Saya telah mengadakan mesyuarat dengan pihak Syabas dan wakil pemaju Taman Pandan Utama 2 pada hari ini di pejabat Syabas Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur mengenai pemotongan bekalan air di taman tersebut.
Pihak Syabas telah diketuai oleh Encik Sanusi Sulieman (Pengarah Eksekutif Bahagian Perancangan) dan Encik Kelvin Siew Weng Ho (Ketua Wilayah, Kuala Lumpur).
Pemaju pula, Sri Wijaya Sdn Bhd, Menara Nikmat Sdn Bhd dan Amal Mawar Sdn Bhd telah diwakili oleh Encik Tan Cheng Foo.
Pihak Syabas bersetuju untuk menyambung bekalan air esok pagi setelah pemaju menghantar kepada Syabas hari ini surat akujanji yang menyatakan mereka akan mengemukakan "Bank Guarantee" bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.
"Bank Guarantee" ini adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan.
Pada 20 Februari lepas, pemaju telah mengemukakan surat akujanji bahawa mereka akan menyiapkan kerja itu dalam masa yang ditetapkan itu.
Di antara kerja yang perlu disiapkan adalah pembinaan tangki air dan pemasangan paip.
Saya juga akan mengadakan rundingan dengan penduduk setinggan di atas tapak tangki air itu untuk memastikan tangki dapat dibina.
Mesyuarat hari ini adalah mesyuarat kedua membincang perkara tersebut.
Mesyuarat pertama telah diadakan pada 15 Februari lepas juga di pejabat Syabas.
Pada 20 Februari lepas pula saya telah mengadakan dialog bersama penduduk, Syabas dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Saya berharap pihak pemaju akan dapat mengotakan janji mereka untuk menghantar surat akujanji hari ini dan pihak Syabas akan menyambung bekalan secepat mungkin selepas menerima surat itu agar penderitaan penduduk akan berakhir.
Walau bagaimanapun adalah wajar pihak Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera di atas sebab-sebab kemanusian memandangkan persetujuan telah dicapai dan menunggu untuk dilaksanakan.
Buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan terdapat kemungkinan akan berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti ini berlarutan.
Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
Ahli Dewan Negeri Chempaka
22 Februari 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan