Nurul Izzah Anwar |
Negara Dunia Pertama: Dahulu dan Sekarang Posted: 03 Apr 2012 01:51 AM PDT Kerajaan Islam Abbasid pada kurun ke-10 sinonim dengan zaman kegemilangan Dunia Islam; adalah empayar terunggul atau dalam bahasa mutakhir, empayar Dunia Pertama. Kemajuan ilmu sains, ilmu falsafah dan ilmu pemerintahan mendahalui kerajaan lain termasuk dunia Barat yang waktu itu diselebungi Zaman Kelam (Dark Ages). Dunia Islam melahirkan beberapa institusi perintis urus-tadbir kenegaraan – seperti Institusi majlis syura, hisbah, madrasah, mahkamah – bersama kestabilan sosio-politik serta kemajuan ekonomi yang mencirikan empayar dunia pertama ketika itu. Sumbangan dunia Islam adalah budaya kebebasan berfikir dan menghargai ilmu; di mana segala sumber dan bentuk ilmu walaupun dari China diambil dan ditambahnilaikan, seterusnya dikongsi dan tersebar ke dunia Barat. Selepas Baghdad ditawan tentera Mongol pada kurun ke-13, dunia Islam dalam bentuk empayar besar berpecah kepada daulah-daulah kecil dan terpisah seperti di Andalusia sementara status empayar Dunia Pertama semakin terhakis sehingga sekarang kesemua negara-negara Islam termasuk Malaysia berada di tahap negara Dunia Ketiga. Budaya Politik Kolonialisme Terus Kekal Giliran dunia Barat pula membangun hasil kesinambungan budaya ilmu dan rangka institusi dunia Islam yang terus diperkembangkan dari zaman kebangkitan sehingga lahirnya zaman perindustrian di Britain – disusuli pencorakan falsafah politik hasil pertembungan demokrasi dan komunisme – telah menjadikan negara-negara Barat sebagai negara Dunia Pertama. Perjalanan sejarah ditandai zaman penjajahan dunia Barat iaitu kolonialisme serta dua Perang Dunia. Sementara bekas-bekas penjajah bergerak kehadapan dengan memperbaiki ciri-ciri negara Dunia Pertama namun bekas jajahan yang meraih kemerdekaan termasuk Malaysia menjadi penjajah baru kepada rakyat sendiri – dengan meneruskan amalan politik pecah-belah berteraskan perkauman, sistem perundangan drakonian dan penjarahan ekonomi golongan elit yang mirip budaya penjajah sebelumnya. Budaya penjajahan kekal sama dengan hanya penukaran bendera, menggambarkan suasana negara Dunia Ketiga sekarang. Kita harus menilaikan perbezaan Dunia Pertama dan Ketiga dari segi budaya politik, institusi-institusi kenegaraan dan prestasi ekonomi untuk menentukan apakah yang mesti dilakukan supaya Malaysia tidak kekal sebagai negara Dunia Ketiga – lebih-lebih lagi bila sudah bermula reformasi demokrasi di Dunia Islam dengan pergerakan 'Arab Spring'. Budaya politik Dunia Pertama kurun ke-21 adalah kuasa untuk rakyat dan bukan kuasa untuk harta. Dunia Pertama sekarang bercirikan demokrasi rakyat yang berteraskan kebebasan berfikir, kebenaran ilmu dan keadilan sosial berbanding dengan Dunia Ketiga bercirikan oligarki feudal yang memenjarakan pemikiran dengan ideologi sempit lagi batil – menyekat kebenaran ilmu melalui kawalan media massa serta penggunaan propaganda hitam – dan mengabaikan keadilan sosial demi mengangkat kapitalisme kroni. Penumpuan – bukan pengasingan kuasa serta pengagihan kekayaan – ditangan segelintir manusia menjadi matlamat oligarki feudal Dunia Ketiga yang memerintah. Perbezaan Politik Dunia Pertama dan Ketiga Perbezaan utama budaya politik Dunia Pertama dan Ketiga adalah sikap kepimpinan Dunia Pertama; bilamana berlaku kesilapan atau kegagalan menjalankan tugas dan tanggungjawab akan disusuli oleh perletakan jawatan termasuk penghadapan ke muka pengadilan jika ada salah-laku. Malangnya pemimpin-pemimpin yang mempunyai konflik kepentingan masih lagi berleluasa di dalam pentadbiran negara kita, malah dilindungi dan disanjungi sebagai wira. Institusi-institusi di negara Dunia Pertama berkhidmat demi kebaikan dan kebajikan rakyat. Sebaliknya, institusi negara Dunia Ketiga walaupun mewarisi rangka institusi bekas penjajah seperti – institusi parlimen, pilihanraya, kehakiman dan kerajaan – telah dipinda bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk golongan elitis yang berkuasa. Proses pilihanraya jika dibandingkan dengan negara-negara Dunia Pertama, masih jauh ketinggalan dari segi keadilan dan ketelusan. Contohnya, meskipun pemilihan Presiden Amerika Syarikat masih di peringkat awal, sentiasa ada laporan tentang perdebatan yang sihat mengenai dasar-dasar hala-tuju negara di antara calon-calon yang bertanding. Seterusnya proses pilihanraya yang masih 'dijajah' budaya Dunia Ketiga Ini termasuk percanggahan di dalam senarai daftar pengundi, waktu berkempen yang dihadkan, tiada akses sama rata di dalam media, tiada peluang rakyat di luar negara mengundi dan penggunaan jentera serta dana kerajaan untuk berkempen. Institusi Parlimen dijinakkan melalui mengurangkan peranan perwakilan rakyat, mengusulkan rang undang-undang berat sebelah, tiada kuasa pemantauan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM atau agensi ekonomi seperti Petronas, tiada penubuhan jawatankuasa tetap memantau urus-tadbir kerajaan dan tiada sesi soal-jawab mingguan Perdana Menteri. Manakala integriti badan kehakiman dan perundangan dicemari dengan kepentingan politik pemerintah seperti kelambatan pengadilan bertulis serta kegagalan Peguam Negara merayu penghakiman Razak Baginda di dalam kes pembunuhan kejam Altantuya. Malahan, Suruhanjaya DiRaja mengenai perlantikan hakim oleh VK Lingam juga diabaikan. Pemberian tanpa tender projek lebuhraya KIDEX bernilia RM1.2 bilion kepada keluarga bekas ketua hakim negara dan peguam Umno sewaktu krisis perlembagaan rampasan kuasa Perak terus mengukuhkan persepsi integriti badan kehakiman terguris. Perbezaan Ekonomi Dunia Pertama dan Ketiga Prestasi ekonomi pula menyaksikan kegagalan untuk keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana dan kemajuan ekonomi yang terencat akibat rasuah, ketirisan dan kecacatan dasar-dasar ekonomi. Laporan Transparency International pada tahun 2011 di dalam Corruption Practices Index 2011 menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat yang ke-60 di dalam carta yang menyenaraikan 182 buah negara. Laporan yang sama pada tahun 2010, menempatkan Malaysia di kedudukan ke-56. Projek-projek seperti PKFZ dan NFC hanya sebahagian daripada senarai yang semakin memanjang perihal ketirisan dan penjarahan ekonomi negara; dianggarkan mencecah RM1 trillion (RM1,000,000,000,000) apabila disertakan kadar hutang Negara dan Awam sebanyak 133% KDNK; menjaminkan kita menyambut 'kiamat ekonomi'. Malaysia pernah bersekedudukan dengan Korea Selatan dan Singapura di persada ekonomi antarabangsa. Dahulu kadar Ringgit Malaysia berbanding Dollar Singapura hampir sama. Perbandingan prestasi selama sepuluh tahun menunjukkan pada Mac 2002, SGD1 = RM2.0593 tetapi pada hari ini, kemerosotan terus berlaku dengan kadar RM2.4370 berbanding setiap Dollar. Pendek kata, Malaysia berpotensi untuk menjadi negara Islam perintis bertaraf Dunia Pertama di zaman ini seandainya kepimpinan bersedia mendakap tanggungjawab moral dan keimanan untuk berubah – seperti mana dunia Barat keluar dari Zaman Kelam dengan menerapkan sumbangan dunia Islam yang silam sementara kita pula menerapkan ciri-ciri kenegaraan Dunia Pertama – agar kita tidak terkebelakang sehingga menjadi negara Dunia Keempat yang pertama. Bukankah Islam menyuruh pemimpin dan rakyat membuat kebaikan melebihi ciri-ciri Dunia Pertama agar menjadi umat contoh dan menjauhi kejahatan ciri-ciri Dunia Ketiga agar selamat dunia dan akhirat? |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan