Ahad, 2 September 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Ikan 'unicorn' mirip manusia?

Posted: 02 Sep 2012 01:17 AM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

LONDON - Salah satu ikan paling unik di planet ini adalah ikan 'unicorn' yang dianggap mirip wajah manusia kerana memiliki hidung yang besar.

Malah, para saintis berpendapat seluruh kepala hidupan akuatik itu aneh kerana seakan-akan wajah manusia yang sedang marah.

Bagaimanapun, ikan pelik ini memiliki satu keupayaan yang mengagumkan di mana ia mampu bertukar warna pada badannya.

Sebenarnya, struktur pada kepala ikan yang dianggap hidung itu adalah tanduknya yang berperanan sebagai perisai melindungi diri.

Ikan bertanduk Naso itu sebenarnya berasal daripada negara Latin dan kini sedang dipamerkan di SeaLife Centre di Weymouth, Dorset, Britain.

Satu lagi spesies ikan serupa dinamakan Nimrod sempena pembinaan sebuah pesawat pejuang tentera yang memiliki tanduk.

Penyelia hidupan akuatik Matthew Fuller berkata: "Wajah pelik Nimrod mirip salah satu pesawat tentera dan tiada siapa tahu mengapa ia memiliki tanduk di hadapan kepala sedangkan ia adalah ikan," katanya.

kosmo/-

Lelaki maut dirempuh seladang

Posted: 02 Sep 2012 01:11 AM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

POPULASI seladang di Semenanjung termasuk di Hutan Belum, Perak berjumlah 330 ekor. - Gambar hiasan.

IPOH - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat dirempuh seladang di Hulu Air Pasir, Banding dekat Gerik semalam.

Musa Ismail, 56, maut akibat cedera parah di perut manakala Isa Abdullah, 24, patah kaki dan tangan kiri dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kedua-duanya bersama seorang lagi rakan mereka, Abdul Mohd. Sharifudin A. Manas, 35, diserang haiwan itu ketika dalam perjalanan untuk memasuki Hutan Simpan Royal Belum antara pukul 3 dan 6 petang.

Ogos bulan dua kali mengambang penuh

Posted: 02 Sep 2012 01:03 AM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

FENOMENA bulan biru dilihat di langit semasa upacara penghormatan terakhir untuk angkasawan Neil Armstrong berlangsung di bandar raya Cincinnati, Amerika Syarikat kelmarin.

LONDON - Fenomena bulan purnama menyinari langit lebih daripada sekali dalam sebulan dapat dilihat di serata dunia kelmarin.

Menurut akhbar MailOnline, bulan mengambang penuh pada 2 dan 31 haribulan sepanjang Ogos lalu.

Dikenali sebagai bulan biru, fenomena yang berlaku sekali setiap 2.7 tahun itu telah menarik perhatian ahli astronomi dan orang ramai di seluruh dunia.

Kejadian luar biasa itu diramalkan berlaku sekali lagi pada Mei 2015.

Menurut akhbar berkenaan, nama bulan biru tiada kaitan dengan keadaan fizikal bulan dengan maksud istilah tersebut hilang ditelan zaman.

Warna biasa bulan semasa bersinar di langit adalah putih.

Namun, bulan pernah berwarna biru selama dua tahun apabila Gunung Berapi Krakatoa meletus di Indonesia pada 1883.

Warna biru tersebut ekoran abu mikroskopik gunung berapi yang melitupi angkasa dan hanya membenarkan sebahagian gelombang cahaya menembusi atmosfera bumi. - Agensi

Kawal TV dengan kelipan mata

Posted: 02 Sep 2012 12:56 AM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

BEIJING - Satu lagi inovasi teknologi kali ini menyebelahi mereka yang gemar melepak dan menonton televisyen (TV) dan hanya perlu mengelipkan mata jika mahu mengubah siaran atau sebagainya.

TV Kawalan Mata yang dikeluarkan di bawah jenama Haier China itu, dilengkapi dengan alat peranti besar yang diletakkan di hadapan tv kemudian pengguna hanya perlu mengelipkan matanya bagi menukar saluran, mengubah nada suara, mematikan atau membuka siaran tv mereka.

Teknologi penderiaan mata diaplikasikan melalui sensor Kinect-style yang mana siaran atau program tv tidak akan terganggu jika mata penonton berkelip secara normal dan bukan bertujuan mahu mengubah siaran.

Alat pengesan itu perlu diletakkan di hadapan pengguna dan harus diselaraskan dengan mata pengguna itu sendiri untuk memastikan skrin tv berkenaan dapat mengenali mata yang bakal mengeluarkan arahan kepadanya kelak.

Pengguna yang sering berhadapan masalah kehilangan dan sakit mata melihat susunan alat kawalan jauh tv yang memenuhi meja kopi mereka boleh menyelesaikan masalah itu dengan teknologi terbaru ini.

Dalam pada itu, satu lagi cara terbaik mengawal siaran tv anda adalah menerusi telefon pintar yang baru sahaja direka.

Menerusi satu ujian yang dilakukan rangkaian blog teknologi melibatkan barangan dan elektronik pengguna di persidangan tekonologi IFA di Bderlin, Jerman pada minggu lalu telah menyimpulkan inovasi tv itu sebagai 'konsep yang menambat hati' walaupun ia masih belum bersedia untuk dipasarkan pengeluar.

sinar harian/-

Dua suspek pengganas ditembak mati di Solo

Posted: 02 Sep 2012 12:20 AM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

SOLO - Skuad antipengganas Indonesia membunuh dua suspek militan berusia 19 tahun dalam satu serbuan yang turut meragut nyawa seorang anggota unit berkenaan, kata pihak berkuasa semalam.

"Dua suspek pengganas dibunuh malam kelmarin di sini, Jawa Tengah, oleh unit polis Densus 88. Seorang lagi telah ditangkap," kata jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli.

"Mereka bersenjata dan seorang anggota polis berkenaan turut maut akibat ditembak suspek," tambah jurucakap berkenaan.

Ketua Polis Indonesia, Timur Pradopo pula memberitahu, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat bahawa mereka merancang lebih banyak serangan selepas terlibat dalam kejadian menembak mati seorang anggota polis pada Khamis lalu.

Menurutnya, sebutir bom tangan turut dilontar ke arah sebuah pos kawalan polis di sini dua minggu lalu.

"Ketiga-tiga lelaki ini terlibat dalam tiga kejadian tembakan dan mereka merupakan anggota sebuah kumpulan baharu yang mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas lama di kawasan ini," kata Pradopo.

"Kedua-dua lelaki yang mati berusia 19 tahun," katanya kepada sekumpulan pemberita di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua agensi antikeganasan Indonesia, Ansyaahd Mbai memberitahu bahawa ketiga-tiga lelaki terbabit merupakan anggota kumpulan Jemaah Anshorut Tauhid (JATI) yang diasaskan oleh ulama Abu Bakar Bashir pada 2008. - AFP

Hadang pintu bilik, taktik bersama kekasih hamil 7 bulan

Posted: 02 Sep 2012 12:13 AM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

KLUANG - Panik apabila pintu bilik hotel yang ditumpangi diketuk penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang, seorang lelaki sanggup mengadang pintu biliknya dengan sebuah meja bagi menyelamatkan diri bersama pasangan kekasihnya daripada ditahan dalam Ops Maksiat, awal pagi kelmarin.

Selepas hampir 10 minit mendiamkan diri tanpa memberi tindak balas, pintu bilik berkenaan dipecahkan pihak penguatkuasa.

Menurut Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor, pemeriksaan penguatkuasa mendapati, seorang lelaki berusia 33 tahun bersama pasangannya berusia 19 tahun yang sedang mengandung tujuh bulan berada di dalam bilik hotel itu.

"Pihak kita juga menghadapi sedikit masalah apabila lelaki itu yang juga bekas tentera tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pegawai penguatkuasa JAJ kepadanya," katanya.

Mohd Khalil berkata, hasil soal siasat, lelaki tersebut telah diberhentikan daripada perkhidmatan tentera kerana kesalahan tatatertib dan sudah mempunyai isteri serta empat anak yang tinggal di Taman Sri Impian.

"Manakala pasangannya itu tidak bekerja setelah menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima," katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut memberitahu yang dia mahu bernikah apabila mengetahui kekasihnya mengandung, tetapi hasratnya terbantut apabila mendapat tentangan daripada isteri.

"Bagaimanapun, pasangan tersebut dibebaskan setelah diikat jamin oleh keluarga masing-masing dan akan didakwa di bawah Seksyen 23(1) (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

"Pasangan itu adalah antara tujuh pasangan yang telah berjaya ditahan dalam Ops Maksiat sempena Hari Merdeka awal pagi kelmarin," katanya.

Operasi yang dijalankan itu juga telah diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin dan melibatkan lapan anggota Penguatkuasa JAJ daerah Kluang serta empat anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

sinar harian/-

Umpan pakej 2 dalam 1

Posted: 01 Sep 2012 11:19 PM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

INSAF... Rusli mengenangkan nasib isteri dan anak jika tertangkap.
KUALA LUMPUR: Kewujudan sebahagian besar pistol haram di negara ini dipercayai didalangi sindiket pengedaran dadah tempatan yang memperoleh senjata itu dari negara jiran secara percuma selepas membeli dadah dalam jumlah besar.

Di kalangan sindiket dadah tempatan, kegiatan di pasaran gelap itu dikenali dengan istilah beli 'barang', dapat 'besi' iaitu barang merujuk kepada dadah manakala besi adalah pistol.

Selain modus operandi itu, pistol boleh diperoleh dengan harga RM900 hingga RM1,500 daripada golongan penyeludup yang kebanyakannya anggota kongsi gelap untuk pelbagai kegiatan jenayah.

Penemuan mengejutkan itu diperoleh wartawan Metro Ahad berdasarkan siasatan dan pengakuan bekas pengedar dadah dan penyeludup senjata yang insaf dan berharap kegiatan itu dibendung pihak berkuasa sebelum berleluasa.

Ini berikutan tiga kes kematian membabitkan tembakan berlaku dalam tempoh seminggu. Kes terbaru dilaporkan di Selayang Baru pada Rabu lalu membabitkan K Archuthan, 41, yang ditembak di depan Sekolah Menengah Darul Ehsan, Selayang Baru, selain kes di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, Terengganu yang mengorbankan Mat Keya Jusof, 54, atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Bulan dalam kejadian jam 11.30 malam, Ahad lalu.

metro/-

'Janji hanya tinggal janji', warga emas menanti

Posted: 01 Sep 2012 08:13 PM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA PILAH – Sepasang suami isteri warga emas dari Kampung Melekai, di sini, kesal apabila pihak berkaitan yang berjanji untuk membantu mereka membaiki rumah kini sepi walaupun tindakan susulan telah dilakukan.

Napsiah Abas, 65, berkata, mereka pernah dikunjungi pihak berkenaan yang turun padang untuk melihat keadaan rumah tetapi masih tiada tindakan diambil.

Menurutnya, rumah yang dibina sejak lebih 10 tahun lalu itu pernah berlaku kebakaran pada 2007 di bahagian dapur dan hingga kini masih tidak dibaiki susulan kekangan kewangan.

"Meskipun rumah ini usang, dindingnya sudah dimakan anai-anai, makcik tetap tinggal di sini kerana ini rumah pusaka dan satu-satunya harta makcik.

"Apabila sudah usang, banyaklah dinding reput dimakan anai-anai. Bumbung pula bocor sana sini hingga kadang kala perlu menyediakan baldi untuk menadah air yang menitis setiap kali hujan," katanya tinggal bersama suami dan anak.

Katanya, permohonan berkenaan dibuat sejak lapan tahun lalu.

"Makcik pergi sendiri berjumpa pihak berkenaan semasa membuat permohonan itu. Ada juga mereka turun padang melihat keadaan rumah ini, serta mengambil gambar, namun terhenti setakat itu sahaja.

"Mereka maklumkan, rumah ini besar dan jika mahu baik pulih memerlukan kos yang tinggi. Menurut mereka peruntukan hanya ada RM11,000 sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu menurutnya, dia amat berharap rumah berkenaan dapat dibaik pulih memandangkan mereka tidak mampu ditambah pula suaminya, Zahari Acin, 69, mengidap kencing manis kronik sejak 20 tahun lalu dan darah tinggi.

Bagaimanapun katanya, dalam kesempitan hidup, dia tetap bersyukur kerana Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek menyumbangkan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan suaminya.

"Sememangnya, makcik tiada punca pendapatan dan hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Itu pun memang tidak cukup kerana pakcik memakai lampin pakai buang," katanya.

SINAR HARIAN/-

[WASPADA] Geng Wanita 40an Kebas Barang Kemas Pengantin Baru

Posted: 01 Sep 2012 08:01 PM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

IPOH – Menyamar sebagai saudara pengantin merupakan taktik sekumpulan wanita berusia 40-an, di sini, yang menjadikan kediaman pengantin sebagai sasaran untuk mencuri barangan berharga.

Kegiatan empat wanita berkenaan telah dikesan sejak seminggu lalu setelah dua kediaman di Batu Kurau dan Manjoi menjadi mangsa perbuatan jenayah mereka dalam tempoh dua hari.

Sabtu lalu, kumpulan wanita itu dikatakan berjaya melarikan empat beg tangan milik ahli keluarga pengantin semasa majlis perkahwinan sedang berlangsung di Kampung Sungai Ara dan menurut saksi, Salina Shamsudin, 21, kejadian berlaku pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurutnya, empat wanita berkenaan lengkap berpakaian baju kurung telah menyusup masuk ke dalam rumah sepupunya, Nur Shuhada Zaman Zahari, 22 selepas memperkenalkan diri sebagai saudara pengantin lelaki.

"Mereka bersikap pelik apabila tidak bercakap dan hanya memerhati keadaan sekeliling dengan penuh kecurigaan. Mereka memilih untuk duduk hampir dengan bilik pengantin sepanjang majlis.

"Dua daripada wanita itu dilihat masuk ke bilik pengantin ketika ahli keluarga lain sibuk memindahkan hantaran perkahwinan dan memasukkan semua beg besar yang diambilnya ke dalam sebuah beg besar," katanya.

Katanya, keadaan menjadi kecoh seketika apabila empat beg tangan mengandungi lapan telefon bimbit, wang tunai dan barang kemas bernilai hampir RM30,000 hilang dan kejadian ini sama seperti kes yang berlaku di Manjoi dalam laporan akhbar Sinar Harian, semalam.

Salina menjelaskan, kejadian berkenaan disedari apabila salah seorang mangsa dihubungi pihak bank untuk membuat pengesahan pembelian telefon bimbit menggunakan kad kredit di sebuah pasar raya di Taiping.

"Urusan pembelian itu tidak berjaya kerana diragui oleh pihak bank. Kami geram dan terkilan dengan insiden ini kerana mereka turut mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM6,000 milik salah seorang ahli keluarga kami.

"Kami telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Batu Kurau mengenai kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mangsa dan siasatan sedang dijalankan serta polis sedang giat memburu suspek terbabit.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kes kecurian yang mana seorang wanita mengaku sebagai ahli keluarga dan menyusup masuk ke dalam rumah pengantin, melibatkan kehilangan barangan bernilai hampir RM20,000 di Kampung Sungai Tapah Manjoi.

Kejadian itu berlaku sehari selepas kejadian menggunakan modus operandi yang hampir sama di Batu Kurau. -SH

PKR: Pakatan mahu tukar kerajaan bukan bendera

Posted: 01 Sep 2012 04:24 PM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA – "Yang menjadi dasar Pakatan Rakyat (PR) bukanlah hendak tukar bendera tetapi mahu gantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan pimpinan PR." Demikian tegas Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan beberapa individu yang membawa 'bendera baru' kononnya tidak bersetuju dengan Jalur Gemilang sedia ada pada ambang Hari Merdeka di Dataran Merdeka malam kelmarin.

Shuhaimi berkata, sekiranya wujud cadangan menukar bendera sedia ada, pihaknya adalah antara yang terawal akan menentang usaha itu.

Katanya, memang tidak ada sebarang perbincangan berhubung dakwaan terbabit dan menegaskan ia perbuatan provokasi dilakukan pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh bagi mencemarkan imej kerajaan PR di mana-mana negeri.

Beliau berkata, sebelum ini PKR Selangor memang pernah mendengar ada pihak-pihak tertentu yang merancang untuk mempromosikan bendera selain yang ada.

Jelasnya, bagaimanapun perkara itu ditentang habis-habisan kerana ia tidak ada dalam mana-mana memorandum yang ditandatangani ketiga-tiga parti dalam PR.

"Isu ini tidak pernah dibincangkan... untuk apa dibincangkan kerana yang kita fokus adalah menukar daripada kerajaan rasuah kepada sebuah kerajaan yang sudah diuji keberkesanan dan mampu mentadbir.

"Kerajaan Pakatan tidak pernah bersetuju, jika ada unsur yang boleh mencetuskan perasaan tidak senang kita sepakat untuk tentang," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Muda di Putra Heights di sini, hari ini.

Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda dan ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat berkata, pihaknya komited menukar kerajaan Persekutuan berteraskan apa yang disebut dalam buku Jingga dan juga memorandum persefahaman perjanjian PR pada tahun 2009.

Katanya, menukar bendera bukan agenda PR justeru menganggap tindakan pihak berkenaan yang melakukan provokasi hanyalah perbuatan sia-sia.

Jelasnya, PR lebih fokus kepada dasar, polisi serta ketelusan dan kebertanggungjawaban yang menjadi perkara inti pokok dalam pentadbiran mencernakan kerajaan kebajikan.

"Saya nasihatkan kepada pihak yang membuat provokasi supaya hentikan perbuatan yang cuba untuk timbulkan keadaan tidak selesa ini," katanya.

sinar harian/-

Taliban pamer klip video kepala manusia

Posted: 01 Sep 2012 04:15 PM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

DUA anggota Taliban berkawal di kubu kuat kumpulan berkenaan di Shawal, dalam wilayah Waziristan Selatan di Pakistan pada 5 Ogos lalu.

KHAR - Kumpulan Taliban menghantar satu klip video menunjukkan 12 kepala askar kelmarin selepas beberapa pegawai menyatakan, seramai 15 anggota tentera Pakistan hilang dalam pertempuran menentang militan berkenaan.

Rakaman itu yang dihantar kepada agensi berita AFP, menunjukkan beberapa militan Taliban berdiri di belakang 12 kepala manusia, dipercayai askar Pakistan.

Jurucakap kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan(TTP) yang mengaku bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu, Sirajud Din menyatakan, mereka dibunuh bagi membalas dendam kekejaman tentera terhadap militan Taliban.

Perkembangan itu berlaku selepas tentera Pakistan mengadakan satu operasi untuk menghapuskan militan-militan Taliban yang menawan daerah Bajaur pada Selasa lalu.

Kumpulan berkenaan dipercayai memasuki Pakistan dari wilayah Kunar di Afghanistan pada Jumaat lepas. - AFP

Merdeka: PAS kutuk kibar bukan Jalur Gemilang

Posted: 01 Sep 2012 03:59 PM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS tidak boleh menerima sama sekali tindakan sesetengah pihak yang menaikkan bendera bukan Jalur Gemilang pada sambutan ambang kemerdekaan malam semalam.

"PAS menuntut siasatan dijalankan serta merta untuk mencari dalang tersebut. Perbuatan ini sangat tidak wajar dan satu pengkhianatan kepada kesepakatan yang diterima pakai oleh rakyat Malaysia," tegas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu kenyataan.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah menafikan penglibatan Pakatan Rakyat dalam isu menaikkan bendera Sang Saka Bangsa oleh pihak tertentu pada himpunan Janji Demokrasi di sekitar Dataran Merdeka malam semalam.

harakahdaily/-

Tangisan puisi seorang sasterawan

Posted: 01 Sep 2012 03:51 PM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

Malam Ulang Tahun Merdeka – 31 Ogos itu - begitu indah dengan awan berarak perlahan-lahan, udara segar dan ramah menggapai rakyat berbaju kuning yang berhimpun aman untuk 'Janji Demokrasi' di depan Dataran Merdeka.

Jam Besar Dewan Bandaraya berbunyi setiap sejam sekali, seperti bernostalgia mengingatkan kembali detik penting sejarah negara, ketika bendera Union Jack diturunkan dan dinaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sebagai simbolis berakhirnya era penjajahan British di tanah air kita dan bermulanya era merdeka.

Pada masa itu – 31 Ogos lalu – Sasterawan Negara, A. Samad Said masih muda Singapura, namun bakatnya sebagai penulis sudahpun menyerlah. Beliau ikut serta dalam gelombang perjuangan Angkatan Sasterawan '50, sebuah badan penulis yang mengukir sejarah kerana ikut serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dan keadilan sosial untuk rakyat.

Gelombang Asas '50 itu dipelopori oleh Usman Awang, Kris Mas, Asraf Haji Abd Wahab, A. Samad Ismail, Masuri S.N. dan lain-lain – sasterawan yang sentiasa berada di tengah rakyat.

Demikianlah perjuangan Asas '50 yang sangat momental, yang disertai oleh A. Samad Said. Ertinya, sasterawan seperti beliau sejak sekian lama memperjuangkan kebebasan rakyat dan perjuangan itu masih diteruskannya.

Oleh itu – lebih 50 tahun - kemudian - ketika beliau mendeklamasikan puisi 'Janji Demokrasi' di depan Dataran Merdeka pasa malam 31Ogos lalu, di depan puluhan ribu rakyat berbaju kuning itu, adalah lanjutan dari perjuangannya masa lalu.

Malam itu, Sasterawan Negara itu membacakan puisinya dengan linangan air mata, mungkin mengingat perjuangan getir rakyat masa lalu untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan.

Namun apa yang berlaku sekarang, lebih setengah abad tanah air merdeka. Negara berdepan dengan kebejatan politik, rasuah dan penyelewengan serta semakin terhakisnya kebebasan. Inilah yang ditangisi oleh Sasterawan Negara seperti A. Samad Said.

Saya juga membayangkan malam itu, andainya tokoh pejuang kemerdekaan masa lalu – Ishak Haji Muhamad, Dr. Burhanudin, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakub dan lain-lain - berada di Dataran Merdeka ketika itu, bagaimanakah mereka menyaksikan semuanya itu.

Berapa ramaikah mereka yang mengingat nama-nama besar pejuang kemerdekaan itu dalam suasana pelbagai media hanya menonjolkan nama-nama pemimpin politik yang berkuasa.

Mengikuti perjuangan sasterawan besar itu sejak setengah abad lalu, malah pernah belajar menulis dengannya, juga bekerja dibawahnya, saya terkesan bahawa A. Samad Said telah memanfaatkan bakat alam dan intelektual yang dianugerah Allah kepadanya untuk menjadi jurubicara rakyat, memperjuangkan hak dan kebebasan mereka.

Puisinya 'Janji Demokrasi' itu sangat mengesankan, mempunyai nilai estatika dan kemanusiaan yang tinggi dengan dilatarai pengamatan tajamnya terhadap kehidupan ini dan bagaimana ia menyaksikan sambutan ulang tahun kemerdekaan dalam suasana yang sedemikian rupa.

(A. Samad Said di tengah orang ramai)

Amatilah puisinya itu

Janji Demokrasi:

Malam amatlah indah walaupun kalbu masih terdera,
kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara.
Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya
kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah.
Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!

Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang
mencanda panji negara yang berkibar girang dan garang;
dan seragam gelombang kuning – diri kita yang sejati –
menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti,
menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!

Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran;
di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan.
Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi.
Kita laungkan jerit senyaringnya: "Janji Demokrasi!"
sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!

Puisi 'Janji Demokrasi' itu mampu berdiri sendiri dengan gagahnya seperti hero filem 'Walking Tall', Joe Don Baker, bekas sarjan polis dengan cotanya bertindak seorang diri hendak memerangi rasuah dan kebobrokan masyarakatnya di sebuah bandaraya di Amerika. Walaupun ia tewas di tangan mafia, namun sarjan itu menjadi simbol sebuah perjuangan.

Malam Himpunan Janji Demokrasi yang dianjurkan oleh Gabungan Janji, yang merupakan gabungan kira-kira 47 NGO sekali lagi menyerlahklan A. Samad Said sebagai ikon bukan saja kepada anak muda, tetapi juga kepada civil society - masyarakat madani – pelbagai bangsa dan agama, yang sangat cintakan tanah airnya dan dalam masa yang sama sangat peka dengan hal-hal kebebasan, hak-hak rakyat dan keadilan.

Saya yakin masih tetap wujud sejumlah penulis yang bersama-sama mendukung perjuangan ini yang menjadikan penulisan sebagai wahana perjuangan menuntut kebebasan dan keadilan.

Saya percaya A. Samad Said sebagai sasterawan tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Perjuangannya didukung oleh oleh rakyat prihatin semua generasi yang cintakan kebebasan dan keadilan.

Malam Himpunan Janji Demokrasi itu bertujuan untuk 'mengingatkan' kerajaan mengenai segala janji yang belum ditunai terhadap tuntutan BERSIH untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Namanya itu sendiri sebagai satu ingatan selaras dengan tema sambutan rasmi sambutan hari Kebangsaan, iaitu 'Janji Ditepati'.

Kini, Sambutan 31 Ogos telah berlalu, jam besar di depan Dataran Merdeka akan terus berbunyi dan ia tahu kepada siapa ia berbunyi. Sementara segala yang ada di situ akan terus menyaksikan bagaimana rakyat Malaysias meneruskan kehidupan ini.

harakahdaily/-

Promosi Jualan Amal Hadiah Musim Haji 1433H.

Posted: 01 Sep 2012 03:31 PM PDT

14 Syawal 1433H. [MOD] -

Persatuan kebajikan Islam Idham Care (Idham Care)mula melancarkan Promosi Terkini dengan nama Jualan Amal Hadiah Musim Haji dalam rangka kutipan dana bagi membangunkan Kompleks Pendidikan Darul Anwar(KPDA).

Sebelum ini Idham Care telah membuat julan amal dengan duA Pakej berbeza iaitu Pake 1 sebanyak RM300 dan RM500 masing-masing akan diberikan 1 dan 2 naskah quran digital.

Untuk Pakej terbaru ini pihak IdhaM Care cuma menumpukan kepada satu pakej sahaja iaitu RM200 dan pewakaf akan diberikan senaskah Al Quran Digital.

Dengan moto "Siapapun mampu berwakaf dan memiliki Al Quran Digital" diharapkan promosi yang bermula pada hari ini mampu menyasarkan sebanyak 20,000 naskah Al Quran Digital keseluruh negara sehingga akhir Disember 2012.

M0del Al Quran Digital yang diedarkan dalam Jualan Amal ini adalah yang pertama berada di pasaran malaysia dengan jemana AL FURQAN 1.

Terdapat beberapa penampilan berbeza pada muka surat Al Quran dan bahan tambahan pada Model AL FURQAN 1 disamping masih mengekalkan ciri-ciri asas seperti Al Quran Digital yang berada di pasaran.

Imej terkini dan pertama di pasaran malaysia pada setiap muka surat Model AL FURQAN 1.

Pelancaran pakej terbaru ini bermula dengan terbitnya Iklan di akhbar Harakah satu mukasurat penuh berwarna edisi isnin 3 September yang mula beredar dipasaran pada hari ini.

Ayatollah Khamenei selar kepemimpinan diktator PBB

Posted: 01 Sep 2012 08:38 AM PDT

13 Syawal 1433H. [MOD] -

TEHRAN: Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Agung Iran (gambar), memulakan sidang kemuncak Pergerakan Negara Berkecuali (Non-Aligned Movement) dengan menyelar "pemerintahan diktator yang jelas" oleh Majlis Keselamatan PBB dalam ucapannya.

"Majlis Keselamatan PBB mempunyai struktur yang tidak rasional, tidak adil dan benar-benar tidak demokratik, dan ini adalah satu pemerintahan diktator yang jelas," katanya.

Iran yang sedang dalam proses perbincangan dengan PBB berkenaan program nuklearnya, menghadapi empat set resolusi Majlis Keselamatan yang mengenakan sekatan ke atas Iran kerana meneruskan program pengayaan uranium.

Khamenei menyatakan bahawa "bilik kawalan dunia [Majlis Keselamatan] adalah di bawah kawalan pemerintahan diktator oleh sesetengah negara Barat" – merujuk kepada ahli-ahli tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Perancis, Britain dan Amerika Syarikat.

Televisyen Iran menunjukkan Ban kelihatan terkejut dan bingung ketika mendengar Khamenei menyampaikan ucapannya.

NAM telah lama menjuarai isu reformasi dalam PBB dengan mengambil kuasa dari Majlis Keselamatan dan memberi kuasa tersebut kepada Perhimpunan Agung PBB, di mana ahli-ahli PBB diwakili dengan lebih baik.

Kritikan Khamenei ke atas pimpinan tertinggi PBB itu adalah berikutan satu mesyuarat yang telah dihadiri beliau dengan Ban pada Rabu lalu di mana pemimpin PBB terus terang memberitahu Iran untuk mengambil langkah-langkah konkrit untuk menyelesaikan isu nuklear.

Isu nuklear

Khamenei juga memberitahu perwakilan bahawa "Saya menegaskan bahawa Republik Islam Iran tidak pernah mengusahakan senjata nuclear," sambil menggelar senjata nuklear sebagai "dosa besar yang tidak boleh dimaafkan".

Tetapi dia berkata Iran "tidak akan melepaskan hak untuk mengusahakan tenaga nuklear yang aman".

Ban menggesa Iran untuk mematuhi resolusi PBB dengan membendung aktiviti nuklearnya, mengatakan bahawa retorik antarabangsa yang makin memuncak mengenai isu ini menjadikan isu ini berpotensi tinggi membawa kepada "peperangan".

Beliau berkata, Iran perlu membina keyakinan dalam program nuklearnya dengan "sepenuhnya mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB dan bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency."

Jika tidak, beliau mengingatkan,"perang mulut ini dengan cepat mampu bertukar menjadi perang keganasan".

Beliau tiba di Tehran Rabu lalu dan bertemu Khamenei dan Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran.

Ban juga tidak mengelak dari menarik perhatian Iran tentang hak asasi manusia di Iran, menyatakan "kebimbangan serius" berkenaan perkara itu.

harakahdaily/-

Iran gesa NAM ambil peranan di Syria

Posted: 31 Aug 2012 11:50 PM PDT

13 Syawal 1433H. [MOD] -

[NAM tidak dapat mencapai persetujuan mengenai krisis yang berterusan di Syria -AFP]

TEHRAN: Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata bahawa negara-negara membangun mempunyai hak yang lebih besar daripada Barat atau PBB untuk membantu menyelesaikan perang sivil yang makin mengganas di Syria.

Komen tersebut dibuat Jumaat lalu di akhir sidang kemuncak NAM di Tehran, persidangan yang melibatkan 120 negara yang tidak cenderung kepada mana-mana kuasa besar dunia semasa Perang Dingin.

Iran berharap untuk menggunakan sidang kemuncak NAM untuk menolak campur tangan asing dalam krisis Syria dan juga untuk menentang usaha Barat menggagalkan program nuklear Iran.

"Pergerakan Negara-negara Berkecuali pasti mempunyai hak politik yang lebih dari AS, NATO atau beberapa negara Eropah untuk campur tangan dalam isu Syria," kata Khamenei.

Beliau tidak mengulas lanjut mengenai peranan yang sepatutnya dimainkan pergerakan tersebut.

Jumaat lalu, Ban Ki-moon, Setiausaha Agung PBB, memberitahu Perdana Menteri Syria, Wael al-Halaqi bahawa peperangan mesti dihentikan di Syria "dengan tanggungjawab utama adalah dari pihak kerajaan untuk berhenti menggunaan senjata berat".

Dalam satu mesyuarat di luar sidang kemuncak NAM dengan Halaqi dan Walid Muallem, Menteri Luar Syria, Ban berkata beliau membentangkan "permintaan supaya semua pihak menghentikan segala bentuk keganasan".

"Apa yang penting pada masa ini ialah semua pihak mesti menghentikan keganasan. Semua pihak yang terlibat menyediakan senjata kepada kedua-dua pihak ... mesti berhenti," ujar Ban ketika sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen Iran.

Tiada perjanjian

Wartawan Al Jazeera, Imran Khan, melaporkan dari Tehran, berkata Menteri-Menteri Luar NAM sebelum ini telah bersetuju dengan draf kenyataan untuk menamatkan krisis di Syria, draf yang mengandungi penentangan campur tangan asing dan mengalu-alukan utusan PBB-Liga Arab, Lakhdar Brahimi.

Bagaimanapun, Khan berkata draf kenyataan itu tidak menjadi kenyataan rasmi dan tidak disebut langsung selepas mesyuarat tertutup ketua-ketua negara yang berlangsung selepas mesyuarat Menteri-Menteri Luar NAM Jumaat lalu.

Khan menegaskan bahawa 'persidangan ini tidak sepatutnya berlegar di sekitar isu Syria ... ia adalah berkenaan resolusi untuk negara-negara membangun ".

"Walau bagaimanapun, Syria telah menjadi isu dominan sepanjang persidangan ini dengan komen dari Presiden Mesir Mohamed Morsi dan komen Ban Ki-moon," katanya.

Khamis lalu, Morsi berkata ia merupakan "kewajipan etika" untuk menyokong rakyat Syria menentang "rejim yang menindas" di Damsyik.

Komen beliau itu mencetuskan protes dari delegasi Syria, apabila mereka melangkah keluar dari dewan persidangan.

Pertempuran terus berlarutan

Pertempuran sengit terus berlarutan di utara Syria Jumaat lalu dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (International Committee of the Red Cross) memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di sana makin merosot dengan cepat.

Pertempuran berlaku di bandar Aleppo, yang terletak 50km dari sempadan Turki. Kumpulan penentang pula menyerang pangkalan udara Abu Zohur di wilayah Idlib di mana mereka mendakwa mereka menembak jatuh sebuah kapal terbang perang MiG Khamis lalu, lapor sebuah kumpulan hak asasi.

Pertempuran itu antara pertempuran yang paling sengit, melibatkan kumpulan penentang dan askar tentera di Albu Kamal, sebuah bandar di wilayah timur Deir Ezzor, kata Rami Abdel Rahman, pengarah Badan Pemerhati Hak Asasi Syria.

"Kumpulan penentang telah merampas beberapa pos kawalan tentera, termasuk satu pangkalan di lapangan terbang tentera Hamdan," Abdel Rahman memberitahu agensi berita AFP.

Konflik di Syria telah mengorbankan lebih daripada 26,000 nyawa sejak ia bermula Mac tahun lalu, menurut Badan Pemerhai Hak Asasi Manusia Syria, sebuah kumpulan aktivis yang berpusat di UK.

Iran, sekutu utama Presiden Syria Bashar al-Assad, menuduh Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar dan Turki membekal senjata kepada Syria.

Kumpulan penentang Syria dan pegawai-pegawai AS pula mendakwa bahawa Iran memberi bantuan ketenteraan kepada Assad.

harakahdaily/-

Tiada ulasan:

Nuffnang