:: cina islam | 2011 :: |
- Ust. Fadzil kata tak bulo’ pada Dr M
- Kekejaman Bashar berterusan
- Maik: Ada sesuatu yang wajib dibaiki
- Lelaki ‘kaya’ disembelih
- Proses migrasi dipercepat jika air di bawah negeri
- Khutbah hasilkan perpecahan dakwaan melampau
- Himpunan bantah guna sianida di Raub 2 Sept
- Iran anjur 'bersih dunia dari senjata nuklear'
- Zunar adakan pameran solo pertama di Malaysia
- Nasharudin: Majlis Syura bincang dalam agenda lain2 hal
- Anwar: Jika jadi PM, saya tak tinggal di Putrajaya
- Assange: UK tarik balik ancam serbu kedutaan Ecuador
Ust. Fadzil kata tak bulo’ pada Dr M Posted: 27 Aug 2012 01:20 AM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - PAS ada pengalaman menyertai BN pada zaman Tun Razak. Apabila Tun Razak mati, siapa dalam Umno yang menghormati persetujuan dan janji Tun Razak itu? Tuntutan melaksanakan syariah telah ada ketika PAS menyertai BN. Mengapa Umno tidak mengambil kesempatan itu untuk melaksanakan syariah? Sebaliknya Dr Mahathir menjuarai menyingkirkan PAS? Mengapa lebih 30 tahun kemudian baru Mahathair menyarankan semula kiranya PAS masuk maka hudud akan dilaksnakan? Adakah sudah dia dekat nak mati baru dia teringat? Dan jika Umno hendak melaksanakan hudud, apa perlu ia menunggu PAS masuk Umno? Mengapa tidak ia buat saja? Seperti Perdana Menteri, Najib war-warkan sekarang ia hendak transformasikan Umno dengan wasatiah dan hendak laksanakan maqasid syariyah. Buatlah hudud sama dalam apa yang dijajanya itu. Mursyidul Am, Tok Guru Nik Aziz selalu sebut, jika Umno laksanakan Islam, beliau akan bubarkan PAS. Walaupun saya tidak setuju dengan Tok Guru Nik Aziz, pada saya PAS mesti dikekalkan bagi memastikan dari luar Umno benar-benar melaksanakannya, tetapi Tok Guru sudah membayang beliau tiada halangan untuk bersama Umno. Paling tidak, Tok Guru Nik Aziz akan masuk Umno. Kalau beliau masuk Umno kerana syariyah termasuk hudud, maka apa lagi yang tinggal dengan PAS? Masalahnya ialah, bolehkah Dr Mahathir dan Umno dipercayai? Kedua-duanya tidak boleh dipercayai. Dr Mahathir pernah tipu Tengku Razaleigh hidup-hidup. Ku Li bubarkan S46 dan masuk Umno, dia kepung Ku Li dan ikat kaki dan tangannya. Bila dia buang Tun Ghafar dari TPM dan Timbalan Presiden Umno, dia tidak cuba Ku Li menjadi ganti. Bila dia buang Anwar Ibrahim dia tidak peduli langsung Ku Li. Tak usah Dr Mahatahir tipulah PAS. PAS 'tak bulo'. Jika Dr Mahathir sudah sukakan hudud, apa salahnya dia masuk PAS dan ajak Umno masuk PAS? HARAKAHDAILY/- |
Posted: 27 Aug 2012 01:13 AM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - GAMBAR yang diedarkan Jawatankuasa Koordinasi Syria semalam menunjukkan mayat beberapa kanak-kanak yang dibunuh rejim Presiden Bashar Al-Assad di Daraya, dekat Damsyik. DAMSYIK - Beberapa ratus mayat ditemui di bandar Daraya dekat sini selepas serangan besar-besaran tentera Syria, kata sebuah kumpulan pemerhati semalam. Satu klip video menunjukkan sejumlah mayat diletakkan dalam beberapa barisan di sebuah masjid di Daraya selepas askar-askar rejim Presiden Bashar Al-Assad (gambar kecil) menggempur pemberontak di pinggir bandar raya ini. Semua yang terbunuh, kata kumpulan tersebut, merupakan mangsa serangan tentera Syria selama lima hari ke atas Daraya bagi menghapuskan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA). Beberapa pejuang FSA memuat naik klip video tersebut yang bertajuk 'Pembunuhan beramai-ramai di Masjid Abu Sleiman Addarani di Daraya'. Rakaman itu menunjukkan berpuluh-puluh mayat disusun di dalam beberapa buah bilik di kompleks masjid berkenaan. "Pembunuhan beramai-ramai yang amat kejam ini dilakukan oleh konco-konco rejim Bashar di dalam Masjid Abu Sleiman Addarani," kata ulasan yang mengiringi klip video berkenaan. "Lebih 150 nyawa melayang dalam kempen keganasan oleh kumpulan-kumpulan militia Bashar di bandar ini (Daraya)," tambah komentar tersebut. Dalam perkembangan berkaitan Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 320 mayat ditemui kelmarin dan semalam termasuk mangsa pembunuhan beramai-ramai di Daraya. Beberapa kumpulan aktivis di negara berkenaan menyifatkan klip video tersebut sebagai bukti kekejaman yang dilakukan oleh rejim Bashar. Menurut mereka, Bashar bertindak kejam kerana membenarkan rejimnya membunuh dan membakar mayat penduduk Daraya. "Bashar membenarkan militia rejimnya, Shabiha, menjadi mesin pembunuh," kata satu kenyataan kumpulan aktivis berkenaan, Jawatankuasa Koordinasi Tempatan (LCC). Beberapa pertubuhan hak asasi manusia pula menuduh rejim Bashar melakukan banyak kekejaman sejak kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahannya bermula pada Mac lalu. Pada awal bulan ini, sebuah panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan rejim Bashar turut bersalah melakukan jenayah kemanusiaan. Stesen televisyen Syria melaporkan Daraya yang mempunyai sekitar 200,000 penduduk kini 'dibersihkan' daripada saki baki pengganas FSA. Tentera Bashar dalam pada itu mendakwa ia berjaya menguasai sebahagian besar bandar raya ini selepas pertempuran sengit selama dua minggu. Beberapa aktivis menyifatkan serangan ke atas Daraya sebagai usaha untuk menghapuskan sama sekali penentangan di ibu kota Syria berkenaan. "Rejim Bashar menyekat bekalan asas ke Daraya dan membedil bandar ini dengan menggunakan senjata berat dan jet pejuang," kata LCC. "Selepas itu, geng-geng pembunuh (militia Shabiha) memasuki bandar ini dan melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya sebelum mengerat dan dan membakar mayat-mayat mangsa," tambah kumpulan itu. Sebelum ini, rejim Bashar dituduh bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar Houla, tengah Syria pada Mei lalu. Seramai 108 orang termasuk 49 kanak-kanak dibunuh dalam tragedi berkenaan yang mengejutkan dunia. Setakat ini, PBB menyatakan angka kematian di Syria melebihi 17,000 orang. Badan dunia itu memberi amaran krisis kemanusiaan kini menanti 200,000 pelarian Syria di beberapa negara jirannya dan 2.5 juta penduduk negara itu. Sementara itu, utusan antarabangsa baharu ke Syria, Lakhdar Brahimi yang akan mengambil alih tempat Kofi Annan pada bulan depan memberitahu bahawa beliau 'bimbang' berhubung tugas besar untuk menamatkan konflik di Syria. Semalam, Syria memberi amaran kepada Brahimi supaya tidak mengikuti jejak yang sama dengan Annan. Akhbar negara itu, Ath-Thawra menuduh bekas Setiausaha Agung PBB berkenaan sebagai tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Barat. Annan berundur pada bulan lalu selepas pelan damainya untuk Syria menemui kegagalan. - AFP |
Maik: Ada sesuatu yang wajib dibaiki Posted: 27 Aug 2012 01:02 AM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - Pepatah Inggeris menyebut, revenge is a dish best served cold. Maksudnya dendam ialah hidangan yang terbaik jika dihidangkan dalam keadaan sejuk. Khabarnya disebut oleh Shakespeare, ia bermaksud seseorang yang ingin membalas dendam perlu melakukannya dalam keadaan dirinya tidak dikuasai emosi. Pembalasan dendam boleh dirancang dengan teliti dan penuh strategi. Dalam keadaan tiada siapa yang menduga di sebalik senyuman manis yang diukir secara bermuka-muka, pembalasan dendam akan disempurnakan. Di waktu itu, ia lebih sempurna berbanding jika dendam dilepaskan ketika dikuasai emosi. Di dunia ini, ramai yang mengambil pendekatan begini. Sekalipun sewajarnya dengan usia yang begitu lama berada bersama-sama, pahit manis dijunjung bersama, tetapi rupa-rupanya dalam berkawan, tangan masih menggenggam keris. Leka sedikit mata memerhati, hujung belikat menjadi mangsa. Orang begini biasanya manis senyumannya lebih daripada orang lain, bahkan jika bersalam hampir tunduk mencium lutut. Bukan tujuan saya untuk menujukan kepada sesiapa, ia hanya lumrah di dalam alam ini tanpa mengira masa dan tempat. Saya datangkan pepatah ini hanya sebagai perbandingan. Saya teringat tentangnya apabila membaca laporan Harakahdaily pada 26 Ogos 2012 di bawah tajuk Khutbah Raya: Pihak mana sebenarnya berpolitik. Rupa-rupanya masalah di MAIK yang berlaruran sejak dahulu masih belum selesai sekalipun sudah bertukar teraju jawatan Yang Dipertua kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan. Permainan ini tetap berterusan yang saya yakin tanpa pengetahuan pihak Yang Teramat Mulia sendiri. Bacalah laporan tersebut, ia dengan jelas menggambarkan kekecewaan anak muda Kelantan terhadap isu manipulasi teks khutbah yang sedang berlaku sekarang. Petikan-petikan seperti "Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan" jelas sekali 'atas darat' ditujukan kepada himpunan BERSIH yang diwar-warkan sebagai pencetus kepada huru hara. Begitu juga dengan petikan seperti, "Kenapa kita perlu dan bersungguh-sungguh untuk terus menerus membelah bangsa Melayu, umat Islam kepada belahan-belahan, kepada kabilah-kabilah yang boleh melemah dan merosakkan umat Islam, pada hal bangsa Melayu pada keseluruhannya adalah bangsa yang mempunyai potensi untuk membangunkan Islam, untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.." Dari sudut maksudnya tidaklah salah tetapi dalam suasana politik hari ini yang semua pihak pandai membaca akhbar dan menonton televisyen, masyarakat tahu di atas kepala siapa batu ini mahu dilemparkan. Saya kira, sewajarnya zaman berlindung di dalam pagar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk kepentingan politik telah berlalu. Paling tidak, tunjukkan budaya profesional dalam mengarang teks khutbah. Dalam hal solat di jalanan, perlu diingatkan bahawa sunnah Rasulullah SAW di dalam mengerjakan solat hari raya ialah di padang dan di tempat yang terbuka, bukannya di masjid. Benar, ia bukanlah hal utama untuk dibincangkan di sini, tetapi merendah-rendahkan solat di jalanan di dalam khutbah Idulfitri menampakkan bahawa panel khutbah agar kurang sensitif bila berbicara tentang ibadat yang ada tatacaranya di dalam sunnah Rasulullah SAW! Hakikatnya, ada pihak yang memainkan peranan mengarang teks khutbah sedemikian rupa untuk dibaca oleh para imam. Jika imam mengubahnya, tindakan bakal dikenakan. Ia lebih jelas lagi di dalam teks khutbah khas sempena hari kemerdekaan 31 Ogos ini yang telah diedarkan kepada para imam. Bacalah petikannya : "Di kalangan orang-orang Melayu sering menyebut madah kata daripada Hang Tuah, bahawa tidak Melayu akan hilang di dunia, namun tidak ada jamiman sesuatu bangsa dapat mempertahankan dan mengekalkan kuasa dan kedudukannya apa lagi kalau bangsa Melayu sendiri pun sudah benci mendengar perkataan Melayu, sudah tidak bangga lagi jadi Melayu. Bukankah sudah banyak umat, bangsa yang terusir dari tanah air sendiri malah bukan sedikit yang telah hilang ditelan zaman?" Orang yang celik politik tahu untuk siapa ayat-ayat di atas ditujukan. Pemimpin mana yang pernah didakwa tidak bangga menjadi Melayu kalau tidak YAB Tuan Guru Menteri Besar sendiri? Inilah yang telah dimanipulasi laporannya oleh Utusan Malaysia pada 19 September 2010 di bawah tajuk Nik Aziz tak bangga jadi bangsa Melayu? Sedangkan hakikatnya kenyataan Tuan Guru ialah "saya tidak bangga menjadi Melayu tetapi saya bangga menjadi Islam..". Sama sekali Tuan Guru tidak anti Melayu, tetapi kenyataan tersebut hanyalah bertujuan meletakkan nilai agama melebihi nilai bangsa. Ia sama seperti seorang ayah berkata kepada anaknya, "Ayah tidak bangga kamu belajar tinggi-tinggi, tetapi bangga jika kamu berakhlak mulia.." Sindiran sebegini sangat jelas mesejnya di dalam teks khutbah yang akan dibaca 31 Ogos ini. Saya hanya menukilkan satu ayat sahaja dari teks khutbah yang kita sendiri akan dengar kandungannya pada hari kemerdekaan ini nanti. Yang jelas, ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh teks ini. Bukanlah telinga saya alergic dengan perkataan Melayu bahkan saya dilahirkan sebagai seorang Melayu. Namun, mengulangi berkali-kali nama Doktor Burhanuddin Helmi yang diperkenalkan sebagai TOKOH KEBANGSAAN MELAYU bersama-sama petikan di atas tidak syak lagi ada agenda yang tersendiri. Saya hanya menukilkan contoh sahaja. Permainan politik di dalam teks khutbah yang diwajibkan ini hakikatnya bukan rahsia lagi. Dikhabarkan pemainnya hanya beberapa orang sahaja, tetapi masih tidak malu-malu bersembunyi sambil melontarkan batu. Saya kira masa sudah tiba untuk melakukan usaha pembersihan. Tunjukkan sahaja pintu keluar. HARAKAHDAILY/ |
Posted: 26 Aug 2012 09:50 PM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - USUNG...polis mengusung mayat mangsa (gambar kecil) yang mati dipercayai disembelih di dalam bilik tidur. BALIK PULAU: Seorang lelaki tidak sempat membelanjakan wang hasil jualan tanahnya berjumlah ratusan ribu ringgit selepas dibunuh dengan kejam apabila disembelih dalam keadaan tangan terikat di rumahnya di Mukim A, Kampung Sungai Pinang, di sini, semalam. Mayat Ghadzali Ahmad, 52, ditemui terbaring tanpa baju dan hanya berkain pelekat oleh seorang rakannya, di atas lantai bilik tidurnya, pada jam 10 pagi. Rakannya itu dikatakan datang ke rumah mangsa yang masih bujang untuk membawanya ke sebuah hospital swasta bagi membantunya mendapatkan rawatan penyakit asma dihidapinya. Bagaimanapun, selepas beberapa kali memanggil, rakan mangsa hairan kerana tidak bersahut lalu meninjau ke dalam rumah melalui tingkap dan ternampak Ghadzali terbaring berlumuran darah lalu menghubungi polis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan menemui sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menyembelih mangsa. metro/- |
Proses migrasi dipercepat jika air di bawah negeri Posted: 26 Aug 2012 09:44 PM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: "Sekiranya penstrukturan industri air dapat dilaksanakan dan pengagihan bekalan air adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, proses migrasi ini boleh dipercepatkan," kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar A. Samad. Jelasnya dalam satu kenyataan, migrasi adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Syabas. Pada awalnya, kata beliau Syabas memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik barulah migrasi boleh dijalankan. Tetapi, ujarnya setelah diadakan perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan Syabas, Syabas telah bersetuju agar peratus ini dikurangkan. Menurutnya, dan ketika Syabas dipanggil ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) awal tahun ini, CEO Syabas, Datuk Lee Miang Koi berjanji kepada Menteri Besar untuk membenarkan 2 sistem di dalam sebuah pangsapuri, satu sistem meter pukal dan satu sistem meter individu. Kata beliau, ini bermakna bagi pemilik yang tidak memberi kerjasama untuk migrasi akan menggunakan meter pukal dan tidak akan mendapat air percuma 20 meter padu, sementara mereka yang bekerjasama akan menggunakan meter individu dan akan mendapat air percuma. "Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan 2 program untuk memudahkan penduduk di pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal mendapat air percuma iaitu Program Kupon Air dan Program Lapor Dan Dapat. "Program Kupon Air ini terlalu rumit dan telah digantikan dengan Program Lapor Dan Dapat pada bulan Mac tahun ini," jelasnya yang juga Adun Chempaka. Iskandar menambah, bagi Program Lapor Dan Dapat, penduduk melalui JMB atau MC perlu melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan PBT akan memberitahu Syabas untuk memberi potongan pada bil meter pukal. Katanya, JMB atau MC kemudian akan membuat potongan 20 meter padu pada bil-bil individu setiap kediaman. Menurutnya, setelah dilaksanakan Program Lapor Dan Dapat, hanya 12 pangsapuri kos rendah yang belum mendapat air percuma 20 meter padu. Selepas ini, ujarnya Program Lapor Dan Dapat ini akan diperluaskan ke pangsapuri kos sederhana seperti Mentari Court yang menjadi tumpuan media sekarang. "Saya menasihatkan penduduk mendesak JMB dan MC mereka supaya mempercepatkan penyertaan mereka ke dalam Program Lapor Dan Dapat dengan mengisi borang yang khas yang disediakan. "Ia hanya memerlukan seorang AJK JMB atau MC pergi ke pejabat PBT dan mengisi borang tersebut yang hanya mengambil masa 10 minit," katanya. Dalam kes Mentari Court itu, ujar beliau proses migrasi adalah dalam peringkat akhir. Beliau menjelaskan bahawa sebarang ketidakpuasan hati perlulah ditujukan kepada Syabas. Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan Syabas agar proses migrasi ini dipercepatkan. Justeru, kata beliau sekiranya penstrukturan industri air dapat dilaksanakan dan pengagihan bekalan air adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri, proses migrasi ini boleh dipercepatkan. "Kerajaan negeri buat masa ini tidak akan membayar tunggakan kepada mereka yang tidak mendapat air percuma. Perkara telah saya jelaskan semasa Sidang Dewan Negeri pada bulan Mac lepas," ujarnya. harakahdaily/- |
Khutbah hasilkan perpecahan dakwaan melampau Posted: 26 Aug 2012 09:29 PM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Isu khutbah yang dibangkit Ibrahim Ali adalah satu tuduhan yang melulu dan tidak benar sama sekali serta berniat jahat untuk melagakan kerajaan negeri pimpinan PAS dengan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik). Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Hasan Mahmood berkata, bagi mana-mana pihak yang meneliti isi khutbah tersebut, sekalipun ia adalah keluaran Dewan Ulama PAS namun tidak satu pun nama pertubuhan politik yang disebut sama ada PAS mahupun Umno. "Sebaliknya, sebagaimana tajuk yang tertera pada khutbah iaitu menentang kerosakan dan kezaliman di dalam negara adalah jihad yang paling afdhal. "Khutbah secara umumnya mengajak umat Islam agar sentiasa berjihad dan jihad paling utama dalam konteks masa kini adalah jihad untuk mempertahankan Negara umat Islam daripada kezaliman dan kerosakan yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak. "Kenyataan ini sebagaimana yang diucapkan oleh ulama terulung dunia Islam iaitu Prof. Doktor Yusof Al-Qaradhawi, penerima anugerah tokoh maal hijrah oleh kerajaan Malaysia dalam kitab beliau min fiqh daulah," katanya. Presiden Perkasa dan juga ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 24 Ogos mendakwa kandungan khutbah Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan berunsur perpecahan dan berbaur politik. (gambar) Tambah Hassan, khutbah tersebut juga mengajak agar masyarakat memanfaatkan sistem demokrasi dalam negara Malaysia untuk mendaulatkan Islam di tempat yang tertinggi sesuai dengan kedudukannya yang mulia. Selain itu, khutbah Dewan Ulama PAS mengambil pendekatan yang berbeza dengan teks-teks khutbah lain dengan menyeru umat Islam agar dapat menggunakan saluran Pilihanraya untuk memilih calon yang dapat menjalankan tangungjawab yang diamanahkan sebagaimana yang dianjurkan oleh Agama sekaligus menjadikan ia sebagai aspek terpenting dalam pentadbiran Negara. Perkara ini diingatkan oleh Dewan Ulamak PAS sebagai kandungan penting Agama dan bukannya sebagai agenda politik kotor sebagaimana didakwa. Beliau juga turut menyelar kenyataan pengasas pondok genting tumpat, Abdullah saamah sebagaimana yang dilaporkan oleh Mingguan Malaysia bertarikh 26 Ogos yang mengaitkan kerajan PAS Kelantan dengan membenarkan imam dan khatib membaca khutbah Aidilfitri yang berunsur politik serta membawa anasir perpecahan umat Islam. Tindakan beliau ini seolah-olah hanya menjadi 'pak turut' kepada Ibrahim Ali yang hanya pandai menuduh tanpa usul periksa. Beliau sebelum ini lantang dengan 'fatwa'nya yang penuh kontroversi apabila menyatakan DAP adalah kafir harbi dan haram mengundinya. harakahdaily/- |
Himpunan bantah guna sianida di Raub 2 Sept Posted: 26 Aug 2012 09:14 PM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa ahli-ahli dan penyokong PAS serta seluruh pencinta alam sekitar agar menyertai Himpunan Hijau Raub pada 2 September ini di Taman Tasik, Jalan Bukit Koman bermula jam 2 petang. Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata, perhimpunan tersebut penting bertujuan menuntut dihentikan penggunaan bahan kimia berbahaya sianida (cyanide) dalam proses perlombongan emas di Bukit Koman, Raub. "PAS Pahang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Daerah Raub kerana memberi kebenaran perhimpunan di samping bersedia mengawal lalu lintas semasa perhimpunan. "Perhimpunan Hijau yang dianjurkan Pakatan Rakyat bersama beberapa NGO seluruh negara mensasarkan kehadiran 5,000 orang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang di sini semalam. Tambahnya, selepas perhimpunan aman itu seramai 8 orang ahli jawatan kuasa bertindak akan bergerak menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak pengurusan lombong emas Bukit Koman. "PAS berharap pengurusan syarikat lombong emas dan pihak kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap isi tuntutan memorandum tersebut itu nanti," katanya. Lombong emas Bukit Koman diusahakan oleh Raub Australian Gold Mine (RAGM) telah menggunakan sianida dalam proses pengekstrakan emas yang membahayakan nyawa. Sejak mula beroperasi pada Februari 2009 dikatakan memberi kesan ke atas lebih 300 penduduk berhampiran jatuh sakit, khususnya Kampung Bukit Koman yang mengadu mengalami masalah kegatalan kulit melampau, kesukaran bernafas dan pelbagai kesan lain ekoran penggunaan bahan kia tersebut. Namun semua aduan dan rayuan yang dibawa ke pihak berkuasa tidak mendapat perhatian sewajarnya malah kerajaan terus membenarkan kilang tersebut beroperasi 24 jam sehari tanpa henti. Sementara itu Setiausaha PAS Kawasan Raub Dr Nilam Manaf, meminta orang supaya datang awal kerana PAS Raub akan mengadakan jamuan terbuka Aidilfitri pada sebelah pagi bertempat di Markas Gali Tengah. harakahdaily/- |
Iran anjur 'bersih dunia dari senjata nuklear' Posted: 26 Aug 2012 09:07 PM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - TEHRAN: Ketika Barat mengecamnya kerana didakwa sedang membuat bom atom, Iran membuka tirai sidang kemuncak yang menghimpunkan lebih daripada 120 negara yang menggelar diri mereka 'berkecuali', dengan rayuan untuk membersihkan dunia dari senjata nuklear. Antara yang dijangka akan menghadiri sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (Non Aligned Movement), yang bermula Ahad lalu tetapi secara rasminya bermula bermula pada Khamis depan, termasuklah Ban Ki-moon, Setiausaha Agung PBB, dan Manmohan Singh, Perdana Menteri India. India kekal sebagai pelanggan minyak Iran dalam situasi Tehran berhadapan sekatan Barat atas tuduhan program nuklearnya. Iran akan menggunakan perhimpunan selama seminggu ini, termasuk sidang kemuncak dua hari yang dihadiri pemimpin pelbagai negara, sebagai wadah mempamerkan hubungan global negara tersebut dan usaha mereka dalam mencabar pengaruh Barat dan sekutu-sekutunya. Ali Akbar, Menteri Luar Iran, membuka perhimpunan tersebut dengan menyatakan komitmen kepada matlamat Pergerakan Negara-Negara Berkecuali sebelum ini iaitu untuk menghapuskan senjata nuklear di dunia dalam tempoh 13 tahun. "Kami percaya bahawa jadual untuk menghapuskan secara mutlak senjata nuklear sebelum tahun 2025, seperti yang telah dicadangkan oleh NAM, hanya dapat direalisasikan jika kita mengikutinya dengan komited," katanya kepada perwakilan. Iran menegaskan program nuklearnya adalah bertujuan untuk menjana tenaga untuk kegunaan awam, tetapi Amerika Syarikat dan sekutunya takut bahawa pengayaan uranium Tehran akhirnya boleh membawa kepada peringkat senjata peperangan. Tehran sedang menghadapi kesulitan kerana hukuman berat yang dikenakan ke atas perbankan dan eksport minyak negaranya, langkah-langkah Barat yang diharapkan akan memaksa Iran untuk mengaku bersalah. Israel, yang berkata ia menghadapi ancaman kewujudan dari Iran, telah membayangkan untuk menggunakan pilihan ketenteraan jika diplomasi dan tekanan ekonomi gagal untuk membendung cita-cita nuklear Tehran. Salehi mengkritik Israel kerana bertindak di luar perjanjian utama PBB untuk mengawal penyebaran teknologi nuklear. Israel enggan untuk membincangkan keupayaan ketenteraan mereka, tetapi dipercayai umum bahawa mereka mempunyai senjata nuklear. Sekutu Iran Korea Utara telah menarik diri dari Perjanjian Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (Nuclear Non-Proliferation Treaty). Menteri Luar Korea Utara Paek Nam Ahd. tiba di Tehran pada Ahad lalu untuk menghadiri persidangan tersebut. Hamas dikecualikan Sementara itu, agensi berita Iran berkata sekutu Iran, Perdana Menteri Palestin dari Hamas tidak dijemput untuk mesyuarat itu. Mehr dan ISNA memetik Mohammad Reza Forqani, jurucakap sidang kemuncak, sebagai berkata bahawa Ismail Haniyeh tidak dijemput untuk persidangan ini. Tetapi pejabat Haniyeh di Gaza berkata beliau merancang untuk berangkat ke Tehran pada hari Isnin sebagai tetamu Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad. Laporan yang bercanggah berkenaan rancangan Haniyeh mengambarkan situasi rumit delegasi Palestin ke perhimpunan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata beliau tidak akan hadir jika Haniyeh juga turut hadir ke sidang tersebut. Hamas, yang disokong Iran menguasai Gaza manakala pentadbiran Abbas menguasai bahagian Tebing Barat. Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, yang mempunyai 120 negara anggota dan 17 negara pemerhati, adalah kumpulan negera-negara yang menggelar diri mereka berkecuali secara rasmi dengan mana-mana blok kuasa utama dunia. harakahdaily/- |
Zunar adakan pameran solo pertama di Malaysia Posted: 26 Aug 2012 08:46 PM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - SHAH ALAM: Kartunis Zunar akan mengadakan pameran kartun solo yang pertamanya di Malaysia 1 - 9 September ini di Galeri Shah Alam. (Zunar dengan hasil nukilannya yang bakal dipamerkan) Pameran kartun solo bertajuk "Zunar" akan bertempat di ruang pameran 1, Galeri Shah Alam dan berlangsung dari 1 hingga 9 September depan. Ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada 1 September jam 11 pagi di tempat yang sama. "Ini adalah pameran pertama saya di tanahair. Sebelum ini saya membuat dua pameran di Bilbao, Sepanyol dan di London bertema 'Berjuang Melalui Kartun'," kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkefly Anuar Ulhaq. Sebanyak 150 buah karya, kesemuanya mengenai senario politik tanah air yang dihasilkan dari tahun 1999 hingga kini akan dipamerkan. "Dengan pameran ini, diharapkan peminat dan orang ramai akan dapat melihat lukisan saya dengan lebih dekat dan memahami maksud dan mesej yang disampaikan," kata Zunar dalam kenyataannya kepada media. Zunar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor dan Galeri Shah Alam kerana telah memberi sokongan bagi menjayakan pameran ini. Pameran ini terbuka kepada setiap hari kepada orang ramai dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang. harakahdaily/- |
Nasharudin: Majlis Syura bincang dalam agenda lain2 hal Posted: 26 Aug 2012 08:38 PM PDT 8 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama hanya akan membincangkan isu kenyataan Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam agenda lain-lain hal sahaja dalam mesyuaratnya 9 September ini. "Itupun kalau sempat kerana kita ada fokus lain dalam mesyuarat kali ini," kata Setiausahanya, Ustaz Nik Zawawi Salleh (gambar) kepada Harakahdaily hari ini. Menurut beliau, agenda utama mesyuarat badan tertinggi dalam PAS itu akan datang adalah memperkasakan Pakatan Rakyat terutama dalam menghadapi isu hudud. Beliau mengulas laporan media bahawa Majlis Syura akan membincangkan isu bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin yang membuat kenyataan agar PAS menilai kembali kedudukannya dalam Pakatan Rakyat ekoran penentangan DAP terhadap pelaksanaan Hudud. Pengerusi Majlis Syura adalah Mursyidul Am PAS iaitu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala timbalannya adalah Datuk Dr Haron Din. Anggotanya terdiri dari para ulama yang kanan dalam PAS. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, Majlis Syura akan membincangkan kedudukan Nasharudin kerana dia ahli Majlis Syura Ulama PAS itu. "Majlis Syura akan memperincikan isu hudud ini agar ia tidak menjadi titik perbezaan pendapat dalam Pakatan kerana ia agenda PAS bukan Pakatan. "DAP sepatutnya tidak menyentuh hal ini kerana ia bukan bidang mereka," katanya. Mesyuarat Lajnah Politik PAS semalam mengambil ketetapan, PAS akan terus memperjuangkan pelaksanaan syariat Islam termasuk Hudud dalam konteks demokrasi di negara ini. Sebelum ini, pimpinan PAS bertegas, tidak ada masalah penentangan DAP terhadap Hudud kerana pemimpin mereka kebanyakannya bukan Islam. Yang menjadi isu adalah apabila Umno yang mengaku Islam sejak dari dahulu menentangnya termasuk surat amaran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz agar jangan melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah II yang diluluskan oleh DUN Kelantan. Selain itu, wakil Umno pernah mencabar undang-undang itu di mahkamah namun kemudiannya permohonan itu ditarik balik. harakahdaily/- |
Anwar: Jika jadi PM, saya tak tinggal di Putrajaya Posted: 26 Aug 2012 08:31 PM PDT |
Assange: UK tarik balik ancam serbu kedutaan Ecuador Posted: 26 Aug 2012 12:00 AM PDT 7 Syawal 1433H. [MOD] - ECUADOR: United Kingdom telah menarik balik ancaman menyerbu masuk kedutaan Ecuador di London untuk menahan pengasas Wikileaks, Julian Assange yang sedang berlindung di situ, ujar Presiden Ecuador. Rafael Correa berkata demikian semasa sidang mingguan media Sabtu lalu. (Assange bercakap kepada media di kedutaan Ecuador) "Kami menganggap kejadian yang mendukacitakan ini telah berakhir, selepas kesilapan diplomatik yang teruk daripada kerajaan British yang mahu menyerbu masuk kedutaan kami," kata Correa. Dalam satu kenyataan, kerajaan Ecuador berkata mereka telah menerima "satu mesej dari Pejabat Luar Negara British yang mengatakan bahawa tidak ada ancaman untuk menyerbu masuk kedutaan Ecuador". Ecuador berang selepas kerajaan British memberi amaran bahawa mereka mungkin akan cuba untuk menahan Assange, yang telah berkurung di dalam bangunan kedutaan itu lebih daripada dua bulan kerana cuba untuk mengelakkan dari diserah balik ke Sweden, di mana beliau dikehendaki untuk disoal siasat atas tuduhan rogol dan serangan seksual. Ecuador, yang telah memberi suaka politik kepada Assange, sebelum ini menuntut bahawa ancaman daripada Britain itu ditarik balik. Langkah terbaru itu sepatutnya mampu memperbaiki hubungan antara Quito dan London dan membenarkan lebih banyak perbincangan mengenai nasib Assange dapat dilaksanakan. Bagaimanapun, buat masa ini, Assange masih terperangkap di kedutaan Ecuador dengan pihak polis British menunggu di luarnya. Britain berkata mereka tekad untuk memenuhi tuntutan undang-undang untuk menghantar Asange ke Sweden. Ancaman Britain dikritik Pertubuhan negara-negara Amerika (Organisation of American States), sebuah kumpulan yang berpusat di Washington, sebelum ini telah mengutuk ancaman UK, dan Menteri Luar Amerika Selatan menyokong penuh pandangan Correa bahawa amaran dari UK itu tidak masuk akal. Correa berkata beliau berkongsi kebimbangan Assange bahawa jika Asange diserahkan ke Sweden, maka Asange boleh diserahkan ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan ke atas penerbitan Wikileaks tahun 2010 berkenaan rahsia diplomatik AS. Bagaimanapun, sumber-sumber kerajaan Amerika Syarikat dan Eropah mengatakan Amerika Syarikat tidak mengeluarkan sebarang tuduhan jenayah terhadap pengasas Wikileaks itu dan tidak melancarkan sebarang cubaan untuk membuatkan beliau diserah balik ke AS. Kerajaan Ecuador berkata mereka tidak pernah berniat untuk menghalang Assange daripada dibawa ke mahkamah di Sweden. Ecuador berkata jika Asange menerima jaminan bertulis daripada Britain dan Sweden bahawa Asange tidak akan diserah ke mana-mana negara ketiga maka Assange akan menyerah diri kepada pihak berkuasa Sweden. harkahdily/ |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan