Selasa, 17 Julai 2012

.

.


Ramai bekas pegawai kerajaan masuk Pas

Posted: 17 Jul 2012 01:52 AM PDT

Ramai bekas pegawai kerajaan masuk Pas
Hadirin berdoa pada Himpunan Hijau di Stadium Kuala Selangor, kelmarin.
KUALA SELANGOR - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyifatkan tindakan bekas pegawai tinggi kerajaan dan pejuang Umno menyertai Pas pada masa kini mampu menggerunkan pemimpin Umno-BN dan mampu merealisasikan hasrat menawan Putrajaya.

Menurutnya, bekas orang nombor tiga dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari sudah pun menyertai Pas dan menjadi ahli seumur hidup.

Dakwanya, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula sedang mengintaiintai untuk bersama Pas.

"Tan Sri Musa dah kata, perangkaan jenayah yang dikeluarkan PDRM tidak boleh dipercayai, bahkan hakikatnya jenayah meningkat dengan dahsyat," katanya pada Himpunan Hijau di Stadium Terbuka Kuala Selangor, kelmarin.

Dalam program itu, tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan menyerahkan borang keahlian menyertai Pas iaitu bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Abd Rahman Taib.

Manakala seorang lagi adalah bekas Pengarah Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Yusuf Hassan.

Menurut Yusuf, kemasukan golongan pesara kerajaan dalam Pas dapat membantu parti itu dari segi pengalaman mengurus tadbir kerajaan apabila PR memenangi pilihan raya kelak.

"Semua jangan takut kerana kita menyediakan pakar pelbagai bidang dari dalam kerajaan bagi bantu mengurus tadbir negara ini dengan baik. Pengalaman kami, akan dicurahkan untuk bantu rakyat dan menjadi negara yang paling baik," katanya.

Sementara itu, veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa, kerajaan Umno-BN mewujudkan sebuah unit khas melancarkan fitnah terhadap pemimpin pembangkang, sedangkan apabila kenyataan menerangkan keadaan sebenar untuk menafikan dakwaan itu ditolak tepi."Mereka sudah wujudkan unit khas cipta fitnah, tetapi bila keluarkan kenyataan menerangkan keadaan sebenar untuk menafikan dakwaan itu, tak terbit, mereka teruskan fitnah itu lagi," katanya.

Beliau turut kagum dengan pendirian ahli Pas yang tetap mempertahankan maruah mereka walaupun menerima tekanan hebat daripada parti yang mentadbir negara selama 54 tahun itu.

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat turut menyampaikan amanatnya melalui tayangan video dan menyarankan masyarakat khususnya ahli Pas untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang dianggapnya sebagai merosakkan perpaduan penduduk negara ini.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/ramai-bekas-pegawai-kerajaan-masuk-pas-1.67484

Tiada ulasan:

Nuffnang