Rabu, 22 Februari 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Kenyataan Media - Isu Perobohan Kuil Sri Maha Mariamman Di Kota Warisan

Posted: 22 Feb 2012 04:33 AM PST

KENYATAAN MEDIA YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR
ISU PEROBOHAN KUIL SRI MAHA MARIAMMAN DI KOTA WARISAN

Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat berpegang teguh dengan prinsip dan dasar kepimpinan yang tidak meroboh sebarang tempat ibadat tanpa rundingan bersama dengan pihak-pihak yang terlibat dan berkepentingan. Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008 yang lepas, satu Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Selangor telah ditubuhkan dengan diwakili oleh semua ahli-ahli agama masing-masing.

Selaku EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam, saya memandang serius tindakan perobohan kuil tanpa rundingan dengan pihak-pihak berkaitan dan berkepentingan.

Pada pagi ini arahan menghentikan kerja-kerja merobohkan sebuah kuil Hindu iaitu Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak di Kota Warisan, daerah Sepang telah dibuat. Bagi memastikan isu sebenar perobohan kuil ini, saya serta pihak berkuasa Majlis Daerah Sepang akan hadir pada hari esok di kuil tersebut bagi menyiasat dan berbincang dengan pihak pemaju serta Ahli Jawatankuasa Kuil berkenaan.

Sementara siasatan dibuat, saya meminta supaya semua pihak bersabar serta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini. Didapati telah ada beberapa pihak yang cuba mensensasikan kes yang masih dalam siasatan ini untuk meraih sokongan politik. Sebarang kenyataan dan dakwaan tidak rasional yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum hasil siasatan diumumkan bukan sahaja dilihat berniat jahat malah boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam


22 Februari 2012

Kenyataan Media - Isu Air Di Selangor

Posted: 22 Feb 2012 12:00 AM PST

Saya  merujuk  kepada  keratan  akhbar  bertajuk  'Air Lombong Tak Selamat'  akhbar  Berita  Harian  pada  17 Februari  2012  yang lepas.

Kerajaan Negeri ingin menegaskan disini bahawa kita komited untuk mengunapakai sumber air mentah dari sumber air bawah tanah, bekas lombong, air hujan dan  sungai yang telah "dirawat" yang merupakan sumber air mentah yang banyak terdapat di negeri Selangor bagi menampung keperluan Rakyat Selangor .

Umum sudah sedia maklum bahawa usaha Kerajaan untuk mengunakan  air lombong dan sumber-sumber air yang lain perlu dirawat terlebih dahulu sebelum dijadikan 'air minum' (potable water) berdasarkan piawaian dan standard keselamatan dan kesihatan  di negara ini dibawah  Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan (ISO 22000:2005), Titik Kawalan Kritikal Analisis Bahaya (MS1480:2007) and Amalan Pembuatan Baik (MS 1514:2009).

Ia merupakan satu tohmahan yang berniat jahat (mala fide) dan sikap buruk sangka sesetengah pihak yang secara semberono  mengandaikan bahawa Kerajaan Negeri membekalkan air yang tidak selamat untuk diminum kepada rakyatnya.

Tambahan lagi, selain dari Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebuah agensi kerajaan negeri yang mengurus selia air mentah di Negeri Selangor, kita juga mempunyai agensi Kerajaan Pusat  seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Kesihatan yang juga memantau dan bertanggungjawab menjaga kepentingan dan keselamatan pengguna dalam mendapatkan bekalan air yang selamat untuk diminum.

Kita amat bersetuju dengan cadangan bahawa sebarang perbincangan berkaitan penggunaan air bekas lombong atau potensi penggunaan air dari sumber-sumber lain harus difokuskan kepada faktor kos dan manfaatnya.   

Professor Datuk Dr. Zaini Ujang menyentuh secara imbas  dengan mengatakan bahawa proses rawatan air lombong membabitkan kos yang besar sedangkan kita berpendapat bahawa ianya terlalu awal untuk bersetuju dengan beliau bilamana tidak terdapat sebarang kajian  terhadap  'cost-benefit  analysis' dibuat oleh mana-mana pihak sebelum ini.
 
Warga Selangor khasnya dan Rakyat Malaysia umumnya harus "di sedarkan"  bahawa Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) yang dipercayai bernilai RM8 Bilion adalah 'TERLAMPAU MAHAL' untuk ditanggung oleh Rakyat Malaysia.
 
Dari perspektif ekonomi, kita berpendapat bahawa Rakyat Selangor akan dibebankan untuk "membayar" harga air yang dibekalkan oleh Pahang disamping Kerajaan Negeri akan kehilangan hasil pendapatan (revenue) dari royalti air kerana tidak mengeluarkan sumber air mentah dari dalam negeri sendiri.

Kita sekali lagi ingin tegaskan di sini bahawa isu air ialah KEKURANGAN AIR TERAWAT dan bukannya SIMPANAN AIR, maka mengambil air dari Pahang yang menelan  RM8 Bilion tidak akan menyelesaikan masalah.

Kita seringkali mengingatkan kerajaan Persekutuan bahawa fokus sebenar ialah menaiktaraf infrastruktur loji sediada untuk meningkatkan kapasiti.

Kita juga ingin tegaskan lagi bahawa Kerajaan Selangor tidak mahu "diseret untuk terlibat sama" dalam komitmen Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek PPAMPS dimana ianya dilaporkan bahawa kerja-kerja membina terowong telah selesai dilaksanakan di sebelah negeri Pahang.

Dari sumber-sumber yang boleh dipercayai yang telah kita perolehi, kita dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang menghadapi 'tekanan hebat' dari pelabur Jepun untuk segera menyiapkan 'projek mega' tersebut kerana sebahagian besar dana dari pinjaman telah digunakan. 

Kerajaan Selangor berpendapat bahawa kos RM8 Bilion tersebut akan memberikan lebih manfaat dan tambah nilai sekira ianya di gunakan untuk pemulihan Sungai Klang yang merupakan sumber air mentah yang belum diterokai terbesar di Negeri Selangor.  

Dalam masa yang sama Kerajaan Selangor sedang menjalankan kerja-kerja pemulihan Sungai Klang untuk dijadikan sumber air mentah dalam masa terdekat.


Disediakan oleh:
Y.B Tuan Dr. Xavier Jayakumar
Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin

Tiada ulasan:

Nuffnang