Selasa, 17 Julai 2012

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Posted: 16 Jul 2012 11:58 PM PDT


Kegagalan Syabas Jejaskan Pelaburan Ke Dalam Selangor

28 views
Email
SHAH ALAM 17 JULAI : Perkhidmatan bekalan air yang tidak memuaskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyebabkan Selangor kehilangan 60 projek pelaburan.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri mempunyai senarai pelabur yang mana projek pembangunan mereka terjejas akibat kelemahan Syabas.
"Kita ada senarai, sebanyak 60 pelabur. Perkara itu kita sudah sediakan untuk dijawab dalam Sidang Dewan Negeri," katanya dalam sidang media selepas perasmian Seminar 'Vibrant Selangor' 2012 di SACC, di sini.
Katanya, ekoran kegagalan Syabas itu, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil alih dan menyelesaikan masalah pengurusan industri air di bawah Syabas.
"Syabas hanya sebuah syarikat bukan pihak berkuasa. Mereka tidak boleh memberi sebarang keputusan atau kelulusan tetapi Kerajaan Negeri. Itu termaktub dalam perjanjian konsesi," katanya.
Beliau berkata surat rasmi bagi pengambilalih itu telah dihantar kepada Syabas dan Kerajaan Pusat semalam.
"Kita juga memberi tempoh dua minggu kepada mereka. Ini dilakukan atas dua sebab, iaitu Syabas gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) dan Syabas juga mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air," jelasnya.
Semalam, Abdul Khalid memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengambil alih pengurusan operasi Syabas.
Menurutnya, tindakan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.
Kerajaan Negeri juga bersedia mengambil tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Pusat sekiranya ia tidak membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih operasi Syabas.
Abdul Khalid turut mendedahkan laporan awal audit yang mendapati Syabas gagal melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) mereka dengan baik.
"Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion. Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) kepada 20%," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk meminta Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh Syabas.

Posted: 16 Jul 2012 11:40 PM PDT


Air Percuma : Noh Tabur Janji Kosong

256 views
Email
SHAH ALAM, 17 JUL : Datuk Seri Noh Omar sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor berhubung pemberian air percuma sekiranya Umno-BN menawan semula negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Demikian selar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan media.
Sambil menyifatkan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sebagai tidak berasas, Dr Xavier turut mengatakan ia adalah retorik politik yang dicetuskan Umno-BN.
Ini kerana menurutnya, Kerajaan Pusat melalui Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan menaikkan kadar tarif air sehingga 70 peratus kepada pengguna sebagai bayaran balik kepada dana yang diperolehi melalui pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (JICA).
"Ekoran daripada pembinaan Langat 2 yang bernilai RM8.65 bilion, Kerajaan Negeri terpaksa membayar RM60 juta 'royalti air' setiap tahun kepada Pahang bagi mendapatkan air mentah tersebut.
"Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat, tetapi sumber dana itu adalah melalui pinjaman syarikat JICA. Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku, di mana rasionalnya untuk memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain?" soalnya.
Tambahnya, Syabas juga dilihat tidak mampu mengorbankan keuntungannya sebagai syarikat korporat swasta yang berorientasi 'keuntungan' bagi melaksanakan tujuan tersebut.
Katanya lagi, Syabas juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air.
"Dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini, maka adalah sukar untuk Syabas memberikan air percuma. Jadi berdasarkan fakta-fakta ini, jelaslah Noh hanya bercakap kosong dan sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor," ujarnya.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor sebelum ini mendakwa Umno-BN tidak mempunyai masalah untuk meneruskan pemberian air percuma di Selangor jika berjaya merampas semula negeri itu melalui pendekatan berbeza demi kepentingan rakyat.
Beliau mendakwa, jika dasar itu dilaksanakan, ia akan dibuat dengan lebih menyeluruh termasuk menambah bilangan meter padu air percuma dan memastikan seluruh rakyat Selangor menikmatinya

Tiada ulasan:

Nuffnang