Isnin, 2 Julai 2012

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


ARTIS BERHIJRAH DINASIHAT TERUSKAN KERJAYA

Posted: 02 Jul 2012 03:02 AM PDT


KUALA LUMPUR: PAS sentiasa menasihatkan artis yang baru berhijrah apatah lagi bersama-sama berada di pentas PAS, agar tidak terus berhenti dari kerjaya asal mereka.

Malah, Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menasihati bekas penyanyi kumpulan Arrow, Ringgo supaya meneruskan nyayiannya walaupun sudah menjadi ahli PAS, akhirnya penyanyi berkenaan akur.

Mengulas penglibatan artis yang menyertai PAS mungkin akan memilih pentas ceramah sebagai kerjaya baru, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Pusat, A Halim Ahmad berkata, jangan mensia-siakan bakat yang mereka ada.

"Menyentuh artis yang terlibat dalam PAS tidak kira penyanyi, pelawak atau pelakon, kami selalu menasihatkan mereka jangan berhenti. Hijrah-hijrah juga bakat yang ada jangan dibiarkan hilang begitu sahaja," katanya kepada Harakahdaily.

Malah katanya, tidak salah untuk artis-artis ini menerima tawaran penerbit di luar sana asalkan mereka meneruskan perkara yang baik, sudah tentu ianya diterima PAS.

Tegasnya, peluang yang ada perlu direbut dan jadikan penghijrahan itu sebagai platform untuk menonjolkan icon Islamik di dalam dunia hiburan atau lakonan.

"Kalau pasaran di luar sana dipelopori oleh mereka yang belum berhijrah, mereka yang berhijrah ini boleh rebut peluang untuk mengajak mereka berhijrah sama.

"Misalnya, pelakon kita Hairie 0thman pernah memberitahu beliau akan berhenti berlakon kerana faktor umur, kita kurang bersetuju sebaliknya memberi semangat untuk beliau terus berlakon," katanya.

Jelas Halim, Hairie boleh terus berlakon dan memastikan skrip-skrip yang menarik dan kena dengan jiwa asalkan tidak langgar syariat.

Bagaimanapun, katanya untuk mengelakkan artis yang baru berhijrah ini hanyut semula dalam dunia hiburan mereka, PAS harus memainkan peranan mempergiatkan usrah di kalangan mereka ini.

"Usrah perlu diberikan kepada mereka, usrah merupakan akar tunjang. Bukan sahaja artis, pimpinan PAS sendiri yang tidak usrah pun boleh hanyut," katanya.

Sebelum ini, seorang komposer terkenal Sham Kamikaze yang turut berhijrah bagaimanapun beliau tidak mensia-siakan bakat yang ada dengan membuka kelas belajar bermain gitar.

Pelakon filem Leftenan Adnan, Hairie Othman memberitahu yang dia akan bersara dari kerjaya yang sudah diceburi selama 20 tahun itu. Terkini, difahamkan jadual ceramah beliau sudah penuh sehingga Hari Raya Puasa nanti.(harakahdaily)

Tiada ulasan:

Nuffnang