Isnin, 30 Julai 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Bacaan Al-Quran Sepanjang RamaDhan: Juz 2

Posted: 30 Jul 2012 08:17 AM PDT

Saya sememangnya bercadang menulis setiap malam, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Atas kegagalan saya, saya memohon maaf. Hanya petang ini saya mendapati ada ruang sedikit, maka saya ingin berkongsi beberapa ayat dari juz kedua. Sebenarnya, semua ayat Allah adalah penting, penuh makna dan sarat dengan pengajaran. Tiada kelebihan tertentu pada ayat yang saya pilih berbanding ayat yang lain, kecuali ianya dipilih saya di atas sebab-sebab yang tertentu.

"Ketika itu orang-orang yang diikuti melepas tangan dari orang-orang yang mengikut mereka, kerana mereka telah melihat siksaan (yang menunggu mereka) dan putuslah pertalian di antara mereka.

Berkata orang-orang yang mengikut; Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) maka kami akan berlepas tangan pula dari mereka sebagaimana mereka berlepas tangan dari kami. Begitulah Allah memperlihatkan bagaimana perbuatan mereka menjadi (sumber) penyesalan mereka dan mereka tidak akan keluar dari neraka."
(Al-Baqarah 166 dan 167)

Ayat di atas antara lain menjelaskan keadaan manusia-manusia yang membenarkan hidup mereka dicorakkan oleh barisan pemimpin yang tidak mengikut kehendak syariat Allah. Akhirnya kehebatan pemimpin ini terbukti hanya suatu kepalsuan. Hancur lebur kekuatan pemimpin ini apabila berhadapan dengan siksaan Allah. Pemimpin tersebut akan melepas tangan dan akhirnya pemimpin dan pengikut kerugian buat selama-lamanya.

Jangan kita terpedaya dengan 'kehebatan' manusia, khususnya yang menyeru ke jalan yang tidak berpandukan Al-Quran serta Sunnah Rasulullah (SAW). Ikut seseorang hanya kerana dia mengikut Al-Quran dan Sunnah RasulNya.

"Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah melanggari batas, sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melanggar batas."

(Al-Baqarah 190)

Jelas dari ayat ini, kita diperintah memerangi orang yang memerangi kita, bukan siapa sahaja yang tidak beriman dengan Islam atau tidak setuju dengan kita. Banyak lagi ayat yang akan kita dapati semasa tadarrus kita sepanjang RamaDhan, bagaimana perang hanya apabila diperangi. Dalam soal tidak ada persetujuan atas sesuatu perkara, maka kaedah Islam adalah bahas dan bincang dan cuba diyakinkan, bukan terus ajak berperang!

Pengajaran kedua dari ayat ini ialah, walau dalam keadaan perang sekalipun, terdapat batas-batas yang perlu dihormati. Tidak benar kata-kata i"All is fair in love and war" atau apa pun dibenarkan dalam soal cinta dan perang!

"Dan perangi mereka sehingga berakhirnya 'fitnah' dan agama hanya untuk Allah tetapi kalau mereka berhenti maka hentilah bermusuhan kecuali terhadap mereka yang zalim."

(Al-Baqarah 193)

Tujuan perang adalah untuk menghapuskan 'fitnah' atau penindasan dan penyeksaan terhadap manusia yang dipaksa menganuti agama dan cara hidup tertentu oleh barisan pembesar mereka. Apabila penindasan dan penyeksaan itu dihentikan, maka manusia dibenarkan menganut agama dan cara hidup mereka secara bebas tanpa paksaan. Pada ketika itu, agama dan cara hidup adalah 'untuk Allah' bukan atas sebab penindasan, paksaan atau penyeksaan.

Sebenarnya Islam mempertahankan hak 'kebebasan beragama' dan menjadikannya suatu kewajipan ke atas ummat Islam untuk memperjuangkannya sehingga wajib berperang kerananya.

Pada ketika apabila kebebasan beragama itu terlaksana maka pada ketika itu juga ummat Islam perlu menghentikan permusuhan mereka terhadap golongan yang dahulunya menindas tetapi sudah insaf dan berhenti, kecuali terhadap yang masih bertindak zalim.

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak-langkah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh kamu yang nyata."

(Al-Baqarah 208)

Ayat ini adalah sepertimana dengan ayat yang saya petik dari Juz pertama berhubung beriman kepada sebahagian dari Al-Quran dan kufur kepada sebahagian yang lain. Hanya kali ini dinyatakan bahawa tindakan sedemikian rupa adalah "mengikut jejak-langkah Syaitan". Ianya sudah pasti akan membawa kehancuran kepada kita kerana itulah matlamat dan keinginan Syaitan, iaitu musuh manusia yang jelas dan nyata.

Hakikat bahawa persoalan ini diulangi dalam beberapa bentuk di dalam Al-Quran merupakan bukti bahawa ianya sesuatu yang sering dilakukan oleh manusia yang terpedaya dengan hasutan Syaitan. Dewasa ini ia mengambil pelbagai jenis bentuk dan rupa, di antara yang lain ialah memisahkan agama dan politik.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Himpunan Hijau PAS Selangor

Posted: 30 Jul 2012 04:15 AM PDT

Sudah agak lama program ini berlangsung dan saya sememangnya ingin membuat sedikit ulasan berhubung dengannya, tetapi tidak berkesempatan hinggalah ke hari ini.


Dalam perjalanan ke Stadium pada waktu petang, bendera PAS kelihatan di sepanjang jalan. Bila tiba di Stadium dilihat pula, bendera PAS terpacak megah di sekeliling Stadium. Pada sebelah petang telah disulam dengan beberapa aktiviti menarik termasuk pentas anak muda oleh Dewan Pemuda dan Muslimat. Selepas solat Maghrib berjemaah dihidangkan pula Tazkirah, solat Isya berjemaah dan solat Hajat oleh Dewan Ulama Selangor. Seterusnya kepada kemuncak program pada malam itu iaitu ceramah oleh pimpinan PAS dan rakan PR serta wakil Presiden Mesir.

Secara umumnya dinyatakan pernilaian saya terhadap program tersebut.
  1. Kehadiran, Alhamdulillah, dalam 25,000 hingga 30,000. Hampir ke semuanya orang Melayu beragama Islam.
  2. Maka matlamat untuk membuktikan bahawa PAS mendapat sokongan Melayu dan bukan hanya sokongan bukan Melayu jelas tercapai.
  3. Tema Himpunan, iaitu Peralihan Kepimpinan Politik Melayu, telah berjaya dizahirkan dengan kehadiran orang Melayu yang begitu ramai.
  4. Orang Melayu yang hadir faham, PR bukan ingin menjatuhkan Melayu tetapi hanya menukar Melayu yang korup dengan Melayu yang bersih.
  5. Peralihan kepimpinan Melayu sebegini disambut baik oleh yang bukan Melayu dan bukan Islam seperti yang disampaikan oleh YB Teresa.
  6. Matlamat supaya Melayu tinggalkan UMNO dan bersama PAS atau PKR dan PR umumnya juga turut disokong oleh PKR seperti yang disampaikan oleh Presidennya, DS Wan Azizah.
  7. TS Kadir Syeikh Fadzil adalah sebagai wakil pemimpin Melayu yang telahpun beralih. Walaupun ada perbezaan pendapat dengan beliau berhubung beberapa isu tertentu, kesimpulan yang dikongsi tetap sama, iaitu kepimpinan Melayu mesti beralih dari UMNO.
  8. Ucapan TS Kadir telah didahului acara penyerahan borang PAS oleh beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan. Mereka turut menyakini UMNO tidak boleh dipercayai untuk membela nasib bangsa dan Negara.
  9. Wakil Presiden Mesir yang berkesempatan bersama pada malam itu turut menyampaikan mesej perubahan yang sama. Beliau menyimpulkan bahawa perubahan yang sama telah dicapai di Mesir di mana pemimpin korup diketepikan.
  10. Timbalan Presiden turut menjelaskan tema yang sama dan kesediaan PAS untuk mengambil alih tampuk kepimpinan politik Melayu berlandaskan Islam. Melalui peralihan ini akan dibuka luas jalan PR ke Putrajaya.
Bersama ini disertakan beberapa gambar yang menarik. Jelas kelihatan warna kehijauan dalam program malam tersebut. YB Teresa dan DS Wan Azizah memegang bendera PAS sebagai bukti kesetiakawanan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Gambar ihsan Jinggo, Fuhsantai dan sekitar laman web.

Tiada ulasan:

Nuffnang