Selasa, 3 April 2012

www.telokkemang.blogspot.com/

www.telokkemang.blogspot.com/


Menteri jawab isu Hospital Rembau - Rupa tidak ada peruntukan ketika diumumkan dahulu

Posted: 03 Apr 2012 01:43 AM PDT


Rujukan Hansard Parlimen 29 Mac 2012 - http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-29032012.pdf

Dato' Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KESIHATAN menyatakan :-

a. Rancangan Kementerian untuk membina Hospital Daerah Rembau seperti mana yang dijanjikan ketika Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu; dan

b. Bilakah pembinaan dijangka bermula dan jangkaan kos yang terlibat dan nisbah doktor berbanding pesakit.

Menteri Kesihatan [Dato' Seri Liow Tiong Lai]:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kementerian Kesihatan telah memulakan perancangan bagi membina Hospital Rembau dalam rolling plan pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh. Hospital Rembau ini akan dibina di atas tapak seluas 45 ekar yang terletak di mukim Chembong dengan kapasiti 76 buah katil yang akan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit luar dan pesakit dalam serta mempunyai kemudahan perubatan lain seperti yang terdapat di hospital daerah tanpa pakar yang lain. Hospital Rembau juga akan dilengkapi dengan kemudahan satu bilik pembedahan dan menyediakan ruang tambahan bagi sebuah lagi bilik bedah tambahan bagi menampung keperluan pada masa akan datang.


Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Rembau. Sebenarnya beliau telah pun banyak memperjuangkan pembinaanhospital ini dan dapat dipercepatkan sehinggakan beliau berkali-kali berjumpa saya dan juga berjumpa dengan Perdana Menteri untuk dapat kita melaksanakan hospital ini dengan secepat mungkin. Pembinaan Hospital Rembau ini akan dilaksanakan secara berfasa yang melibatkan kerja-kerja tanah dalam fasa pertama dan fasa kedua, pembinaan bangunan.

Kos projek dianggarkan berjumlah RM122.6 juta. Bagi fasa pertama, pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah mengiklankan tender pada 27 Februari 2012 dan tender telah ditutup pada 27 Mac 2012 dan kerja-kerja tanah akan bermula pada awal bulan Mei dan mengambil masa selama empat bulan. Sementara itu, tender bagi fasa dua untuk pembinaan bangunan akan ditender pada penghujung bulan Mei.

Mengikut perancangan Hospital Rembau akan mempunyai enam buah wad termasuk wad lelaki, wad perempuan, wad kanak-kanak, wad bersalin, wad geriatric dan wad rehabilitasi. Fasiliti-fasiliti lain termasuk untuk perkhidmatan pesakit luar, unit kecemasan dan forensik, unit rawatan harian, jabatan x-ray, makmal dan sebuah dewan bedah. Hospital Rembau akan menerima perkhidmatan lawatan pakar-pakar dari Hospital Tuanku Jaafar Seremban yang akan turut memantau perkhidmatan geriatric dan rehabilitasi secara berkala. Hospital Rembau dijangka akan mempunyai pegawai perubatan, doktor seramai 10 sehingga12 orang. Sekian, terima kasih.

Dato' Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]:

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya berterima kasih dengan penjelasan Yang Berhormat Menteri yang begitu detail sekali, hanya semenjak ia dimaklumkan pada tahun 2008 dan juga kawasan pun telah ditentukan, sewaktu itu dengan papan tanda siap dengan papan tanda dan kawasan telah pun di pagar tadi. Saya hanya menyoal perkara ini adalah kerana perkara ini telah memakan begitu lama untuk dilaksanakan dan ditanya-tanya oleh rakyat Rembau apakah ini satu rancangan yang telah pun dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sewaktu itu sebagai satu cadangan politik. Akan tetapi, alhamdulillah oleh kerana rancangan ini akan diteruskan maka saya hanya ingin tahu mengikut jadual bilakah hospital ini akan siap dan boleh digunakan. Secara keseluruhan kelengkapan yang disebutkan tadi disediakan dan mengikut perbelanjaan yang diperuntukkan iaitu RM122 juta, terima kasih.

Dato' Seri Liow Tiong Lai:

Memang hospital ini telah pun dirancang pada tahun 2008 dan mempunyai perancangan untuk membina melalui PFI tetapi kerana kesuntukan kewangan, maka ia dimasukkan dalam perancangan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Kita telah pun dapat mendahulukan projek komitmen, komitmen-komitmen telah dibuat untuk melaksanakan projek ini dan mengikut perancangan apabila hospital ini dapat ditenderkan pada hujung bulan Mei ini, maka kita boleh mulakan projek pada tahun ini dan ia akan siap dalam masa tiga tahun untuk kita membolehkan hospital ini dapat berfungsi dengan sepenuhnya. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Nuffnang