Anwar Ibrahim |
- Perang psikologi: Sandiwara Muhyiddin Untuk Halalkan Keganasan BN
- ‘Kes JKM Buktikan Dakwaan PKR Benar’
- Scorpene: Kerajaan Digesa Jelas Peranan Terasasi Sdn Bhd
- Mahathir Pertahankan Skandal BNM Pada 1992
Perang psikologi: Sandiwara Muhyiddin Untuk Halalkan Keganasan BN Posted: 04 Jun 2012 12:12 AM PDT KUALA LUMPUR 4 Jun: “Kita khuatir kenyataan Muhyiddin itu hanya justifikasi atau sandiwara mereka (BN) untuk membuat pelbagai muslihat dan keganasan seperti yang banyak berlaku sejak kebelakangan ini,” kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kedudukan BN pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) kini dalam bahaya dan menyeru jentera BN agar bekerja keras bagi memastikan mereka tidak tewas. Tian menyifatkan, peringatan Muhyiddin kepada jentera pilihan raya BN bahawa PRU 13 kali ini adalah penentu ‘hidup dan mati’ parti tersebut menggambarkan sandiwara Umno untuk membenarkan keganasan bagi mempertahan kuasa. Ini disebabkan Muhyiddin dilaporkan berkata, Pakatan Rakyat (PR) berkemungkinan turun ke jalan raya dan mendakwa keputusan pilihan raya sebagai tidak bersih serta menggulingkan kerajaan jika kalah dalam pilihan raya akan datang. Beliau juga mendakwa, Pembangkang kononnya sengaja melancarkan perang psikologi untuk memanipulasi pemikiran rakyat supaya menjatuhkan kerajaan BN cara ala ‘Arab Spring’ atau ‘kebangkitan rakyat’. “Jelas di situ, mereka (BN) yang mempunyai niat sedemikian jika kalah (PRU 13), sedangkan kita PR tidak pernah menunjukkan niat sebegitu,” tegas Tian yang juga Ahli Parlimen Batu. Dipercayai, kenyataan Muhyiddin itu bersangkut paut kejatuhan rating keseluruhan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak daripada 69 peratus pada Februari kepada 65 peratus pada Mei 2012. Menurut kajian Merdeka Centre, kejatuhan ini disebabkan kemerosotan sokongan di kalangan responden belia dan bukan Melayu. Rating Najib merosot sehingga 19 peratus bagi sokongan kaum Cina dan penurunan 8 peratus sokongan India. Menurut kaji selidik itu, penurunan tersebut tidak dapat diimbangi kenaikan lima peratus sokongan daripada masyarakat Melayu. Sokongan untuk Perdana Menteri di kalangan pengundi berusia di bawah 40 tahun juga turut merosot, dengan rating bagi mereka di bawah umur 30 tahun sehingga 61 peratus. Pengendali kaji selidik itu berkata, kemerosotan populariti Najib tersebut berlaku tiga minggu selepas perhimpunan Bersih 3.0. Dalam himpunan pada 28 April lalu itu, kerajaan, menteri dan polis telah membenarkan keganasan dilakukan ke atas peserta dan sehingga kini tiada tindakan diambil malah kerajaan berterusan menyalahkan kesemua mereka terbabit termasuk penganjur dan Pembangkang. |
‘Kes JKM Buktikan Dakwaan PKR Benar’ Posted: 04 Jun 2012 12:00 AM PDT PKR mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan menjelaskan segera dakwaan seramai 1,758 individu yang keluar daripada pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih tidak mendapat status warganegara. Naib Presidennya N Surendran berkata, jika tiada tindakan diambil, PKR akan terus memberikan tekanan kepada kerajaan. “Saya mahu menteri dalam negeri segera jelaskan kenapa perkara ini boleh berlaku… Perkara ini tugas dan tanggungjawab KDN dan kerajaan untuk selesaikan. PKR tak ada kuasa dan kemudahan untuk selesaikan. “Kita hanya dapat beri tekanan untuk pastikan agar kerajaan mengambil tindakan ke atas isu ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini. NGO yang memantau masalah itu Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) pada 31 Mei lalu mendakwa masalah itu berlaku apabila JKM tidak menjalankan tanggungjawab sehingga anak-anak bekas jagaan jabatan itu hanya mendapat status pemastautin sementara. Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Surendran berkata, kenyataan Perbak itu turut membuktikan bahawa dakwaannya berhubung jumlah besar masyarakat India tidak mempunyai kad pengenalan adalah berasas. “Kenyataan NGO itu membuktikan kenyataan yang dikeluarkan oleh saya sebelum ini benar. Sebab mereka tak ada ibu-bapa, anak yatim piatu. Jumlah 1,758 membuktikan ia serius. “Jika yang didaftarkan dibawah NGO itu 1,758, sudah tentu ada ribuan lagi di seluruh negara yang tak ada MyKad,” katanya lagi. Surendran sebelum ini mendakwa, sekurang-kurangnya 300,000 kaum India hanya memiliki kad pengenalan merah, hijau atau tiada langsung dokumen pengenalan diri. |
Scorpene: Kerajaan Digesa Jelas Peranan Terasasi Sdn Bhd Posted: 03 Jun 2012 09:53 AM PDT Suaram menggesa kerajaan menjelaskan peranan Terasasi (Hong Kong) Sdn Bhd yang didakwa menjual rahsia negara kepada syarikat Perancis berhubung urusniaga RM4 bilion untuk membeli kapal selam Scorpene. “Setakat ini, peranan Terasasi masih belum dijelaskan di Parlimen Malaysia. “Kerajaan Malaysia perlu menjelaskan perkara ini dan peranan yang dimainkan Abdul Razak Baginda dalam transaksi (melibatkan kertas penilaian Scorpene),” kata pengarah Suaram Kua Kia Soong. Abdul Razak dan bapanya merupakan pengarah Terasasi, sebuah syarikat yang muncul dalam siasatan Suaram ke atas syarikat pembina kapal Perancis, DCNS, dalam kes penjualan dua kapal selam Scorpene kepada Malaysia. Terasasi didakwa menerima sejumlah 36 juta euro (RM142 juta) daripada DCNS – antara lainnya untuk ‘jualan’ laporan sulit melibatkan penilaian tentera laut Malaysia ke atas pesanan untuk kapal selam itu. Kua dalam satu emel kepada Malaysiakini semalam berkata, satu inkuiri perlu dibuat ke atas dakwaan serius itu. |
Mahathir Pertahankan Skandal BNM Pada 1992 Posted: 03 Jun 2012 09:13 AM PDT GEORGETOWN 3 Jun: Arahan diberikan kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein untuk mengundurkan diri ekoran krisis kerugian RM30 bilion akibat urusniaga pertukaran asing pada 1992, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun begitu, kata Anwar, Tun Mahathir Mohamad selaku perdana menteri ketika itu mempertahankan skandal berkenaan, meskipun ia menyebabkan negara menanggung kerugian. “Setelah lebih 20 tahun isu kerugian wang yang amat besar ini tidak mendapat tindakan yang sewajarnya dari pihak pemerintah yang diterajui oleh Barisan Nasional. “Mereka sentiasa berasa selesa walaupun negara mengalami kerugian dalam transaksi tersebut,” kata Anwar ketika menjadi panel dalam Forum Skandal Forex Bank Negara, anjuran Penang Institute, di Dewan Sri Pinang, semalam. Anwar juga menegaskan bahawa individu utama dalam kes tersebut ialah bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dan juga Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai jabatan perdagangan mawatang di Bank Negara ketika itu. Mantan Timbalan Gabenor Bank Negara, Dr.Rosli Yaakop, antara salah seorang panel dalam forum yang dikendalikan oleh Julian Candiah itu. Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyatakan kerugian itu berlaku ‘di atas kertas sahaja’ dan desakan supaya melantik sebuah Suruhanjaya Diraja juga tidak diendahkan. “Ini mempamerkan wajah sebenar penyangak dan mereka yang korup dalam mengendalikan wang negara,” katanya yang menambah isu mengenai spekulasi mata wang Yen dan Dollar Amerika bermula sejak 1989 lagi. “Akhirnya apabila kehilangan wang negara yang begitu besar berlaku, tiada pihak yang berani untuk membawa ke muka pengadilan spekulator yang bertanggungjawab,” kata beliau. |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan