Khamis, 28 Jun 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Majlis Makan Dumpling dan Ramah Mesra Bersama Rakyat di Taman Sentosa

Posted: 27 Jun 2012 06:00 PM PDT

Pada 23 Jun 2012 yang lalu, satu majlis makan dumpling beras telah diadakan bersempena dengan perayaan Dumpling yang juga dikenali sebagai Duanwu.

Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Pejabat ADUN Seri Andalas di hadapan Bilik Gerakan DUN Seri Andalas yang terletak di Taman Sentosa.

Para sukarelawan telah berkumpul seawal jam 8.00 pagi untuk membuat persiapan dengan menyusun meja dan kerusi serta menyediakan makanan dan minuman.

Majlis bermula pada pukul 8.45 pagi dan dihadiri lebih 300 orang yang terdiri daripada bangsa Cina dan India.

Makanan yang disediakan untuk para hadirin adalah dumpling beras sebanyak 500 biji dan kuih Yu Chat juga sebanyak 500 biji. Minuman soya dan teh cina turut disediakan.

YB Dr Xavier Jayakumar, ADUN Seri Andalas tiba pada pukul 9.45 pagi dan beliau mengagihkan dumpling beras kepada para hadirin untuk dinikmati bersama.

Majlis berjalan lancar dengan para hadirin menikmati hidangan mereka sambil mengambil peluang berbual mesra bersama ADUN mereka serta Encik PS Rajoo Ahli Majlis MPK yang turut hadir.

Majlis tamat pada jam 11.00 pagi.  









PKR Dedah Dokumen Penganugerahan Projek LRT Ampang

Posted: 27 Jun 2012 02:00 AM PDT

PETALING JAYA 27 JUN : Salinan dokumen rasmi kerajaan berhubung penganugerahan kontrak mengenai projek kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion didedahkan hari ini oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Pendedahan itu menjelaskan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak melanggar etika pentadbiran telus dan melakukan penyelewengan kuasa.

Rafizi berkata salinan dokumen itu menunjukkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) dengan rujukan T/1/M/1/2012 dengan jelas menolak cadangan Prasarana Negara untuk melantik PDA Consortium sebagai kontraktor projek itu.

Sebaliknya, JPMK mengarahkan supaya kontrak itu dianugerahkan kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys pada harga RM1,012,910,000.

Keputusan itu ditandatangani sendiri oleh Najib, Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Tambah Rafizi, keputusan itu disampaikan secara bertulis oleh Kementerian Kewangan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar melalui satu surat bertarikh 26 Januari tahun ini.

Sebelum ini, Najib pada minggu lalu melahirkan hasratnya untuk menganugerahkan kontrak terbabit kepada Konsortium George Kent, seperti yang dilaporkan oleh Business Times pada 22 Jun lalu.

Hal itu bertentangan dengan keputusan JPMK yang bersidang pada Januari lalu.

Justeru, daripada rentetan itu Najib seharusnya menjelaskan beberapa persoalan yang timbul, antaranya,

"Kenapakah Konsortium George Kent begitu yakin memengangi kontrak itu walaupun keputusan anugerah kontrak dibuat seawal 25 Januari lalu.

"Selain itu, Najib perlu menafikan beliau menandatangani kertas keputusan JMPK jika dokumen ini palsu dan Najib perlu menyakinkan rakyat Malaysia bahawa campur tangannya dalan anugerah kontrak itu langsung tidak ada unsur rasuah atau penyelewengan," katanya.

Oleh itu, PKR akan membuat satu laporan polis dan SPRM terhadap Najib pada Jumaat ini.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang