DUN BUKIT PAYONG |
Budaya ugut, Umno Terengganu di hujung nyawa Posted: 06 Jun 2012 08:03 PM PDT Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah Bismillahirrahmaanirrahiim Budaya mengugut dan membangkit-bangkit apa yang kononnya dikatakan sebagai kebaikan kerajaan sekarang ini oleh pimpinan Umno Terengganu semakin menjadi-jadi. Kenyataan demi kenyataan oleh pimpinan Umno Terengganu kebelakangan ini, sangat jelas mengugut pegawai kerajaan dan juga kepada rakyat marhaen agar menyokong Barisan Nasional (BN) dan menolak Pakatan Rakyat (PR). Beberapa hari lepas Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad bin Said telah mencabar anggota-anggota keselamatan yang menyokong kerajaan supaya meletakkan jawatan sekiranya berhasrat menyertai pembangkang. Ini menurutnya lagi, adalah jelas satu pengkhianatan kepada Negara kerana tindakan mereka sepatutnya tidak bercanggah dengan dasar pemerintah yang sedia ada. Kemudian datang pula laporan tentang cabaran Ahmad Said agar peserta Felda keluar dari tanah rancangan sekiranya benar-benar mereka mendapati Felda telah menipu mereka. Semalam (6hb Jun) pula dalam laporan sebuah akhbar harian, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh Muhammad Ramli Haji Nuh (kiri) pula telah mengeluarkan kenyataan membangkit-bangkit pemberian oleh kerajaan BN. Beliau menganggap pihak yang tidak menyokong kerajaan sebagai golongan yang lupa diri terhadap jasa dan sumbangan kerajaan. "Mereka lupa asal usul dari mana dan lupa datuk nenek mereka dahulu bergantung kepada kerajaan. Kita tidak kata semua terlibat tetapi unsur-unsur kebergantungan kepada kerajaan itu sudah dilupakan," beliau dipetik sebagai berkata. Begitulah ugutan-ugutan yang telah dikeluarkan oleh pimpinan Umno negeri Terengganu. Satu tindakan desperado oleh Umno Terengganu. Saya ingin menasihatkan Menteri Besar Terengganu dan Adun Tepoh, supaya belajar dahulu makna demokrasi sebelum membuat kenyataan sebegitu. Kenyataan dangkal sebegini secara tidak langsung menyerlahkan ketakutan yang amat sangat dengan suasana kebangkitan rakyat sekarang ini yang jelas menolak Umno dan sekutunya. Malang bagi Umno Terengganu kerana ketuanya memilih untuk kembali kepada pemikiran 30 - 40 tahun yang lalu iaitu mengugut rakyat dari menggunakan hak mereka untuk mengundi sesiapa sahaja yang mereka kehendaki menjadi pemimpin. Hak kebebasan rakyat telah cuba disekat dan dicabuli oleh Umno. Kalaulah begitu kenyataannya, maka kakitangan kerajaan negeri dibawah pemerintahan PR juga wajib menyokong kerajaan negeri yang sedia ada. Atau pegawai-pegawai kerajaan negeri di bawah pemerintahan PR yang menyokong BN mesti meletak jawatan mereka sesuai dengan pemikiran kolot Ahmad Said ini. Bukan kita ingin mengugut tetapi sebagai menyesuaikan keadaan dengan kenyataan beliau itu. Membangkitkan pemberian hanya menyebabkan rakyat menjadi semakin mual. Sekali lagi Umno cuba memperbodoh-bodohkan pemikiran rakyat yang semakin bijak menilai apa itu demokrasi. Jika soalan itu yang dibangkitkan Umno, maka rakyat juga boleh membangkitkan kembali soalan kepada Umno, dari mana mereka mendapat wang bagi membiayai semua prasarana-prasarana yang telah mereka dirikan? Ramli hanya tahu apa yang kerajaan berikan kepada rakyat dalam masa yang sama cuba memadamkan hakikat atau buat-buat lupa bahawa kerajaan bergantung kepada cukai dan zakat yang dikutip dari rakyat untuk mengurus tadbir negeri. Rakyat yang tidak bergantung kepada kerajaan seperti yang didakwa oleh Ramli adalah rakyat yang bijak kerana mereka tahu yang mereka sepatutnya hanya bergantung kepada Allah. Saya menyeru kepada seluruh rakyat di luar sana terutama penyokong-penyokong Umno agar melihat dengan mata hati perangai dan pemikiran pemimpin-pemimpin Umno ini. Bagi mereka semakin rakyat bodoh, semakin mudah bagi mereka untuk berbuat sesuka hati mereka. Tiada persoalan atas apa jua perlakuan mereka. Siapa yang melawan akan diugut, dikenakan tindakan, memotong bantuan dan sebagainya. Bagaikan khazanah kerajaan yang sebenarnya hasil duit kutipan dari rakyat itu kepunyaan atau milik mutlak keluarga mereka. Maaf, kita bukan lagi dizaman sebegitu. Kerana itulah mereka sangat takut dengan rakyat yang cerdik kerana rakyat akan mempersoalkan ke mana perginya wang mereka. Kalau di Britain, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat kerana mereka tahu bahawa rakyat mereka cerdik dan tidak mudah ditipu. Malah mereka menamakan "Wang Pembayar Cukai" sebagai ganti istilah "Wang Kerajaan" sepertimana yang digunapakai di Malaysia ini. Oleh itu bangunlah rakyat sekelian jangan kita berterus-terusan diperbodohkan oleh Umno. Marilah kita bersama PAS dan Pakatan Rakyat untuk membangun Negara Berkebajikan dari rakyat untuk rakyat insyaAllah. Wallahua'lam |
You are subscribed to email updates from DUN BUKIT PAYONG To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan