:: cina islam | 2011 :: |
- Terkejut gurauan jadi nyata
- United, City rebut Hazard
- Tak dapat duit, kereta dibakar
- Dakwa diganggu bunyi Walit
- Tertembak rakan disangka babi
- Motosikal dikebas ketika solat di masjid
- 'Kalau ahli Umno, apa dibuat pasti untuk Umno'
- Wartakan Dataran Merdeka untuk program BN sahaja
- Salahuddin Ayub dihalang masuk Skudai Kiri
- Bersih 3.0: Jangan cenderung kezaliman BN
- Simbah cat pada banner dikecam
- Bersih 3.0: PR Perak turun dengan 50,000 ahli
- Adakah SPR tidak sedar telah khianati negara?
- Bersih 3.0: Suaram sedia pasukan khas
- Yakin rampas Selangor guna warga asing?
- Bumbung terbang 200 meter
- Penceroboh cedera dilibas golok
- Pisang berbuah di tengah batang
- Buruh dipukul hingga mati
- Isteri bukti kasih, jamin suami ugut bunuh
- Buruh binaan maut dihempap besi
- PAS Perlis lapor SPRM kos persembahan Gema Cahaya
- Sekeliling Dataran Merdeka dipagar pagi ini
- Semua guru di Pekan dipaksa jadi mata-mata Umno
- Bersih 3.0: Cerita yang mesti dibaca
Posted: 27 Apr 2012 01:13 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PENDANG - "Sejak tiga bulan kebelakangan ini, arwah menunjukkan perubahan apabila sering kali memberitahu saya bahawa dia sudah nak mati," rintih ibu kepada mangsa lemas yang ditemui terapung di tali air setelah jatuh bersama motosikalnya di Pendang, kelmarin. Ibu mangsa, Mariam Had, 47, berkata, mangsa, Mohd Suhaimi Mohd Daud, 19, sering memberitahunya bahawa dia sudah mahu mati dan enggan bekerja dengan alasan dunia sudah mahu kiamat. Menurutnya, dia pernah memberitahu anaknya itu bahawa wajahnya kelihatan putih bercahaya dan berseri-seri, namun mangsa membalas bahawa keadaannya itu petanda dia sudah mahu meninggal dunia. "Saya tegur dia, 'Mi (Suhaimi) mak tengok muka Mi putih bersih', dia menjawab 'Cek (saya) nak mati dah kot'. Ketika itu kami menjenguk saudara di Kubur Panjang, Pendang, seminggu sebelum kejadian ini. "Saya tidak sedap hati dan setiap kali dia keluar ke tempat kerja, saya berdoa di hadapan pintu memohon kepada ALLAH supaya menjaga keselamatannya," katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Gelam 2, di sini, semalam. Mariam berkata, dia juga tidak menyangka gerak hatinya yang risau sesuatu yang buruk berlaku kepada keluarga mereka menjadi kenyataan ketika dimaklumkan mengenai kematian Mohd Suhaimi oleh suaminya, Mohd Daud Taib. Katanya, Mohd Suhaimi keluar dari rumah kira-kira jam 8.30 pagi hari kejadian tanpa memberitahunya seperti hari kebiasaannya. "Selalunya dia akan tarik saya ke hadapan pintu, peluk dan cium saya, dan minta saya lihat dia pergi kerja. Tetapi pada pagi hari kejadian, saya terkejut kerana terdengar motosikalnya dan terus berlari ke muka pintu melihat dia ke tempat kerja tanpa memeluk dan mencium saya. "Saya tidak sedap hati dan berdoa kepada ALLAH sehingga bapanya pulang memberitahu bahawa arwah ditemui mati terapung di tali air," katanya. Mariam berkata, Mohd Suhaimi menghidap penyakit asma dan berkemungkinan mangsa diserang penyakit itu semasa menunggang motosikal ke tempat kerja. Jenazah Mohd Suhaimi dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Besar kira-kira jam 6 petang, kelmarin. Sinar Harian |
Posted: 27 Apr 2012 01:10 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PASUKAN berjiran, Manchester United dan Manchester City mungkin berdepan 'perang saudara' dalam misi merebut pemain tengah Lille, Eden Hazard musim panas ini. Baru-baru ini, Lille mengakui sukar bagi kelab itu 'menyimpan' Hazard selepas pemain berkenaan menyatakan hasrat beraksi di luar Perancis. Sebelum ini bos United, Sir Alex Ferguson yang merupakan peminat nombor satu pemain antarabangsa Belgium itu menyatakan hasrat membawa Hazard ke Old Trafford, musim depan. Pada masa sama, pengendali City, Roberto Mancini turut berminat membawa pemain itu ke Etihad. Selain United dan City, Hazard turut dikaitkan dengan Tottenham, Arsenal dan Real Madrid. Sinar Harian |
Tak dapat duit, kereta dibakar Posted: 27 Apr 2012 01:09 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - REMBAU – Akibat gagal mendapat wang, seorang lelaki bertindak membakar kereta milik mangsa dalam kejadian di Kampung Tanah Datar, dekat sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, lelaki terbabit yang berpakaian gelap serta bertopi keledar dilengkapi visor datang ke rumah didiami mangsa, Zulkifli Bidin, 42. Ketika kejadian, isteri mangsa, Noor Hadieza Ngah Jais, 21, yang sarat mengandung lapan bulan terdengar bunyi sesuatu di luar rumahnya, sebelum mengejutkan suaminya yang sedang tidur. Zulkifli berkata, selepas terjaga, dia bergegas menjenguk ke luar rumah melalui tingkap dan ternampak lelaki berkenaan berada di luar rumah. "Lelaki itu tersedar kelibat saya dan terus berkata 'aku nak duit, kalau tak bagi duit aku bakar kereta'. Saya cemas dan tidak sempat berbuat apa-apa," katanya. Menurutnya, untuk mengelakkan kejadian lebih buruk, dia kemudian masuk ke dalam bilik untuk mengambil wang selepas dipersetujui isterinya. Bagaimanapun, sebaik saja dia masuk ke bilik, dia ternampak kereta jenis Perodua Kancil miliknya yang diletakkan di luar rumah sudah mula terbakar di bahagian enjin depan. "Masa itu, saya dan isteri serta tiga anak berusia antara lima hingga sembilan tahun betul-betul berada dalam keadaan menakutkan, walaupun sedar kemungkinan risiko kereta berkenaan meletup. "Lelaki itu masih berada di luar rumah menyebabkan saya terus membuat panggilan polis. Kami beranak hanya berdoa sementara menunggu polis tiba," katanya kepada Sinar Harian di rumahnya, semalam. Zulkifli yang juga seorang peniaga berkata, polis tiba sejurus selepas itu, namun lelaki terbabit dikesan sudah menghilang diri. "Polis cuba membantu memadam kebakaran, bagaimanapun usaha berkenaan tidak berhasil sebelum bomba tiba selepas itu," katanya. Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Abdul Halim Abdul Malek bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan. "Kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh 10 minit. Bagaimanapun, kereta itu sudah 50 peratus hangus di bahagian enjin," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan menerima laporan kejadian. Menurutnya, polis masih menyiasat kejadian berkenaan termasuk motif lelaki berkenaan berbuat demikian. Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan premis perniagaan mangsa yang dikenali sebagai 'Zol Tolo' turut disamun lelaki bertopi keledar, kira-kira 4.40 petang pada 26 Oktober lalu. Sinar Harian |
Posted: 27 Apr 2012 01:01 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - TAIPING - Seorang peniaga di Jalan Pasar di sini berasa terganggu dengan bunyi bising perakam suara burung Walit dari bangunan yang berada di belakang kedainya. Peniaga dikenali sebagai Tan, 55, berkata, keadaan bunyi bising sejak dari pagi hingga ke tengah malam. Kata Tan, keadaan itu telah berlarutan sejak awal tahun ini dan mengganggu kehidupan mereka yang sebelum ini tenang. Menurutnya, walaupun dia tidak terlibat dengan bidang penternakan burung walit, namun tahu bahawa ada masa tertentu dibenarkan berkumandang supaya tidak menimbulkan masalah seperti ini. "Setahu saya, mereka hanya boleh beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 7 malam dan bunyinya tidak melebihi 60 disebel. "Pengusaha pula tidak dibenarkan sama sekali untuk membina rumah burung itu di kawasan perumahan atau rumah kedai," katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata, dia juga telah mengadukan masalah itu kepada pihak berkenaan sebanyak lima kali tetapi belum mendapat maklum balas. Katanya, bukan niatnya untuk menyalahkan sesiapa tetapi, jika mengganggu waktu tidur dan rehat juga diganggu ia tidak adil untuk penduduk sekitar. "Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya. Sinar Harian |
Posted: 27 Apr 2012 12:59 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - MUAR – Keseronokan empat sahabat memburu haiwan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka nyaris maut dipercayai terkena tembakan rakannya sendiri. Tea Soy @ Ting Tai Chuan, 77, mengalami kecederaan di bahagian dada kiri selepas terkena tembakan rakannya semasa memburu babi hutan di sebuah kebun Kelapa Sawit di Tanjung Olak, Bukit Pasir, dekat sini, kelmarin. Pengusaha ladang sayuran dari Bukit Pasir itu sudah lebih 10 tahun mempunyai lesen senapang dan melakukan aktiviti memburu haiwan bagi mengisi masa lapang. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, rakan mangsa dikenali sebagai Chua, 46, berkata tidak menyangka tembakan yang disasarkan ke arah objek yang menyerupai babi hutan yang dilihatnya pada jarak 120 meter di hadapan adalah rakannya sendiri. Menurutnya, setibanya di kawasan kebun berkenaan, dia tidak menyedari Tai Chuan terlebih dahulu berjalan ke arah hadapan kerana menyangka rakannya itu pergi ke arah lain. "Semasa berada di tengah kebun, saya ternampak objek seperti babi hutan melintas dan melepaskan tembakan. "Saya hanya mengetahui tertembak rakan selepas mendengar Tai Chuan menjerit kesakitan selain dadanya berdarah," katanya. Katanya, dia mahu menghantar Tai Chuan ke hospital tetapi rakannya itu enggan, sebaliknya hanya mahu pulang ke rumah. Salah seorang anak mangsa, Ting Kah Peng, 40-an, berkata, dia mengetahui insiden yang menimpa bapanya itu selepas dihubungi anaknya. "Ketika itu anak saya baru pulang dari sekolah dan lihat baju yang dipakai bapa berdarah di bahagian kiri dada. "Saya segera pulang dan terkejut lihat bapa duduk di kerusi dalam keadaan lemah seperti menahan sakit," katanya kepada Sinar Harian. Berikutan itu, dia segera menghantar bapanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafarketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 37, Akta Senjata Api 1960. Sinar Harian |
Motosikal dikebas ketika solat di masjid Posted: 27 Apr 2012 12:57 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KERATONG - Belum pun reda isu duit tabung Masjid At-Taqwa Felda Keratong 4, dikebas pencuri, kini sasaran 'kaki kebas' lebih besar, malah mereka semakin berani apabila mencuri pula motosikal jemaah. Buktinya, dalam tempoh seminggu lalu, sebanyak dua kes kehilangan motosikal dilaporkan di masjid Felda Keratong 4 selepas solat Jumaat, manakala dua kes kecurian yang sama berlaku di masjid Felda Keratong 5, Selasa lalu. Kegiatan curi motosikal yang semakin berleluasa itu menyebabkan jemaah terpaksa memasang rantai kunci di kenderaan masing-masing. Gugusan Felda Bandar Tun Razak yang merangkumi Felda Keratong 1 hingga 5 kini juga diletakkan sebagai kawasan hitam berdasarkan beberapa kejadian kecurian dan kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini. Pencuri licik Seorang jemaah, Muhamad Daud, 63, berkata, dia hanya menyedari motosikalnya hilang sebaik saja mahu pulang ke rumah selepas menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid Felda Keratong 5, Selasa lalu. Menurutnya, motosikalnya jenis Honda EX5 diletakkan di kawasan parkir di tepi bangunan masjid. "Saya terkejut apabila motosikal yang saya gunakan untuk ulang alik ke masjid setiap hari sudah tidak ada di tempatnya. "Saya hairan bagaimana pencuri itu begitu licik dan boleh melarikan motosikal saya sekelip mata kerana handle motor waktu itu berkunci," katanya kepada Sinar Harian. Muhamad berkata, dia kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang sanggup melakukan kegiatan terkutuk itu di pekarangan masjid. "Perlakuan mereka ini adalah satu jenayah besar di sisi Islam dan mereka perlu bertaubat kerana perbuatan mencuri ini hanya menyebabkan orang lain pula berada dalam kesusahan," katanya. Menurutnya, dia kini terpaksa menggunakan van untuk berulang alik ke masjid. Seorang lagi mangsa, Mohd Omar Kasihan, 63, berkata, motosikalnya jenis Modenas Kris yang dikebas pencuri itu sudah digunakan lebih 10 tahun dan banyak berjasa kepada ahli keluarganya. Menurutnya, dia percaya pencuri terbabit akan meleraikan motosikal yang dicuri sebelum menjualnya kepada pembeli besi buruk. "Mereka tidak akan menjual motosikal itu terus kerana boleh menyebabkan mereka dicekup pihak berkuasa. "Saya percaya, mereka hanya mengambil komponen di dalamnya untuk dijual kepada pembeli besi buruk," katanya. Mohd Omar berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya menyusahkan pemilik terutama jika mangsa terdiri daripada golongan tidak berkemampuan. Katanya, perbuatan itu juga mencemar imej institusi masjid sebagai sebuah rumah ibadat yang selamat, sekali gus memberi tanggapan buruk kepada masyarakat terhadap fungsi dan peranannya pada masa akan datang. "Kita bimbang masyarakat takut ke masjid kerana ada pihak telah mencemarkannya dengan perbuatan tidak bermoral," katanya. Rondaan lebih kerap Imam masjid, Felda Keratong 5, Ismail Yahya berkata, dua tahun lalu, dia juga pernah kehilangan motosikal yang diletakkan di kawasan parkir masjid dan hanya menyedari kejadian itu sebaik saja mahu pulang ke rumah selepas selesai solat Isyak. "Selepas kejadian itu saya lebih berhati-hati dan berwaspada termasuk mengenakan kunci rantai yang bermangga bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya. Ismail berkata, kejadian pecah rumah, curi motosikal dan kes pecah tabung masjid di Felda gugusan itu semakin berleluasa. Justeru pihak berkuasa terutama polis digesa menjalankan siasatan menyeluruh supaya ia dapat dibanteras hingga ke peringkat akar umbi. Katanya, rondaan yang lebih kerap perlu dilakukan bagi memastikan penjenayah terbabit dapat diberkas. "Polis perlu lebih tegas menangani kes ini dan berharap tindakan segera dapat dijalankan bagi memastikan mereka yang menjalankan kegiatan ini dicekup," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, Unit Peronda Polis (MPV) telah diarahkan melakukan rondaan lebih kerap di kawasan masjid. Katanya, pihaknya memandang serius perkara itu dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan mengunci kenderaan masing-masing. "Orang ramai perlu mengamalkan sikap beringat sebelum terkena dan mengunci kenderaan mereka bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa kepada perlakuan jenayah," katanya. Sinar Harian |
'Kalau ahli Umno, apa dibuat pasti untuk Umno' Posted: 27 Apr 2012 12:52 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - SHAH ALAM, 27 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) berkata, rakyat akan terus hilang keyakinan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mengetahui Pengerusi, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai ahli Umno. Pada satu sidang media di pejabatnya, beliau berkata adalah amat sukar untuk meyakini keputusan yang dibuat oleh SPR apabila kedua-dua orang tertinggi dalam SPR merupakan ahli Umno. "Sekarang semakin sukar untuk kita yakin bahawa apa yang diputuskan oleh SPR sama ada untuk kebaikan semua pihak ataupun hanya kepentingan Umno sahaja. "Tetapi apa yang berlaku kebelakangan ini kita melihat keputusan yang dibuat oleh SPR hanya untuk memastikan kemenangan kepada Umno Barisan Nasional," jelasnya. Tambahnya lagi, dalam keadaan SPR sebagai badan pengendali sebuah sistem demokrasi negara, mereka yang menerajuinya perlulah bebas tanpa sebarang jawatan mahupun anggota parti. "SPR sepatutnya bebas dari ikatan mana-mana parti politik tapi ini tidak kepada kedua-dua mereka dalam SPR yang merupakan ahli Umno. "Bagaimana kita ingin memastikan sistem pilihanraya di negara ini berjalan mengikut konsep demokrasi tanpa ada berat sebelah ataupun pelan rangka untuk memenangkan satu parti politik sahaja iaitu Barisan Nasional," sambungnya yang juga AJK PAS Pusat. Khalid menyatakan walaupun terdapat penafian dari kedua-dua mereka tetapi tindak tanduk yang dilakukan tidak boleh diterima akal. Malah isu yang berkaitan pengundi ragu yang tiada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara, penambahan undi pos juga dilihat satu agenda untuk memenangkan Umno Barisan Nasional. "Kalau dah ahli Umno apa yang mereka buat sudah pasti untuk Umno dan ini tidak boleh dipertikaikan lagi. "Ketelusan SPR untuk memastikan pilihanraya yang adil serta telus sudah pasti tidak akan terlaksana apabila mereka yang membuat keputusan memihak kepada Umno-Barisan Nasional," kata beliau lagi. Sebelum itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mengikut undang-undang, tidak salah penjawat awam menjadi ahli parti politik, asalkan tidak memegang jawatan dalam parti itu. Beliau turut memberi alasan bahawa tidak semestinya dengan menjadi ahli Umno, mereka dengan mudah akan mengkhianati amanah yang diberikan (dalam mengendalikan SPR). Harakah Daily |
Wartakan Dataran Merdeka untuk program BN sahaja Posted: 27 Apr 2012 12:48 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 27 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memagar Dataran Merdeka mulai hari ini. Bagi DPPM, kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar), tindakan DBKL seperti menghina rakyat Malaysia dan menafikan hak rakyat untuk berhimpun bagi menyatakan suara hati mereka. "DPPM merasa kecewa kerana DBKL dan kerajaan Malaysia tidak menghormati rakyat di negara ini. "Meskipun Dataran Merdeka dikawal selia oleh DBKL, namun ia adalah kawasan umum yang semua rakyat boleh mengunjunginya," katanya kepada Harakahdaily. Tambahnya, Dataran Merdeka juga dianggap salah satu lokasi pelancongan penting kepada pelancong asing yang datang ke Kuala Lumpur. Menurutnya lagi, boleh dikatakan tidak sah pelancongan di Malaysia jika tidak mengunjungi Dataran Merdeka, kawasan yang penuh bersejarah itu. "Jika pelancong asing dibenarkan mengunjungi Dataran Merdeka pada bila-bila masa pun, dan jika konsert yang membawa masuk artis luar negara diadakan di kawasan itu dibenarkan, mengapa pula rakyat sendiri tidak dibenarkan mengunjunginya?" ujarnya. Lebih dari itu, katanya banyak aktiviti yang diadakan saban tahun seperti Konsert Sambutan Tahun Baru, Sambutan Kemerdekaan, dan lain-lain lagi yang menjurus kepada perlakuan maksiat dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan dibenarkan. "Apakah alasan pula bagi menghalang aktiviti yang memupuk rakyat cintakan negara dan bencikan penyelewengan oleh pemimpin-pemimpin negara," soal beliau lagi. Beliau berkata, rakyat merasa terkilan kerana kerajaan menganggap rakyat sebagai golongan merbahaya yang perlu ditentang habis-habisan. "Nampaknya beginilah layanan kerajaan BN terhadap rakyatnya sendiri seumpama anak tiri yang terbuang," katanya. Beliau menambah, segala aktiviti yang melibatkan rakyat dan kepentingan mereka akan ditolak ke tepi, tetapi jika ianya adalah program maksiat yang menguntungkan kerajaan BN berjuta ringgit, ianya akan dilayan dengan layanan kelas pertama. "Bayangkan, apakah pembelaan yang akan rakyat terima jika BN terus memerintah dengan mandat yang lebih besar pasca PRU13 nanti," ujarnya. Justeru, kata beliau DPPM mensarankan kepada DBKL supaya Dataran Merdeka ditutup kepada awam buat selama-lamanya. "Wartakan kepada rakyat, bahawa Dataran Merdeka hanya untuk aktiviti kerajaan BN sahaja serta hanya untuk pelancong asing. "Untuk rakyat, tempat mereka hanya di kampung-kampung atau di kawasan terpencil luar bandaraya Kuala Lumpur yang jauh daripada pembangunan kerana itu sahaja tempat yang layak buat mereka," ujarnya. Harakah Daily |
Salahuddin Ayub dihalang masuk Skudai Kiri Posted: 27 Apr 2012 12:43 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - JOHOR BAHRU: Kehadiran Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ke di Kampung Skudai Kiri di sini semalam didakwa dihalang sekumpulan lelaki sehingga tercetus sedikit kekecohan. Salahuddin yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon MB Johor jika Pakatan menguasai negeri itu pada PRU 13, dihalang kira-kira 20 lelaki dipercayai penyokong Umno daripada bertemu penduduk. Insiden tersebut berlaku kira-kira jam 11.45 pagi di mana Salahuddin yang turut ditemani Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat mahu memenuhi jemputan penduduk yang mahu mengadu berhubung masalah tanah. Difahamkan penduduk tidak puas hati dengan pihak kerajaan yang mahu membangunkan kawasan tersebut tanpa pampasan yang setimpal. Mereka juga kuatir tanah rizab Melayu yang mereka duduki itu akan terancam akibat daripada pembangunan yang akan dilaksanakan. Menurut Suhaizan, ketika kumpulan mereka bersama wartawan masuk ke kawasan kampung tersebut mereka telah dilayan dengan cukup kasar dan biadap. "Kumpulan Umno Skudai Kiri telah mengetuk-getuk kenderaan kami dan menghalau rombongan kami masuk ke kampung tersebut.Kami tidak melayan mereka dan terus masuk kampung tersebut. "Jam 12.00 tengahari, saya sampai ke kumpulan penduduk kampung yang telah menunggu kami. Setelah saya membuat kenyataan media kepada wartawan yang turut sama dalam rombongan. Kumpulan Umno Skudai Kiri telah menjerit " Suhaizan berambus, engkau orang luar"," ceritanya. Selepas itu katanya, Ketua Kampung datang berjumpanya lalu mengarahkan rombongan keluar. Beliau bagaimanapun mereka bertegas tidak mahu keluar dan akhirnya ketua kampung mengalah dan membenarkan kami berjumpa penduduk selama 10 minit. Selapas itu, barulah Salahuddin ditemani rakannya Onn Jaafar cuba bertemu penduduk tetapi malangnya dihalang sekumpulan lelaki yang berkumpul di hadapannya. Sedikit kekecohan berlaku sehingga memaksa pasukan polis datang untuk menenangkan keadaan. "Dengan senyuman Salahuddin menyapa mereka dan menjelaskan kenapa beliau datang ke kampung tersebut. "Dengan bantuan pihak polis Salahuddin dapat berjumpa dengan penduduk dan beliau telah ditunjukkan oleh penduduk kampung kesan daripada projek pembangunan yang akan di laksanakan oleh pihak kerajaan," kata Suhaizan. Mengulas insiden itu juga, Suhaizan berkata perbuatan kumpulan Umno Skudai Kiri sangat memalukan rakyat Negeri Johor. Kedudukan Skudai Kiri yang berada di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) seharusnya memiliki pemikiran yang terbuka. "80 % rakyat di Negeri Johor bersikap terbuka hanya tinggal 20% lagi yang kurang bernasib baik kerana berfikiran 20 tahun kebelakang. "Pihak Umno Bahagian Pulai yang diketuai oleh Datuk Nurjazlan Mohammad seharusnya memimpin Umno Skudai kiri keluar daripada pemikiran yang jumud dan tidak sealiran dengan perkembangan semasa khususnya di Johor Bahru," kata Suhaizan. Harakah Daily |
Bersih 3.0: Jangan cenderung kezaliman BN Posted: 27 Apr 2012 12:41 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 27 April: Rakyat Malaysia termasuk umat Islam dinasihatkan jangan bersekongkol dengan pemerintah-pemerintah yang zalim yang telah melakukan banyak penyelewengan seperti Barisan Nasional. Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Razali (gambar) berkata, pelbagai penyelewengan pengurusan harta negara oleh pentadbiran negara yang dipimpin oleh Barisan Nasional telah diserlahkan menerusi Laporan Audit Negara 2010 yang lalu sehingga melibatkan pelbagai ketirisan dana negara. Jelasnya, Al-Quran memperingatkan di dalam surah Hud, ayat 113 yang bermaksud: Dan janganlah kamu cenderung hati bersama orang-orang yang zalim, pasti kamu disentuh api neraka. Katanya, antara kezaliman yang berlaku juga ialah apabila Pilihan raya Umum untuk memilih pemerintah tidak dijalankan secara telus dan adil. "Kegagalan melaksanakan pilihan raya secara adil dan bersih merupakan satu kezaliman pemerintah terhadap hak-hak rakyat untuk memilih pemimpin yang baik dan beramanah," ujarnya kepada Harakahdaily. Beliau menambah, penggunaan institusi kerajaan untuk membantu kempen parti politik pemerintah yang berlaku sejak sekian lama adalah kezaliman terhadap hak rakyat Malaysia yang terdiri daripada kalangan penyokong pemerintah dan pembangkang. Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk umat Islam hadir beramai-ramai dalam Himpunan Bersih 3.0, esok untuk bersama-sama memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman. Khairuddin menegaskan, hak berhimpun menyatakan pandangan adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dijamin oleh perlembagaan. "Islam juga menggesa umatnya menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim dan mengkategorikannya sebagai salah satu jihad menggunakan lidah," ujarnya lagi. Ini, jelasnya sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada orang awam. Ketahuilah jangan sampai kehebatan manusia menghalang seseorang menyatakan kebenaran apabila dia mengetahuinya. Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik Jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim." (Hadis riwayat Ahmad) Harakah Daily |
Simbah cat pada banner dikecam Posted: 27 Apr 2012 12:39 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LANGAT: Perbuatan menyimbah cat billboard dan banner para pemimpin dan wakil rakyat kerajaan negeri Selangor dikecam pimpinan Pakatan Rakyat Kuala Langat. MP Kuala Langat Abdullah Sani berkata, pemimpin Pakatan Rakyat Kuala Langat mengecam tindakan menyimbah cat pada billboard dan banner program Kerajaan Selangor dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan bacul saat menjelang pilihanraya. (Antara banner yang disimbah cat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab) "Perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini jelas menunjukan sikap tidak bermoral kerana menyimbah cat ke billboard dan banner program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor," kata Abdullah. Tambahnya lagi, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dalam menghadapi provokasi sebegini dan beliau percaya rakyat sedang memerhati dan boleh menilai dengan bijak. "Situasi ini jelas menunjukkan kebaculan pihak tertentu sebelum bertarung di gelanggang sebenar lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya. Papan iklan disimbah cat kemudian diletakkan longgokan sampah dibawahnya," ujarnya. Sementara itu, ADUN Telok Datuk, Philip Tan Choon Swee pula terkejut apabila dihubungi orang awam berhubung kejadian ini dan beliau terus memaklumkan perkara ini kepada MDKL. Kata Datuk Philip, bilboard disana diletakkan hampir setengah tahun lalu sehingga sekarang. "Kita tidak tahu siapa buat dan ini merupakan cara yang tidak baik. Saya terkejut dan kesal apabila dimaklumkan perkara ini," katanya. Beliau menambah, Pakatan Rakyat telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Langat semalam. Ahli Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) Abdul Rahman Amir menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tindakan tidak bermoral dan pengecut. "Kalau mereka nak tunjuk belang dan hebat, bersemuka adalah lebih baik, bukan bertindak begini. Kemungkinan perbuatan kotor begini dijalankan pada waktu malam," jelas Rahman. Beliau juga tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat tersebut berasaskan pemikiran politik sempit namun beliau tidak mengesyaki mana-mana pihak. "Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan berharap ianya tidak berulang kembali kerana ia menjejaskan imej awam selain melibatkan penggunaan dana rakyat," ujar Rahman. Tinjauan wartawan Harakahdaily di sekitar jalan utama menghala ke Banting mendapati, beberapa papan iklan disimbah cat bewarna merah dan kuning terutamanya pada gambar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Kuala Langat Abdullah Sani dan ADUN Telok Datok, Philip Tan Choon Swee. Selain itu, terdapat kawasan lain juga menjadi sasaran ialah di persimpangan Morib, berhampiran lampu isyarat sekitar Jenjarum, persimpangan Sungai Manggis dan kawasan hadapan bangunan Majlis Daerah Kuala Langat. Harakah Daily |
Bersih 3.0: PR Perak turun dengan 50,000 ahli Posted: 27 Apr 2012 12:36 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - IPOH: Pakatan Rakyat Perak akan menghantar semaksima mungkin ahlinya untuk menyertai perhimpunan Bersih 3.0 esok. Pengerusi Sekreteriat Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, lebih 50,000 ahli terdiri daripada seluruh kawasan di negeri ini akan bersama-sama berhimpun bagi menyatakan sokongan yang padu kepada tuntutuan Bersih. "Kita akan tetap turun walaupun mendapat maklumat bahawa ketika ini setiap jalan menuju ke Kuala Lumpur kini mempunyai sekatan. "Di mana kami berhenti semaksima, disitu kita akan 'duduk bantah' ," katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini. Menurutnya, himpunan ini bukan untuk mencetuskan suasana tidak tenteram di Negara ini tetapi ianya bertujuan untuk mendesak kerajaan dan SPR merealisasikan 8 tuntutan Bersih yang masih belum dipenuhi. Mohammad Nizar berkata, ketika ini rakyat sudah tidak lagi mempercayai sistem pilihanraya kerana pelbagai kepincangan dan ketidak adilan yang berlaku. Menurutnya, Bersih dengan kerjasama Pakatan Rakyat juga akan berhimpun di Padang Polo, Ipoh Perak pada hari dan masa yang sama. "Kepada sesiapa yang tidak berkesempatan untuk turun ke Kuala Lumpur, mereka boleh bersama-sama menyatakan sokongan terhadap tuntutan Bersih di Padang Polo, Ipoh," jelasnya. Sementara itu, pihak Harakahdaily mendapat makluman bahawa terdapat banyak poster-poster fitnah ditampal di masjid-masjid sekitar bandar Ipoh. Poster tersebut menyatakan sesiapa yang ingin pergi ke himpunan Bersih di Kuala Lumpur, bolehlah mengambil wang daripada Mohammad Nizar di Pejabat PAS Perak malam ini dan mantan menteri besar itu menafikan sekeras-kerasnya tentang pemberian wang tersebut. Hadir Sama dalam sidang media tersebut ialah Pengerusi DAP Negeri, Dato' Ngeh Koo Ham; Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Dr Mohd Nur Manuty dan Adun-Adun serta pimpinan Pakatan Rakyat Perak. Harakah Daily |
Adakah SPR tidak sedar telah khianati negara? Posted: 27 Apr 2012 12:34 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Jika pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ingat dan tidak tahu mereka menjadi ahli Umno, tentu mereka juga tidak tahu sama ada mereka terlibat atau tidak dalam konspirasi mengkhianati negara. Demikian kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mengulas laporan pemimpin kanan SPR adalah ahli Umno. "(Pengerusi SPR), Tan Sri Abdul Aziz (Mohd Yusof) dan (timbalannya) Datuk Wan Ahmad (Wan Omar) kata mereka tidak ingat dan tidak tahu mereka menjadi ahli Umno. "Jika hal yang sangat mudah seperti itu pun tidak tahu dan tidak ingat, tentulah mereka tidak ingat dan tidak tahu sama ada mereka terlibat atau tidak di dalam konspirasi sulit mengkhianati negara dan Yang di-Pertuan Agong dengan membawa warga asing menjadi pengundi haram di negara ini," kata beliau. Mahfuz juga menuntut kedua-duanya meletak jawatan dengan serta merta kerana pengakuan mereka itu menyebabkan mereka hilang kelayakan untuk memegang jawatan mereka kini. "Mereka tidak sedar mereka menjadi ahli Umno. Kalau hal diri sendiri pun tak sedar, keupayaan mereka untuk menyedari benda yang besar-besar langsung tidak boleh diharapkan sama sekali. "Tidak sedar bermakna tidak layak sama sekali. Mereka mesti letak jawatan serta merta kerana jika tidak, negara ini menanggung risiko yang mengerikan kerana orang-orang yang tidak sedar serta tidak ada keupayaan untuk ingat dan tahu itu memegang jawatan yang penting," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Mahfuz tidak yakin Pengerusi SPR dan timbalannya itu tahu, ingat dan sedar mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memutuskan terdapat pengundi hantu dalam daftar pemilih ketika membuat keputusan mengenai pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri Likas. "Dan ketika pelbagai bukti dikemukakan, termasuk yang bertulis dan terang-terangan, tidak boleh dipercayai sama sekali bahawa mereka tahu, ingat dan sedar bahawa di dalam daftar pemilih sekarang masih terdapat pengundi hantu atau warga asing yang menjadi pengundi setelah mendapat mendapat kad pengenalan melalui konspirasi mengkhianati negara. "Oleh kerana mereka memegang jawatan yang sangat berkait rapat dengan masa depan dan pemerintahan negara, mereka boleh dilihat sangat berbahaya disebabkan sifat tidak sedar, tidak ingat dan tidak tahu itu. "Sekali lagi saya nyatakan bahawa mereka mesti meletak jawatan," tegasnya. Ketika ditanya mengenai keahliannya di dalam Umno, Abdul Aziz berkata beliau "tidak ingat langsung bila dan di mana saya pernah menjadi ahli Umno". "Memang saya tidak tahu di mana," katanya lagi. Wan Ahmad juga berkata beliau tidak ingat bila dan cawangan mana beliau menjadi ahli Umno. Keahlian mereka di dalam Umno didedahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution. Ahli Parlimen Machang itu juga menuntut Abdul Aziz dan Wan Ahmad meletakkan jawatan mereka di dalam SPR ekoran pengakuan bahawa mereka adalah ahli Umno. Harakah Daily |
Bersih 3.0: Suaram sedia pasukan khas Posted: 27 Apr 2012 12:30 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Badan Hak Asasi Manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan menempatkan pasukannya di beberapa lokasi yang dijangka menjadi tempat berkumpul peserta perhimpunan Bersih 3.0 esok. Pasukan itu akan membantu sekiranya ada individu yang ditahan polis. Berikut merupakan lokasi, nama dan nombor yang boleh dihubungi sekiranya ada peserta yang ditahan polis atau pihak berkuasa. 1. Central Market -Nalini Elumalai: 019-3043159 -Sarah: 018 3181179 2. Masjid Negara -Syukri: 011-15542640 3. Jalan Sultan -Maisarah: 012-2187476 4. Masjid India -Andika: 016-2247255 5. Brickfields -Theva: 013-3845740 6. KLCC -Hasbee: 014-9254010 Manakala nombor telefon pejabat Suaram ialah 03-7784 3525 (Diane). Orang ramai hanya perlu menghantar sistem pesanan ringkas (sms) dengan menaip nama, no kad pengenalan atau pasport serta balai polis di mana individu tersebut dibawa atau ditahan. Suaram juga mengingatkan peserta "Duduk Bantah" agar tidka panik jika ditahan polis atau penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Apa yang harus dilakukan hanya bertenang dan terus menghubungi pihak Suaram. Harakah Daily |
Yakin rampas Selangor guna warga asing? Posted: 27 Apr 2012 12:28 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkeyakinan merampas Selangor pada pilihan raya umum ke-13 mungkin berdasarkan usaha memanipulasi daftar pemilih di negeri itu. Jika tiada usaha tersebut, sudah tentu Tengku Adnan tidak berani mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa, lebih-lebih lagi ketika rakyat Selangor selesa dengan suasana harmoni di negeri itu, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Shamsuddin. Beliau mendakwa manipulasi daftar pemilih oleh pihak BN dalam usaha menawan Selangor itu boleh dilihat berdasarkan pertambahan pengundi yang lebih 90 peratus berkemungkinan bukan pemastautin di negeri itu. "Keyakinan Tengku Adnan itu berdasarkan bagaimana mereka memanipulasikan daftar pemilih sepanjang 2010 hingga 2011 dengan pertambahan pengundi yang bukan pemastautin di Selangor, yang menyebabkan pertambahan begitu besar," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily. Dakwa beliau, sekiranya di kawasan PAS atau Pakatan Rakyat yang menang dengan jumlah majoriti sebanyak 2000, maka BN akan membawa masuk sebanyak 4000 pengundi baru, yang dapat dibuktikan mereka bukan pemastautin di kawasan tersebut. Ketika ditanya, adakah pertambahan pengundi tersebut membabitkan warganegara asing, Jaafar yang juga Pengerusi Audit Daftar Pemilih Negeri Selangor itu tidak menolak kemungkinan tersebut. "Memang itu di antara beberapa nama yang menunjukkan beberapa kepelikan. Nampak ganjil, yang jelas menunjukkan bukan orang Malaysia. Kita sudah ada bukti dan dokumen- dokumen yang menyokong dakwaan tersebut," kata beliau. Sebelum ini, Tengku Adnan menyatakan keyakinan bahawa parti Melayu terbesar itu mampu merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13. Harakah Daily |
Posted: 27 Apr 2012 12:25 AM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LIPIS - Sepasang suami isteri di Kampung Redan, di sini, berhadapan detik mencemaskan apabila rumah mereka dilanda ribut, petang kelmarin. Mangsa, Keng Hock Kee, 77, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam dan ketika itu dia bersama isteri, Lim Hin, 67, baru selesai makan malam. Menurutnya, semasa ingin menutup pintu dapur, angin kuat menolak pintu itu semula, selain melihat api dari dapur kayu bertukar menjadi besar akibat ditiup angin. "Dalam masa sama, saya dikejutkan dengan bunyi kuat sebanyak tiga kali dan terkejut apabila melihat atap zink di bahagian bumbung ruang tamu, dapur serta bilik tidur utama diterbangkan angin kencang," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Hock Kee berkata, hujan lebat terus mencurah masuk ke bahagian tengah rumahnya hingga menyebabkan peralatan elektrik rosak. "Kejadian ini berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat mengalihkan barangan elektrik seperti televisyen, radio dan seterika ke tempat lebih selamat. "Atap zink rumah ini diterbangkan angin sejauh 200 meter dan tersangkut di batang pokok getah berdekatan rumah kami," katanya. Trauma lihat atap terbang Sementara itu, Lim Hin berkata, bencana itu memberi kesan kepada mereka suami isteri kerana banyak kemusnahan berlaku dalam sekelip mata. Menurutnya, sejak menetap di kampung berkenaan sejak 29 tahun lalu, kejadian itu paling teruk pernah dialami mereka sekeluarga. "Selain mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan barangan elektrik, terdapat juga pokok buah-buahan yang ditanam di sekitar rumah musnah. "Saya juga seolah-olah trauma apabila melihat sendiri angin kencang menerbangkan atap rumah dan berharap bencana itu tidak berulang lagi," katanya. Anaknya, Kheng Bun Ann, 29, berkata, dia terkejut melihat keadaan rumah keluarganya yang hampir musnah akibat kejadian ribut itu. "Saya menerima panggilan telefon daripada ayah kira-kira jam 8.30 malam memaklumkan sebahagian rumahnya musnah akibat dilanda ribut dan hujan lebat. "Saya tinggal di Kedah terus bergegas pulang ke kampung dan terkejut melihat keadaan rumah ibu bapa saya," katanya. Bagaimanapun dia bersyukur kedua ibu bapanya tidak mengalami sebarang kecederaan. Hulur sumbangan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Badrul Hisam Md Yassin berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan dari Tabung Malapetaka Daerah Lipis sebanyak RM1,000 kepada keluarga mangsa. Menurutnya, sejurus menerima maklumat, wakil JKM datang meninjau untuk mengenal pasti jumlah kasar kerosakan yang dialami keluarga Hock Kee. "Kami menganggarkan jumlah kerosakan melebihi RM5,000. Dengan sedikit bantuan kewangan diharap dapat mengurangkan beban keluarga ini untuk membeli barangan keperluan yang kebanyakannya telah musnah akibat kejadian itu," katanya. Sinar Harian |
Penceroboh cedera dilibas golok Posted: 26 Apr 2012 07:44 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki berusia 30-an cedera di kepala akibat dilibas dengan golok ketika cuba memecah masuk rumah jirannya dalam satu kejadian di Kampung Serdang, Dungun, awal pagi kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 pagi apabila adik kepada pemilik rumah terbabit tersedar daripada tidur dan ternampak bayangan seseorang yang cuba menceroboh masuk rumah mereka. "Tuan rumah berusia 21 tahun itu bersama adiknya, 16, secara senyap-senyap keluar dari rumah dan terserempak dengan seorang lelaki dikenali, sedang merayau-rayau di kawasan rumah mereka. "Terkejut bila tahu kehadirannya disedari, suspek terus melarikan diri, namun dua beradik itu mengejar suspek dan berlaku pergelutan di antara mereka bertiga," katanya, semalam. Menurut Manoharan, semasa pergelutan itu, suspek cuba mengacukan senapang angin yang dibawanya kepada tuan rumah kononnya sebagai ugutan bagi menyelamatkan diri. "Namun, tuan rumah tidak berputus asa, dalam diam-diam, dia mencapai sebilah golok yang diletakkan berhampiran pintu rumahnya lalu cuba mengacukan kepada suspek dengan niat untuk menakutkannya. "Bagaimanapun, suspek cuba melawan dan semasa pergelutan itulah, suspek terkena libasan golok oleh tuan rumah," katanya. Menurutnya, suspek yang turut mengalami kecederaan di bahagian bahu dan belakang badan diikat oleh tuan rumah lalu diserahkan kepada polis bersama senapang angin milik suspek. Suspek kini ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1960. Sinar Harian |
Pisang berbuah di tengah batang Posted: 26 Apr 2012 07:42 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - GUA MUSANG - Pelik tetapi benar, itulah yang berlaku ke atas sepohon pisang ditanam seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Chiku, 6, dekat sini, yang mengeluarkan setandan buah di tengah batang. Husin Yaacob, 52, berkata, pisang jenis kebatu yang ditanam dicelah pokok salak berhampiran rumahnya sejak tiga tahun lalu tidak sangka mengeluarkan buah di tengah batang yang belum pernah dilihat sebelum ini. Katanya, beliau menyedari keanehan pohon pisang itu akhir bulan lalu ketika sedang mencuci kawasan tanaman salah dan pisang tersebut bersama isteri dan anak-anak. "Apabila saya ternampak sepohon pisang kebatu itu berbuah di tengah batang, lalu memberitahu jiran-jiran mengenai keanehan kejadian Tuhan hingga ramai yang datang melihatnya," katanya. Menurut Husin, walaupun buah pisang yang keluar itu masih kecil, tetapi dianggap ganjil yang perlu dibiarkan begitu sahaja untuk tontonan orang ramai. Beliau berkata, dia juga tidak berniat untuk menebang pisang tersebut walaupun buahnya tua kerana tidak tergamak untuk makan berikutan kejadian aneh itu yang tidak pernah dilihat selama ini. Sinar Harian |
Posted: 26 Apr 2012 07:40 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PASIR MAS – Peristiwa hitam ketika dipaksa membina landasan kereta api Thailand-Burma, sentiasa menjadi cerita kepada anak-anak, puluhan tahun lalu. Anak bekas buruh paksa, Zainuddin Mustafa, 42, berkata, bapanya, Ismail Hamat, 88, selalu menceritakan kesengsaraan, yang ditanggung ketika membina landasan kereta api maut, pada 1942-1946 lalu. Menurutnya, bapanya sering dipukul tanpa belas ihsan, malah ada rakannya mati akibat kecederaan teruk selepas dibelasah tentera Jepun ketika itu. "Apa sahaja yang ada di sekeliling tentera musuh akan digunakan untuk memukul pekerja buruh paksa. "Kayu, besi atau batu, diguna untuk menyeksa buruh, bagi menunjukkan kekuasaan yang tentera Jepun ketika itu," katanya semalam. Zainuddin berkata, ketika bercerita, bapa pasti berasa murung dan sedih setiap kali mengingati peristiwa hitam itu. Disebabkan itu katanya, anak-anak jarang memintanya bercerita peristiwa yang berlaku ke atas bapa dan rakan-rakan sekampung yang lain. Menurutnya, bapa juga tidak terkecuali daripada memakan daging manusia, kerana ketika itu, sumber makanan terlalu terhad. "Tentera Jepun tidak pernah peka dengan adab pemakanan halal yang diutamakan orang Islam. "Bagi mereka, apa yang mereka makan, juga akan dihidang kepada pekerja buruh binaan," katanya semalam. Zainuddin berharap, kerajaan dapat menyumbangkan pampasan di atas kesulitan yang dihadapi oleh bapa dan bekas buruh paksa yang lain, agar pengorbanan mereka dihargai dan menjadi kenangan cucu dan cicit mereka di masa depan. Sinar Harian |
Isteri bukti kasih, jamin suami ugut bunuh Posted: 26 Apr 2012 07:38 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KOTA BHARU – Seorang isteri membuktikan kasihnya apabila sanggup menjadi penjamin kepada suami yang didakwa mengugut untuk memukulnya sehingga mati dalam kejadian di sini, 17 April lalu. Malah, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut berhasrat untuk menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap, Haris Bidi, 38. Haris bagaimanapun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut Emmy Zuliawaty Mohamad, 31. Dalam kejadian jam 11.30 pagi di Kampung Kok Pasir, Jalan Pengkalan Chepa itu, tertuduh didakwa membaling cawan air dan ugut untuk memukul mangsa sehingga mati. Selain itu, dia juga gagal mengemukakan kad pengenalan ketika pemeriksaan. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah pada kedua-dua tuduhan itu. Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah yang mengendalikan kes menawar jaminan RM4,000 terhadap tertuduh. Dia melalui peguam bela, Nor Hamizah Abdul Hamid, memohon jaminan itu dikurangkan berikutan Emmy Zuliawaty, seorang kakitangan awam itu sendiri akan menjamin Haris yang tidak bekerja. "Saya mohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana Emmy Zuliawaty terpaksa menanggung perbelanjaan tiga anaknya, ditambah pula dengan perselisihan faham yang hanya berlaku ketika itu saja," katanya. Susulan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly membenarkan ikat jamin RM3,000 sementara Nor Hamizah diarah mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan sama ada untuk terus mendakwa tertuduh atau tidak. Kes disambung 27 Mei depan. Sinar Harian |
Buruh binaan maut dihempap besi Posted: 26 Apr 2012 07:34 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut dihempap palang besi di tempat kerjanya di Jalan Sungai Besi, kelmarin. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, palang mengikat besi itu dipercayai patah dan beralih daripada kedudukan asal sehingga mengakibatkan ribuan palang besi menghempap mangsa, Ramij Miah, 26, jam 8.50 pagi. Sinar Harian |
PAS Perlis lapor SPRM kos persembahan Gema Cahaya Posted: 26 Apr 2012 07:13 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KANGAR, 27 April: PAS Perlis membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kesangsian peruntukan yang bakal dibelanjakan untuk program persembahan Gema Cahaya sempena perasmian sukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia di Kangar, Mei depan. Laporan tersebut dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Rus'sele Eizan semalam dengan menyerahkan dokumen pelaksanaan projek tersebut di pejabat SPRM Perlis, di sini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat ditemani Setiausaha Perhubungan PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman membuat laporan ekoran kesangsian yang terdapat dalam peruntukan yang bakal digunakan itu yang didakwa menggunakan peruntukan daripada wang pelajar sekolah untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup, Seni dan wang asrama. Menurutnya, tiada arahan rasmi daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis berkaitan penggunaan wang itu. Persembahan Gema Cahaya dijangka membabitkan lebih 14,000 orang pelajar dari seluruh negeri Perlis yang bakal mempersembahkan pukulan kakkung (yang diperbuat dari buluh) dan gendang yang diperbuat daripada tong sampah yang dibalut kain. "Apa yang kita pertikaikan di sini ialah peruntukan itu digunakan secara tidak betul dari peruntukan wang untuk pelajar sekolah. Saya dah bangkitkan perkara ini pada Sidang Dun Perlis kelmarin. Jawapan kerajaan amat tidak memuaskan kerana disebut pembabitan pelajar ini adalah untuk memberikan markah kepada mereka. "Maklumat yang kita perolehi, kakkung dan gendang yang digunakan bukan dibuat oleh pelajar tapi diswastakan dengan kos keseluruhan melebihi RM200 ribu," jelasnya. Kata Rus'ele lagi, beliau meminta SPRM menyiasat mengapa wang dari peruntukan pelajar digunakan sedangkan kerajaan boleh mencari peruntukan untuk program tersebut. "Kita tak kisah kalau pembabitan pelajar ini kerana nak cipta rekod untuk Malaysia Book of Records, tapi yang kita pertikaikan ialah peruntukan besar yang digunakan. Itu belum masuk lagi perbelanjaan makan dan pengangkutan pelajar-pelajar ini lagi untuk dibawa ke stadium nanti. "Kita jangkakan semuanya boleh mencecah hampir RM400,000. Jadi kita harap perkara ini dapat disiasat sebaiknya oleh SPRM," jelasnya. Harakah Daily |
Sekeliling Dataran Merdeka dipagar pagi ini Posted: 26 Apr 2012 07:12 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 27 April: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula menutup sekeliling Dataran Merdeka bermula jam empat pagi tadi. Menurut Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, kira-kira 30 mahasiswa termasuk orang awam lain yang berada di padang dihalau keluar oleh penguatkuasa DBKL sebelum sekeliling padang diletakkan pagar besi dan penghadang. "Kami cakap pada DBKL, notis mengosongkan Dataran Merdeka jam enam pagi, kenapa jam empat pagi dah halau. Kami kata, kami cuma duduk, tak buat apa-apa pun. Tapi DBKL minta kami keluar juga," katanya kepada Harakahdaily. Selepas dihalau keluar, mereka berkumpul dan meletakkan barang-barang di seberang jalan, bersebelahan Bangunan Sultan Abdul Samad. Mereka merupakan sebahagian daripada mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka bagi menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) dan pendidikan percuma sejak 14 April lalu. Mereka bertekad untuk kekal di Dataran Merdeka sehingga perhimpunan Bersih 3.0, esok. Bagaimanapun DBKL semalam mengeluarkan kenyataan akan menutup Dataran Merdeka bermula jam enam pagi ini sehingga enam pagi Ahad daripada sebarang aktiviti. Penutupan itu dibuat selepas DBKL mengeluarkan kenyataan melarang Gabungan Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan "Duduk Bantah" di Dataran Merdeka. Tinjauan Harakahdaily pagi ini mendapati, sebanyak tiga buah lori DBKL dan beberapa buah kereta polis berada di tepi jalan. Manakala belasan anggota DBKL kelihatan mengawal keadaan sekitar. Menurut Safwan juga, mahasiswa akan berada di sekitar Dataran Merdeka sehingga esok. Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dalam satu kenyataan semalam memberitahu akan menutup sementara Dataran Merdeka dan kesemua laluan ke kawasan itu berkuatkuasa 6 pagi ini sehingga 6 pagi Ahad. Harakah Daily |
Semua guru di Pekan dipaksa jadi mata-mata Umno Posted: 26 Apr 2012 07:01 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PEKAN: Umno Pekan dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) telah memaksa semua guru-guru di daerah ini agar menjadi mata dan telinga Umno. Mereka juga telah dipaksa menyertai satu taklimat Umno yang dalam surat panggilannya dinamakan program wacana ilmu. "Kami dipanggil dan diarahkan supaya menjadi mata dan telinga PPD dan Umno serta membuat laporan dan penilaian guru-guru di sekolah masing-masing. "Kami diminta supaya mengklaskan setiap guru samada hitam (sokong pembangkang) atau puteh (sokong BN)," beritahu satu sumber kepada Harakahdaily. Para guru ini, katanya, juga akan diberikan tugas sewaktu pilihan raya nanti. "Dahlah dipanggil waktu sekolah, tinggalkan sekolah dan anak murid semata-mata kerana nak jaga kepentingan Umno. "Dulu mereka hantar surat ke sekolah, kini kami lantik supaya menjadi mata-mata Umno pula," sungut sumber itu. Menurut beliau, sepanjang taklimat itu, satu video ditunjukkan bagi menunjukkan jahat dan buruknya Pakatan Rakyat ini. Di samping itu, setiap guru diberikan sebuah buku bertajuk 'PAS BUKAN PARTI ISLAM'. (gambar atas) Tidak cukup dengan itu, pada pada 12 Mei ini, semua guru-guru daerah Pekan akan diwajibkan hadir ke dewan Konvesyen Umno Pekan utk mendengar ceramah dari JASA pula. Harakah Daily |
Bersih 3.0: Cerita yang mesti dibaca Posted: 26 Apr 2012 07:00 PM PDT 5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - Ini hanya cerita rekaan.... Situasi 1: Ada sebuah rumah terbakar. Rumah terbakar tu ada manusia. Tidak pasti agamanya apa, amalannya apa, bangsanya apa. Seorang bukan Islam bergegas cuba menyelamatkan mereka dan memadam api. Dia menjerit-jerit suruh orang ramai datang bersama selamatkan orang. Orang ramai pun datang, dia bagaikan ketua, sambil mengarah dan merisikokan nyawa utk menyelamatkan mereka yang terperangkap. Tiba-tiba ada seorang Muslim yang berfahaman asabiah datang : "Mengapa kamu semua terlibat dalam misi menyelamat yang diketuai oleh seorang yang minum arak? Tahukah siapa yang kamu hendak selamatkan? Mereka mungkin bukan orang kita...." Seorang yang Muslim yang faham agama berkata : "Selamatkan orang dulu. Manusia yang terperangkap itu ciptaan Allah juga. Matlamat kita membantu di sini untuk menyelamatkan nyawa, bukan bersama untuk menyokong orang minum arak? Apa gunanya orang yang tidak minum arak tapi tidak tahu membantu orang yang dalam kesusahan?" Situasi 2: Ada satu perlawanan bola, antara dua pasukan, team A dan team B. Team A adalah campuran antara orang Islam (majoriti) dan bukan Islam. Team B adalah orang Islam. Selama 4 dekad, team A yang kaya dan selalu menang - walaupun diketuai orang Islam, mereka sanggup menang dengan cara merasuah pengadil, menindas team B dengan menghalang peruntukan yang sepatutnya sampai ke team B, yang semuanya Islam. Walaupun tewas, miskin, team B tetap wujud tetap melawan team A. Selama ini, penonton ditindas kerana membeli tiket menyaksikan perlawanan bola sepak berat sebelah yang memihak pada team A. Team B sedar, bahawa ia perlukan bantuan utk menewaskan team A yang bermain secara kotor. Team B mula bergabung dengan pihak lain termasuk bukan Islam dan bekas pemain team A yang turut inginkan satu perlawanan yang adil untuk melawan team A. Team A mula mengalami kekalahan, dulu daripada 14 perlawanan, team A tewas satu. Kini, team A kalah 5 daripada 14 perlawanan kpd team B walaupun dengan penipuan. Orang yang berfahaman asabiah penyokong team A berkata: "Mengapa team B sanggup bekerjasama dengan orang bukan Islam utk mengalahkan team A yang diketuai orang Islam. Mengapa team B tak nak bekerjasama dengan team A? Jika team B bekerjasama dengan team A, makan orang bukan Islam dalam team B tak boleh menang." Orang ini terlupa bahawa walhal dalam team A, selama 4 dekad, mereka bekerjasama dengan orang bukan Islam untuk menang team B dengan cara kotor. Orang yang betul memahami agama pula berkata: "Kita bekerjasama atas sifat tahaluf siyasi - utk menentang ketidakadilan, ketidaksamaan dan kezaliman team A utk kekal kemenangan. Penonton selama ini ditindas, kerana mereka sebagai pembeli tiket tidak dapat menyaksikan satu pertandingan adil selama ini. Bukan soal menang atau kalah, soalnya ialah penonton mesti dapat melihat dua pasukan yang sama kuat bersaing dengan adil utk memajukan sukan bola utk negara. Masa team A menang 4 dekad, tak terfikir pun nak bergabung dengan team B. Bergabung antara team A dan team B pula tidak betul, kerana team B yang mempertahankan prinsip keadilan selama ini akan bersekongkol dengan team A yang ingin menang dengan cara yang kotor. Takkan team B nak bersekongkol dengan orang yang menindas. Bila team A mula menang balik, apakah mereka masih perlukan team B? Team B hanyalah sekadar utk menghilangkan saingan pd team A supaya team A boleh kekal juara." Kini, wujud pula satu kumpulan C, yang cuba menghalau pengadil yang dibeli. Seperti situasi 1, team A yang ingin mempertahankan pengadilnya, menuduh team B bersekongkol dengan team C yang diketuai bangsa dan amalan berlainan utk menindas team A. Bagaimanakah misi menukarkan pengadil, memastikan perlawanan bola lebih adil boleh dilihat sebagai satu tindakan menindas dan mencabar team A? ---------------------------------------------------------------------------------- Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat. Harakah Daily |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan