Khalid Samad |
Video: Bajet 2013 Mengakhiri Era Politik Lama Negara Posted: 11 Oct 2012 06:00 AM PDT Buku pertama siri kajian dan penulisan badan pemikir dan penyelidikan Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah diterbitkan. Program peluncuran dan bedah buku "Parlimen di Parlimen: Dasar dan Cabaran Malaysia" oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Dato' Seri Anwar Ibrahim, telah diadakan pada 9 Oktober 2012 di Bangunan Yayasan Selangor. Buku ini disunting oleh Pengarah Eksekutif KPRU saudara Ooi Heng, merupakan anjuran bersama Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) dan KPRU, dengan kerjasama Akademi Pak Sako dan Alumni Sekolah Politik. Majlis peluncuran telah disusuli dengan Forum "Diskusi Buku dan Belanjawan: Bajet 2013 Mengakhiri Era Politik Lama Negara". Video ihsan MediaRakyat -Pejabat YB Khalid Samad- |
Posted: 11 Oct 2012 01:17 AM PDT Semasa sidang akhbar di Parlimen, saya telah ditanya wartawan berhubung kenyataan Ust. Nasharuddin Mat Isa mengenai sebuah 'majlis sambutan kemenangan' DAP di Sarawak yang menurutnya mendoakan Malaysia menjadi sebuah Negara Kristian. Saya menjawab secara ringkas persoalan tersebut dengan mendedahkan 6 faktor utama mengapa kenyataan tersebut diragui kesahihannya. Ianya adalah seperti berikut: DAP PARTI SEKULAR Hakikatnya DAP adalah sebuah parti Sekular yang tidak menerima mana-mana agama sebagai dasar perjuangannya. Mereka berbeza dengan PAS. Dalam perlembagaan DAP tidak ada disebut "dasar perjuangan DAP adalah Kristian" seperti disebut dalam perlembagaan PAS "dasar perjuangan PAS adalah Islam". Dasar sekularnya juga merupakan penyebab Karpal begitu sensitif terhadap persoalan undang-undang keagamaan, bukan kerana ke-Kristianannya. Semenjak bila Karpal jadi Kristian? Oleh itu adalah amat sangat pelik sekiranya adanya 'baca doa' dalam majlis DAP. DAP PARTI BERBILANG KAUM DAN AGAMA Semua sedar pimpinan DAP adalah berbilang kaum dan agama. LKS bukan Kristian sepertimana juga Karpal Singh. Ahli mereka beragama Buddha, Konfusi, Hindu, Kristian dan lain-lain. Ada juga ahli mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ini adakah fakta yang tidak boleh dinafi oleh mana-mana pihak yang waras yang tidak mempunyai agenda yang tersembunyi. Oleh itu, amat pelik mereka boleh mendoakan Malaysia menjadi 'Negara Kristian' sedangkan majoriti dari mereka tidak beragama Kristian. PILIHAN RAYA NEGERI SARAWAK SUDAH LAMA BERLANGSUNG Pilihan Raya Negeri Sarawak sudah berlangsung lebih setahun yang lalu. Sekiranya benar peristiwa yang didakwa telah berlaku, mengapa ianya tidak laporkan kepada pimpinan PAS, samada AJK PAS Pusat atau Majlis Syura Ulama pada ketika itu? Sekiranya diberitahu dan dikemukakan bukti, maka kita boleh bertanyakan perkara ini kepada pimpinan DAP dan berdasarkan fakta 1 dan 2, sudah pasti pimpinan DAP sendiri akan mengambil tindakan terhadap ahli atau pimpinan mereka yang ingin menyelewengkan perjuangan parti DAP. Hakikat bahawa ianya hanya didedahkan apabila PRU sudah hampir menimbulkan keraguan terhadap kesahihan berita yang dibawa dan tujuan sebenar sebalik 'pendedahan' ini. Adakah ianya berita yang direka dan disensasikan supaya tumpuan terhadap persoalan rasuah dan penyelewengan UMNO/BN dapat ditutup? Supaya dengan itu akan berkata orang Melayu, "cabaran kita bukan soal rasuah dan penyelewengan UMNO/BN tetapi Kristianisasi!" Dengan itu akan diselamatkan UMNO/BN melalui suatu 'ancaman' yang direkacipta mengikut arahan pihak tertentu. MENGAPA DIDEDAHKAN KEPADA MEDIA TANPA BERBINCANG PIMPINAN PAS? Majlis Syura Ulama' baru sahaja bertemu. Mengapa perkara ini tidak dikemukakan kepada mereka dan sebaliknya didedahkan terus kepada media? Cara isu ini ditangani menimbulkan persoalan terhadap motif sebenar 'pendedahan' yang dilakukannya. Ianya 'pendedahan yang bermotifkan politik' dimana UMNO khususnya boleh meraih keuntungan dengan mensensasikan pendedahan tersebut walaupun tiada bukti yang dikemukakan. PAS akan dipalitkan sebagai parti yang bersekongkol dengan DAP yang ingin 'mengkristiankan Malaysia' kononnya dan UMNO yang bersekeduddukan dengan MCA/Gerakan/MIC terlepas begitu. Walaupun DAP yang diserang, hakikatnya PAS yang menerima padah yang lebih besar. Adakah itu yang diinginkan? MENGAPA DAP MENJADI SASARAN? Umum mengetahui sikap MCA terhadap perlaksanaan undang-undang Islam adalah sama kalau tidak lebih ekstrim berbanding DAP. DAP menghormati hak PAS memperjuangkannya walaupun tidak bersetuju dengan perlaksanaannya. Mereka tidak menuntut supaya PAS gugurkan agenda perundangan Islam dan Hudud. MCA memberi UMNO kata dua berhubung isu hudud dan mengugut untuk keluar dari BN sekiranya UMNO ingin memperjuangkannya. Tauke judi sama ada dari Genting, Magnum, Empat Nombor ekor dan sebagainya adalah kesemuanya penyokong tegar MCA. Presiden MCA sendiri masyhur sebagai pelakon video lucah yang beliau mengakui video tersebut menunjukkan dirinya bersama wanita yang bukan isterinya tetapi MCA terus kekalkannya sebagai Presiden. MCA juga merupakan pihak yang inginkan judi bola semasa piala dunia walaupun UMNO menjadi juru bicaranya. Dengan segala yang buruk yang ada pada MCA, hanya DAP yang diserang dan tidak langsung disebut atau dikritik MCA. Chua Soi Lek tidak diistiharkan sebagi anti-Islam sedangkan kata-katanya berhubung Hudud jauh lebih dahsyat dari Karpal. Melalui serangan terhadap DAP, MCA dibantu, Gerakan dan MIC untuk memperolehi undi Melayu di kawasan-kawasan yang ditandingi mereka. Mengapa mahukan MCA, Gerakan dan MIC menangi kerusi yang ditandingi DAP? Apa yang menyebabkan seseorang itu sanggup menjadi pembantu kepada parti MCA, Gerakan dan MIC sedangkan mereka ini semua tidak bersama PAS dan tidak mungkin bersama kerana memilih UMNO yang juga sekular sebagai rakan? Kenyataan ini menimbulkan kesangsian terhadap dakwaan bahawa tersebut demi kepentingan Islam sedangkan tindakan itu jelas menguntungkan kelompok parti yang lebih jelas permusuhan mereka terhadap sistem perundangan Islam berbanding DAP. Begitu juga akhlak dan keterlibatan mereka dengan perniagaan maksiat jauh lebih ketara dari pihak DAP. KEDUDUKAN AHLI DI DALAM JEMAAH Kenyataan tersebut bagaikan mencabar PAS untuk mengambil tindakan terhadap dirinya. Beliau menggambarkan dirinya sebagai seorang yang ingin pertahankan Islam dan PAS sebagai parti yang telah mengkhianati perjuangan Islam. Sepertimana Hassan Ali, beliau cuba menggambarkan dirinya sebagai yang satu-satunya pimpinan PAS yang ikhlas mempertahankan Islam sedangkan pimpinan PAS yang lain mementingkan jawatan dan kuasa. Yang anehnya, walaupun beliau menyerang PAS, beliau tidak mahu meninggalkan PAS dan ingin sebaliknya untuk PAS mengambil tindakan terhadap dirinya. Ini adalah apa yang jelas tersirat di dalam kenyataannya. Adakah melalui itu beliau mengharapkan supaya imej PAS akan terus terpalit sebagai parti yang mementingkan DAP lebih dari ahlinya malahan bekas Timbalan Presidennya sendiri? Sekiranya begitu, maka adakah DAP atau PAS yang merupakan sasarannya yang sebenar? Hakikatnya, sekiranya PAS mengambil tindakan terhadap dirinya sekalipun, ianya bukan kerana mementingkan DAP. Ianya adalah atas sebab disiplin jemaah yang tidak diikuti dan tuduhan melulu yang dilakukan beliau. Seseorang pemimpin parti Islam tidak boleh menuduh mana-mana pihak, samada Islam atau bukan Islam, dengan sebarang tuduhan yang tidak benar dan memfitnah mereka. Oleh itu, sekiranya beliau tidak mampu mengemukakan bukti, kepada pimpinan parti akan kebenaran tuduhan beliau yang begitu serius, maka PAS perlu mengambil tindakan terhadap dirinya. Tindakan itu tidak semesti berbentuk pemecatan. Berhubung tuduhan Karpal anti-Islam kerana menolak hudud, itu telah dijelaskan oleh Presiden sendiri bahawa penolakan hudud oleh yang bukan Islam tidak merupakan sesuatu yang pelik. Yang pelik ialah ianya ditolak oleh UMNO yang kononnya Islam! KESIMPULAN Pepatah Melayu ada berkata "Marahkan anak sindir menantu". Oleh itu, saya tidak boleh menolak pandangan bahawa sebenarnya sasaran sebenarnya adalah PAS dan bukannya DAP. Hakikatnya DAP tidak sebegitu terjejas dengan tuduhan tersebut. Mereka akan tetap memenangi kebanyakan dari kerusi yang ditandingi mereka kerana pengundi bukan Melayu ingin melihat perubahan atas sebab penyelewengan dan rasuah yang merosakkan ekonomi Negara. Tuduhan yang tidak berasas seperti ini hanya akan menambahkan lagi sokongan bukan Melayu terhadap DAP yang dilihat mereka sebagai pihak yang difitnah dan dizalimi. Ini adalah kerana mereka tahu DAP bukan parti Kristian. Yang mungkin akan terjejas teruk melalui tuduhan liar tersebut adalah PAS. Pengundi Melayu sekiranya terpengaruh akan berjaya dihasut untuk membencikan DAP akan turut menolak PAS kerana PAS bersama dengan DAP. Pada ketika itu, para pengundi ini akan mengundi UMNO/BN dan PAS akan dikalahkan. Sekiranya itulah niat sebenar apabila isu-isu ini ditimbulkan, maka amat jelas beliau sudah merelakan dirinya untuk menjadi senjata UMNO/BN untuk membunuh PAS. Mungkin kerana melihat masa depannya bersama PAS, seperti juga dilihat Hassan Ali, tidak lagi secerah dulu. Atau mungkin juga sudah ada menunggu kerusi empuk dan jawatan yang jauh lebih selesa disebelah sana. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
Posted: 10 Oct 2012 08:00 PM PDT Kerajaan BN, khususnya PM tidak boleh melepas tangan dalam soal membela ummat Islam Rohingya yang sedang ditindas dan dizalimi di Myanmar dengan alasan "dasar tidak campur tangan adalah sebab mengapa ASEAN berjaya dan terus wujud hingga hari ini". Hakikatnya, 'The ASEAN Charter' mengandungi juga (selain persoalan tiada campur tangan dalam urusan Negara jiran) persoalan menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Di atas sebab ini PM digesa untuk bertindak lebih tegas dan pro-aktif dengan menjemput Duta Myanmar ke pejabatnya untuk menyampaikan taklimat berhubung apa yang sedang berlaku dan perancangan kerajaan Myanmar untuk mengatasinya. Malaysia mempunyai kedudukan yang sangat istimewa atas sebab keharmonian yang sedang dialami rakyatnya yang berbilang kaum dan agama. Hakikat ini pasti disedari dan diakui oleh Duta Myanmar ke Malaysia dan mesej serta pengajaran berhubung keharmonian kaum dan agama inilah yang boleh dibawa balik ke kerajaan Myanmar. Selain itu, PM boleh juga memohon sokongan dari kumpulan persatuan Buddha khususnya, serta Kristian, Hindu dan sebagainya, yang wujud dan aktif di Malaysia, untuk menyeru kerajaan Myanmar untuk menghormati hak asasi golongan Rohingya sepertimana yang sudah pasti dituntut oleh ajaran agama Buddha itu sendiri. Saya yakin semua persatuan ini sanggup membantu sekiranya diberi peranan dan peluang kearah itu. Sejarah kedatangan ummat Islam ke Myanmar boleh dikesan sejak abad ke 10 Masehi lagi. Pada abad ke 14 Masehi pula, kerajaan Moghul India telah banyak berinteraksi dengan kawasan Negara berkenaan, khususnya kawasan Arkan yang bersempadan dengan Bengal dan Bangladesh. Zaman pemerintahan British pula pada abad ke 19 Masehi telah menghasilkan perpindahan beramai-ramai orang Islam Bengali ke kawasan Arkan. Perang dunia ke-2 dan penjajahan Jepun menyebabkan keadaan dan nasib kaum Rohingya semakin tertekan dan akhirnya pada tahun 1992 di bawah pemerintahan junta tentera, kerakyatan kaum Rohingiya dilucutkan secara rasmi. Sekarang ini mereka adalah entiti yang tidak mempunyai kerakyatan sah di mana-mana di dunia dan oleh itu tiada hak dan tiada perlindungan. Sepertimana Malaysia telah mampu menerima kedatangan orang India dan Cina secara beramai-ramai semasa zaman British, walaupun ada wujud sejumlah tertentu sebelum darinya, perlu ditonjolkan kepada kerajaan Myanmar sebagai pengajaran dan hala tuju yang boleh dan perlu diikuti mereka. Kebencian rakyat Myanmar beragama Buddha terhadap kaum Rohingya adalah hasil dari kerja-kerja adu domba yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat yang menuduh orang Rohingya terus ingin menegakkan Negara Islam di Burma melalui gerakan ketenteraan. Sedangkan jumlah kaum Rohingya adalah kurang dari 4% seluruh rakyat Myanmar. Pada masa yang sama, dalam peristiwa terbaru ini, disebarkan berita kononnya beberapa lelaki Rohingya telah merogol seorang wanita Myanmar. Berita-berita yang mengapi-apikan semangat kebencian inilah yang menyebabkan rakyat Myanmar beragama Buddha mengenepikan ajaran Buddha itu sendiri sehingga sanggup melakukan kezaliman dan penginiayaan terhadap kaum Rohingya sebegitu rupa. Masyarakat Buddha diperingkat antarabangsa seharusnya menasihati mereka supaya tidak menjejas imej agama mereka melalui tindakan sedemikian rupa. Seharusnya suatu penyelesaian yang menjamin keselamatan dan keadilan semua pihak dapat dicapai melalui rundingan. Keadaan ini harus juga menjadi pengajaran kepada kita akan bahayanya khabar angin yang bertujuan untuk mengapi-apikan ketegangan kaum dan agama; serta kemusnahan dan kezaliman yang mampu hasilkannya. Rakyat Malaysia sendiri harus berwaspada terhadap kenyataan seperti 'ancaman Kristianisasi', 'jadikan Malaysia Negara Kristian', 'Cina berkuasa' dan sebagainya yang sepatutnya tidak dilayani rakyat selagi bukti kukuh tidak dikemukakan. Kerajaan Malaysia mesti menyuarakan bantahan terhadap apa yang sedang berlaku dan menyampaikan mesej kepada kerajaan Myanmar bahawa tindakan sedemikian rupa tidak boleh diterima oleh ASEAN. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan