Khamis, 4 Oktober 2012

Aminuddin Harun

Aminuddin Harun


Posted: 03 Oct 2012 06:21 PM PDT


Bajet BN vs Belanjawan Pakatan: Bermulanya Era

Baru 2013?

Pendahuluan
Bajet 2013 yang dinanti-nantikan telahpun dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September 2012, dua hari selepas Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat (PAKATAN). Temanya "Memakmur Negra, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" berorientasikan pemberian sumbangan wang secara one-off seumpama "ole-ole" menjelang pilihan raya adalah berbeza dengan belanjawan PAKATAN bertema "Ekonomi Rakyat, Negara Berkat" yang bersifat mereformasikan ekonomi negara supaya mengembalikan asas kebijakan ekonomi kepada rakyat, memacu pertumbuhan dan pengagihan kekayaan yg saksama.
Dalam pembentangan Bajet Barisan Nasional (BN), Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka mencapai pertumbuhan dalam lingkungan antara 4.5 hingga 5.5 peratus manakala PAKATAN menjangkakan perkembangan 5.2 peratus pada tahun 2013. Dari segi defisit pula, PAKATAN lebih berdedikasi untuk menurunkan desifit ke kadar 3.5 peratus berbanding dengan BN yang mensasarkan 4 peratus. PAKATAN bertekad menghapuskan gejala rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan di samping menangani perkara seperti monopoli, kartel dan penyusun semula peranan kerajaan dalam perniagaan, lantas menyakinkan pencapaian penurunan defisit yang lebih rendah daripada yang dijangka oleh BN. Sebaliknya, Kerajaan BN terus mengambil pendekatan yang sama dengan hanya memberi tumpuan kepada jenis pemberian tanpa mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan keupayaan domestik, lebih-lebih lagi mengabaikan pembaharuan dasar bagi menangani "penyakit kronik" yang kini dihadapi oleh Kerajaan BN – kepincangan struktur ekonomi, pemborosan dan ketirisan terutamanya dalam pentadbiran kerajaan.
Angkat pembaharuan ekonomi, tolak perbelanjaan ghairah
Belanjawan PAKATAN yang menjurus ke arah pembaharuan ekonomi, walau bagaimanapun, tidak meraihkan sokongan seperti yang diingini. Terdapatnya pihak yang tidak bersikap optimistik terhadap cadangan sebegini dan berpendapat bahawa pelaksanaan cadangan dasar PAKATAN seperti menurunkan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais sebanyak 20 peratus, ataupun menawarkan pengajian tinggi percuma dengan memansuhkan sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), akan "memufliskan negara".
Tetapi sejauh mana kesahihan hujah seumpama apabila Menteri Kewangan Najib "melarikan diri daripada politik" tanpa enggan menerima undangan perdebatan daripada bekas Menteri Kewangan Anwar sebenarnya menimbulkan kesangsian kita terhadap dakwaan "memufliskan negara".
Pada hakikatnya, sekian 55 tahun berada di bawah pemerintahan Kerajaan BN, Malaysia tidak pernah mengalami perubahan politik yang melibatkan pertukaran parti pemerintah pada peringkat persekutuan kerajaan. Agenda pembaharuan sedikit sebanyak mengundang kerisauan, bukannya semata-mata keraguan terhadap kecekapan dan kewibawaan PAKATAN dalam merealisasikan cita-cita tinggi, tetapi kebimbangan kehilangan kuasa dan kekayaan, serta kedudukan yang disanjung tinggi selama ini tergugat oleh arus perubahan ini. Dalam suasana sebegini, adalah mudah bagi sebuah rejim pemerintah yang tidak pernah menduduki kerusi pembangkang melancarkan serangan tanpa hujah kukuh, lebih-lebih lagi apabila media cetak dan penyiaran adalah di bawah pemilikan atau kawalan ketatnya.
Jumlah anggaran perbelanjaan Kerajaan BN bagi tahun 2013 mencapai sejumlah RM251.6 bilion, di mana perbelanjaan mengurus adalah setinggi RM201.9 bilion manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM49.7 bilion; sekali lagi mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi, belum disebut lagi bahawa bajet terkini ini merupakan bajet defisit buat 16 tahun berturut-turut di bawah pimpinan Kerajaan BN! Tambahan pula, jumlah perbelanjaan kerajaan persekutuan bagi tahun 2012 dijangka mencecah RM252.4 bilion (2011: RM229 bilion), iaitu melangkaui jumlah anggaran asal RM230.8 bilion yang diluluskan di Belanjawan 2012 sebanyak 9.4 peratus.[1] Jelas sekali, walaupun negara kita berhadapan dengan defisit yang kian meruncing, Perdana Menteri yang turut merangkap sebagai Menteri Kewangan tidak menunjukkan usaha untuk menjimatkan kos dan berbelanja dengan lebih berhemah. Keghairahan berbelanja sebeginilah merupakan punca utama yang bakal mendesak negara kita menghala ke arah kebuntuan.
Secara perbandingan, statistik Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) (sila rujuk Jadual 1 dan Jadual 2) menunjukkan bahawa hasil kerajaan persekutuan bagi tahun 2013 hanya diunjurkan meningkat sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun 2012. Namun begitu, jumlah peruntukan perbelanjaan bagi kedua-dua perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tahun 2013 telah meningkat sebanyak 8.2 peratus berbanding tahun 2012.
Apabila diambil kira pelbagai faktor termasuk hutang kerajaan persekutuan dan "hutang tersembunyi" yang tidak dimaklumkan oleh Najib dalam pembentangan Bajetnya, sukar bagi kita mempercayai bahawa sifat bajet Najib yang membelanja dengan kadar memecut berbanding kadar peningkatan hasil kerajaan dapat dipanjangkan kesinambungannya jika sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU-13) dengan penetapan kadar cukai yang membebankan rakyat terbanyak dalam tempoh lima tahun sebermulanya pelaksanaannya nanti.
Jadual 1: Hasil Kerajaan Persekutuan 2012-13
RM juta2012 Anggaran Disemak2013Anggaran Belanjawan
Hasil Cukai152,493159,153
Hasil Bukan Cukai53,38748,320
Terimaan Bukan Hasil778584
Hasil daripada Wilayah Persekutuan588593
Jumlah Hasil207,246208.650
Perubahan Tahunan0.7%
Jadual 2: Peruntukan Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan 2012-13
RM bilion20122013
Mengurus182202
Pembangunan5150
Jumlah233252
Perubahan Tahunan8.2%
Secara perbandingan, PAKATAN membicarakan secara mendalam tentang soal kepincangan struktur ekonomi, contohnya dari segi jurang pendapatan keluarga yang kian melebar, peningkatan gaji yang tidak selaras dengan peningkatan harga, monopoli dan kartel syarikat kroni yang bersekongkol dengan pemimpin UMNO dan lain-lain lagi, serta sedia menawarkan langkah penambahbaikan struktur ekonomi negara, kalau bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Pertama sekali, PAKATAN menekankan kepentingan meningkatkan pendapatan bolehguna (disposable income) rakyat dan seluruh perancangan ekonomi negara harus berdasarkan kayu ukur ini bagi menjamin imbangan di antara pertumbuhan yang mapan dan pengagihan kekayaan yang adil kepada semua rakyar, bukannya semata-mata mengejar sasaran ekuiti dan pertumbuhan saiz ekonomi. Matlamat ini dapat dicapai melalui usaha dua hala, iaitu mengurang kos sara hidup, khususnya dengan menangani permainan monopoli, menyediakan kemudahan infrastruktur di samping meningkatkan pendapatan dengan mengadakan caruman, skim tertentu ataupun menyalurkan bantuan kewangan.
Apa yang harus diberi penekanan di sini ialah pengurangan kos hidup yang dicadangkan oleh PAKATAN merupakan antaranya strategi penstrukturan ekonomi yang mengadakan kawalan ketat terhadap monopoli, oligopoli, dan rent-seekersbagi membatas pembolotan hasil ekonomi oleh syarikat-syarikat besar berkait rapat dengan parti pemerintah, menggalakkan persaingan pasaran secara sihat dan akhirnya memanfaatkan golongan masyarakat. Antara cadangan-cadangan termasuk:
-          Menggubal undang-undang "antitrust"  yang merangkumi skop yang lebih luas daripada Akta Persaingan 2010 yang sedia ada;
-          Membubarkan monopoli BERNAS, kartel syarikat telekomunikasi, kartel media, kartel syarikat penerbangan;
-          Meliberalisasi monopoli Astro;
-          Lesen teksi diberi secara langsung kepada para pemadu teksi; dan
-          Menggubal Suruhanjaya Bebas Kontrak Awam bagi mengkali konsesi dan perjanjian awam yang bertentangan dengan kepentingan awam.
Selain itu, PAKATAN juga memberi tumpuan terhadap mereformasikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memandangkan penglibatannya yang begitu giat dalam hampir semua sektor ekonomi. Tatkala sumbangan GLC kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan, namun pada masa yang sama, penyertaannya hampir dalam semua sektor yang tidak terkawal berkemungkinan menghalang pelaburan swasta yang tidak mahu atau tidak mampu (crowding out effect) bersaing dengan GLC, mahupun memberi impak buruk kepada percambahan usahawan baru yang tawar hati untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai talian terus kepada pimpinan tertinggi negara. Apa yang lebih mendukacitakan dan mengecewakan adalah apabila berlakunya kes penyelewengan, ketidakcekapan dalam tadbir urus, ataupun kegagalan dalam pelaburan sehingga menyebabakan kerugian wang pembayar cukai yang bukannya berjumlah kecil. Justeru, adanya kepentingan dan keperluan bagi mengurangkan pergantungan dan keutamaan GLC dalam transaksi perolehan kerajaan pusat dan mengurangkan kesesakan monopoli GLC bagi menarik pelaburan luar. Belanjawan alternatif PAKATAN terutamanya menitikberatkan permasalahan ini.
Mengambil kepedulian rakyat terbanyak
Pembentangan bajet ini dikatakan bajet terakhir sebelum pilihan raya umum dan justeru memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan keputusan dalam pilihan raya yang bakal menjelang. Sesungguhnya, bajet ini banyak memperlihatkan sumbangan wang yang dihujani kepada rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda yang merupakan pengundi pertama kali, di mana bilangannya mencecah setinggi 2.9 juta, membentuk satu perlima daripada 13.1 juta pengundi atau 22 peratus daripada pengundi keseluruhan.[2] Tidak dapat dinafikan, kecenderungan pilihan kelompok pengundi baharu ini dalam pilihan raya umum adalah amat kritikal sama ada mengekalkan kuasa pemerintahan kerajaan BN atau mengubah landskap politik negera dengan memberi peluang kepada PAKATAN yang kini kian bertambah kekuatan dan popularitinya bagi menerajui Putrajaya.
Kebimbangan kerajaan BN  di bawah pimpinan Najib begitu nyata dibayangkan memperlihatkan sebanyak RM51.7 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan untuk golongan muda.[3]
Penutup
Akhir kata, kini masanya kita merumuskan sifat bajet Najib semenjak beliau dilantik oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Kewangan pada 17 September 2008. Secara kebetulan atau tidak, masalah struktur yang dibangkitkan dalam belanjawan PAKATAN merupakan kelemahan utama bajet Najib selama ini. Monopoli, empayar, pemborosan, ketirisan, subsidi korporat besar mendahului bantuan rakyat terbanyak, projek mega dan seumpamanya, telah mencorakkan bajet Najib – seorang anak bangsawan yang tidak mengerti perbezaan kepentingan golongan 20 peratus teratas dengan keperitan golongan 20 peratus terbawah serta bebanan rakyat terbanyak.
Pilihlah anda. Kita mahukan bajet one-off yang menyusahkan kita dan anak kita kemudian, atau, kita mahukan belanjawan yang menangani punca masalah dan membawa kesejahteraan kepada masa depan kita?
Apakah akan bermulanya era baharu selepas PRU-13?

Posted: 03 Oct 2012 05:53 PM PDT


Pakatan akan anjurkan perhimpunan pada 3 November tuntut pilihan raya bersih


October 03, 2012
KUALA LUMPUR, 3 Okt — Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 3 November untuk menuntut pilihan raya yang bersih, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) hari ini.
Beliau berkata keputusan ini dibuat kerana mereka mendapati "bahawa lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hampir tidak diendahkan oleh pemerintah (Barisan Nasional)".
Bersih 2.0 menuntut daftar pemilih dibersihkan, reformasi sistem undi pos, gunakan dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses kepada media yang adil, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah dan politik kotor.
Gerakan reformasi pilihan raya itu juga telah berkata bahawa ia akan mengadakan konsert pada 13 Oktober untuk mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa lapan tuntutan masih belum ditunaikan.
Acara itu akan diadakan bermula dari pukul 6 petang di Stadium Kelana Jaya, juga akan mencari dana bagi membantu Bersih 2.0 untuk membiayai kempen pra-pilihan raya seluruh negara untuk mengekalkan momentum dari perhimpunan 28 April lalu.
Bersih 2.0 juga pada bulan Ogos lalu melancarkan kempen mengumpul dana RM1 untuk membantu mengumpulkan RM250,000 bagi perbelanjaan perubatan dan undang-undang akibat daripada perhimpunan 28 April lalu.
Gabungan lebih 82 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan sejak tahun 2007 itu telah mengadakan perhimpunan ketiga untuk pilihanraya yang bebas dan adil di ibu kota pada 28 April lalu, yang menyaksikan penyertaan berpuluh-puluh ribu orang.

Posted: 03 Oct 2012 05:43 PM PDT


Menanti BN duduk di blok pembangkang — Mohd Rashidi Hassan


October 04, 2012
4 OKT — Pilihan Raya Umum sudah tidak lama lagi. Sama ada dibuat bulan ini atau sehingga Mac 2013, pasti kita akan tempuh juga.
Bagi Pakatan Rakyat, persediaan secukupnya sudah dipasak sejak beberapa bulan lepas, dengan satu niat dan tekad, iaitu untuk menawan Putrajaya, sekali gus menumbangkan Barisan Nasional.
Oleh sebab itu, berbanding dengan 12 kali PRU yang lepas-lepas, BN kali ini, berada dalam situasi yang amat gelabah.
Mereka gelabah kerana gema suara untuk menumbangkan BN, berkumandang di seluruh pelosok negara, sehingga BN berasa amat was-was dan ragu.
Keraguan timbul kerana tiada lagi kawasan yang benar-benar selamat buat BN. Semua negeri yang menjadi tapak kubu kuat mereka, semakin hari semakin goyah dilanda badai rakyat.
Di Sarawak "wind of change" berkumandang pada Pilihan Raya Umum negeri, sehingga menyebabkan hampir 15 kerusi Parlimen dijangka dirampas Pakatan, berikutan kemenangan pada kerusi Dewan Undangan Negeri.
Manakala di Sabah, seluruh rakyatnya, sudah mempopularkan slogan "ini kali lah", iaitu slogan keramat yang mengisyaratkan kali ini, rakyat benar-benar bersedia untuk menolak BN.
Sehingga ia mencetuskan fenomena penghijrahan pemimpin Umno-BN ke Pakatan Rakyat. Mereka yang keluar Umno atau BN, bukan yang sudah masuk kategori bersara, tetapi mereka yang masih memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri dan sebagainya.
Johor pula menerima kesan berganda, hasil daripada gerakan politik yang rancak di Semenanjung. Daripada negeri kelahiran Umno, negeri kubu Umno, ia bakal bertukar menjadi pro pembangkang.
Khabarnya pihak-pihak yang membuat perisikan dan kajian politik, amat terkejut apabila dapatan info yang mereka selidiki, menunjukkan sekurang-kurangnya sembilan kerusi Parlimen, semakin menjadi milik Pakatan.
Begitu juga dengan kajian-kajian dari Merdeka Center atau yang terbaru dari Universiti Malaya, walaupun ada "dented" di beberapa buah negeri Pakatan, yang tidak dapat kita nafikan ianya wujud, namun secara keseluruhannya kerajaan negeri Pakatan dijangka kekal.
Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa, gerakan politik Pakatan Rakyat, yang didukung majoriti rakyat, amat berkesan dan "trend" kecenderungan rakyat menolak BN semakin ketara.
Dari sudut purata undi, pada PRU ke 12 2008 yang lalu, walaupun hanya menang 82 kerusi dari 222 kerusi Parlimen,  beza undi popular Pakatan dengan BN hanyalah di sekitar 3 peratus sahaja.
Sokongan lebih 48 peratus rakyat Malaysia kepada parti pembangkang merupakan suatu "force" yang besar. Ia boleh jadi lebih besar dari ombak "tsunami" yang bila-bila masa bakal meranapkan keegoan BN.
"Force" ini adalah kuasa rakyat. Iaitu kuasa rakyat yang komited, menggerakkan Perhimpunan Bersih, Himpunan Hijau, Himpunan Oren dan Gelombang Merah.
Kesemua himpunan dan gelombang ini, didukung kuasa rakyat. Iaitu rakyat yang terdiri dari kalangan berbilang kaum dan agama, dengan satu tekad iaitu untuk membuka jalan yang dinamakan "Road to Putrajaya" atau RTPJ.
RTPJ diasaskan oleh kuasa rakyat yang mendukung Pakatan Rakyat, sebagai suatu pakatan alternatif untuk menggantikan BN sebagai kerajaan pada PRU ke-13 nanti.
Soalnya apakah impian menuju ke Putrajaya itu suatu yang realistik? Soalnya, bolehkah Pakatan Rakyat memerintah, jika dibandingkan pengalaman BN selama 55 tahun menjadi kerajaan?
Penulis teringat suatu peristiwa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Kedah beberapa bulan sebelum PRU 2008. Di mana berlaku perdebatan di antara pembangkang ketika itu yang diketuai Ustaz Azizan Abdul Razak dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
BN Kedah ketika itu agak sinis dengan PAS dan memperlekehkan ucapan Ketua Pembangkang, Ustaz Azizan. Ketika itu, mereka mempunyai majoriti yang besar dalam DUN Kedah.
Dalam reaksi spontan terhadap sikap pemimpin Umno-BN, Ustaz Azizan berkata, "Hangpa jangan perlekeh kami, mana tahu PRU depan, kami duk sebelah sana, hangpa mai tang ni."
Maksudnya, Ustaz Azizan ketika itu mengatakan, tidak mustahil Umno-BN akan duduk di blok pembangkang dan PAS duduk di blok kerajaan.
Reaksi spontan Ustaz Azizan dianggap seloroh yang melucukan. Pemimpin Umno BN ketawa terbahak-bahak mendengar ungkapan Ustaz Azizan. Pegawai kerajaan juga ketawa sinis.
Tetapi hanya beberapa bulan selepas itu, kata-kata seloroh Ustaz Azizan menjadi realiti apabila PAS benar-benar menang dalam PRU dan menjadi kerajaan.
Hilai tawa pemimpin Umno yang mempersendakan PAS sebelum ini, menjadi tangisan yang tidak berlagu.
Bukan sahaja di Kedah. Malah kebongkakan mereka di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, turut dileburkan dengan kuasa rakyat.
Lebih hodoh buat Umno-BN Selangor, yang MBnya ketika itu, Datuk Seri Mohd Khir Toyo menyasarkan "sifar pembangkang", turut terlungkup. Hasilnya masa depan politik Khir terus sifar dan terkubur dalam Umno.
Oleh sebab itu, dalam konteks Persekutuan, Umno-BN tidak wajar mempunyai sifat bongkak. Mereka hanya mengharap ihsan daripada rakyat untuk kekal berkuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan barisan Kabinetnya, mulai sekarang sudah patut bersedia untuk berpindah dari Putrajaya.
Tempat duduk yang bakal mereka duduki ialah kerusi-kerusi di blok pembangkang di sebelah kiri Speaker dan mereka boleh duduk di pejabat pembangkang di Tingkat 14 Parlimen Malaysia. — harakahdaily.net
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Posted: 03 Oct 2012 05:23 PM PDT



Posted: 03 Oct 2012 04:48 PM PDT


Posted: 03 Oct 2012 04:46 PM PDT


Tiada ulasan:

Nuffnang