56 DUN untuk terangkan prestasi program yang dilaksana di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)," katanya dalam sidang media di Pejabat KEADILAN Selangor, di sini hari ini. "Kita ingin pastikan setiap maklumat dan fakta penting kejayaan kerajaan negeri sampai kepada rakyat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda itu lagi. Tambah beliau, risalah dan maklumat akan diedar untuk menangkis propaganda Umno BN, seperti isu air dan hutang Talam Corporation. Hadir sama dalam sidang media itu, Ketua Penerangan PAS Negeri, Saari Sungib dan Setiausaha Publisiti DAP Negeri, Janice Lee. Saari berkata, program ini pertama kali dirangka bersama oleh Sekretariat Pakatan Rakyat. "Sebelum ini memang kita bekerjasama…Biasanya kalau PAS anjur program, kita akan jemput penceramah dari KEADILAN dan DAP. "(Tetapi) kali ini, kita rangka secara bersama untuk tewaskan Umno BN sehabis-habisnya pada PRU akan datang dan bawa perubahan yang lebih besar," kata Adun Hulu Kelang itu. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=37416 |
MB S’gor layak tadbir di Pusat, kata Shuhaimi Posted: 07 Oct 2012 01:50 AM PDT Beliau menyifatkan Abdul Khalid sebagai seorang yang berpengalaman luas dan sememangnya layak mentadbir di peringkat persekutuan. PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei bersetuju Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipindahkan ke pentadbiran kerajaan pusat sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke 13 (PRU13). Ketika dihubungi FMT, beliau menyifatkan Abdul Khalid sebagai seorang yang berpengalaman luas dan sememangnya layak mentadbir di peringkat persekutuan. Pandangan Shuhaimi ini dilihat selari dengan pendapat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebelum ini, yang menyatakan bahawa Abdul Khalid berkemungkinan akan ditukar ke peringkat pusat selepas PRU13. Beliau berkata, ia sebagai pengiktirafan kepada Abdul Khalid yang berkebolehan dan berpengalaman dalam memimpin kerajaan Selangor sejak Pakatan mengambil alih negeri itu pada Mac 2008. "Sama ada saya setuju atau tidak kenyataan Azmin itu adalah perkara lain. Tetapi apa yang cuba disampaikan Azmin adalah beliau menghargai peranan dan tugas Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. "Malah pengalaman beliau (Abdul Khalid) mentadbir Selangor tidak dinafikan adalah jauh lebih baik daripada menteri-menteri Barisan Nasional (BN)," tegas beliau. Beliau menegaskan, "pengalaman beliau mentadbir Selangor boleh digunakan dengan baik dalam pentadbiran kerajaan pusat memandangkan di bawah pentadbirannya rizab tunai Selangor mencecah sehingga RM2 bilion. "Jika Abdul Khalid dipilih menerajui di peringkat kementerian maka saya yakin beliau boleh menyelamatkan lebih banyak wang negara," ujar beliau. Dalam perkembangan lain, Shuhaimi menegur sikap pemimpin Pakatan yang lain agar meneliti terlebih dahulu laporan sesetengah akhbar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Tegas beliau, "para pemimpin tidak sewajarnya melenting dan memberi kenyataan secara melulu tanpa menyemak asas laporan akhbar tersebut terlebih dahulu. "Mungkin ada dua tiga kenyataan daripada kepimpinan parti, presiden, timbalan presiden, setiausaha agung dan lain-lain yang dikeluarkan sebelum ini. "Mereka perlu meneliti laporan itu dari akhbar serta tajuk laporan sebelum memberi kenyataan. Jika tidak betul….tidak boleh terus melenting dengan penuh emosi, biar komen secara matang," nasihat beliau. |
You are subscribed to email updates from N50 Dun Sri Muda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan