Khamis, 4 Oktober 2012

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2013 YB AZMIN ALI

Posted: 03 Oct 2012 08:04 AM PDT

3 OKTOBER 2012

 

 

Pendahuluan

 

Tuan Yang Di Pertua

 

1.      Sementara beberapa pengumuman dibuat dalam Bajet 2013, Menteri Kewangan gagal untuk mengemukakan dasar - dasar fiskal yang dapat memperbetulkan struktur ekonomi negara. Kebimbangan ini bertambah parah apabila beban hutang negara yang semakin membengkak dan tidak mempunyai multiplier effect ( kesan berganda ) untuk merancakkan ekonomi negara.

 

2.      Masyarakat perniagaan dan rakyat ingin mengetahui apakah langkah - langkah fiskal yang diambil untuk mengurangkan hutang negara dengan lebih efektif termasuk usaha menjamin pertumbuhan ekonomi yang lestari dan menjamin pengagihan kek ekonomi secara adil dan saksama.

 

3.      Dalam usaha mengawasi ekonomi yang malap, kita tidak boleh berdasarkan angka, unjuran dan statistik tetapi isu tatakelola yang baik, akauntabiliti dan ketelusan merupakan paksi penting dalam belanjawan negara. Ini juga gagal disentuh oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2013.

 

 

Perencanaan Ekonomi Berdasar Latar Ekonomi Global

 

4.      Bajet 2013 gagal mengungkap unjuran serta situasi ekonomi global. Kegagalan ini membuatkan unjuran tersasar kerana ekonomi Malaysia adalah ekonomi terbuka yang mempunyai kesan langsung terhadap ekonomi global.

 

5.      Kegagalan untuk mengungkap situasi ekonomi global ini pastinya akan menjejaskan perencanaan ekonomi domestik kerana turut sama berkait dengan keupayaan ekonomi domestik untuk menjana pertumbuhan yang lestari demi kepentingan masa depan.

6.      Apakah Menteri Kewangan bimbang dengan berkongsi unjuran ekonomi dunia maka akan terdedah bahawa ekonomi Malaysia akan tewas dalam persaingan ekonomi dengan negara maju.

 

7.      Global Competitiveness Report 2012 - 2013 menunjukkan kegagalan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Laporan yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) yang bersidang di Geneva ini mengukuhkan lagi hujah bahawa Kerajaan gagal menjana daya saing ekonomi negara melalui pelaburan - pelaburan dalam sektor strategik demi masa depan.

 

8.      Malahan menurut Laporan Market Watch, Filipina dan Indonesia dilihat muncul sebagai harimau ekonomi Asia Tenggara yang baru. Hutang Kerajaan Persekutuan Indonesia sekitar 25% dari KDNK dan Filipina pula sekitar 41%. Manakala hutang negara sudah hampir mencecah 55 % daripada nilai KDNK.

 

9.      Menteri Kewangan menyentuh isu KDNK dengan menyatakan pertumbuhan ekonomi negara berkembangan dengan lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus dan buat julung kalinya melepasi paras RM 1 trilion. Namun, Kerajaan gagal untuk menerangkan bahawa kedudukan KDNK sesebuah negara bergantung kuat kepada prestasi ekonomi negeri yang menyumbang ke arah ekonomi negara yang lebih baik.

 

10.    Fakta ini yang tidak boleh disanggah adalah Negeri Selangor merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 23 % daripada KDNK negara hasil daripada amalan tatakelola pentadbiran yang baik dan telus.

 

11.    Malangnya, Kerajaan Negeri Selangor hanya menerima sejumlah RM 364 juta untuk tempoh daripada Januari 2012 hingga September 2012.

 

12.    Belanjawan Negeri Selangor hanya berjumlah RM 1.5 bilion. Jika benar Kerajaan Pusat menyerahkan sejumlah RM 67 bilion, di mana selebihnya disebabkan audit negara yang dijalankan ke atas Belanjawan Negeri hanya bernilai RM 1.5 bilion. Persoalannya, siapa yang menjalankan audit ke atas RM 67 bilion tersebut ?

Laporan Ketua Audit Negara mampu menjawab persoalan ini. Malangnya, pada tahun ini sekali lagi Laporan Ketua Audit Negara disorokkan.

 

13.    Apa dosa Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Selangor ? Mengapa Kerajaan Pusat mengkhianati semangat federalisme dengan menyembunyikan maklumat terperinci projek - projek dari pengetahuan Kerajaan Negeri ? Kalau benar jumlah yang sebegitu besar disalurkan demi kepentingan rakyat Negeri Selangor, mengapa tidak Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyatnya membuat keputusan bagaimana dana tersebut  dapat dimanfaatkan.

 

14.    Isu perumahan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri hanya menyediakan tanah untuk tujuan pembangunan.

 

15.    Pasca 2008, tanggungjawab ini telah dikhianati oleh Kerajaan Persekutuan atas hukuman yang diberikan kepada negeri - negeri di bawah Pakatan Rakyat dengan tidak menyediakan peruntukan yang jelas bagi tujuan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat. Berikutan hal tersebut, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa menyediakan sejumlah peruntukan bagi memenuhi pasaran dan keperluan semasa. Walau bagaimanapun, jumlah ini masih tidak mencukupi memandangkan permintaan yang tinggi untuk rumah kos rendah dan mampu milik.

 

16.    Untuk tujuan pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik bagi tahun 2012 - 2021, Kerajaan Negeri menganggarkan peruntukan yang besar demi menanggung subsidi sejumlah RM 1.1 bilion. Jumlah subsidi yang begitu besar ini adalah untuk membina 12,242 unit rumah. Hal ini adalah disebabkan kos pembinaan yang tinggi dan harga jualan yang rendah bagi memastikan harga jualan memenuhi kemampuan kumpulan sasar.

 

17.    Misalnya bagi pembinaan 1422 unit rumah mampu milik di Bukit Botak, Kerajaan Negeri terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM 80 juta untuk memastikan rumah tersebut dijual pada harga RM 99,000. Begitu juga dengan projek pembinaan 124 unit pangsapuri di Seksyen 3 Bangi, jumlah subsidi yang ditanggung Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM 12 juta untuk menanggung kos pembinaan yang bernilai RM 204,000 seunit. Ini adalah untuk memastikan pangsapuri tersebut dapat dijual pada harga RM 60,000 hingga RM 99,000.

 

18.    Komitmen Pakatan Rakyat untuk merealisasikan harapan rakyat bagi memiliki sebuah rumah mampu milik ini dibuktikan dengan peruntukan sejumlah RM 5 bilion seperti yang disarankan oleh Belanjawan Pakatan Rakyat 2013. Peruntukan ini adalah untuk mencapai sasaran pembinaan 100,000 unit rumah mampu milik yang akan diamanahkan kepada Lembaga Perumahan Negara. Berbanding peruntukan yang diumumkan dalam Bajet 2013 yang hanya berjumlah RM 1.9 bilion yang diamanahkan kepada Perumahan Rakyat 1Malaysia Corporation (PR1MA) sebuah badan swasta di mana keuntungan adalah matlamat utama mereka.

 

 

1 Malaysia Development Berhad (1MDB)

 

Tuan Yang Di Pertua

 

19.    1MDB diberikan peranan untuk menguruskan aset komersil milik Kerajaan dan menjalankan pelaburan strategik.

 

20.    Keputusan 1MDB untuk membeli penjana kuasa bebas (IPP) milik Mastika Lagenda Sdn Bhd yang memiliki 75 % saham Genting Sanyen dengan harga RM2.55 bilion; harga premium dengan nilai 6 kali ganda lebih tinggi daripada nisbah harga - buku purata saham penjana kuasa lain di rantau ini. Urusniaga ini telah menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijawab Kerajaan.

 

21.    1MDB juga membeli Tanjung Energy Holdings Sdn Bhd dengan kos pembelian saham bernilai RM8.5 bilion sedang kos bagi IPP tesebut adalah bernilai RM 8.9 bilion.

 

22.    1MDB sebagai sebuah syarikat pelaburan sudah tentu mahu melihat pulangan yang baik untuk Kerajaan. Persoalannya, mengapa 1MDB melabur dalam syarikat yang kontraknya sudah hampir tamat dengan nilai kontrak yang tinggi dan di luar amalan tatakelola yang baik.

 

23.    1MDB telah mengambil alih syarikat Mastika Lagenda dan Tanjung. Mastika Lagenda memiliki loji janakuasa generasi pertama yang mempunyai kapasiti 700 MW manakala Tanjung Energy memiliki loji janakuasa generasi pertama yang mengeluarkan 440 MW dan juga loji janakuasa generasi kedua yang mengeluarkan 700 MW.

 

24.    Keberkesanan loji janakuasa generasi pertama tidaklah sebaik generasi kedua. Turbin gas di kedua - dua IPP ini telah beroperasi lebih kurang 15 tahun. Persoalannya mengapa 1MDB melabur dalam IPP yang sudah kurang keberkesanannya dan sekadar mana kemampuan turbin gas yang sudah beroperasi lebih 15 tahun ?

 

25.    Difahamkan 1MDB akan dilanjutkan tempoh operasi selama 10 tahun lagi. Maka nilai yang tinggi atau nilai premium yang dibayar oleh 1MDB kepada Mastika Lagenda dan Tanjung Energy itu berdasarkan nilai semasa ke atas kontrak yang hampir luput atau mengambil kira nilai kontrak baru yang disambung selama 10 tahun lagi ?

 

26.    Bagaimana 1MDB boleh membayar premium kepada Mastika Lagenda dan Tanjung Energy dengan andaian untuk mendapat lanjutan kontrak selama 10 tahun lagi sedangkan Kerajaan belum lagi membuat keputusan penyambungan.

 

27.    Sekiranya Kerajaan berhasrat untuk memberi layanan istimewa kepada 1MDB dengan menyambung kontrak selama 10 tahun lagi, ianya bermakna kos tambahan perlu dibayar oleh TNB. Apakah TNB sudah diberikan peluang untuk berbincang berhubung perkara ini ?

 

28.    1MDB mendapat perlindungan daripada Kerajaan untuk memaksa TNB membayar kos yang tinggi hasil penyambungan kontrak selama 10 tahun lagi. Ini akan membebankan pengguna kerana kos tersebut pasti akan dipindahkan kepada pengguna. Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa TNB mempunyai keupayaan untuk menerima lanjutan kontrak tanpa memberi kesan kepada tariff.

 

29.    Persoalan - persoalan ini akan mengundang persoalan yang lebih besar iaitu sama ada pengguna akan terus dibebankan dengan kadar tariff baru yang lebih tinggi atau yang akan diteliti semula oleh Kerajaan.

 

30.    Sekiranya Kerajaan mempunyai hasrat untuk mengkaji semula kadar tariff atau Purchasing Power Agreement (PPA), ini bermakna ianya adalah untuk memenuhi desakan rakyat yang terkesan dengan kadar tariff yang tinggi dan mendesak supaya supaya kadar ini diturunkan. Sekiranya Kerajaan berhasrat untuk mengkaji dan berunding, "enter into negotiation" bermakna mengurangkan harga daripada harga sekarang, maka mengapa 1MDB membayar premium dan nilai yang terlalu tinggi kepada Mastika Lagenda dan Tanjung Energy.

 

31.    Kerajaan juga harus meyakinkan pasaran bahawa tanpa penyambungan kontrak akan menyebabkan kekurangan bekalan. Kerajaan perlu mempamerkan hujah - hujah yang dapat menyokong alasan tersebut. Saya ingin mendapatkan penjelasan tentang unjuran kepada permintaan dan pembekalan. Siapakah sebenarnya badan yang bertanggungjawab untuk menyediakan unjuran ini sama ada Suruhanjaya Tenaga atau Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi atau TNB ?

 

32.    Menurut pandangan saya, sekiranya IPP masih ingin meneruskan operasi, Kerajaan dan TNB boleh membuat perjanjian 'willing buyer and willing seller' tanpa perlu memberikan penyambungan kontrak. Ini akan memberi ruang persaingan harga untuk membenarkan desakan persaingan untuk meneruskan operasi. Kerajaan sewajarnya menamatkan kontrak tersebut dan tidak menyambung kontrak - kontrak yang bernilai tinggi.

 

33.    Saya ingin bertanya, apakah langkah - langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengkaji semula kadar tariff / PPA ? Adakah Kerajaan bercadang untuk mengadakan semakan tariff ini berdasarkan 'kos tetap' dan 'kos berubah' supaya ianya dapat diselaras dan diimbangkan dengan konsep 'semakin banyak penggunaan, maka semakin tinggi kadar tariff'. Ini bertujuan untuk mengelakkan pembaziran kerana tenaga merupakan sumber boleh susut yang perlu kita jaga.

 

34.    Sebelum saya beralih kepada tema lain, saya ingin membangkitkan satu lagi persoalan berkenaan IPP milik YTL. ada dua bentuk terma kontrak yang dikenakan ke atas IPP. Pertama adalah berdasarkan kapasiti dan keduanya berdasarkan 'take and pay contract'. Mengapa daripada 5 IPP iaitu YTL, Malakoff, PD Power, Mastika Lagenda dan Tanjung Energy, hanya YTL yang diberikan pilihan istimewa untuk "take and pay contract' ? Ini bermakna 75 % daripada tenaga yang dikeluarkan oleh YTL wajib dibeli atau ditanggung oleh TNB. Apakah alasan Kerajaan berhubung perkara ini dan apakah Kerajaan akan menyemak semula perkara ini ?

 

 

Merealisasikan Harapan Rakyat

 

 

Tuan Yang Di Pertua

 

35.    Keputusan Kerajaan untuk memberikan pengecualian 10 % cukai pendapatan kepada syarikat - syarikat berstatus Tun Razak Exchange (TRX), pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee serta pengecualian cukai bagi pemaju hartanah adalah suatu keputusan yang tidak rasional tanpa mengambil kira kepentingan rakyat. Keputusan ini akan menyebabkan Kerajaan hilang kira - kira RM 1 bilion pendapatan negara.

 

36.    Insentif yang diberikan ini juga hanya bersifat menjaga kepentingan sebilangan kecil golongan maha kaya. Malah, ia juga akan memberi kesan langsung kepada pembangunan hartanah di Kuala Lumpur.

 

 

Tuan Yang Di Pertua

 

37.    Laporan Global Gender Gaps Index 2011 yang dikemukakan oleh World Economic Forum menunjukkan negara Malaysia berada ditangga ke 97 daripada 135 negara. Sebagai Menteri Wanita, Menteri Kewangan gagal memberdayakan wanita dalam negara.

 

38.    Laporan yang dibuat ini berdasarkan 3 kriteria asas iaitu penglibatan dan peluang wanita dalam soal ekonomi, kesihatan serta partisipasi dalam urusan pembuatan keputusan. Berdasarkan kriteria representasi wanita dalam Kerajaan pula, Malaysia berada di tangga ke 115 dibelakang Sri Lanka (7), Bangladesh (11), Filipina (16), India (19), Thailand (60) dan Indonesia (90).

 

39.    Ini membuktikan wanita perlu diberikan pengiktirafan sebagai agen perubahan dan pemangkin ekonomi negara. Tahniah kepada Wanita Pakatan Rakyat yang mencetus suatu gagasan baru dalam usaha mengangkat martabat wanita melalui program yang terancang dalam Agenda Wanita Malaysia. Saranan yang disambut baik antaranya Caruman Wanita Nasional. Untuk melaksanakan agenda pemberdayaan wanita melalui jaringan keselamatan sosial ini, Pakatan Rakyat memperuntukkan sejumlah RM 3 bilion. Peruntukan jelas membuktikan bahawa Pakatan Rakyat benar - benar komited untuk memberdaya golongan wanita berbanding Kerajaan yang hanya memperuntukkan sejumlah RM 50 juta dalam Bajet 2013.

 

 

Tuan Yang Di Pertua

 

40.    Pakatan Rakyat mengiktiraf Hari Malaysia dan merintis penghayatan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi kesemakmuran kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Justeru, Pakatan Rakyat mengulangi tekad untuk menjunjung Perjanjian Malaysia melalui Deklarasi Kuching. Iltizam ini diperkukuhkan lagi di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menjanjikan bayaran 20% royalti minyak, penubuhan syarikat minyak milik Kerajaan Negeri dan membina Lebuhraya Pan - Borneo dari Kuching ke Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah.

 

 

Tuan Yang Di Pertua

 

41.    Belanjawan yang baik seharusnya menekankan perancangan ekonomi yang holistik dengan memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berkekalan dalam jangka masa panjang serta menjamin peningkatan pendapatan rakyat. Apatah lagi dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil, usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan jurang kaya - miskin rakyat perlu menjadi keutamaan kepada Kerajaan.

 

42.    Usaha untuk membasmi kemiskinan tegar sememangnya menjadi tekad Pakatan Rakyat demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Oleh kerana itu, dalam Belanjawan Pakatan Rakyat baru - baru ini dinyatakan komitmen untuk meningkatkan jumlah Pembayaran Kebajikan daripada RM 300 kepada RM 550 sebulan. Ikhtiyar ini akan membebaskan lebih 84,000 keluarga daripada belenggu kemiskinan tegar.

 

 

Penutup

 

Tuan Yang Di Pertua

 

43.    Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang bertemakan Ekonomi Rakyat Negara Berkat adalah tekad politik untuk mengembalikan kebijakan ekonomi bagi memacu pertumbuhan yang lestari dan pengagihan kekayaan yang saksama.

 

44.    Insha Allah, kita yakin dengan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13, agenda reformasi ekonomi Pakatan Rakyat akan mengembalikan Malaysia sebagai kuasa ekonomi yang mampu bersaing di peringkat global dengan tertubuhnya Kerajaan Baru Pakatan Rakyat.


--
Pejabat YB Mohamed Azmin Bin Ali

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ahli Parlimen Gombak
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Nuffnang