Isnin, 6 Ogos 2012

Dr Siti Mariah Mahmud

Dr Siti Mariah Mahmud


Royalti, Mahkamah Rakyat dan Rakyat Hakim Negara

Posted: 06 Aug 2012 03:04 AM PDT


Isu royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan kembali menjadi perbualan hangat apabila Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Isu ini mula timbul sebaik sahaja PAS berjaya menawan negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke 11 tahun 1999. 

Pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed, Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu dan menggunakan kaedah baru yang dikenali "Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan" tanpa menyalur terus kepada kerajaan negeri lima peratus royalti petroleum.

Malahan Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa "pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan". 

Lebih malang lagi ada menteri dan pimpinan Umno negeri Terengganu sendiri yang sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa perjanjian antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas hanyalah merupakan suatu MOU sahaja. 

Begitu juga apakah yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri PAS Kelantan. 

Kalangan kepimpinan Umno juga menyatakan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. 

Malahan menurut pimpinan Umno, dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri. 

Sebab itulah Kelantan hanya layak menerima "wang ehsan" sebanyak RM20 juta setahun yang disalurkan terus kepada rakyat Kelantan melalui ajensi kerajaan pusat iaitu Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Dalam pertikaian isu royalti ini, kerajaan PAS Terengganu telah menfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan kerajaan Persekutuan untuk menuntut kembali royalti minyak berdasarkan kepada perjanjian yang di tandatangani pada tahun 1975. 

Bayaran tersebut perlu dibuat mengikut Akta Petroleum 1974 yang membolehkan setiap negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum.

Kerajaan Pas Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz turut memfailkan saman terhadap Petronas bagi menuntut tunggakan pembayaran royalti dan bayaran masa hadapan bagi hasil petroleum yang diperoleh di luar pantai negeri berkenaan yang tidak dibayar sejak 2004. 

Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Bagi saya apa yang berlaku bukanlah isu hasil minyak yang diperolehi itu berada samada di dalam atau diluar tiga nautika dari persisir pantai negeri. 

Kenapa ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak? Apa yang dilakukan adalah kerana dendam dan diskriminasi politik yang berjalan sejak berpuluh-puluh tahun serta berniat meyiksa rakyat yang telah memberi mandat kepada PAS memerintah negeri. 

Lebih parah lagi mereka sanggup menghina dan menghukum rakyat Terengganu dan Kelantan yang 96 peratus adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Namun apa yang telah berlaku di negeri Terengganu adalah merupakan suatu pengajaran besar kepada seluruh rakyat Kelantan yang cintakan keadilan. 

Sepanjang wang royalti Terengganu di rampas oleh kerajaan Persekutuan Umno/BN dan diletakkan dibawah 'Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan' negeri Terengganu sepatutnya berhak menerima royalti berjumlah lebih dari RM15.4 billion dari tahun 2000-2009.

Malah jika diperincikan perbelanjaan 'wang Ehsan' yang diuruskan Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh 11 tahun royalti yang di nafikan kepada kerajan Terengganu, mereka berbelanja berbilion-bilion semewah-mewahnya melalui projek-projek seperti pembinaan Taman Tamadun Islam,  Masjid Kristal, Monsoon Cup serta Stadium Sultan Mizan yang runtuh bumbungnya. Begitu juga dengan pembinaan Zoo di Kemaman yang menelan belanja RM100 juta.

Wang ihsan yang kononnya untuk membantu golongan miskin seperti nelayan, petani, penarik beca di Terengganu di jaja secara meluas sehinggakan rakyat Terengganu di perangkap dan terpenjara dengan 'budaya subsidi' Umno/BN. 

Rakyat terus dihimpit kemiskinan dan Trengganu mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi iaitu 17.3 peratus dengan rakyatnya kebanyakannya hidup miskin, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, walaupun pendapatan per kapita Terengganu adalah yang kedua tertinggi di seluruh negara.

Umno/BN telah sejak berpuluh tahun melakukan sabotaj dan menganak-tirikan kerajaan pimpinan PAS. Mereka sanggup mencabul prinsip demokrasi berparlimen dan konsep Federalisma walaupun bertentangan dengan perlembagaan negara kita sendiri.  

Namun,  'Mahkamah rakyat' yang akan menjadi penentu.  Biarlah rakyat yang menjadi hakim dan membuat penghukuman terhadap siri kezaliman pemimpin-pemimpin Umno/BN terhadap pemerintahan Tok Guru di Kelantan sekarang ini.

Tiada ulasan:

Nuffnang