Selasa, 25 September 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Bayangkan Masa Depan Kita…

Posted: 25 Sep 2012 06:02 AM PDT

Antara kelebihan manusia adalah menggunakan imaginasi untuk membayangkan masa depan yang lebih membahagiakan. Ada yang menggelarnya wawasan dan ada yang mengatakan ia angan-angan mat jenin.

Namun, bayangan ini penting untuk mereleasasikan impian bagi setiap manusia.

Bayangkan, desakan rakyat supaya prinsip 'kuasa dari rakyat untuk rakyat' -di mana semua cabang kenegaraan iaitu eksekutif, parlimen dan kehakiman benar-benar independen, dan mampu bertindak sebagai penimbang-tara dalam konsep pemisahan kuasa demokrasi yang dipantau media yang bebas. Peluang dan ruang untuk salahguna kuasa dan rasuah dapat jua disekat akhirnya.

Bayangkan sebuah negara yang berlandaskan demokrasi di mana rakyat dapat menentukan siapa yang berhak diberi amanah memerintah demi kepentingan semua. Jika prestasi dan hasil pentadbiran tidak memenuhi aspirasi rakyat, maka di dalam sebuah pilihan raya yang bersih, rakyat berkuasa menukar pemerintah secara aman.

Bayangkan sebuah dewan Parlimen yang benar-benar mewakili hak rakyat yang dapat memantau urusan pentadbiran kerajaan secara telus melalui jawatankuasa tetap, badan khazanah negara Petronas diletak dibawah kawalselia Parlimen serta semua perjanjian antarabangsa yang hanya diluluskan setelah mendapat persetujuan Dewan Rakyat agar peristiwa penyerahan tanah sempadan negara seperti Pulau Batu Putih atau Blok L dan M tidak berulang. Malah kepentingan serta keselamatan rakyat didahulukan dan dipelihara di dalam isu Lynas atau lombong emas di Bukit Koman, Raub.

Bayangkan sebuah badan kehakiman yang bebas di mana segala perundangan termasuk perlembagaan ditegakkan secara adil. Mungkinkah mereka yang memperkosa anak-anak gadis dibawah umur maupun jenayah rasuah yang besar lagi terang akan diadili dengan saksama?

Bayangkan jika semua berita yang diterima adalah dari media yang bebas. Memang benar apabila dikatakan, 'maklumat itu adalah kuasa'. Berita mengenai kejayaan mahupun salah laku termasuk skandal rasuah dan konspirasi tidak terlepas daripada halaman berita yang mampu menjadi 'pelindung demokrasi'.

Bayangkan perpaduan dan semangat muhibah diantara semua bangsa dan agama tanpa prasangka, tanpa propaganda pecah-belah yang sengaja diapi-apikan untuk tujuan politik sempit. Kepelbagaian budaya menjadi kekuatan dan kebanggaan kita.

Bayangkan angkatan tentera yang diberikan kelengkapan sepatutnya sepertimana yang telah dinasihatkan oleh DYMM Sultan Johor yang mendapati bukan sahaja kualiti kelengkapan kor Gerak Khas rendah yang boleh membahayakan nyawa anggota tentera kita dengan contoh kos kenderaan Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang 4 kali ganda atau lebih RM500,000 daripada apa yang dibeli sendiri oleh Sultan Johor yang merangkap Kolonel-Kor tersebut. Bila diambil kira harga kapal selam, kereta perisai, helikopter, kapal perang, pesawat jet pejuang dan aset pertahanan lain yang terlalu mahal, timbul kesedaran: kalau negara sudah dibangkrapkan siapa yang hendak menyerang kita?

Bayangkan kadar jenayah dikawal apabila pasukan polis digunakan secara berkesan memerangi penjenayah dan bukan mengintip rakyat sendiri lebih dari yang patut. Polis menjadi teman sejati dan pelindung harta dan nyawa rakyat tanpa memihak kepada elit sahaja.

Bayangkan penjawat awam yang berdedikasi tanpa dibelenggu pemerintah untuk menjayakan agenda rakyat dan bukan agenda golongan atasan. Kejayaan pentadbiran awam akan menentukan keadilan di dalam pemberian skim gaji dan kemudahan setimpal yang memelihara maruah dan harga diri secara berterusan.

Bayangkan harga minyak turun, harga kereta turun, harga rumah mampu, harga elektrik turun, pendidikan percuma akibat penstrukturan semula dasar ekonomi termasuk menambah baik sistem percukaian, menghalang pemusatan harta dan kuasa ekonomi ke tangan beberapa individu terpilih. Inilah yang dikatakan harta negara adalah harta rakyat.

Bayangkan rakyat akhirnya akan mengetahui kebenaran bagaimana ekonomi negara kita dimiskinkan dengan siasatan menyeluruh siapa dan bagaimana kekayaan negara dijarah. Senarai nama-nama mereka yang kaya-raya hasil daripada rasuah, tirisan ekonomi, salah guna kuasa dan pembaziran yang disengajakan akan terpahat pada 'Tugu Rasuah' sebagai pengajaran generasi akan datang.

Bayangkan budaya politik yang sihat dan murni dimana perdebatan mengenai dasar hala-tuju dan pendekatan pentadbiran menjadi utama dan bukannya politik dendam, politik ketakutan, politik kebencian, politik ganas dengan berbagai propaganda mitos 'Melayu akan hilang kuasa' serta konspirasi fitnah lucah politik dijadikan teras perjuangan mempertahankan kedudukan dan pegangan kuasa.

Bayangkan bangsa Melayu menjadi bangsa contoh bagaimana sebuah negara Islam demokrasi berparlimen ditegakkan oleh sebuah bangsa yang yakin pada jatidiri, berpegang kepada prinsip-prinsip mulia dan mencerminkan keimanan sejagat tanpa perlu berbahasa kasar, merendahkan kaum lain, mencaci lucah, memfitnah dan merasa takut pada manusia berkuasa lagi berpangkat. Ini adalah bangsa beriman lagi budiman menjadi pelindung hak dan prinsip demokrasi untuk semua.

Bayangkan semua ini mampu menjadi realiti tidak lama lagi kerana, rakyat ada kuasa membuat pilihan di peti undi atau adakah semua tadi akan hanya tinggal angan-angan kerana kuasa memilih rakyat dirampas melalui projek IC, pengundi hantu dan sebagainya?

Bayangkan apa yang mampu kita ubah?

(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 25hb September 2012)

Tiada ulasan:

Nuffnang