:: cina islam | 2011 :: |
- Polis bantuan maut disengat lebah
- Orang Asli mati tergantung
- Bersih 3.0 kekal di Dataran Merdeka
- Muhyidin pilih yang baik, tutup yang buruk
- Hadir Bersih 3.0 wajib - Tuan Guru Nik Aziz
- Keluarga Shahrizat masih kutip bayaran lumayan
- T'ganu gugur saman royalti minyak secara senyap
- Umno Pulau Pinang kuda tunggangan Gerakan
- Mohammad Shafee wakili kerajaan atau Najib?
- Adik korban selamat abang hidap leukemia
- Mangsa kemalangan minta bayaran insurans
- 32 nelayan Vietnam ditahan
- 3 kereta dipecah cermin perbuatan penjenayah
- Tebing longkang runtuh
- Budak 4 Tahun Tembak Bapa Kerana PlayStation
- Buruh binaan dihempap jentera cerucuk
- Letupan kuat meteor cetus panik
- Presiden PAS sahkan turun Bersih 3.0
- Negara bankrap modal baru BN
- Rumah jadi sarang ular
- Mansour puji Mancini, mahu kekal kendali Manc City
- Padah pukul rakan sekerja
- Remaja tak sempat rompak syiling
- Nasib berbeza 5 rakan bunuh remaja
- Liga Juara: Di Matteo janji tewaskan Barcelona
Polis bantuan maut disengat lebah Posted: 24 Apr 2012 01:57 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - LEDANG – "Arwah tidak menunjukkan perubahan ketara, cuma beberapa hari sebelum kejadian dia sering mengadu berasa letih," kata isteri kepada anggota polis bantuan, Ramdan Harun, 54, yang maut disengat sekumpulan lebah semasa bertugas di sebuah ladang di Bukit Serampang berhampiran Sengkang di sini, kelmarin. Norlidah A. Rahim, 49, berkata, suaminya juga begitu bersungguh-sungguh mahu membuat rawatan bekam dan sempat melakukannya di sebuah pusat rawatan di Tangkak, Sabtu lalu. Menurutnya, dia tidak mengesyaki pelakuan aneh suaminya kerana menganggap keletihan yang dialami kesan daripada penyakit jantung yang dihidapi. "Pada pagi kejadian, sebelum keluar bekerja kira-kira jam 6 pagi, arwah kelihatan seperti biasa dan sempat minum minuman yang saya sediakan. "Namun pada jam 9.45 pagi, saya dikejutkan dengan panggilan daripada seorang penduduk di Sengkang mengatakan suami jatuh kerana diserang lebah," katanya kepada Sinar Harian. Tambahnya, pada mulanya dia menyangka insiden yang berlaku itu tidak serius, tetapi apabila tiba di tempat kejadian, dia terkejut melihat tubuh suaminya kaku suami dan bahagian mukanya penuh dengan kesan sengatan lebah. "Saya berasa sayu mengenangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung suami sebelum meninggal dunia dan redha dengan kejadian yang berlaku," katanya. Penolong pengurus ladang, S. Karthigesu berkata, kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi semasa Ramdan bersendirian membuat rondaan dengan menaiki motosikal. "Sebelum kejadian itu, Ramdan terlebih dahulu membuat rondaan di Ladang Sagil dan pada jam 7.30 pagi melaporkan diri untuk rondaan di sekitar Ladang Bukit Serampang termasuk tempat kejadian. "Dipercayai sarang lebah itu telah diganggu seekor burung helang dan Ramdan menjadi mangsa serangan balas. "Ramdan cuba mendapatkan bantuan penduduk tetapi gagal berikutan terlalu banyak lebah menyerang mukanya, lalu dia rebah di bawah pokok kelapa sawit," katanya. Jelasnya, Ramdan sudah 12 tahun berkhidmat di situ. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan insiden berkenaan. "Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kematiannya disebabkan terlalu banyak disengat lebah," katanya. Sinar Harian |
Posted: 24 Apr 2012 01:49 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - ALOR GAJAH - Seorang remaja berusia 19 tahun dari perkampungan Orang Asli Hutan Percha, di sini, ditemui mati tergantung di sebatang pokok manggis oleh adik dan abang iparnya di sebuah dusun berhampiran rumah mereka, di sini, kelmarin. Mayat mangsa ditemui kira-kira pada jam 8 pagi ketika dalam usaha mencari mangsa yang dikatakan hilang selepas seharian keluar rumah. Abang ipar mangsa berusia 31 tahun, berkata, mangsa keluar rumah sendirianjam 4 petang dan disedari seorang saudara namun tidak bertanya ke mana mangsa pergi. "Mangsa keluar rumah dengan berjalan kaki dan menuju ke arah dusun buah-buahan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah. "Semasa dia keluar, tiada siapa berada di rumah. Sehingga jam 8 malam, kelibatnya masih tidak kelihatan dan kami hanya mengandaikan dia keluar bersama rakan lain," katanya. Menurutnya, kehilangan mangsa disedari pada jam 12 tengah malam namun bercadang mencarinya pada keesokan hari berikutan keadaan sekeliling gelap tanpa mencurigai perkara buruk berlaku ke atas mangsa. "Kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 10 malam. Keesokan paginya, saya dan adik ipar keluar mencarinya kerana merasakan dia tidak berada jauh dari rumah," katanya. Katanya, sebaik tiba di dusun, dia dan adik mangsa terkejut melihat mayat mangsa dalam keadaan tergantung menggunakan tali tambat kambing di belakang rumah mereka. Menurut abang ipar mangsa, adik iparnya itu disifatkan seorang yang pendiam dan tidak gemar bercerita sekiranya tidak mempunyai masalah dengan adik-beradik. Malah tidak tahu menahu jika mangsa mempunyai masalah peribadi dengan orang lain. "Mangsa tidak bergaduh dengan kami adik-beradik tetapi tidak tahu pula sekiranya dia ada perselisihan faham dengan mana-mana rakan tanpa pengetahuan kami kerana dia seorang yang begitu suka menyimpan rahsia. "Sehari sebelum kejadian, mangsa tidak menampakkan sebarang perubahan pelik," katanya terkejut dengan kejadian itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan penemuan mayat remaja berkenaan, kelmarin. "Mangsa yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik ditemui tergantung pada tali tambat kambing kira-kira jam 8 pagi di sebatang pokok manggis dalam keadaan terkulai dan pucat kebiruan dan kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya, semalam. Sinar Harian |
Bersih 3.0 kekal di Dataran Merdeka Posted: 24 Apr 2012 01:04 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 meneruskan program Duduk Bantah di Dataran Merdeka, 28 April ini walaupun polis menolak permohonan mereka sebelum ini. Keputusan itu dicapai sebulat suara selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, malam tadi. Menurut jawatankuasa itu, Duduk Bantah akan diteruskan di Dataran Merdeka atas beberapa sebab, iaitu lokasi tersebut yang mudah didatangi dengan pelbagai kemudahan awam seperti sistem aliran ringan (LRT), komuter, monorel dan bas. Selain itu juga, Dataran Merdeka juga merupakan tanda negara bangsa dan kebebasan anak semua bangsa. "Maka amat sesuai dan tepat untuk rakyat berhimpun kerana Dataran Merdeka sebagai kawasan umum, di mana warga menunjukkan semangat patriotik," tegas kenyataan yang dikeluarkan kepada Harakahdaily, hari ini. Sambil menyatakan keyakinan bahawa pihak polis boleh menjaga keselamatan pada hari tersebut, Bersih 3.0 percaya tiada sebarang kekacauan yang timbul sekiranya mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak polis. Lebih-lebih lagi, apabila Duduk Bantah ini diakui sendiri Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, tidak mengancam keselamatan negara. Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan Bersih 2.0 untuk menggunakan Dataran Merdeka, dengan menawarkan lokasi alternatif, Stadium Cheras dan Stadium Titiwangsa. Harakah Daily |
Muhyidin pilih yang baik, tutup yang buruk Posted: 24 Apr 2012 12:58 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yang Berkeras Menegaskan Bahawa Sistem Pendidikan Kita Adalah Lebih Baik Berbanding Negara-Negara Maju Bukan Sahaja Menunjukkan Sindrom Penafiannya Tetapi Juga Terperangkap Dalam Alam Fantasi Serta Menimbulkan Keraguan Tentang Kecekapannya. Rakyat Malaysia berasa bingung sekali lagi dengan kenyataan fantasi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat Malaysia memandang tinggi sistem pendidikan di negara kita. Muhyiddin telah dilaporkan berkata demikian selepas keputusan kaji selidik baru-baru ini oleh Introspek Asia, yang kononnya menunjukkan bahawa 55 peratus rakyat Malaysia dewasa percaya bahawa sistem pendidikan di negara kita setanding negara-negara lain, manakala 35 peratus mengatakan bahawa ia adalah "lebih baik berbanding negara-negara maju". Sebelum ini, Muhyiddin telah memilih untuk memetik sebahagian daripada Laporan 2011-2012 Global Competitiveness Index oleh World Economic Forum, dan menggunakannya untuk membuktikan bahawa kualiti pendidikan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat, German dan United Kingdom. Jika ini benar, beliau harus menjawab kenapa tidak pernah ada seorang pun pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia dan kenapa tiada satu pun universiti Malaysia yang termasuk dalam kedudukan 200 universiti yang terbaik di dunia? Atau kenapa, jika diberi pilihan, lebih banyak pelajar Malaysia memilih untuk belajar di Amerika Syarikat, UK dan German dan bukan di universiti tempatan? Sekali lagi, Muhyiddin sekadar selektif dalam memilih statistik yang menyokong pandangannya. Sebagai contoh, dalam laporan WEF, beliau telah memilih penunjuk yang mencerminkan kaji selidik ke atas 87 "eksekutif perniagaan utama" iaitu satu sampel golongan yang lebih besar kemungkinannya merupakan golongan kaya yang duduk di bandar dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah awam yang terbaik jika tidak ke sekolah-sekolah swasta. Oleh itu, adalah tidak mengejutkan sekiranya mereka memandang tinggi sistem pendidikan tempatan. Hakikat sebenarnya, realiti sistem pendidikan kita adalah jauh daripada gambaran cantik Muhyiddin. Daripada laporan WEF yang sama, kedudukan Kemasukan Pendidikan Menengah kita berada di tangga ke-101, lantas menunjukkan bahawa terdapat ramai pelajar yang tercicir selepas sekolah rendah dan oleh itu tidak dapat memperolehi pengajian tinggi. Kedudukan kita di tangga ke-101 ini meletakkan negara kita di bawah Thailand (94), Indonesia (91), Brunei (35) dan Singapura (17) di rantau ASEAN. Perkembangan yang membimbangkan ini juga dicerminkan dalam Legatum Prosperity Index yang menunjukkan bahawa kadar kemasukan pendidikan menengah hanya 68%, dan meletakkan negara kita di tangga ke-81 di dunia. Sementara itu, kadar kemasukan pendidikan tinggi pula adalah 36% ataupun tangga ke-59 di dunia, jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara OECD yang mempunyai kadar purata melebihi 50%. Prestasi Malaysia dalam kriteria objektif seperti kadar kemasukan pendidikan rendah, menengah dan tinggi seharusnya lebih ditekankan berbanding dengan penunjuk pendapat seperti Kualiti Pendidikan. Oleh itu, tindakan untuk menguar-uarkan penunjuk-penunjuk subjektif dan mengabaikan penunjuk-penunjuk objektif adalah tidak bertanggungjawab dan mengalihkan perhatian daripada masalah-masalah dalam sistem pendidikan, termasuk kadar perciciran yang tinggi dan kadar kemasukan yang rendah di peringkat pendidikan menengah dan tinggi. Statistik-statistik antarabangsa yang lain juga meletakkan sistem pendidikan di Malaysia di tahap yang rendah. Sebagai contoh, dalam Program for International Student Assessment (PISA) bagi tahun 2009 yang melibatkan 75 negara, Malaysia menduduki tangga ke-55 dalam keupayaan membaca, 57 dalam keupayaan Matematik dan 52 dalam Sains. Prestasi kita dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) juga telah menunjukkan kemerosotan secara berterusan sejak 1999 hingga 2007. Data dan statistik daripada laporan-laporan antarabangsa yang berprestij telah menunjukkan bahawa terdapat krisis dalam sistem pendidikan Malaysia. Malah, rakyat Malaysia sebenarnya tidak memerlukan laporan untuk mengetahui bahawa terdapat masalah yang ketara dalam sistem pendidikan kita yang menghasilkan graduan-graduan yang tidak layak untuk mendapat kerja dan tidak mampu untuk berfikir secara kritikal. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi? Malangnya, daripada mengakui kelemahan dan mencari penyelesaian, Menteri Pelajaran kita lebih suka menafikan dan mencuba untuk memperdayakan rakyat Malaysia dengan data selektif dan subjektif untuk mengaburkan kebenaran keadaan pendidikan Malaysia. Dengan berkeras menegaskan secara berterusan bahawa sistem pendidikan kita adalah lebih baik berbanding negara-negara maju, Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja menunjukkan sindrom penafiannya tetapi juga terperangkap dalam alam fantasi serta menimbulkan keraguan tentang kecekapannya. Harakah Daily |
Hadir Bersih 3.0 wajib - Tuan Guru Nik Aziz Posted: 24 Apr 2012 12:56 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Selepas PAS membuat arahan secara rasmi agar menyertai perhimpunan Bersih 3.0, kini Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula membuat seruan yang sama dengan berkata, hadir ke Bersih 3.0 adalah wajib. Beliau menyeru seluruh rakyat di negara ini khususnya yang cintakan keadilan hadir pada program Bersih 3.0 (Duduk dan Bantah). Menurutnya, menghadiri program itu suatu kewajipan memandangkan ianya diadakan untuk untuk menentang ketidakadilan khususnya terhadap proses pilihanraya di negara ini yang tidak selari dengan Islam. "Mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily dan akhbar Harakah di pejabatnya di sini sebentar tadi bagi mengulas program yang bakal diadakan pada 28 April ini. Tuan Guru seterusnya memberitahu, dalam lapan tuntutan Bersih, beliau hanya ingin mengulas satu iaitu berhubung pengundi hantu yang jelas ianya perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam. "Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya akan datang dan mentadbir negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada pilihanraya berikutnya. "Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya,"ujarnya lagi. Tambahnya, sekiranya mereka juga tidak boleh terima, kenapa sanggup adakan pengundi hantu dengan membawa masuk rakyat luar negara yang tidak ada kena mengena semata-mata untuk mengekalkan kemenangan. Kerana itu, tambahnya 'wajib' rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai untuk menjayakan Bersih 3.0 pada 28 April ini dengan tujuan untuk menentang pengundi hantu di samping menuntut tujuh perkara lain. Beliau seterusnya memberitahu, sekiranya wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya itu kerana dibantu oleh pengundi hantu, kemenangannya adalah 'haram' di sisi Islam. "Malah segala alaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakilrakyat, gaji, kereta dan semuanya haram serta tidak sah di sisi Islam. "Perkara ini bukan perkara main-main dan kena ingat Allah dan balasan akhirat,"ujarnya. Pada masa yang sama beliau turut memberitahu mereka yang sanggup menerima tugas sebagai pengundi hantu juga haram, malah rezeki yang diberikan sebagai imbuhan juga haram. "Duit yang digunakan dari hasil haram Allah tak akan terima, akhirat lagi kena azab, Allah ni bukan macam manusia yang langsung tidak bergantung pada kita,"ujarnya lagi. Harakah Daily |
Keluarga Shahrizat masih kutip bayaran lumayan Posted: 24 Apr 2012 12:53 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PETALING JAYA: PKR hari ini mendedahkan bahawa keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan aset NFC telah dibekukan. Menurut Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli beliau mendapat bukti terbaru iaitu berhubung dua premis utama operasi NFC di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara. Beliau juga berjaya mendapatkan rekod hakmilik dan nilaian kedua-dua hartanah dari carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. Ianya merupakan empat unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran. Salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang dibeli pada harga RM814,550. "Semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC pula menunjukkan bahawa pada setiap bulan, NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat seperti berikut, RM28,000 setiap bulan kepada Wan Shahinur Izran dan RM8,240 setiap bulan kepada Datuk Seri Mohamad Salleh," katanya pada sidang media hari ini. Dua pengarah NFC ini kata Rafizi telah menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat. Rafizi memberitahu, bayaran sewa yang dikutip oleh Mohamad Salleh iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi. "Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan. "ini bermakna Mohamad Salleh membuat keuntungan 72 peratus setiap bulan, iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat," kata beliau lagi. Sehubungan itu, PKR katanya akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedaham ini agar Wan Shahinur Izran dan Mohamad salleh disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Month Kiara. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula mempersoal langkah kerajaan sebelum ini kononnya telah membekukan semua aset NFC termasuk melantik sebuah firma perakaunan juga telah dinamakan dan dilantik oleh kerajaan bagi mengambil alih pengurusan. "Dengan apa yang didedahkan hari ini, dua langkah yang diumumkan oleh kerajaan dalam parlimen sekarang menimbulkan tandatanya. "Adakah ianya merupakan perkara biasa ataupun memang tidak ada sebarang tindakan diambil berkaitan berkenaan dengan pembekuan aset dan perlantikan firma perakuan sepertimana diumumkan, ini memerlukan penjelasan dari kerajaan," katanya. Harakah Daily |
T'ganu gugur saman royalti minyak secara senyap Posted: 24 Apr 2012 12:51 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Umno telah menggugurkan saman royalti minyak yang difailkan 11 tahun yang lalu oleh kerajaan negeri di bawah PAS, lapor The Edge Financial Daily (TEFD). (GAMBAR FAIL: Pemimpin kerajaan Terengganu yang mengetuai tindakan saman kepada Petronas dalam sidang media mereka untuk mengumumkan tindakan itu) Bagaimanapun, TEFD berkata tiada butiran lanjut mengenai penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara kerajaan Terengganu dengan Petronas dan kerajaan persekutuan dalam permohonan yang difailkan 21 Mac yang lalu. Seorang jurucakap Petronas berkata kes penyelesaian luar mahkamah tersebut dilakukan atas "menghormati persetujuan pembayaran royalti minyak dan gas." TEFD juga menjangkakan desakan untuk memaparkan segala butiran mengenai pembayaran royalti minyak dan cara kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang. "Akan wujud tekanan pada kerajaan persekutuan dan negeri untuk mendedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah dan bagaimana pembayar kepada negeri di bawah tuntutan royalti akan digunakan," akhbar harian tersebut memetik seorang peguam sebagai berkata. Selepas enam bulan PAS menawan Terengganu iaitu pada tahun 2000, perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan untuk menarik balik bayaran 5 peratus royalti minyak kepada negeri penyu tersebut. Sebelum itu, sejumlah RM7.13 bilion yang dipersetujui dengan kerajaan negeri telah dibayar selama 22 tahun. Duit royalti itu telah ditukarkan kepada wang ehsan, yang diberikan terus kepada pemimpin Umno di negeri Terengganu dan bukannya badan-badan di bawah kerajaan negeri. Wang ehsan menjadi sebutan popular di zaman Tun Abdullah Badawi apabila tuduhan-tuduhan timbul bahawa dana tersebut dihabiskan dalam Piala Monsun dan Masjid Kristal di Terengganu. Kerajaan negeri Terengganu telah menuntut sebanyak RM2.8 bilion untuk bayaran royalti selama 9 tahun semenjak bayaran royalti dihentikan pada tahun 2000. Tawaran kerajaan persekutuan sebanyak RM1.7 bilion telah ditolak. Jirannya, Kelantan turut menfailkan saman yang sama pada Mei 2010 terhadap kerajaan persekutuan untuk sumber minyak dan gas yang digali daripada penairannya. Mei lepas, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mendapat RM938 juta daripada kerajaan persekutuan sebagai bayaran royalti. Beliau berkata bayaran 5 peratus tersebut dibuat berdasarkan perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan persekutuan, yang juga ditandatangani oleh kerajaan negeri Kelantan. Keputusan untuk membayar royalti kepada Terengganu tetapi tidak pada Kelantan oleh kerajaan persekutuan telah dikritik secara hebat kerana telah bercanggah dengan konsep federalisme. Ekoran langkah terbaru tersebut, TEFD melaporkan para penganalisa politik menjangkakan kerajaan negeri dan persekutuan akan menghadapi tekanan yang besar untuk mendedahkan segala butiran bayaran royalti dan penyelesaian kes luar mahmakah ini. "Selain itu, ada kesan sampingan yang lain, terutamanya Petronas, yang kini sedang berhadapan dengan saman daripada Kelantan atas keengganan membayar royalti, kata peguam korporat dan ahli industry," tambah laporan itu. Harakah Daily |
Umno Pulau Pinang kuda tunggangan Gerakan Posted: 24 Apr 2012 12:49 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa pelantikan Teng Chang Yeow, Setiausaha Parti Gerakan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang yang baru memperlihatkan lemahnya pemimpin Umno Pulau Pinang sehingga tidak layak dilantik ke jawatan tersebut. Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata pihaknya merasa hairan kerana dalam keadaan Parti Gerakan yang tidak memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang, mereka masih diberikan tempat istimewa sebagai Pengerusi BN. "Sebaliknya jumlah kerusi BN di Pulau Pinang banyak dimenangi oleh Umno, tetapi mereka ditolak ke tepi. "Keadaan ini menunjukkan bahawa Umno sebenarnya 'kuda tunggangan' Parti Gerakan sehingga akur dan tunduk dengan kehendak parti tersebut," katanya. Pelantikan ini kata Riduan pastinya sebagai tamparan hebat kepada pemimpin ultra Melayu Pulau Pinang. "Dimana perginya suara lantang pemimpin Melayu Umno Pulau Pinang yang kononnya mahu membela umat Melayu di sana. "Mengapa tidak ada satu suara pun yang bangkit menentang keputusan Presiden Umno agar pemimpin Umno diangkat sebagai Pengerusi BN," soalnya lagi. Menurutnya, pemimpin Umno P.Pinang sepatutnya merasa tercabar kerana mereka dipandang lekeh oleh pucuk pimpinan parti mereka sendiri sehingga tidak dipandang langsung untuk mengetuai BN di sana. Harakah Daily |
Mohammad Shafee wakili kerajaan atau Najib? Posted: 24 Apr 2012 12:46 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mempertikaikan kenyataan Peguam Datuk Mohamad Shafee Abdullah yang menimbulkan persoalan tanpa menjawab isu-isu pokok. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, akhirnya Mohamad Shafee tampil memberi reaksi terhadap isu beliau menghantar surat kepada hakim-hakim memohon penangguhan kes ekoran misi sulit di luar negara. "Malangnya penjelasan beliau terhadap isu tersebut adalah mengarut langsung tidak menjawab isu pokok malahan mengundang lebih banyak persoalan. "Sepatutnya sebagai seorang peguam yang handal beliau perlu menjawab sama ada beliau ada menghantar surat bertarikh 23 Mac 2012 kepada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya memohon penanggunah kes mulai 1 April hingga 25 April 2012," jelas Saifuddin pada sidang media di Ibu Pejabat PKR. Tambahnya lagi, peguam itu juga perlu menjelaskan adakah beliau juga ada memberi salinan surat kepada Perdana Menteri yang dialamatkan pejabat Perdana Menteri termasuk kepada Datin Seri Rosmah Mansor dialamatkan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Menurut Saifuddin lagi, Mohamad Shafee perlu menjawab sama ada beliau ada menyatakan di dalam surat tersebut bahawa beliau telah dilantik oleh kerajaan Malaysia untuk menguruskan suatu tugasan sulit di luar negara yang mesti diselesaikan sebelum pilihan raya umum berlangsung. "Banyak yang perlu jawab oleh peguam tersebut, adakah dalam tempoh 1 April hingga 25 April beliau benar-benar telah berada di New York, London, Dubai, Paris dan Basel atau beliau sebenarnya berada di Australia untuk menghadiri persidangan undang-undang seperti mana surat beliau kepada hakim bertarikh 9 April 2012. "Mohamad Shafee hanya perlu menjawab jika benar beliau ada berkunjung ke Paris seperti mana beliau nyatakan dalam surat itu, adakah ianya mempunyai kaitan dengan perbicaraan kes pembelian kapal selam Scorpene yang turut membabitkan Perdana Menteri yang dinamakan sebagai saksi," tambahnya lagi. Sehubungan itu, PKR menuntut Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri tampil segera memberi penjelasan adakah benar kerajaan Malaysia melantik Mohamad Shafee sebagai peguam mewakili kerajaan walhal tugas itu sepatutnya dilaksanakan Peguam Negara atau Najib dan isteri sebenarnya melantik beliau sebagai peguam peribadi. "Sekiranya Mohamad Shafee tidak dilantik oleh kerajaan Malaysia, tidak juga sebagai peguam peribadi serta tidak berada di tempat-tempat yang dinyatakan sepertimana alasan memohon dalam surat beliau, Najib perlu membuat aduan kepada Majlis Peguam agar tindakan dapat diambil ke atas beliau. "Jika Najib terus berdiam diri, maka PKR memohon kepada Majlis Peguam untuk merujuk Mohamad Shafee sebagai satu kes pelanggaran disiplin," sambungnya lagi. Saifuddin berpendapat jika dengan surat itu membawa kepada kejayaan peguam tersebut mendapat penangguhan kes sudah tentulah kesahihan surat tersebut adalah benar dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Harakah Daily |
Adik korban selamat abang hidap leukemia Posted: 24 Apr 2012 12:37 AM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - DUNGUN – "Kalau doktor ambil semua darah pun tidak mengapa asalkan dapat selamatkan abang,". Itulah ungkapan terakhir arwah Mohd Muaz Yusuf, 13, yang masih terngiang di telinga abangnya, Muhamad Munawar Nadir Yusuf, 21 sebelum adiknya itu menemui ajal, pagi semalam. Beberapa hari sebelum pemergiannya, arwah Mohd Muaz, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Kuala Lumpur untuk membolehkan dia menderma sumsum tulang kepada abangnya, Munawar yang menghidapi leukemia. Namun, takdir menentukan apabila arwah yang sebelum ini sihat lebih dahulu meninggalkan abangnya itu apabila dia ditemui mati di tempat tidurnya, awal pagi semalam. Anak kaku ketika dikejutkan solat Subuh Kejadian disedari ibunya, Asma Ismail, 51 ketika dia ingin mengejutkan anak bongsu daripada enam beradik itu untuk menunaikan solat Subuh, kira-kira jam 6 pagi semalam. Asma yang masih bersedih atas pemergian insan tersayang itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka anaknya itu akan pergi dalam masa terdekat berbanding abang arwah, Muhamad Munawar sebelum ini sering dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan atas penyakit kroniknya itu. Katanya, sebaik bangkit daripada tidur, dia cuba mengejutkan anak lelakinya itu namun arwah dikatakan tidak menunjukkan sebarang tindak balas, menyebabkan dia rasa tidak sedap hati lalu memanggil seorang lagi anak lelakinya untuk mendapat kepastian. "Ketika itu saya lihat tubuhnya sudah kaku, tanpa berlengah kami bergegas membawanya ke hospital, "Saya pulang ke rumah sebentar untuk sembahyang Subuh, apabila pergi semula ke hospital, saya lihat tubuhnya sudah ditutup dengan kain putih," katanya. Terharu pengorbanan adik Menurut Asma, dia redha dengan pemergian anaknya itu dan beranggapan ada hikmah di sebalik semua peristiwa itu. Namun, bagi abang arwah, Mohd Munawar, dia amat terharu atas pengorbanan arwah adiknya itu kerana sanggup menderma sumsum tulang kepadanya yang amat memerlukan sumbangan tersebut. Menurut Mohd Munawar, dalam adik-beradiknya, hanya arwah yang mempunyai darah yang sama iaitu jenis A. Katanya, kesediaan arwah yang sanggup berkorban menderma sumsum tulangnya untuk membolehkan dia terus hidup merupakan sesuatu yang akan dikenang sehingga akhir hayatnya. "Semalam, sebelum dia meninggal, kami sempat pergi memancing bersama, tak sangka pula hari ini dia sudah tiada. "Apapun, dia seorang adik yang mempunyai jiwa yang murni kerana sanggup berkorban untuk membolehkan abangnya terus hidup," katanya. Mayat arwah kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian. Hasil bedah siasat oleh Pegawai Perubatan mendapati mangsa mati akibat paru-paru berair. Jenazah arwah kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, dekat Jalan Nibong selepas solat asar, petang semalam. Sinar Harian |
Mangsa kemalangan minta bayaran insurans Posted: 23 Apr 2012 11:54 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KOTA BHARU- Mangsa kemalangan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB), di Kampung Pendek, Salor, yang mengalami patah tiga gigi dan cedera di bahagian muka, kecewa di atas tuntutan pampasannya terhadap sebuah syarikat insurans yang masih belum diterima setakat ini. Norizan Jusoh, 49 berkata, akibat kemalangan itu, dia bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan, malah tidak dapat meneruskan pekerjaan menjahit baju. "Kemalangan terbabit memberikan kesan trauma yang mendalam terhadap diri. Sudah lima bulan berlalu, namun usaha suami, berjumpa dengan pihak insurans terbabit yang beribu pejabat di Kuala Lumpur hanya sia-sia apabila pihak itu melengah-lengahkan bayaran pampasan," katanya. Norizan berkata, sebelum ini suaminya, Mohd Nazar Zaid, 42, membawa perkara terbabit ke peringkat atasan TNB dan pihak berkenaan cuba menyelesaikan perkara itu dengan merujuk kepada syarikat insurans itu yang di carumnya. Menurutnya, insurans berkenaan dicarum untuk kakitangan dan orang awam yang terlibat dalam kemalangan berkaitan dengan syarikat berkenaan. "Saya sudah serahkan laporan lengkap mengenai kemalangan itu termasuk laporan polis selain surat doktor. Namun sehingga kini syarikat terbabit tidak memberi sebarang jawapan dan kami harap mereka dapat memberikan penjelasan segera berhubung tuntutan ini," katanya. Pada 3 Disember lepas, Norizan cedera di bahagian muka, patah gigi dan beberapa bahagian badan akibat terlanggar kabel TNB yang merentangi jalan terbabit ketika membonceng motosikal bersama anaknya. Akibat kemalangan itu, Norizan menerima lebih lima jahitan di mulut dan masih mengalami kesan trauma. Sinar Harian |
Posted: 23 Apr 2012 11:52 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PASIR PUTEH - Hasrat 32 nelayan Vietnam menangkap ikan di perairan negara tanpa permit sah gagal apabila aktiviti mereka itu berjaya dikesan oleh Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tok Bali, awal pagi semalam. Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah, Komander Maritim Zainin Abdul Majid berkata, kesemua mereka yang berumur dari lingkungan 20 hingga 61 tahun itu melakukan aktiviti tersebut dengan menggunakan tiga buah bot. "Semasa pemeriksaan dilakukan, kami menghadapi masalah komunikasi dan hasil pemeriksaan yang teliti didapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya. Operasi Ops Perkasa Timur tersebut diketuai oleh Pegawai Memerintah Leftenan Komander Maritim Suhaizan Saadin bersama 25 anggota. Nilai kesemua rampasan tersebut adalah kira-kira RM150,000 dan kesemua bot tersebut dibawa ke Jeti APMM di Tok Bali untuk tindakan selanjutnya. Zainin berkata, hasil laut di perairan negara ini yang banyak serta dijaga dengan baik menyebabkan mereka sanggup bergadai nyawa walaupun perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang. Beliau berkata, kesemua mereka boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah melakukan aktiviti penangkapan ikan di Perairan Perikanan Malaysia tanpa permit yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. "Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau enam bulan penjara bagi setiap awak-awak atau kedua duanya sekali. "Mengikut statistik terkini, ini merupakan tangkapan yang ke 14 yang melibatkan bot nelayan asing dan kesemua orang kena tahan (OKT) adalah seramai 169 orang. "Peningkatan tangkapan ini amat ketara berbanding tahun lepas hanya 13 kes sahaja sepanjang tahun 2011 yang melibatkan bot asing," katanya. Sinar Harian |
3 kereta dipecah cermin perbuatan penjenayah Posted: 23 Apr 2012 11:49 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - GUA MUSANG - Tiga kereta yang diletak di kawasan parkir Jalan Besar Bandar Lama, di sini, pecah cermin sebelah penumpang depan dipercayai perbuatan penjenayah awal pagi semalam. Kejadian dipercayai berlaku lingkungan jam 1 pagi ketika pemiliknya termasuk seorang guru dan penyewa sebuah hotel bajet masing-masing nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan perkara itu. Bagaimanapun, pemilik kereta tersebut yang membuat pemeriksaan selepas mengetahui kejadian berkenaan tidak berlaku kehilangan barang yang disimpan dalam kenderaan masing-masing. Menurut seorang pemilik sebuah kereta tersebut yang tidak mahu disebut namanya, dia dikejutkan penjaga hotel lingkungan jam 1.30 pagi sebelum bergegas melihat cermin keretanya pecah. Beliau berkata, sebaik tiba dekat kereta mendapati beberapa individu termasuk anggota polis berkawal di situ manakala mereka yang disyaki melakukan perbuatan tersebut menghilang diri. "Saya turut melakukan pemeriksaan dalam kereta, tetapi tidak ada barang yang hilang dan mungkin penjenayah itu belum sempat masuki kereta apabila terserempak dengan pengguna lain yang melalui kawasan tersebut. Lagi pun, saya tidak menyimpan barang berharga dalam kereta tersebut dan saya terpaksa menutup cermin kereta yang pecah itu dengan kain mengelakkan basah dimasuki air hujan," katanya. Sinar Harian |
Posted: 23 Apr 2012 11:42 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - TAIPING – Keadaan tebing longkang di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Larut, di sini, yang semakin rebak menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar. Ketua Kampung Larut Ulu, Tajei Hussin berkata, sejak dua bulan lalu, tebing longkang itu telah beberapa kali rebak dan kini keadaannya semakin teruk. Menurutnya, air longkang yang deras menjadi salah satu faktor tebing terhakis, ditambah dengan struktur tanah di kawasan itu yang agak longgar. "Longkang ini menjadi laluan air utama apabila banjir dan jika tebing ini semakin rebak dan tanah yang runtuh akan menyebabkan longkang ini menjadi cetek," katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata, dia telah membawa hal ini ke pengetahuan jabatan berkenaan di Ipoh, bagaimanapun, mereka berjanji akan berbuat sesuatu. Katanya, selepas itu, pihak berkenaan telah meletakkan batu-batu sebagai penghalang supaya tebing tidak rebak. "Batu-batu yang diletakkan itu bukan satu penyelesaian kerana akan jatuh ke dalam sungai setiap kali hujan. "Selain itu, jalan di situ hanya di hadang dengan kon dan menyebabkan penduduk bimbang jika ada murid dari sekolah berhampiran terjatuh ke dalam longkang berkenaan," katanya. Kata beliau, pihaknya berharap masalah tersebut mendapat perhatian pihak bertanggungjawab agar tiada kejadian tidak dingini berlaku. Sinar Harian |
Budak 4 Tahun Tembak Bapa Kerana PlayStation Posted: 23 Apr 2012 08:44 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - RIYADH – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun menembak mati bapanya yang enggan membelikan PlayStation. Akhbar Asharq memetik jurucakap polis di bandar Jizan, selatan Arab Saudi, sebagai berkata, kanak-kanak itu mengambil pistol bapanya dan menembak kepala lelaki berkenaan. Menurut laporan akhbar itu, kanak-kanak terbabit meminta bapanya membeli sebuah PlayStation dan kejadian berlaku selepas lelaki itu pulang tanpa membawa mainan yang dihajati. Ketika menanggalkan pakaian, lelaki berkenaan meletakkan senjata di bawah. Anaknya mengambil pistol itu lalu menembaknya dari jarak dekat. – AFP Agency |
Buruh binaan dihempap jentera cerucuk Posted: 23 Apr 2012 08:41 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - MUAR – Seorang pekerja buruh binaan maut dalam keadaan menyayat hati selepas dihempap sebuah jentera tanam cerucuk di Kampung Tengah Air Hitam dekat sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa Chong Kim Fatt, 46, dipercayai cuba membetulkan kedudukan jentera berat terbabit yang senget kerana struktur tanah di kawasan itu lembik. Malangnya, ketika mangsa sedang leka memasukkan besi dan kayu di bawah jentera berkenaan, secara tiba-tiba jentera itu terbalik lalu menghempapnya. Kejadian tersebut disedari dua rakannya yang berada tidak jauh dari tempat kejadian dan cuba membantu mangsa tetapi gagal. Kim Fatt berasal dari Rawang, Selangor dan baru beberapa hari melakukan kerja pembinaan masjid di Kampung Parit Tengah, Air Hitam sebelum berlakunya kejadian itu. Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Jamil berkata, projek pembinaan masjid berkenaan mula dilakukan kira-kira tiga bulan lalu. Menurutnya, jentera berat itu berada di bekas tapak kolam lama menyebabkan kedudukannya senget sejak dua hari ditinggalkan di situ. "Penduduk kampung yang mendengar tentang kemalangan terbabit segera datang ke situ untuk memberi bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang terbenam dalam tanah di bawah jentera tersebut. "Satu jam kemudian, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan sebuah jentera lain tetapi sudah meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian. Katanya, penduduk kampung turut menghubungi pihak polis dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk memaklumkan kejadian itu. Sinar Harian |
Letupan kuat meteor cetus panik Posted: 23 Apr 2012 08:39 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - CALIFORNIA - Beberapa kawasan di Nevada dan California, Amerika Syarikat (AS) mengalami keadaan agak cemas selepas satu letupan kuat berlaku disebabkan batu meteor yang jatuh, semalam. Letupan yang turut menggegarkan kediaman di kawasan kejiranan Reno ke Winnemucca, Nevada dan Sacramento ke Bakersfield wilayah California, mencetuskan panik sehingga penduduk bertindak menghubungi agensi pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka. Sebahagian penduduk di kedua-dua negeri terlibat, mendakwa terlihat objek bola api menjunam merentasi ruang udara sebelum letupan berlaku, selain laporan polis menyatakan kelihatan sebuah komet berwarna-warni pelik meluru ke arah Bumi. Menurut pakar Fleischmann Planetarium, Universiti Nevada Reno, Dan Ruby, laporan menunjukkan meteor itu telah jatuh ke bumi di sekitar kawasan Sierra, barat daya Reno. Katanya apabila meteor itu memasuki atmosfera bumi, ia akan mencipta letupan sonik pantas seperti sebuah pesawat yang turut mengesahkan waktu itu merupakan tempoh aktif hujan meteor Lyrid yang dapat dilihat daripada bumi. Sinar Harian |
Presiden PAS sahkan turun Bersih 3.0 Posted: 23 Apr 2012 08:32 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan akan turun ke Dataran Merdeka bersama seluruh rakyat untuk menyertai 'Duduk Bantah' sempena himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini. Dalam satu kenyataan yang dikirim oleh setiausaha akhbar beliau Mohd Nasaie Ismail, beliau berkata ianya sebagai tanda sokongan padu PAS terhadap usaha NGO yang bergabung dengan Bersih 3.0 untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. "Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Dataran Merdeka pada himpunan Duduk dan Bantah Bersih 3.0. "Begitu juga dengan seluruh ahli PAS diminta berhimpun secara damai di Dataran Merdeka pada tanggal 28 april," katanya. Pejabat agung PAS juga, ujarnya sudah membuat arahan kepada semua ahli untuk hadir sama ke himpunan tersebut. Sejak Bersih mengumumkan untuk mengadakan Bersih 3.0, PAS telahpun menjalankan usaha mobilisasi ahli dan penyokongnya dari seluruh negara untuk hadir. Semua negeri telah menyatakan komitmen sementara PAS Terengganu dan Selangor secara rasmi mengumumkan masing-masing akan mengerahkan 50,000 ahli mereka. Sementara itu, Bersih malam tadi mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan lokasi alternatif 'Duduk Bantah' itu selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan himpunan itu diadakan di Dataran Merdeka. Harakah Daily |
Posted: 23 Apr 2012 08:27 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Bankrap adalah satu modal baru Umno BN untuk menakutkan rakyat supaya jangan memilih Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti. "Sebelumnya mereka menggunakan isu agama, bangsa dan raja," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam satu kenyataan. Menurutnya, oleh kerana ketiga-tiga isu itu sudah menjadi basi dan tidak laku kerana Umno mempunyai rekod yang buruk terhadap tiga perkara yang diperkatakan. Maka, katanya Umno mengalih pemikiran rakyat dengan menakutkan isu bankrap jika Pakatan Rakyat memerintah. Beliau menamvbah, semua tawaran Pakatan Rakyat akan dilabelkan bankrap dengan harapan rakyat tidak beralih sokongan dan meninggalkan Umno. "Apabila Pakatan Rakyat menjanjikan untuk hapus PTPTN, hapuskan tol, gaji minimum RM1100.00, menurun harga minyak, mengekalkan subsidi," ujarnya lagi. Maka, beliau menambah terdapat suara-suara sumbang mengatakan negara akan bankrap, termasuklah dari kalangan pensyarah yang menjadi pengampu kepada BN. Apa yang pelik, kata Idris semua yang dilakukan oleh kerajaan BN tidak berani ditegur walaupun memudaratkan ekonomi negara dan membankrapkan negara walaupun mengenepikan prinsip ketelusan. "Sebenarnya taktik pemimpin BN bermodalkan bankrap supaya rakyat lupa bahawa negara akan menjadi bankrap, kerana rekod pemerintahan Umno seperti barah di peringkat empat," katanya. Apa tidaknya, kata beliau hutang negara 53%, paras bahaya ialah 55%. Tambahnya, hutang negara melonjak dari RM146 bilion pada tahun 2002, RM242 bilion (2006) dan RM456.1 bilion pada penghujung 2011 sementara wang Felda susut daripada RM4.08 bilion (2004) kepada RM1.35 bilion (2009). Selain itu, katanya lagi saham Bumiputera RM52 bilion lesap, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu berharga RM292 juta runtuh, walaupun hanya setahun dibina, upah Apco Yahudi Israel RM77 juta setahun, RM589 juta hutang Tajudin dihapus kira, NFC sebanyak RM250 juta. Beliau menambah, Laporan Ketua Audit Negara 2008 menyatakan berlaku ketirisan RM28 bilion, laporan Ketua Audit Negara 2006 pula melaporkan Kementerian Pertahanan membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) tanpa ada baucer. Ini, tegasnya membuktikan bahawa negara akan bankrap jika BN terus berkuasa. "Sedangkan tawaran PR untuk membantu rakyat dengan kita memerangi rasuah, perbelanjaan berhemah insya Allah negara selamat, rakyat mendapat rahmat," ujarnya lagi. Harakah Daily |
Posted: 23 Apr 2012 08:24 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - BALING - Sebuah keluarga terkejut setelah mendapati rumah yang dihuni selama ini merupakan sarang ular berikutan penemuan 12 ekor anak tedung senduk di lubang lantai rumahnya di kawasan Jalan Bakar Sampah, di sini, kelmarin. M Krishanabeni, 37, berkata, dia dan suaminya, Budik, 44, terkejut setelah menjumpai seekor anak ular keluar dari lubang lantai rumahnya awal pagi kelmarin. "Pada mulanya saya hanya lihat seekor anak ular. Kemudian, suami tangkap dan buang ular itu ke dalam hutan. "Keesokannya, terdapat seekor lagi anak ular keluar dari lubang sama. Disebabkan risau terdapat lebih dari seekor ular di dalam lubang itu saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," katanya kepada Sinar Harian. Sehubungan itu, lima anggota JPAM dikerahkan ke tempat kejadian dan mengambil masa satu jam untuk mengeluarkan 12 anak ular yang terdapat di dalam lubang lantai itu. Krishanabeni berkata, sebelum ini dia perasan kucingnya sering menghidu dan mengorek sesuatu di lubang lantai itu dan tidak menyangka ia rupanya petanda bahawa terdapat sarang ular di rumahnya. Katanya, dia dan suami serta enam anaknya terpaksa tidur di ruang tamu sejak malam kelmarin kerana bimbang dengan kehadiran ular itu. "Hati saya tidak tenteram dan tidak mustahil terdapat ular besar di dalam rumahnya berikutan penemuan anak ular itu. "Saya ingin berpindah, tetapi saya tidak mampu menyewa di rumah lain. Kami sekeluarga terpaksa tinggal di sini," katanya. Sementara itu, jurucakap JPAM cawangan Baling berkata, semua anak ular itu dipercayai berusia antara setahun berdasarkan saiz anak ular tersebut. Kesemua anak ular itu di bawah ke Pejabat JPAM cawangan Baling sebelum dibuang ke dalam hutan. Sinar Harian |
Mansour puji Mancini, mahu kekal kendali Manc City Posted: 23 Apr 2012 08:19 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PEMILIK Manchester City, Sheikh Mansour menyatakan kegembiraan dengan pengurusan Roberto Mancini dalam mengendalikan pasukan itu. Melihat Mancini seorang pengurus yang sesuai untuk membimbing kelab itu dalam usaha membantunya menjadi kelab terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL), Mansour menegaskan beliau akan terus kekal dalam mengendali kelab itu walaupun misi untuk memenangi gelaran EPL gagal kelak. Mancini yang mengambil alih jawatan Mark Hughes sebagai pengurus pada Disember 2009 telah menunjukkan peningkatan yang positif dalam misi untuk memenangi gelaran EPL pertama sejak 1968. Dalam satu kenyataan dipetik BBC, Monsour berkata: "Perbezaan tiga mata di belakang Manchester United tidak menggambarkan bahawa City tidak boleh mengejar The Red Devils, dan kami masih mempunyai peluang." "Tetapi apa yang berlaku nanti sama ada menang atapun kalah, saya tetap gembira dan berpuas hati dengan pemain serta pihak pengurusan," kata Mansour. Tambah Mansour, prestasi City yang cemerlang dalam memenangi enam perlawanan daripada tujuh turut menunjukkan satu peningkatan yang baik. "Mereka telah menunjukkan satu prestasi yang sangat baik dan saya berharap mereka akan menjadi lebih baik menjelang baki tiga perlawanan nanti," katanya. Sejak 2008, Monsour telah membelanjakan sebanyak £1 bilion dalam melakukan perubahan sekali gus menjadikan kelab itu sebagai kelab terkaya di dunia. Sinar Harian |
Posted: 23 Apr 2012 08:17 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - AYER KEROH - Seorang operator mesin dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana memukul rakan sekerjanya hingga patah tangan kiri, awal bulan ini. Nordin Kassim, 50, dari Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar. Nordin didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Loi Fui Liang, 44, menggunakan sebatang besi di kantin sebuah kilang di Kampung Air Hitam Darat, Alor Gajah, kira-kira jam 5 petang pada 9 April 2012. Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya. Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak meminta mahkamah memberikan jaminan RM10,000. Bagaimanapun, Nordin diwakili peguam bela, Mohd Fadil Hassan meminta mahkamah kurangkan wang jaminan dengan alasan menyara tiga anak dan ibu yang uzur. Ahmad Sazali membenarkan Nordin diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Sinar Harian |
Remaja tak sempat rompak syiling Posted: 23 Apr 2012 08:16 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - ALOR GAJAH - Empat lelaki, dua daripadanya adalah pelajar diberkas polis cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sekitar bandar Seremban, Negeri Sembilan, awal pagi semalam. Mereka ditahan kerana cuba merompak syiling dalam mesin air suling di sebuah taman di Durian Tunggal. Operasi berkenaan diketuai Inspektor Abd Rashid Idris, berjaya menahan empat remaja, dipercayai dari Seremban, yang melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kancil. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dua suspek menendang mesin air berkenaan untuk mengeluarkan syiling tetapi disedari seorang lelaki. Menurutnya, mereka segera melarikan diri tetapi lelaki terbabit bertindak membaling topi keledar ke arah kereta dinaiki empat suspek berkenaan. "Balingannya terkena cermin belakang kereta menyebabkan ia pecah. "Polis berusaha menjejaki mereka berdasarkan alamat pendaftaran kenderaan tetapi suspek tiada di rumah sebelum operasi mengesan suspek dilakukan berhampiran Tesco Seremban Jaya, kira-kira jam 3 pagi, semalam," katanya. Umar Ali Saifuddin berkata, pihaknya cuba mengenal pasti kereta terbabit berdasarkan kesan pecah. "Kami berjaya mengesan mereka selepas melihat kereta terbabit berhampiran sebuah pasar raya di Seremban Jaya. "Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan polis dan kami juga menemui sebilah kapak serta topi keledar milik saksi," katanya. Menurutnya, semua suspek berusia belasan tahun dan awal 20-an dibawa ke IPD Alor Gajah untuk siasat lanjut. "Mereka direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 kerana cubaan mencuri," katanya. Sinar Harian |
Nasib berbeza 5 rakan bunuh remaja Posted: 23 Apr 2012 08:13 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUANTAN - Lima sekawan menghadapi nasib berbeza apabila menerima hukuman masing-masing selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pada seorang remaja sehingga mati pada Mei tahun lalu sehingga mati di Mahkamah Tinggi di sini, semalam. Tertuduh pertama, Mohd Salahuddin Shamsul, 20 dan tertuduh kedua, Mohd Masyadi Mohd Zainal, 21 hanya mampu menarik nafas lega selepas Hakim Datuk Mariana Yahya menetapkan hukuman penjara sembilan bulan berkuat kuasa dari kedua-duanya ditangkap iaitu pada 31 Mei 2011. Sebelum ini, kedua-duanya berada dalam tahanan di Penjara Penor selama 10 bulan dan 23 hari. Manakala tertuduh keempat dan kelima yang masing-masing berumur 17 dan 18 tahun dibebaskan dengan jaminan bon berkelakuan baik selama setahun dan dikenakan cagaran sebanyak RM1,000. Namun kedua-duanya diminta melaporkan diri ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhampiran ditemani ibu bapa dan penjaga masing-masing pada minggu pertama setiap bulan selama setahun berkuat kuasa Mei depan. Keempat-empat mereka menghadapi pertuduhan dan disabitkan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas si mati, Zulkifli Ali, 17 di Medan Pelancongan Benteng, Jalan Besar di sini pada 21 Mei tahun lalu kira-kira jam 1.30 pagi. Kesemuanya disabitkan di bawah Seksyen 32 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Tertuduh ketiga iaitu Mohd Zubaikhan Abdul Halim, 22 dari Sri Damai di sini pula menghadapi nasib berlainan berbanding rakan-rakannya dan terpaksa meringkuk di penjara selama 12 tahun selepas Mariana menetapkan keputusan tersebut selepas mendengar penggulungan hujah dan rayuan yang dikemukakan peguam belanya,Arifin Che Ali. Sebelum itu, Arifin mengemukakan tertuduh hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan dan tinggal bersama ibunya yang juga seorang ibu tunggal yang hanya meniaga secara kecil-kecilan. Menurutnya, tertuduh anak keempat daripada 12 adik-beradik dan ketika kejadian berlaku pada 21 Mei lalu, tertuduh berusia 21 tahun 2 bulan dan tidak menggunakan senjata terhadap mangsa. Mariana menetapkan hukuman tersebut berkuat kuasa daripada tarikh Zubaikhan ditangkap iaitu pada 31 Mei tahun lalu. Sebelum itu dalam kenyataannya, Mariana memberitahu, tertuduh dikira bernasib baik selepas pertuduhannya ditukar dari membunuh ke pertuduhan mematikan orang dengan salah. Menurutnya, beliau mendengar rayuan itunamun hukuman tersebut dijalankan mengikut kepentingan awam kerana nyawa manusia tiada nilai. "Perlakuan tertuduh telah menyebabkan kehilangan nyawa pada mangsa dan kehilangan untuk keluarga mangsa yang dijadikan harapan buat mereka. "Kalau sudah hilang nyawa, saya tak tahu apa nak diganti dan saya memandang serius perkara ini," katanya. Mengikut pertuduhan, Zubaikhan disabitkan menyebabkan kematian pada mangsa, Zulkifli Ali, 17 dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang menyebabkan kematian pada mangsa pada 21 Mei tahun lalu di Medan Pelancongan Benteng, Jalan Besar di sini kira-kira jam 1.30 pagi. Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda. Berdasarkan fakta kes, kejadian bermula apabila si mati bersama rakannya berada di tempat kejadian untuk melihat orang memancing di lokasi tersebut. Sebelum kejadian kawan si mati telah meminta mangsa menunggu kerana ingin membuang air dan sebaik keluar dari tandas, dia melihat si mati telah dipukul lebih kurang lima orang lelaki. Rakannya ternampak tertuduh ketiga telah menghentak kepala si mati ke pintu besi kedai makan dan mangsa rebah ke lantai namun tertuduh terbabit masih lagi menyepak belakang badan dan kepala hingga si mati tidak sedarkan diri. Selepas kumpulan lelaki itu beredar, mangsa dibawa ke hospital dan tidak sedarkan diri sehingga disahkan meninggal dunia pada 30 Mei tahun lalu. Hasil pemeriksaan pakar patologi mendapati terdapat kesan retakan di tiga lokasi bahagian tengkorak kepala iaitu salah satunya di sebelah kiri depan tengkorak kepala berdekatan mata sebelah kiri dan pendarahan dalam kepala. Selain itu terdapat juga kesan lebam pada paru-paru sebelah kanan dan paru-paru dan buah pinggang kedua-duanya tidak berfungsi dengan baik akibat komplikasi dari koma. Tertuduh pertama, kedua dan keempat diwakili peguam bela, Bob Arumugam dan tertuduh kelima diwakili Azizan Abdullah. Manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad. Sinar Harian |
Liga Juara: Di Matteo janji tewaskan Barcelona Posted: 23 Apr 2012 08:10 PM PDT 2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PENGENDALI sementara Chelsea, Roberto Di Matteo berjanji pasukannya akan memberi peningkatan yang positif menjelang pertemuan dengan Barcelona dalam persaingan separuh akhir kedua Liga Juara-juara, Rabu ini. Di Matteo menegaskan meskipun memiliki kelebihan pada saingan separuh akhir pertama Khamis lalu, Chelsea akan tetap memburu jaringan di Nou Camp walapun menyedari bukan mudah untuk bermain di hadapan penyokong lawan. "Peluang kedua-dua pasukan dilihat seimbang, dan mana-mana pasukan yang melakukan sedikit kesilapan akan pastinya menerima padah, "Apa-apa pun kita akan cuba skor gol pada perlawanan itu nanti kerana ia akan menjadi masalah sekiranya seri tanpa jaringan," kata Di Matteo. Pada perlawanan separuh akhir pertama, Chelsea menang 1-0 ke atas Barcelona. Tambah Di Matteo, Barcelona akan melakukan apa sahaja dalam misi memburu gol, dan "kami akan cuba menghalang peluang itu sekali gus memusnahkan impian mereka untuk layak ke peringkat akhir nanti." Chelsea turut mencipta kejayaan apabila layak ke peringkat akhir menentang Liverpool dalam perlawanan Piala FA 5 Mei ini. Sinar Harian |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan