:: cina islam | 2011 :: |
- Perlembagaan baru: Tentera Mesir beri 48 jam
- Lagi kanak-kanak dan wanita dibunuh oleh rejim Basyar
- RTM: Bukan masa kempen pilihan raya sahaja
- Penyelidik USM cipta mi berupaya bantu turunkan berat badan
- Kaki putus digilis komuter
- Haram jadah: Anak mungkin saman malu Najib
- Ikatan puji PAS ikhlas bina bangsa Malaysia
- ‘Teruskan, jika ini cara Umno akhiri hayat mereka’
- NUJ sambut baik siaran adil untuk semua
- Masalah lif: Dakwaan berita TV9 tidak benar
- WWW 1: Pemuda PAS persoal apa agenda Kosmo
- FGVH: Peneroka hanya 5.5%, syarikat asing 94.5%
- AS akan terus serang al-Qaeda di Pakistan
- 100 dibunuh kekejaman terbaru rejim Syria
- Wabak penyakit Legionnaire ragut 1 nyawa
- Letupan lokasi tragedi
- Tinggal mayat bawah lori
- Ombak: Ratusan rumah di Perlis, P Pinang dinaiki air
- Lelaki belasah isteri guna kayu hoki
- PTPTN Unisel: Abim anggap hasil politik memualkan
- Ambil tindakan ke atas penganjur 'Bertam Nite'
- RTM: Tidak memadai sekadar bentang manifesto
- 4 suspek kes bunuh diberkas
- Van terbabas, pemuda tersepit
- Peniaga emas disaran utama keselamatan kedai
Perlembagaan baru: Tentera Mesir beri 48 jam Posted: 07 Jun 2012 01:37 AM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - KEAHERAH - Majlis Tertinggi Tentera, kelmarin memberi kata dua kepada parti politik di Mesir untuk menubuhkan panel terdiri daripada 100 ahli dalam tempoh 48 jam bagi merangka perlembagaan baru negara itu atau mereka akan membuat keputusan sendiri. Bagaimanapun, beberapa parti termasuk Ikhwanul Muslimin dilaporkan memboikot mesyuarat yang diadakan pemerintah tentera tersebut. Speaker Parlimen, Saad el-Katatni berkata, tiada siapa boleh melaksanakan undang-undang tanpa persetujuan Parlimen dan mereka tidak akan mengiktiraf jika pemerintah tentera mahu merampas kuasa perundangan. Kenyataan tegas itu dikeluarkan selepas majlis tentera mengancam untuk mengeluarkan deklarasi tambahan yang akan membuat rangka tindakan untuk panel tersebut. Kerajaan sementara Mesir itu berhadapan tekanan berganda selepas kebanyakan rakyat tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas presiden, Hosni Mubarak kerana dianggap tidak setimpal dengan kekejamannya. Difahamkan, pada masa ini tahap kesihatan Mubarak didakwa semakin merosot akibat daripada gangguan emosi yang dialaminya sejak Sabtu lalu. sinar harian/- |
Lagi kanak-kanak dan wanita dibunuh oleh rejim Basyar Posted: 07 Jun 2012 01:34 AM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - Lagi kanak-kanak dan wanita dibunuh oleh rejim Basyar di luar bandar Hama semalam, 6 Jun 2012. Menurut sumber, hampir 100 orang yang gugur syahid dalam pembunuhan terbaru yang dilakukan oleh tentera rejim di Hama. Menurut sumber, mereka bersenjatakan pisau dan juga senapang yang membawa kepada penyembelihan dan pembunuhan yang sangat tragis. Sekurang-kurangnya hampir 12 jasad yang gugur syahid akibat dibakar oleh tentera rejim. Ya Allah, Engkau turunkanlah bala dan laknat-Mu kepada tentera rejim Basyar akibat pertumpahan darah umat Islam yang dilakukan oleh mereka. garian metro/- |
RTM: Bukan masa kempen pilihan raya sahaja Posted: 07 Jun 2012 01:34 AM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan kesediaan kerajaan membenarkan parti-parti politik membentangkan manifesto masing-masing menerusi RTM. Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) berkata perkara itu perlu dilakukan berterusan bukan hanya ketika musim pilihan raya semata-mata. "Kita alu-alukan penambahbaikan tersebut kerana ia memang tuntutan kita. Cuma, saya harap ia berterusan dan bukan hanya ketika musim pilihan raya," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berhubung keputusan kerajaan membenarkan parti politik membentangkan manifesto ketika kempen pilihan raya. Rais, dalam kenyataannya berkata perkara itu diputuskan setelah kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya diluluskan jemaah menteri. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tentang had masa dan syarat-syarat yang bakal dikenakan berikutan keputusan itu. Dalam pada itu, Nik Abduh berkata keputusan itu juga sebagai tanda kerajaan mulai sedar BN bergerak atas demokrasi yang tidak adil sebelum ini. "Mereka sudah sedar bahawa sebelum ini mereka menghadapi pilihan raya dengan cara yang tidak adil apabila tidak memberikan akses media kepada parti-parti yang bertanding. Kita harapkan ia berterusan kerana demokrasi yang sebenar ialah demokrasi yang digunakan secara adil," kata beliau lagi. Harakah Daily |
Penyelidik USM cipta mi berupaya bantu turunkan berat badan Posted: 07 Jun 2012 01:33 AM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - GEORGETOWN 7 Jun - Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta mi kuning kering yang boleh membantu penggunanya menurunkan berat badan. Ketua Penyelidik, Prof. Azhar Mat Easa berkata, produk yang dipanggil mi berlapis itu diperkaya dengan zat kapsaicin bagi membolehkan proses pembakaran lemak berjalan secara efektif. "Kapsaicin adalah zat pedas aktif yang terkandung dalam tumbuhan seperti cili dan tidak ramai orang boleh mengambilnya begitu sahaja dalam kuantiti banyak," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - BERNAMA |
Posted: 07 Jun 2012 01:28 AM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - KLANG: Seorang wanita maut dalam keadaan ngeri apabila kedua-dua kakinya putus manakala kepalanya pecah selepas digilis komuter ketika mahu melintas landasan kereta api di Kilometer 27 menghala Klang, antara Stesen Komuter Padang Jawa dan Stesen Komuter Bukit Badak, di sini, petang kelmarin. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, ketika kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa yang berusia 75 tahun berseorangan dan dipercayai mahu pulang ke rumahnya yang terletak di seberang landasan. Menurutnya, mangsa mungkin tidak menyedari kehadiran komuter itu walaupun pemandu komuter berkenaan sudah membunyikan hon beberapa kali. Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa mengalami masalah pendengaran hingga menyebabkan dia tidak mendengar bunyi hon komuter berkenaan. "Mangsa yang tinggal di flat Rimba Jaya terletak berdekatan landasan, mati di tempat kejadian kerana parah di kepala dan beberapa bahagian lain," katanya. METRO/- |
Haram jadah: Anak mungkin saman malu Najib Posted: 07 Jun 2012 12:04 AM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 7 Jun: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menghantar notis menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan terbuka berhubung ucapannya yang menyebut 'haram jadah' kepada peneroka, 8 Mei lalu. Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata notis itu akan dihantar ke kediaman rasmi Najib di Putrajaya pada 15 Jun, selepas solat Jumaat. "Peguam Anak telah meneliti beberapa kali ucapan Najib dan ternyata ia mengandungi kenyataan berniat jahat, jijik dan dan tidak sepatutnya. "Kita akan serah notis dan kalau notis ini juga tidak dilayan, kita akan teruskan hasrat saman malu terhadap Najib," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini. Beliau juga memberitahu, Anak akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (Berhad), dijangka pada bulan ini. Mazlan berkata, pihaknya akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 20,000 orang di Kuala Lumpur terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan itu. Katanya, perhimpunan itu merupakan kemuncak kepada usaha Anak selepas usaha dilakukan selepas segala pendekatan diplomasi mereka tidak diendahkan. "Sebelum ini Anak sudah guna semua saluran undang-undang. Memorandum pernah dihantar kepada perdana menteri, kita pergi ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia, pergi ke Suruhanjaya Sekuriti, tapi mereka tidak mahu dengar pandangan kami," kata beliau. Mazlan yang juga penyelaras Gerakan Selamat Felda (GSF) berkata, pihaknya mengisytihar perang terhadap Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Isa Samad, Ahmad Maslan dan pihak yang menyokong penyenaraian FGVH yang akan dimuktamadkan pada 28 Jun ini. "Oleh kerana pandangan kita tidak diendah, Anak umumkan isytihar perang ke atas mereka dan akan akan adakan kempen radikal selama tiga minggu ini," katanya. Mazlan juga yakin himpunan itu akan mendapat sambutan berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada pelbagai NGO dan orang perseorangan yang tidak berpuas hati dengan penyenaraian FGVH. "Saya yakin Anak mampu himpunkan jumlah yang besar kerana sebelum ini ramai yang dah hubungi saya tanya samaada Anak merancang himpunan atau tidak dan saya rasa inilah masanya," katanya sambil manambah lokasi dan tarikh perhimpunan tersebut akan diumumkan minggu hadapan. Harakah Daily |
Ikatan puji PAS ikhlas bina bangsa Malaysia Posted: 07 Jun 2012 12:03 AM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - SERDANG: Presiden Protem Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa, PAS antara parti yang sekarang ini membina bangsa Malaysia seperti yang diperjuangkan pemimpin-pemimpin awal negara. Katanya, ianya boleh dilihat dengan slogan 'PAS untuk semua' dan menerima dan mengiktiraf orang bukan Islam sebagai ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). "Parti moden yang ada sekarang yang mahu membina bangsa Malaysia adalah PAS. "Saya kenal mereka. 'PAS untuk semua' bukan slogan politik semata-mata tapi mereka ikhlas sayangkan rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian Ikatan hari ini. Majlis perasmian parti itu diadakan di sebuah hotel di Seri Kembangan, pagi ini. Menurut beliau lagi, perjuangan PAS mempunyai banyak persamaan dengan perjuangan zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Datuk Onn Jaafar yang mahu membina bangsa Malaysia. Dan sebab itu juga katanya, visi Ikatan adalah berpaksikan kepada "amanat merdeka bapa Malaysia" Tunku Abdul Rahman serta isi kandungan Perlembagaan Malaysia bagi membina bangsa Malaysia. Antara isi kandungan amanah tersebut adalah rakyat berbilang kaum dan agama - Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Siam, Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain mesti ikhlas satu sama lain, jika mahu hidup satu keluarga. Malah, setiap mereka, tidak boleh kata atau berbuat sesuatu yang menyakitkan hati atau menyusahkan hati setiap kaum. Katanya, usaha membina bangsa Malaysia itu bagaimanapun gagal diteruskan kerajaan BN pada hari ini yang lebih mementingkan kuasa politik sehingga sanggup menggunakan isu perkauman untuk tujuan itu. "PAS tolak rasuah sebab mereka ikut apa dinyatakan dalam al-Quran, mereka parti yang bersih, sama macam zaman Tunku," katanya lagi. Dalam pada itu, kira-kira 200 orang hadir di majlis perasmian parti itu hari ini. Selain Kadir sebagai presiden, Ikatan dipimpin tiga timbalan presiden iaitu bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, ahli bank Ong Hock Siew dan bekas Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan. Manakala Presiden Uruskop Datuk Seri Mustafa Kamal Maulut dilantik menjadi setiausaha agung parti ini. Sebanyak enam orang dilantik menjadi ahli Majlis Tertinggi. Parti itu bakal menggunakan 'tangan bersalam', sebagai logo parti. Pada sidang media selepas itu, Kadir berkata parti itu tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang memandangkan pendaftaran parti itu belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Bagaimanapun ia terpulang kepada ahli parti itu untuk bertanding atas tiket individu. Ditanya kenapa beliau tidak terus sahaja menyertai PAS atau Pakatan Rakyat berbanding menubuhkan parti baru, Kadir berkata parti baru lebih memudahkan beliau merekrut sokongan rakyat kebanyakan. Beliau juga memberitahu, Ikatan akan bergerak berdasarkan isu yang kadang kala akan sependapat dengan Pakatan Rakyat dan ada kalanya berbeza. Harakah Daily |
‘Teruskan, jika ini cara Umno akhiri hayat mereka’ Posted: 07 Jun 2012 12:01 AM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: "Teruskanlah dengan budaya politik seperti ini jika inilah cara Umno ingin mengakhiri hayat mereka," kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau menyatakan demikian menerusi twitter berhubung laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai demonstrasi sekumpulan NGO di Kota Darulnaim semalam. "Saya ditunjukkan dengan muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang memuatkan demonstrasi NGO pro Umno di hadapan Kota Darulnaim semalam yang membawa kereta tolak dan alat-alat pembinaan, kononnya sebagai 'sumbangan' untuk pembinaan lebuhraya. "Saya katakan, jika Umno merasakan dengan budaya seperti ini, mereka akan mendapat sokongan, teruskanlah," tulis beliau. Tetapi beliau yang juga Mursyidul Am PAS ingin mengingatkan, selepas tarian punggung, hadiah 'najis' di Pulau Pinang, demonstrasi kepala lembu dan sebagainya, hari ini dengan perbuatan seperti itu, semuanya hanya menjatuhkan maruah bangsa Melayu yang kononnya diperjuangkan oleh Umno. Percayalah, tegasnya Umno sendiri akan malu dengan perbuatan itu satu hari nanti. Teruskanlah dengan budaya politik seperti ini jika inilah cara Umno ingin mengakhiri hayat mereka. Harakah Daily |
NUJ sambut baik siaran adil untuk semua Posted: 06 Jun 2012 11:30 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyambut baik cadangan kerajaan mahu memberikan ruang siaran secara adil untuk semua parti yang bertanding semasa pilihan raya umum nanti. Sehubungan dengan itu, Setiausaha Agungnya, V Ambalagan (gambar) mencadangkan agar watu utama (prime time) diberikan untuk membolehkan setiap parti memaklumkan manifesto masing-masing di media kerajaan. NUJ juga mencadangkan agar, RTM dan Bernama menjalankan tugas ini bagi pihak media kerajaan. NUJ juga mencadangkan, media swasta termasuk stesen TV, radio dan media cetak juga memberikan peluang yang sama. "Untuk radio dan TV swasta, mereka sepatutnya memberikan ruang yang sama kepada BN dan pembangkang sebagai satu khidmat nasional mereka," katanya. Awal tahun ini, NUJ telah menyerahkan cadangan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk Penambahbaikan Pilihan raya agar memberikan hak untuk mendapatkan liputan media yang adil untuk semua parti. "Kami juga memohon agar pemilik media cetak dan online menjual ruang iklan mereka untuk semua parti politik," kata Ambalagan lagi. Namun begitu, NUJ juga mencadangkan agar satu jawatankuasa pemantau media ditubuhkan oleh SPR selepas Dewan Rakyat dan DUN dibubarkan. Jawatan kuasa ini perlu untuk memastikan etika kewartawanan dipatuhi dan berkuasa untuk menyekat sebarang laporan yang melanggar garis panduannya. Harakah Daily |
Masalah lif: Dakwaan berita TV9 tidak benar Posted: 06 Jun 2012 11:28 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dakwaan Berita TV9 pada 5 Jun lalu bahawa Kerajaan Negeri Selangor lambat mengambil tindakan untuk membaikpulih lif-lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara adalah tidak benar. Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) telah diarahkan untuk membaikpulih lif-lif dan pam air yang rosak di PPR selepas lawatan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 23 Oktober 2011. Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar). Menruutnya, pihak MBPJ telah melantik beberapa buah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja membaikpulih lif pada 18 November 2011 dan perlu disiapkan berperingkat-peringkat sehingga 8 April 2012 iaitu dalam tempoh 4 bulan dan sebuah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja membaikpulih pam air bermula 8 Februari 2012 sehingga 8 Mac 2012 iaitu dalam tempoh 30 hari. "TV9 hanya membangkitkan isu membaikpulih lif ini pada 23 Mac 2012. "Walau bagaimanapun pihak syarikat-syarikat membaikpulih lif berhadapan dengan kesukaran bagi menyiapkan kerja-kerja menurut kontrak tersebut akibat vandalisme yang berulang seperti kecurian kabel dan komponen lif di bilik motor room dan riser ketika kerja-kerja baik pulih sedang berjalan," jelasnya dalam satu kenyataan. Beliau yang juga Adun Chempaka berkata, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman telah membuat sidang akhbar pada 26 Mac lepas bagi memberikan maklum balas tentang kelewatan tersebut. Jelas beliau lagi, susulan daripada kecurian yang berulang dan vandalisme itu, pihak majlis telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya dengan menambah pintu keselamatan pada bilik motor dan di tingkat 18 pada setiap blok untuk menghalang sesiapa memasuki ke bilik motor lif untuk mengelakkan kehilangan kabel-kabel. Selain itu, katanya pihak majlis juga telah memasang kunci pada setiap bilik riser bagi memastikan kabel-kabel itu tidak dicuri lagi. Ujar beliau lagi, kerja-kerja membaikpulih lif telah disiapkan dan diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerja (JKKP), wakil MBPJ (JKKP), dan wakil syarikat pengurusan pada 9 Mei dan 15 Mei lepas. Iskandar menambah, manakala kerja-kerja pembaikan pam air telah disiapkan pada 8 April lepas. Harakah Daily |
WWW 1: Pemuda PAS persoal apa agenda Kosmo Posted: 06 Jun 2012 11:27 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak mendedahkan akhbar Kosmo sudah lama memainkan isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1. Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, sejak 8 April akhbar kepunyaan anak syarikat Utusan Malaysia itu telah mensensasikan isu bidaan ini. "Saya hairan kenapa dalam banyak-banyak media perdana, Kosmo sahaja yang terlalu teruja memainkan isu ini. "Umum mengetahui Kosmo adalah merupakan anak syarikat Utusan dan kami melihat seolah-olah ada seseorang di belakangnya yang cuba bermain api," katanya ketika sidang media selepas Mohammad Nizar selesai memberikan keterangan kepada polis di Pejabat PAS Perak, semalam. Dalam Kosmo bertarikh 8 April, akhbar itu telah mula menimbulkan isu ini dengan menggambarkan akan berlaku catatan rekod bidaan tertinggi. Seterusnya pada 25 Mei Kosmo telah mendedahkan bahawa Sultan Johor telah memenangi bidaan plat kenderaan WWW 1 dan dalam keluaran itu juga Kosmo secara sinis telah menggambarkan nilai bidaan tersebut. Pada 28 Mei pula, Kosmo sekali lagi di ruangan karikatur telah membincangkan tentang bidaan plat tersebut dan turut memainkan isu ini pada 30 Mei di mana Dewan Pemuda PAS Perak telah membuat laporan polis berhubung keluaran itu. Kosmo pada keluaran 31 Mei cuba melagakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dengan Sultan Johor apabila mengeluarkan berita di muka depan bertajuk Mohammad Nizar kritik Sultan Johor berhubung plat WWW 1 disiasat. Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu mempersoalkan mengapa Kementerian Pengangkutan di bawah menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA mendedahkan isu bidaan ini. "Kenapa pada 2010 isu bidaan plat ini yang mencecah RM300,000 itu rekod bidaan tertinggi ketika itu tidak tidak didedahkan kepada umum sedangkan isu bidaan plat WWW 1 yang melibatkan Sultan Johor ini didedah dan dihebahkan secara meluas?" soalnya. Beliau hairan apakah agenda kementerian mendedahkan isu yang membabitkan Sultan Johor ini. Mengulas lanjut, Raja Ahmad Iskandar turut mempersoalkan kenapa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien tidak membuat sebarang tindakan dan kenyataan kepada Kosmo yang terang menjurus kepada Sultan Johor. "Di mana Pemuda Umno dan Perkasa yang lantang bercakap tentang isu ini. "Pemuda PAS kesal dengan situasi yang berlaku dan kami sangat kesal dengan sikap pihak Polis yang terbukti tidak adil dan memilih 'bulu' dalam mengenakan sesuatu tindakan. Turut bersama-sama dalam sidang media itu ialah Mohammad Nizar bersama-sama peguam dan pimpinan Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat Perak. Harakah Daily |
FGVH: Peneroka hanya 5.5%, syarikat asing 94.5% Posted: 06 Jun 2012 11:26 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - PETALING JAYA: Prospektus penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGV) dengan jelas menunjukkan bahawa pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam syarikat tersebut hanyalah 5.5 peratus manakala 94.5 peratus sahan diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan bumiputra. Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli (gambar), berkata ini menimbulkan persoalan penting status tanah-tanah kerana is kini dimiliki dan dikuasai oleh syarikat yang tidak dikuasai bumiputra, lalu bertentangan dengan undang-undang Tanah-tanah Rezab Melayu (TRM) yang mengekalkan hakmilik di tangan Melayu atau bumiputra. "Pada 28 Mei yang lalu kita telah mendedahkan bagaimana Barisan Nasional (BN) telah memajakkan TRM yang dianggarkan seluas 105,382 ekar kepada FGV yang disenaraikan. "Sehingga kini, PKR tidak tidak mendapat apa-apa jawapan dari Datuk Seri Najib Razak mahu pun Tan Sru Isa Samad berhubung perkara tersebut," jelasnya. Rafizi turut memberitahu satu peruntukan penting di dalam perjanjian tersebut yang menjelaskan pegangan tanah di penempatan Felda seluruh negara dan mempunyai kesan besar kepada kebajikan peneroka Felda. "Tanah sedia ada dirujuk sebagai 'existing lands' iaitu 343,484.46 hektar tanah Felda Plantations Sdn Bhd yang dipajakkan termasuklah Tanah-tanah Rezab Melayu. "Tanah sedia ada tambahan atau 'additional existing lands' iaitu semua tanah-tanah tidak bergeran yang kini dimiliki oleh Felda dan ini merujuk kepada semua tanah lapang yang kini dimanfaatkan bagi tujuan kemasyarakatan di penempatan Felda seperti tapak kedau, padang, surau, jalan dan lain-lain," jelasnya. Tambahnya lagi, Tanah akan datang 'future lands' iaitu semua tanah yang Felda bakal peroplehi di masa hadapan. Pendedahan perjanjian ini mengesahkan dakwaan PKR selama ini bahawa semua tanah-tanah tidak bergeran di dalam penempatan Felda di seluruh negara telah pun dipajakkan ke sebuah syarikat yang dimiliki majoriti oleh pelabur swasta sedangkan tanah-tanah ini menjadi nadi aktiviti kemasyarakatan ekonomi warga Felda. "Apakah jaminan Najib dan Isa bahawa tanah-tanah ini tidak dijual satu masa kelak, atau kegunaannya diubah dan tidak lagi mengutamakan kebajikan warga Felda. "Apakah jaminan bahawa kedai-kedai runcit kecil yang didirikan di atas tanah-tanah tidak bergeran ini suatu hari nanti tidak akan dirobohkan oleh FGV," sambung beliau lagi. Tegas Rafizi, pendedahan ini jelas membuktikan bahawa Najib dan Isa telah berbohong apabila mereka menyatakan tanah-tanah yang melibatkan warga Felda tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian FGV. Harakah Daily |
AS akan terus serang al-Qaeda di Pakistan Posted: 06 Jun 2012 10:41 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - NEW DELHI 7 Jun - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta berkata, negara itu akan meneruskan rancangannya menyerang al-Qaeda di Pakistan, selepas pembunuhan pemimpin nombor dua kumpulan militan itu, Abu Yahya al-Libi. Katanya, AS amat jelas dalam perkara itu dan akan terus mempertahankan dirinya. "Kedaulatan Amerika juga diancam oleh kumpulan yang turut berada di Pakistan dalam merancang serangan pada 11 September," katanya semasa lawatan ke India semalam. - AFP |
100 dibunuh kekejaman terbaru rejim Syria Posted: 06 Jun 2012 10:35 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - DAMSYIK: Tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad didakwa melakukan pembunuhan terbaru membabitkan 100 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak di sebuah perkampungan di tengah Syria, semalam. "Kami menjumpai 100 mayat di kampung Al-Kubeir" di tengah Wilayah Hama, termasuk 20 wanita dan 20 kanak-kanak," kata jurucakap Majlis Kebangsaan Syria, Mohammed Sermini, hari ini. Beliau mendakwa rejim baru presiden itu bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai itu. Beberapa sumber juga mengesahkan berlaku pembunuhan beramai-ramai di tempat sama termasuk dakwaan oleh Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang memberi jumlah kematian 87 orang. - AFP |
Wabak penyakit Legionnaire ragut 1 nyawa Posted: 06 Jun 2012 10:23 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - LONDON 7 Jun - Seorang lelaki di Scotland maut akibat wabak penyakit Legionnaire dengan 17 kes jangkitan sama akibat virus maut itu disahkan, kata pihak berkuasa di Edinburgh, semalam. Menteri Kesihatan Scotland, Nicola Sturgeon berkata, ketika ini, terdapat 22 kes yang mempunyai simptom sama dengan wabak itu dan jumlahnya dijangka meningkat hari ini. Lelaki yang meninggal dunia itu berumur lingkungan 50-an kerana mengalami 'masalah kesihatan tersembunyi' dan lokasi sebenar penularan wabak tersebut masih tidak dapat dipastikan. - DPA |
Posted: 06 Jun 2012 10:12 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - MELAKA: Satu tiang lampu terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian kematian seorang kanak-kanak Maryam Najwa Massaari, 8, akibat renjatan di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai meletup secara tiba-tiba dan mengeluarkan percikan api, tengah hari kelmarin. Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu turut menyebabkan satu daripada kabel di tiang berkenaan terputus dan disedari sepupu Allahyarham Maryam Najwa, Masitah Mawasi, 12, yang sedang bermain basikal bersama saudaranya di halaman rumah terletak di depan tiang elektrik terbabit. Masitah berkata, pada mulanya dia terdengar beberapa letupan kecil sebelum melihat kabel bahagian atas tiang lampu itu mengeluarkan percikan api yang kemudian merebak membakar satu daripada wayar disambungkan ke situ. "Letupan yang terakhir sangat kuat menyebabkan salah satu kabel pada tiang berkenaan putus sambil terbakar sebelum ia jatuh ke tanah. Saya dan saudara yang lain bertempiaran menyelamatkan diri. "Kami bernasib baik kerana tidak berada di bawah kabel yang terputus itu. Selepas itu, saya segera menjerit memberitahu kakak, Munira, 18, mengenai kejadian yang berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam. Pada 30 Mei lalu, Mariam Najwa maut mati dipercayai akibat terkena renjatan ketika bermain bersama adiknya, Muiz Asyraf, 3, dalam kawasan digenangi air berhampiran tiang elektrik di depan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai. Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari sama, mengesahkan kematian kanak-kanak itu akibat renjatan, berpunca daripada kebocoran arus melalui tiang elektrik berikutan kerosakan pada kabel talian atas. Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian kelmarin mendapati, seramai lima kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang membaiki dan menggantikan kabel pada tiang lampu terbabit. Ibu Allahyarham Maryam Najwa, Norazlin Azmi, 33, berkata dia berada di rumah jirannya ketika kejadian dan panik apabila mendengar jeritan mengenai kebakaran itu berikutan Muiz Asyraf turut bermain di situ. "Saya segera berlari keluar rumah untuk memastikan Muiz selamat sebelum meminta anak saudara menelefon pihak berkenaan untuk membaiki tiang lampu itu. "Saya kesal kerana kerosakan berlaku tidak sampai seminggu pemergian anak perempuan tunggal saya selain difahamkan, tiang lampu itu baru saja ditukar mentolnya semalam (4 Jun)," katanya. Dalam perkembangan sama, Norazlin berkata, pihaknya sudah menghantar maklumat berkaitan insiden menimpa Allahyarham Maryam Najwa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu bagi diserahkan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk tindakan lanjut. METRO/- |
Posted: 06 Jun 2012 10:05 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - SANDAKAN: Rasa curiga pengguna jalan raya terhadap sebuah lori pasir yang terbiar di bahu jalan dalam keadaan terjungkit membawa kepada penemuan mengejutkan apabila menemui mayat seorang lelaki terperosok di bawah satu daripada tayar belakang jentera berat itu. Kejadian berlaku di Jalan Labuk Lama, Batu 8, di sini dan ketika mayat penunggang motosikal yang masih memakai topi keledar itu ditemui jam 5.30 petang kelmarin, pemandu lori terbabit sudah menghilangkan diri. Mangsa dikenali sebagai Suhar Sirini, 23, mati di tempat kejadian akibat parah apabila keseluruhan tubuhnya dilenyek lori terbabit. Kemalangan ngeri itu berlaku ketika lori terbabit mahu membelok ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang terletak berhampiran tempat kejadian lalu terlanggar mangsa yang menunggang motosikal di sebelah kiri kenderaan itu. Ketua Zon Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Alias Abu berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mayat seorang penunggang motosikal berada di bawah lori yang tiada pemandu. METRO/- |
Ombak: Ratusan rumah di Perlis, P Pinang dinaiki air Posted: 06 Jun 2012 09:58 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - Ombak besar dan air pasang melanda kawasan pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang semalam mengakibatkan ratusan buah rumah dimasuki air. Ombak turut menghanyutkan seekor anak paus sepanjang satu meter dan seberat 3.4 kilogram lalu terdampar berhampiran rumah seorang penduduk terbabit. ADUN Kuala Perlis Mat Hassan berkata ratusan rumah dimasuki air masin apabila air pasang disertai ombak mula berlaku pukul 12.30 tengah hari. Katanya, beliau melawat mangsa air pasang itu dan mendapati kebanyakannya telahpun memindahkan barangan ke tempat selamat. Sementara itu, di kampung Sungai Padang dekat Kangar, para penduduk berhadapan saat mencemaskan apabila air memasuki rumah separas pinggang dalam masa 15 minit akibat ombak besar. Seorang mangsa, Haliah Shaari, 52, berkata rumahnya dimasuki air serta lumpur apabila dipukul ombak mengakibatkan pelbagai barangan di dalamnya rosak. Wanita itu berkata ombak turut menghanyutkan anak ekor anak paus tersebut dan terdampar berhampiran rumahnya. Seorang pakar biologi marin Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Dr Ridzwan Abdul Rahman berkata berdasarkan bentuk ikan itu, ia merupakan sejenis mamalia marin iaitu paus. Tinjauan mendapati jalan pinggir pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang dipenuhi lumpur dan mangsa masih bertungkus lumus membersihkan rumah mereka. Turut meninjau mangsa ombak di Sungai Padang ialah Ketua Umno bahagian Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. Sementara itu, ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter didapati melanda pantai sekitar Pulau Pinang mulai 2 petang semalam. Di Kampung Tsunami Tanjung Bungah, tidak kurang daripada 11 buah rumah dimasuki air laut kesan pukulan ombak itu. Seorang penduduk, Tan Eng Kee, 67, berkata air memasuk rumahnya sehingga paras buku lali dan menyebabakan halaman rumahnya berbecak. "Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku sejak 20 tahun lepas dan ia bencana kedua terburuk selepas kejadian Tsunami empat tahun lepas," katanya kepada Bernama. Katanya penduduk telah membina benteng pasir di sekeliling kediaman mereka. Tinjauan Bernama di sekitar Padang Kota Lama dan Persiaran Gurney yang berhampiran laut, mendapati air laut melimpah sehingga ke jalan raya di samping membasahi ruang pejalan kaki. Namun bagi kaki pancing, Hamzah Sidik, 54, dia sedikit pun tidak bimbang dengan keadaan itu dan tetap meneruskan hobinya bersama isteri dan dua anaknya, biarpun keadaan ombak berkeadaan tidak seperti biasa. "Waktu macam ini ikan banyak naik, tiada apa yang hendak dibimbangkan. Jika keadaan berbahaya sudah tentu amaran menjauhi pantai dikeluarkan," katanya. Di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang pula keadaannya didapati agak lenggang apabila orang ramai menjauhi kawasan pantai sementara nelayan dikatakan tidak turun ke laut sejak semalam. Namun aktiviti perniagaan masih berjalan seperti biasa. Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meterologi, Muhammad Helmi Abdullah menyifatkan kejadian itu adalah fenomena biasa kesan pertukaran angin dari monsun timur laut kepada monsun barat daya bermula 4 Mei lepas. Katanya keadaan ombak turut dipengaruhi angin kuat yang bertiup dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam yang diramal berterusan sehingga Jumaat ini. "Keadaan laut agak bergelora pada ketika ini. Walaupun masih pada kategori pertama, nelayan dinasihati supaya tidak turun ke laut sehingga keadaan reda," katanya. - Bernama |
Lelaki belasah isteri guna kayu hoki Posted: 06 Jun 2012 09:32 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - ALOR SETAR: Akibat perselisihan faham, seorang wanita berusia 40-an lebam pada beberapa bahagian badan akibat dipukul menggunakan kayu hoki oleh suaminya yang gagal mengawal kemarahannya di Jalan Alor Mengkudu, di sini, Isnin lalu. Kejadian berlaku jam 10.30 pagi apabila suami wanita itu yang berusia 40-an membenarkan isteri dan dua anaknya masuk semula ke dalam rumah selepas mengunci mereka di luar selepas berlaku pertengkaran antara pasangan terbabit. Difahamkan, selepas dibenarkan masuk, pertengkaran antara mangsa dan suaminya semakin teruk sebelum lelaki itu dikatakan hilang sabar lalu berlari ke belakang rumah mereka dan mengambil kayu hoki yang disimpan di dalam stor. Sumber berkata, sejurus itu, lelaki berkenaan datang menghampiri isterinya dengan memegang kayu hoki di tangan dan pada mulanya bertindak mengacah untuk memukul sebelum mengheret mangsa ke dalam bilik tidur mereka. "Lelaki itu lebih ganas apabila mengheret isterinya ke dalam bilik sebelum memukul wanita itu bertubi-tubi menggunakan kayu hoki yang diambil di dalam stor sebelum itu," katanya. Menurutnya, akibat tidak tahan menanggung kesakitan dengan tindakan suaminya, wanita berkenaan menjerit sekuat hati dan menghalau lelaki itu yang kemudian bergegas keluar untuk melarikan diri. Difahamkan, wanita berkenaan mengalami lebam di bahagian peha dan belakang termasuk bengkak di muka akibat pergaduhan dengan suaminya. Wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, kelmarin berikutan bimbang dengan keselamatan dirinya serta takut suaminya akan bertindak dengan lebih ganas. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata berdasarkan maklumat, pihak polis sudah menahan lelaki itu di sekitar bandar raya, pagi semalam. "Kami akan mengemukakan permohonan reman terhadap suspek dalam masa terdekat untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu," katanya. Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan kerana perbuatan suspek yang sengaja mengakibatkan kecederaan terhadap mangsa. metro/- |
PTPTN Unisel: Abim anggap hasil politik memualkan Posted: 06 Jun 2012 08:25 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - SHAH ALAM: Abim Negeri Selangor memandang serius dengan dakwaan Pihak Perbadanan Tabung Pendidikan tinggi Nasional (PTPTN) menggantung bantuan pinjaman pendidikan kepada pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel). Jika benar dakwaan ini, ia amat merugikan dan sekaligus meletakkan masa depan pelajar terbabit dalam keadaan yang tidak menentu. Demikian kata Khairuddin Bin Abas, Yang Di Pertua Abim Negeri Selangor dalam satu kenyataannya hari ini. Menurut beliau, Abim Negeri Selangor berpandangan pihak PTPTN tidak wajar bertindak sedemikian, memandangkan ia menafikan hak para pelajar pembiayaan yang layak untuk mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepertimana yang termaktub dalam objektif penubuhan badan tersebut iaitu:- "Memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat Kerajaan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan." ABIM Negeri Selangor berpandangan selaku IPTS yang menawarkan kursus yang diiktiraf dan mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Unisel pasti telah memenuhi syarat asas menerima pembiayaan PTPTN dari badan berkenaan. Bahkan, katanya, Abim Negeri Selangor juga berkeyakinan para pelajar yang ingin memohon telahpun memenuhi pra-syarat mengikuti pengajian di Unisel. Menilai implikasi besar (jika pembiayaan ditarik balik) terhadap masa depan sistem pendidikan di negara ini, Abim Negeri mendesak penyelesaian segera dicapai oleh pihak-pihak terbabit. Abim Negeri Selangor juga memuji tindakan pentadbiran UNISEL yang berbincang dengan pihak PTPTN serta menilainya sebagai satu tindakan yang wajar. Dalam hal ini masa depan serta kebajikan pelajar mesti diletakkan sebagai keutamaan penting, katanya. Adalah amat mendukacitakan sekiranya polemik ini terjadi akibat dari amalan budaya politik tidak matang serta menggambarkan mentaliti politik yang rendah serta memualkan. Oleh yang demikian, Abim Negeri Selangor menggesa pihak PTPTN agar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan dakwaan penggantungan dan menyatakan dengan jelas sebab munasabah di sebalik isu ini. "Kami juga mendesak pihak-pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian untuk memelihara kebajikan dan masa depan pelajar di masa depan," desak beliau. Mengambil kesempatan ini, Abim Negeri Selangor juga menyeru agar Kerajaan Negeri Selangor agar mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ini daripada berlarutan. Ini kerana, ia menyentuh secara langsung imej Unisel selaku IPT utama di negeri Selangor di samping menyentuh secara langsung kesinambungan masa depan para pelajar. Harakah Daily |
Ambil tindakan ke atas penganjur 'Bertam Nite' Posted: 06 Jun 2012 08:22 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - PULAU PINANG: Pemuda PAS Pulau Pinang mendesak PKR menyiasat sepenuhnya 'Bertam Nite' dan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bersalah ke atasnya. Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam kenyataannya berkata, pimpinan Pakatan Rakyat juga mesti segera menyiasat penganjur program ini serta mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terlibat "bagi membuktikan bahawa kita bukan golongan yang hipokrit!" "Ditegaskan bahawa, kami tidak bantah hiburan, tetapi kami bantah maksiat," kata beliau dalam kenyataan itu. Video 'Bertam Nite' yang menayangkan persembahan tarian ala K-Pop kini tersebar luas manakala gambarnya juga tersiar luas dalam laman-laman sosial. Pemuda PAS P.Pinang difahamkan bahawa program tersebut adalah program makan malam anjuran PKR DUN Bertam, dalam Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang. PKR sebelum ini dalam kenyataannya mendakwa, majlis mereka telah disabotaj. "Jika dikatakan ada unsur sabotaj sekalipun, sepatutnya pihak penganjur perlu segera menghentikan tarian tersebut dan tidak membiarkan ianya terus berlangsung sehingga menjadi tatapan hadirin dan dirakam secara bebas. "Pihak penganjur juga mesti tegas mengambil tindakan kepada pihak yang melakukan sabotaj jika benar ianya satu sabotaj untuk merosakkan imej pimpinan muslim dalam PR khasnya dari PAS," kata kenyataan itu. PKR ambil tindakan Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman twitternya memberitahu, majlis anjuran Cabang Kepala Batas itu bertentangan dengan dasar parti itu. "Acara bertentangan dengan dasar parti, akan diputuskan dalam mesyuarat malam nanti (malam tadi)," katanya. 'Bertam Nite' yang diadakan bertujuan untuk mengumpul dana jentera pilihan raya Pakatan Rakyat itu menampilkan tiga gadis seksi memakai skirt pendek ala K-Pop yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman. Harakah Daily |
RTM: Tidak memadai sekadar bentang manifesto Posted: 06 Jun 2012 08:19 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 7 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendirian keputusan kerajaan membenarkan parti-parti politik membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi televisyen adalah tidak memadai untuk akses pilihan raya yang adil. Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, meskipun DMPP menyambut baik keputusan itu, namun kerajaan juga harus memberi ruang kepada parti-parti politik menerangkan manifesto mereka dan menjawab segala tohmahan kerajaan kepada Pakatan Rakyat (PR). "Sekadar memberi ruang kepada pembentangan manifesto tidak mencukupi. Apatah lagi ketika Umno BN sepanjang masa melontarkan fitnah terhadap PR melalui 24 jam siaran TV dan radio yang dikuasi mereka. "Ruang dan peluang yang lebih adil dan berimbang kepada semua parti politik dalam menjayakan demokrasi pilihan raya mesti berjalan dan terpakai kepada semua tanpa memilih bulu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini. Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan pembentangan manifesto parti-parti politik dalam waktu yang dihadkan. Aiman berkata, tiada guna PR diberi masa satu atau dua jam untuk membentangkan manifesto tetapi selepas itu PR diserang dan diperlekeh sepanjang kempen pilihan raya berlangsung. Justeru katanya, pengumuman Rais itu seperti melepaskan batuk di tangga dan usaha mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan melaksanakan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). "DMPP percaya pengumuman ini hanyalah suatu tindakan silap mata bertujuan mengaburi kesedaran rakyat, membohongi rakyat yang kononnya kerajaan telah memenuhi tuntutan Bersih 2.0. "Kita yakin dan percaya pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) kini sangat tertekan dengan kesedaran dan kebangkitan rakyat," katanya lagi. Walau bagaimanapun ujarnya, rakyat konsisten mendesak kerajaaan memenuhi lapan tuntutan Bersih, salah satunya akses media yang adil kepada semua parti. "Sbg pihak DMPP cabar pentadbiran Najib agar berani dan matang dalam menghadapi rakyat. Jangan asyik menjerit meminta pimpinan PR jadi anak jantan tapi Umno BN sendiri jadi pondan," tegasnya. Harakah Daily |
Posted: 06 Jun 2012 08:16 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - JAWI – Polis daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berjaya memberkas empat suspek yang disyaki terlibat dengan satu kes pembunuhan seorang lelaki di Taman Tambun Indah, awal pagi Ahad lalu. Ketua Polis SPS, Superintendan Shafien Mamat berkata, tangkapan pertama membabitkan dua suspek yang merupakan pasangan adik-beradik berusia 24 dan 26 tahun. Menurutnya, kedua-dua mereka ditahan dalam satu serbuan di Simpang Ampat kira-kira jam 9.30 malam. "Berikutan dari tangkapan dan hasil soal siasat ke atas kedua-dua lelaki itu, kita kemudiannya berjaya menahan seorang lagi rakan mereka berusia 25 tahun pada hari yang sama (Ahad). "Isnin lalu, suspek keempat berusia 27 tahun berjaya diberkas dengan salah seorang dari mereka cedera di bahu. Semua tangkapan dibuat di sekitar Simpang Ampat dan Valdor," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di sini, malam kelmarin. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar. Shafien dalam pada itu berkata, semua suspek yang ditahan merupakan rakan sekumpulan dengan mangsa dan pihaknya percaya kumpulan itu mempunyai antara 10 hingga 15 ahli. Menurutnya, usaha memburu suspek utama yang menyebabkan kematian lelaki berusia 28 tahun itu masih giat dijalankan termasuk saki-baki anggota kumpulan terbabit. Bagaimanapun, pihaknya sudah mengenal pasti semua suspek dan berharap dapat memberkas mereka dalam sehari dua lagi. "Berdasarkan siasatan, kumpulan ini disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah. Pergaduhan pada awalnya hanya berpunca dari perasaan tidak puas hati, berlaga bahu dan akhirnya membawa kepada pembunuhan," katanya yang percaya semua mereka mabuk ketika kejadian. Beliau berkata, semua mereka yang ditangkap kini ditahan sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Terdahulu, seorang lelaki berusia 28 tahun ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai terlibat dengan satu pergaduhan di hadapan sebuah restoran tomyam, dekat Taman Tambun Indah, Simpang Ampat. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, G Shanmugam dari Taman Bukit Panchor, Nibong Tebal, sebelum itu dikatakan bergaduh dengan seorang lelaki sebelum dipukul dengan sebatang rotan. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala selain lebam pada mata kanan itu maut di tempat kejadian. Sinar Harian |
Posted: 06 Jun 2012 08:10 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - JUNJUNG - Seorang pemandu van berusia 30-an nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan lori kira-kira jam 12.30, tengah hari semalam. Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, van datang dari arah pekan Junjung menghala ke pekan Kulim, manakala lori berkenaan dari arah bertentangan. Menurutnya, tiba di selekoh berhampiran Jirat Cina Junjung, salah sebuah kenderaan telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung. Katanya, akibat rempuhan kuat, van terlibat terbabas ke dalam semak manakala pemandunya tersepit. "Sebuah jentera bomba dari Balai Bonda Kulim dan ambulans dari Hospital Kulim berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira 10 minit kemudian. Mangsa dikejarkan ke unit kecemasan untuk rawatan lanjut," katanya. Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob, menasihati pemandu dan penunggang motosikal memperlahankan kenderaan apabila melalui Jalan Junjung ke pekan Kulim. "Jalan dari pekan Junjung ke Kulim sememangnya bengkang bengkok. Tahun lalu sahaja lebih empat pengguna jalan raya maut di sekitar lokasi kemalangan berlaku. "Antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah sikap pemandu serta keadaan jalan. Bagaimanapun pengguna jalan raya dapat mengelakkan dari terlibat dengan kemalangan sekiranya mereka memandu secara lebih berhemah," katanya. Sinar Harian |
Peniaga emas disaran utama keselamatan kedai Posted: 06 Jun 2012 08:09 PM PDT 17 Rejab 1433H. [MOD] - PASIR MAS – Kurangnya ciri keselamatan kedai emas, dipercayai faktor penyumbang, berlakunya kes rompakan di tiga daerah, sejak kebelakangan ini. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, pihak polis menerima laporan di tiga daerah iaitu satu kes di Tumpat, dua di Pasir Mas dan tiga di Kota Bharu. Menurutnya, operasi mencari suspek kes rompakan kedai emas digiatkan, malah pihak polis akan menyiasat semua pembeli di kedai emas berkenaan. "Kerjasama antara unit polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) juga akan menguatkan operasi mencari penjenayah berprofil tinggi," katanya, selepas taklimat khas, di Markas Taktikal Lubok Setol. Menurutnya, ciri keselamatan di kedai emas yang agak rendah meningkatkan kebarangkalian risiko dirompak. "Penjenayah hanya memilih kedai emas yang mempunyai kelemahan, termasuk tidak mempunyai sistem penggera, kamera litar tertutup dan kedudukan kedai terpencil. "Suspek juga mempunyai masa yang panjang untuk merompak kerana kedai emas biasanya beroperasi pada jam 12 tengah hari dan berakhir pada jam 6 petang," katanya. Jalaluddin berkata, peniaga juga diingatkan lebih peka sekiranya terdapat sebarang pengubahsuaian bangunan berdekatan kedai. Beliau menasihati pemilik agar tidak leka, dan memastikan kedai berada dalam keadaan yang terkawal serta mempunyai sistem keselamatan yang canggih. "Sekiranya peniaga memastikan ciri keselamatan bangunan yang ketat, kejadian seumpama ini tidak akan berlaku," katanya. Sebelum ini, seorang peniaga kedai emas terpaksa berputih mata, selepas kedainya di Pasir Tumboh dipecah masuk, dua hari lalu. Dalam kejadian itu, Lu Seing Ai, 49, mengalami kerugian kira-kira RM300,000 sejurus memulakan perniagaan, pada jam 12 tengah hari, kelmarin. Sinar Harian |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan