Jumaat, 20 April 2012

.

.


Keranda simbolik bantah Lynas

Posted: 20 Apr 2012 07:15 AM PDT

Nik Amirulmu'Min Nik Min
20 April 2012
Dr Pua (dua dari kiri) bersama peserta demonstrasi bertafakur selama dua minit manakala tiga keranda
KUANTAN - Kira-kira 30 anggota kumpulan anti Lynas berkumpul sambil membawa sepanduk dan tiga keranda bertutup kain hitam di persimpangan masuk ke tapak kilang pemprosesan nadir bumi milik Lynas Corporation, Gebeng dekat sini sebagai tanda protes mereka terhadap projek itu , semalam.
 
Protes secara aman bermula kira-kira jam 1.45 tengah hari itu diadakan sempena lawatan media jemputan khas Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) bagi mengikuti Taklimat Mingguan Media Lynas di tapak projek itu.
 
Cuaca panas terik tidak menghalang kumpulan terbabit berkumpul bagi menyatakan pendirian mereka mendesak kerajaan supaya menghentikan projek kontroversi itu yang didakwa berisiko tinggi dan mengancam kesihatan serta kehidupan penduduk Kuantan khususnya.
 
Ahli Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau 3.0, Dr Pua Kia Yaw berkata, kerajaan tidak sepatutnya terlalu memberi keutamaan atas kepentingan korporat dan politik dalam isu Lynas sehingga mengorbankan masa depan rakyat.
 
Menurutnya, operasi kilang itu bakal mendedahkan penduduk Kuantan khususnya di sekitar Balok terhadap pencemaran sisa buangan pepejal, gas berbahaya dalam udara dan pencemaran air daripada logam berat yang terhasil daripada kilang tersebut.
 
"Pendirian kita jelas dan tetap tidak berganjak untuk melihat projek ini dihentikan," katanya.
 
Dia berkata, tiga keranda termasuk yang bersaiz kanak-kanak itu menjadi simbolik kebimbangan mereka terhadap bahaya projek tersebut yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk.
 
"Keuntungan besar daripada projek ini tidak membawa sebarang makna kerana penduduk yang akan menjadi korban," katanya.
 
Sementara itu, Naib Pengerusi Gabungan Henti Lynas (SLC), Sim Chon Siang berkata, pihaknya tidak akan berhenti mendesak kerajaan supaya menghentikan projek tersebut demi kepentingan penduduk Kuantan.
 
Menurutnya, demonstrasi aman yang berlangsung selama hampir dua jam itu bertujuan untuk menyatakan pandangan mereka menolak projek tersebut.
 
"Kita tetap menolak projek ini walaupun ada pihak tertentu mendakwa projek ini selamat," katanya.
 
Anggota polis termasuk petugas bahagian trafik turut dikerahkan mengawal keadaan di lokasi itu bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/keranda-simbolik-bantah-lynas-1.41390?localLinksEnabled=false

‘Kenapa serang aktivis tuntut mansuh PTPTN'

Posted: 19 Apr 2012 10:09 AM PDT


Nasrudin Hassan
SHAH ALAM – Pemuda Pas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan samseng yang  bertindak mengacau dan merobohkan khemah kelompok mahasiswa yang berkampung di Dataran Merdeka menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung PendidikanTinggi Nasional (PTPTN).

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, tindakan samseng tersebut berjaya merobohkan khemah walaupun di kawasan terbuka seperti di Dataran Merdeka sebagai satu episod malang dalam iklim sosial negara kita.

"Saya tidak tahu apakah sentimen yang membuatkan samseng itu mengganas. Berkhemah di tempat terbuka pun tidak terlepas dari ancaman keganasan samseng, apatah lagi rakyat di ceruk kampung dan desa yang jauh dari balai polis," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya lagi, tindakan samseng tersebut juga boleh memberi gambaran buruk kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia tidak lagi selamat.

"Himpunan mahasiswa ini adalah aman. Mereka berkhemah dan duduk santai menyuarakan tuntutan mereka kepada awam amnya dan kepada kerajaan khasnya. Kenapa mereka mesti dilayan sedemikian rupa?

"Siapakah yang mengupah samseng ini? Atau mereka mahu menarik lebih ramai lagi mahasiswa berkampung dan berkhemah di Dataran Merdeka itu?" katanya.

Sabtu lalu, sekumpulan 300 mahasiswa berarak di ibu negara menuntut memansuhkan PTPTN dan mahukan pengajian percuma. Sejak hari itu mereka terus berkhemah di lokasi tersebut.

Kelompok mahasiswa ini juga akan terus berkhemah di situ sehingga 28 April iaitu hari Bersih 3.0 Duduk Bantah di lokasi yang sama.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/kenapa-serang-aktivis-tuntut-mansuh-ptptn-1.41358

Gambar Penjenayah Cium Tangan Hassan Ali......ya ke?

Posted: 19 Apr 2012 09:29 AM PDT

Seperti yang dijangka Umno yang terdesak dengan sekumpulan pelajar yang membuat keputusan nekad untuk berkhemah di Dataran Merdeka dalam protes mereka terhadap PTPTN dan tuntutan pendidikan percuma telah bertindak diluar norma biasa.

Regim takut menggunakan polis kerana pilihanraya yang terlalu hampir, kerana imej kekasaran polis terhadap kumpulan pelajar ini pasti akan memberi kesan besar terhadap undi rakyat. hanya DBKL digunakan malangnya DBKL tidak mampu berdepan semangat kental kumpulan pelajar ini yang walaupun beberapa kali 'diserbu' DBKL tetapi terus bertahan.

Kumpulan yang mulanya kecil mula membesar, ramai teman muda lain mula sama mendirikan khemah berkampung bersolidariti bersama menemani pelajar ini. Ramai yang tampil menyumbang. SAMM dalam kemampuan terhad turut hadir memberikan bantuan seperti tikar dan makanan sekadar termampu.

Kumpulan pelajar ini yang mula meraih perhatian dalam dan luar negara terus cuba diburukkan imej mereka sebagai alat politik pihak tertentu oleh media dan pemimpin regim. Namun mereka terus mendapat perhatian. Bukan sekadar itu pelajar ini juga telah berjaya menjawab kekeliruan yang cuba dibuat termasuk oleh Menteri, malah mereka sedia mencabar Menteri dan pimpinan parti politik penguasa regim untuk berdebat terbuka. Ini semua meletakkan regim dalam keadaan serba salah.

Mati akal dengan perkembangan ini semalam awal pagi tadi gangster telah digunakan oleh pihak yang tertekan untuk menyerang tapak perkhemahan pelajar tersebut. Dalam serangan itu ada yang cedera, barang - barang mereka dirosakkan dan diberitakan ada pelajar yang hilang diculik.

Penggunaan gangster ini menjadi taktik yang semakin biasa digunakan setelah kalah berhujah dan seperti biasa juga polis akan terus lambat bertindak. Dalam serangan di Dataran Merdeka, Polis yang berada di tempat kejadian dilaporkan olek saksi hanya memerhatikan sahaja kejadian.

Yakinlah seperti peristiwa lain termasuk serangan gangster secara fizikal dan bersifat perkauman masih belum ada tindakan walaupun ditampilkan bukti bergambar jelas. Malah lebih malang lagi kumpulan penyerang di Jalan Kebun dapat pula berada dalam majlis bersama PM baru - baru ini.

Ini semua juga taktik sama dengan beberapa regim di hujung usia. Perhatikanlah regim Mubarak ketika hujung usianya juga menggunakan gangster memukul dan menyerang demonstran dan kemudian bersembunyi disebalik hujah kononya serangan dibuat oleh rakyat yang marah. Percaya dan yakinlah begitu juga di sini pasti media akan memainkan hujah serupa kononya serangan oleh rakyat yang marah.

SAMM mencabar Umno supaya jangan bacul dan tampil bertanggungjawab terhadap kejadian serangan terhadap pelajar ini. Sepatutnya Umno tampil berhujah dengan kumpulan pelajar ini bukan menjawab dengan keganasan fizikal.

Dengan perkembangan ini SAMM menyeru seluruh anak muda supaya membuat pertimbangan terhadap kejadian ini dan menolak Umno dan Barisan Nasional yangs emakin hilang rasional mereka.

SAMM juga menyeru rakyat untuk tampil sama memberikan bantuan kepada teman - teman pelajar yang berjuang ke arah pendidikan percuma dalam negara. SAMM juga tidak menolak kemungkinan dengan perkembangan ini akan menyemarakkan lagi semangat rakyat untuk turun bersama dalam Himpunan BERSIH 28 April ini yang kebetulan akan diadakan dilokasi yangs ama , Dataran Merdeka. SAMM juga tidak menolak kemungkinan akan turut sama 'berkampung' bersama para pelajar ini kemudianya.

Sekian.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia
Ini penjenayah jalan kebun
Penjenayah yang melakukan serangan di Jalan Kebun ini terus bebas dan melakukan jenayah ini semula di Dataran Merdeka semalam
Siapakah yang sebenarnya bersekongkol dengan penjenayah?

Source: http://addin77.blogspot.com/2012/04/gambar-penjenayah-cium-tangan-hassan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+addin77+%28addin77%29&utm_content=FaceBook

Tiada ulasan:

Nuffnang