Sabtu, 1 September 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Jelajah Merdeka Rakyat Diserang Samseng Di Kota Bharu

Posted: 01 Sep 2012 12:34 AM PDT

Malaysiakini

Salah sebuah bas yang digunakan dalam program Jelajah Merdeka Rakyat PKR dikesan disimbah dengan cat merah dalam satu kejadian di Kota Bharu.

Naib presiden parti itu, Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku pada kira-kira jam 4.20 pagi ketika bas tersebut diparkir di hadapan Pasar Siti Khadijah di bandar tersebut.

“Petugas KeadilanEventSpecialist yang tidur di dalam bas kempen dikejutkan oleh bunyi kuat. Apabila mereka memeriksa sekitar bas, mereka mendapati cermin depan bas di sebelah pemandu telah pecah di bahagian atas dan bawah.

“Sisi depan bas di bahagian pemandu juga telah disimbah dengan cat merah. Tinjauan awal petugas PKR mendapati beberapa ketul bata simen telah dilontarkan ke arah sisi depan bas bahagian pemandu.

“Kantung plastik yang diisi dengan cat merah juga telah dilontarkan ke arah sisi depan bas bahagian pemandu.

“Jelas, serangan yang dibuat memang mensasarkan bahagian pemandu. Saya berani menyimpulkan bahawa serangan ini dirancang agar bahagian pemandu rosak dan seterusnya menghalang perjalanan bas ini dan membantutkan program Jelajah #merdekarakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmin berkata, bas berkenaan kini ditahan di Balai Polis Kota Bharu untuk siasatan selepas satu laporan polis dibuat pada jam 5.14 pagi ini di balai berkenaan.

Pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden berkenaan masih belum dikenalpasti buat masa ini namun Anwar dalam satu tulisan di Twitter berkata ia adalah perbuatan “samseng bermaharajalela”.

Anwar berkata, serangan berkenaan bagaimanapun tidak mengganggu acara yang disusun dalam program berkenaan.

Beliau antara lainnya hari ini mengikuti satu program solat dan zikir di Salor, dan seterusnya ke kediaman menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk minum pagi.

“Serangan samseng tidak harus ganggu acara,” katanya.

Kelantan merupakan lokasi kedua dalam program tiga hari yang menumpukan kawasan pengundi Melayu itu.

Sebelum itu, Anwar yang ditemani isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga presiden PKR mengunjungi Bentong, Pahang dalam program yang disertai 300 orang.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah pengarah komunikasinya Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengarah strategi, Rafizi Ramli.
Program bersama bas berkenaan semalam juga meliputi kawasan Kuala Lipis, Gua Musang dan Tanah Merah.

Program berkenaan dirancang untuk meliputi lima negeri – Pahang, Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis dengan 20 acara rasmi di pelbagi lokasi.

Bas Jelajah Merdeka Rakyat Diserang

Posted: 31 Aug 2012 04:17 PM PDT

Pada awal pagi tadi sekitar jam 5 pagi, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang kini dalam rangka perjalanan ke Pahang, Kelantan, Kedah dan Perlis telah diserang berdekatan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.

Menurut kemaskini Twitter oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, cermin bas tersebut telah dipecahkan dan cat merah disimbah pada bas tersebut. Insiden ini disyaki didalangi oleh samseng upahan.

Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu sebentar tadi dan pihak polis telah memberi jaminan akan menjalankan siasatan segera berhubung insiden ini.

Susulan dari itu, satu sidang media khas juga akan diadakan pada jam 11 pagi ini di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya oleh Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

PEJABAT DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

Sekarang Masa Untuk Kembali Tuntut Kemerdekaan

Posted: 31 Aug 2012 12:32 PM PDT

KeadilanDaily

Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat pejuang kemerdekaan adalah untuk memberikan kebebasan kepada rakyat sepertimana terkandung dalam perisyhtiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

"Sebab itu disebut oleh Almarhum Dr Burhanuddin Al Helmy – 'Di bawah robohan Melaka, kita dirikan jiwa merdeka. Tapi, sampai hari ini rakyat seperti tidak merdeka.

"Ketika sebelum mencapai kemerdekaan, penjajah menjarah kekayaan negara untuk dibawa pulang ke tanah jajahan. Hari ini, aset negara diagih-agihkan sesama kroni Umno-BN untuk menimbun kekayaan.

"Apa dia janji yang diucap Bapa Kemerdekaan pada malam 31 Ogos 1957? Untuk menjamin kebebasan. Untuk menjaga hubungan rakyat antara kaum. Hal yang ini pun belum tercapai

"Zaman Inggeris ada akhbar, bebas kritik penjajah. Zaman Umno, tak bebas, tak boleh kritik.

"Sekarang adalah masa untuk kita tuntut kembali kebebasan itu," kata Anwar di hadapan 300 hadirin pada jamuan hari raya Keadilan Bentong di Taman Meranti, hari ini.

Tambahnya, paling kritikal ketika ini adalah ketidaksamaan ekonomi, dengan jurang pendapatan golongan kaya-miskin semakin melebar.

"Semua kena hutang. Orang miskin dipaksa bayar. Tapi, bila Menteri hutang tak mengapa. Ini tak betul.

"Tidak boleh ada anak Melayu, anak Cina atau anak India yang nak masuk belajar, tapi sampai berhutang, kena pinjam PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara).

"Sebab itu Pakatan Rakyat mahu bawa perubahan, mahu beri penerangan," kata Anwar, merujuk jelajah 'Merdeka Rakyat' yang dilakukan Keadilan.

Tiada ulasan:

Nuffnang