KEADILAN Selangor sudah menjangkakan akan ada 'serangan politik' terbaru oleh UMNO Selangor berkenaan Unisel yang dikatakannya mengalami 'hutang besar' sepertimana yang dilaporkan media.
Walaupun serangan ini 'berunsur palsu' dan tidak berpaksikan pada fakta, ia cuba digambarkan seperti benar, apatah lagi dalam keadaan 'serangan berkembar' - agak kebetulan, satu dari kumpulan Mohd Zin; Koordinator BN Selangor, manakala satu lagi oleh kumpulan Noh Omar: Ketua nombor 2 UMNO Selangor yang semakin hilang cengkaman.
Umum mengetahui bahawa bagi UMNO BN, mereka tidak perlu menunjukkan bukti, malah budaya itu jauh 'panggang dari api' kerana bagi mereka cukup sekadar mengarahkan golongan media pengampu dalam menuduh sesuatu dan menyebarkan fitnah seantero Malaysia walaupun tidak langsung disokong dengan bukti sahih berfakta tulen.
Bagi UMNO dan BN, kebenaran sesuatu perkara tidak penting, asalkan keadaan 'panas' dikekalkan maka mereka mahu dilihat sebagai telah 'membuat kerja' dalam usaha merampas kembali negeri Selangor; sambil mata mereka kelabu melihat ratusan juta ringgit dalam simpanan rezab kerajaan negeri.
Seluruh rakyat mengetahui bahawa Selangor sebelum ini ditadbir UMNO, dan tidak pernah satu penggal pun semasa pentadbiran UMNO BN yang mana Menteri Besarnya tidak terlibat dalam skandal. Daripada kes melarikan keluarga bangsawan, kepada mengaku tidak pandai berbahasa Inggeris di Mahkamah Australia untuk melepaskan diri daripada tuduhan seludup wang jutaan ringgit, sogokan membeli hartanah pada harga rendah, Dato' Dato' Menteri Besar Selangor yang lain dari UMNO didapati senantiasa bergelumang dengan pelbagai skandal. Tanyalah Tan Sri yang masih hidup itu jika mereka sedia bercerita.
UMNO dan ketuanya di Selangor Noh Omar, gagal memahami tatacara pentadbiran berhemah dan berkebajikan yang dipelopori Pakatan Rakyat Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sama ada dia 'tidak tahu' atau 'sengaja tidak tahu' hanya boleh dijawab oleh tuan punya diri.
Namun KEADILAN Selangor ingin mengingatkan beliau agar menyedari bahawa tahap 'kurang cerdik' Noh Omar ini ditertawakan oleh ramai orang, daripada penyokong UMNO sendiri di Tanjung Karang sehingga ke UMNO Pusat, yang menyedari usaha Noh Omar untuk mengampu hanya 'termakan dirinya sendiri'.
UMNO tidak boleh berlagak menjadi jagoan Unisel, Kuis atau mana-mana institusi pengajian tinggi di Selangor ekoran daripada tindakan tidak matang mereka membekukan bantuan PTPTN yang juga dikecam hebat di kalangan pimpinan UMNO yang matang seperti Timbalan Menteri pendidikannya .
KEADILAN Selangor mencabar agar Noh Omar memberikan komen beliau dengan jelas, beranikah sebutkan pemimpin UMNO mana yang diberikan kontrak pembinaan asrama pusat pengajian tinggi secara habuan atas angin, sehinggakan pemimpin itu mengaut keuntungan sebanyak 524% atau RM508 Juta dibandingkan kos RM94 juta sahaja? Ia dilakukan diatas tumpahan air mata siswa dan siswi anak negeri Selangor dan seluruh negara. Sila jawap persoalan ini! Pemimpin UMNO dari Permatang usahlah mendabik dada kononnya 'menjaga' Unisel. Tunggu sahaja Sidang dewan akan datang!
KEADILAN Selangor mencadangkan agar Noh Omar melakukan lawatan sambil belajar ke DUN Permatang, yang juga kawasan yang beliau wakili untuk mendapatkan butiran yang lebih teliti. Semoga maklumat tersebut dapat menebus segala komen negatif terhadap IQ beliau.
Sifat semberono UMNO 'memperlembukan' sekolah hatta sekolah rendah dan tadika sekalipun untuk aktiviti parti, sehingga memaksa guru-guru dan pelajar menghadirinya atas dasar 'meramaikan yang kosong', membuktikan sekali lagi bahawa UMNO dan BN tidak punya integriti dan maruah untuk memperjuangkan pendidikan anak bangsa, malah lebih berminat mengikat mereka, menghukum pelajar dan mahasiswa disamping menyalahgunakan amanah rakyat untuk tujuan memperkayakan diri dan kroni.
Kepentingan Rakyat diketepikan, pangkat dan habuan wang ringgit pula dijadikan keutamaan.
Sesuai pada hari ini, KEADILAN Selangor ingin mengungkap kata-kata mantan Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy yang menyatakan, "Janganlah kamu tanyakan apa yang Negara kamu boleh berikan untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh lakukan untuk Negara kamu". Justeru, UMNO perlu ditolak kerana 'memperlembukan' pendidikan anak bangsa untuk kepentingan suku-sakat.
UMNO sudah kehilangan semuanya di Selangor akibat bekas MB yang hampir kesemuanya ada salahlaku, wakil rakyat yang membolot tanah rakyat dan terkini kehilangan kepercayaan sesama BN Selangor sehingga terpaksa bergantung harap pada ehsan MCA Johor dalam menabur fitnah terbaru kononnya RM1billion disalahguna oleh kerajaan PR Selangor.
Unisel adalah modal terakhir propaganda UMNO BN di Selangor. Serangan yang 'kebetulan berkembar' melalui 'budak hingusan' anak pemimpin MCA yang tercalar maruah, yang dibawah kementerian Noh Omar, tetapi bergabung tenaga dengan Mohd Zin untuk merangka serangan tidak akan berjaya. Tidak syak lagi riwayat UMNO di Selangor bakal tamat selepas PRU 13 akan datang. Riwayat UMNO sudah tamat. GAME OVER!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan