Khalid Samad |
Pemansuhan ISA, Kerakyatan Warga Asing dan Hujjah Merapu Posted: 24 Apr 2012 08:06 AM PDT Memberi ceramah di seluuuuruh Negara pada setiap malam ada juga akibat buruknya. Saya tidak berkesempatan untuk melakukan kerja penulisan dan blogging oleh kerana sentiasa berada di Parlimen atau di atas jalan raya. Namun begitu, Alhamdulillah, hari ini ada kelegaan sedikit apabila kembali dari Padang Terap maka dikosongkan program untuk hari ini, kecuali pada sebelah malam, maka siang ini dapat jugalah saya cuba menulis. Sebelum itu ada saya lihat dalam blog saya, petikan artikel dari Malaysian Digest: Political Parties Should Support Bersih But Not Intervene. Semuanya betul, kecuali mungkin istilah 'outsider' yang digunakan terhadap Ustadz Nasha. Yang saya maksudkan bukan orang luar PAS, tetapi orang yang tidak terlibat di dalam segala mesyuarat dan perbincangan berhubung Bersih 3.0 secara langsung. oleh kerana beliau tidak terlibat, maka pandangan beliau adalah pandangan seseorang yang 'di luar proses perbincangan' dan 'decision making' berhubung program tersebut. Sebenarnya untuk dikatakan bahawa PAS mempunyai kepentingan yang lebih mendesak maka oleh itu perlu memimpin Bersih 3.0 adalah juga tidak tepat. Sebenarnya, yang mempunyai kepentingan yang lebih mendesak adalah Rakyat sendiri kerana Rakyat yang akan menanggung akibatnya apabila pilihan raya tidak bersih dan telus. Oleh itu, pada hari ini saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi pandangan berhubung beberapa isu yang dibahas di dalam Parlimen tempoh hari. Agak lewat tetapi mungkin masih bermanfaat untuk dicatitkan. PEMANSUHAN ISA DAN KEPURA-PURAAN BN Sekali lagi ianya terbukti bahawa segala percakapan berhubung transformasi oleh BN adalah cakap-cakap kosong yang sekadar bertujuan untuk mengelirukan rakyat. Undang-undang ISA, yang digubal berdasarakan peruntukan 149 perlembagaan persekutuan telah digantikan dengan undang-undang Kesalahan Keselamatan yang juga digubal berdasarkan peruntukan yang sama. Sedangkan peruntukan itu adalah peruntukan yang membenarkan Parlimen menggubal undang-undang yang bercanggah dengan hak-asasi yang dijamin oleh Perlembagaan sendiri atas sebab-sebab tertentu. Dalam erti-kata lain, undang-undang ISA yang ditolak atas sebab ianya bercanggah dengan hak asasi manusia sekarang ini diganti dengan undang-undang yang juga bercanggah dengan hak asasi manusia. Pihak UMNO dan BN sebenarnya tidak mampu memahami persoalan keadilan dan hak asasi manusia. Bagi mereka 'hak asasi manusia' adalah ciptaan Barat dan Yahudi. Kalau didengar ucapan-ucapan mereka seolah-olah Islam tidak langsung mengiktiraf soal hak asasi manusia dan pemerintah boleh melakukan sesuka hati mereka. Oleh itu mereka tidak mampu memahami apa yang dibahaskan oleh wakil-wakil PR. Sebenarnya, ISA ditolak kerana yang dituduh tidak diberi perbicaraan yang adil, bukan sekadar tidak dibicarakan! Undang-undang baru 'Kesalahan Keselamatan' memang memerlukan yang dituduh dibawa depan mahkamah untuk perbicaraan tetapi untuk kesalahan di bawah akta ini, kaedah perbicaraan berubah sehingga apa yang biasanya tidak akan diterima sebagai bukti di dalam sesuatu perbicaraan biasa, untuk akta ini, ianya boleh diguna-pakai. Sebagai contoh, perakuan seorang yang telah meninggal dan saksi yang dirahsiakan identitinya. Perkara 149 adalah berhubung perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya. Ia memberi kuasa kepada Parlimen, apabila telah berlakunya tindakan subversif atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar, untuk menggubal undang-undang yang 'tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13 di dalam perlembagaan'. Perkara-perkara yang disebut sebagai yang boleh tidak selaras dengannya kesemuanya adalah berhubung dengan aspek keadailan dan hak asasi manusia. Amat jelas bahawa UMNO dan BN tidak memahami apa yang sebeanrnya dituntut selama ini dengan desakan mansuhkan ISA. Ianya bukan sekadar persoalan perbicaraan tetapi perbicaraan yang adil. Tidak perlu saya kupas dengan lebih terperinci pada hari ini kerana saya lihat ramai yang telah membuat komen dan kritikan yang begitu mendalam. Memadai dengan saya mengatakan bahawa ISA telah diganti dengan ISA baru dengan nama baru. Itu sahaja yang dilakukan melalui silap mata UMNO/BN. Sepertimana yang disebut YB Rembau, "sejarah akan mencatitkan bahawa yang memansuhkan ISA adalah kerajaan BN dan bukan PR" dan itu sahajalah apa yang diinginkan walaupun ISA diganti dengan ISA (baru). PERSOALAN RANG UNDANG-UNDANG YANG DI 'BULLDOZE' Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, 9 rang undang-undang telah diluluskan dan Parlimen terpaksa bersidang sehingga 3 pagi. Mengikut prosedur dewan telah dihentikan pada 11.59 malam dan sidang terus diadakan. Bagi saya ini menunjukkan satu sikap yang tidak mengambil berat soal perbahasan rang undang-undang tersebut dan akibatnya terhadap masyarakat. Dengan kaedah melanjutkan perbahasan sehingga waktu sedemikian rupa, sudah pasti BN/UMNO tidak mementingkan mutu perbahasan serta pandangan yang ingin diutarakan. Yang penting dan apa yang diinginkan mereka ialah pindaan diluluskan, supaya dapat dikatakan bahawa janji mereka telah dikotakan, walaupun pindaan yang dikemukakan tidak mencapai apa yang dihasratkan oleh pihak yang menuntut pindaan dari awal lagi. Ianya semua hanya sandiwara dan mainan politik bagi UMNO/BN. Oleh itu tidak khairanlan mengapa setiap kali apabila ditanya oleh Speaker, "siapa yang bersetuju katakan setuju", jawapan Ahli Parlimen BN, ia itu "setuju" semakin kedengaran bagaikan "moooo"! Lebih-lebih lagi semenjak kes NFC! Saya sebenarnya semakin hari semakin letih mendengar penghujjahan Ahli Parlimen UMNO/BN yang ingin menjadikan institusi Parlimen tidak lain selain 'rubber stamp' dan penghujjahan mereka yang kurang bernas. Walaubagaimanapun, saya masih impikan satu suasana yang benar-benar dihidupkan dengan penghujjahan yang ikhlas lagi bernas dan akan menjadi kenyataan di Parlimen Malaysia satu hari kelak. PENGHUJJAHAN MERAPU Di antara hujjah yang menyebabkan saya ketawa besar adalah apabila disebut bahawa pihak SPR tidak boleh mengeluarkan nama-nama seramai 42,000 orang yang IC mereka tidak terdapat dalam database JPN. Ini semestinya sesuatu yang mustahil kerana JPN adalah pihak yang mengeluarkan IC. Sekiranya IC 42,000 orang ini tidak ada dalam database JPN, ini bererti ianya IC palsu dan sepatutnya 42,000 nama ini terus dikeluarkan SPR. Namun, walaupun dengan pengakuan JPN, SPR mengatakan mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkannya! Tidakkah SPR bertanggung-jawab atas kebersihan daftar pemilih? Yang menjadi bahan lucu ialah apabila seorang wakil rakyat UMNO Sabah bangun dan berusaha menjelaskan bahawa SPR tidak boleh melakukannya kerana ianya adalah bersesuaian dengan konsep 'separation of powers' atau pengasingan kuasa yang juga diagung-agungkan oleh pihak pembangkang! Apabila mendengar penghujjahan sebegitu, saya tidak dapat mengawal diri dan terus bangun dan bertanya kepada wakil rakyat tersebut samada dia faham atau tidak konsep 'separation of powers'? Amat jelas dia tidak memahaminya. Konsep 'separation of powers' adalah konsep yang menegaskan bahawa institusi executive (kerajaan), legislative (Parlimen) dan judiciary (kehakiman) mesti bebas di antara satu sama lain untuk menjamin keadilan. Ianya tiada kena mengena dengan persoalan SPR dan JPN! Sekiranya hendak dihujjah dari sudut 'separation of powers' sekalipun, maka keengganan SPR, iaitu sebuah Suruhanjaya, untuk membuang nama-nama yang jelas diakui menggunakan IC palsu adalah bukti bahawa SPR tidak bebas dari dikuasai golongan eksekutif. Ini adalah kerana sebuah Suruhanjaya yang bebas seharus bertindak tegas untuk membuang nama-nama yang tidak berhak berada di dalam daftar pemilih. Sebaliknya ia teragak-agak dan seolah-olah menunggu-nunggu arahan sebelum ia bertindak. Hujjah merapu sebeginilah yang perlu dihadapi oleh wakil PR hampir setiap hari di Parlimen! PERSOALAN KERAKYATAN WARGA ASING Dalam perbahasan di Dewan rakyat tempoh hari, amalan memberi kerakyatan kepada warga asing dengan syarat mereka mengundi BN telahpun dibahas dengan hangatnya. Pihak UMNO/BN tidak menolak dakwaan bahawa ia pernah berlaku di Sabah di mana warga asing diberi kerakyatan dan status pengundi melalui kerjasama JPN dan SPR atas arahan kerajaan BN. Mereka sebaliknya menuding jari terhadap DSAI yang merupakan TPM pada masa itu dengan mengatakan usaha tersebut diketuai beliau. DSAI sebaliknya menafikannya dan menyatakan ianya kerja Menteri Dalam Negeri dan beliau langsung tidak terlibat. Sebenarnya, persoalan utama adalah bukan siapa yang bertanggung jawab. Persoalan utama adalah bahawa ianya pernah dilakukan dan oleh itu boleh dilakukan kembali oleh kerajaan UMNO/BN di mana JPN dan SPR diperkudakan! Keghairahan Ahli Parlimen BN untuk membabitkan DSAI menyebabkan mereka terlupa bahawa dakwaan mereka dengan sendirinya merupakan pengakuan bahawa pendaftaran warga asing demi kepentingan politik BN dilakukan! Pengakuan ini adalah cukup untuk membuktikan betapa UMNO/BN mengutamakan diri mereka sendiri dan kekuasaan sehingga sanggup mengkhianati rakyat jelata. Oleh kerana ianya pernah dilakukan, maka amat jelas ianya boleh dilakukan sekali lagi untuk menyelamatkan UMNO/BN. Dan inilah apa yang cuba diketengahkan oleh Dato Mahfuz Omar melalui Jawatankuasa Anti Pemalsuan IC (API). WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan