Rabu, 15 Februari 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor Jamin Tidak Berlaku Krisis Air 2014

Posted: 15 Feb 2012 01:00 AM PST

SHAH ALAM, 15 Feb: Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku krisis air menjelang 2014 seperti mana yang dihebahkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kesihatan, Pekerja, Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, krisis air yang dibangkitkan itu merupakan propaganda politik kerajaan Barisan Nasional.

"Ini adalah usaha BN untuk meracun pemikiran dan bertujuan menakut-nakut rakyat Selangor dalam usaha mereka untuk merampas kembali negeri ini.

"Kerajaan negeri berpendapat bahawa projek mega pemindahan air dari Pahang ke Negeri Selangor serta tindakan Syabas memaksa Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat (Langat 2) yang menelan berbilion-bilion ringgit itu tiada tujuan lain.

"Apa yang diketahui ia hanya bertujuan memberi kontrak dan habuan keuntungan kepada syarikat-syarikat kroni yang rapat kepada pemimpin-pemimpin BN," jelasnya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau menyatakan, Kerajaan Selangor dengan menggunakan teknologi rawatan air terkini telah mengenalpasti beberapa punca air yang telah dirawat dan boleh digunapakai bagi menampung keperluah rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Bagi menampung keperluan air kita akan mengambil air mentah dari bekas-bekas lombong yang banyak terdapat di seluruh negeri Selangor, pengambilan air bawah tanah, rawatan dan penapisan air singai, penggunaan air hujan dan juga air mentah dari takungan air hujan.

"Malah kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna untuk memaksimakan penggunaan sumber-sumber air tersebut untuk menampung keperluan harian rakyat Selangor," jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, cadangan ini merupakan alternatif yang lebih bermanafaat dan menjimatkan daripada projek pembangunan infrastruktur pemindahan air dari Pahang yang menelan belanja berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Kerajaan negeri juga sedang mempercepatkan langkah bagu merawat air sungai untuk penggunaan sektor perindustrian di Negeri Selangor.

"Bagi tujuan ini kerajaan negeri telah meluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran teknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air.

"Sekali lagi kerajaan negeri memberi jaminan bahawa isu bekalan air tidak akan timbul malah ia mencukupi sehingga tahun 2020," sambungnya lagi.

Lantaran itu, kerajaan negeri bertegas untuk terus meneruskan tadbir isu bekalan air bagi memastikan rakyat Selangor terus mendapat manafaat pemberian 20 meter padu air percuma.



Sumber: Harakahdaily

PR Kemuka Cadangan Konsep 'Rumah Sewa Hingga Milik Tanpa Faedah'

Posted: 15 Feb 2012 12:30 AM PST

SHAH ALAM,15 FEB : Pakatan Rakyat mencadangkan supaya kerajaan tidak menjadikan pembeli-pembeli perumahan Rakyat dan awam (PPR-PA) sebagai tindakan mengaut keuntungan berlebihan dan bukan bertujuan membela golongan yang memerlukan.
 
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata kerajaan seharusnya melaksanakan konsep 'Sewa Hingga Milik- Tanpa Faedah (SHM-TF) iaitu konsep sewaan yang dimasukkan sebagai bayaran kepada pembelian rumah.

"Sebagai contoh harga rumah RM35,000 dengan masa bayaran melalui sewa selama 25 tahun akan menjadikan bayaran bulanan hanya sekitar RM117 tidak termasuk kos penyelenggaraan bangunan kerana harga tersebut sudah dimasukkan nilai rumah tersebut.

"Kerajaan juga tidak perlu meminjam daripada KWSP atau institusi kewangan lain. Konsep ini akan juga mengurangkan kos pentadbiran kerana sistem kutipan sewa sedia ada sudah mencukupi.

"Ini adalah konsep semua menang - rakyat senang," kata Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam surat terbukanya kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ,Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Tambah Izzah, Pakatan Rakyat menyokong penuh terhadap usaha murni skim pembelian rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah, selagi pelaksanaan dibuat secara teratur. Ini jelas dinyatakan di dalam kenyataan akhbar rasmi dan memorandum Pakatan Rakyat kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) justeru tidak timbul persoalan bahawa kami tidak menyokong skim ini.

"Isu dasar bukanlah seperti tuduhan tidak berasas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang mendakwa Pakatan Rakyat tidak yakin dengan kebolehan bakal peminjam untuk membuat bayaran - tetapi isu dasar adalah mengenai sumber dana untuk skim ini yang akan datang dari KWSP.

Kenyataan Menteri mengenai peranan KWSP juga telah menyebabkan timbulnya reaksi meminta penjelasan sepenuhnya bukan sahaja dari Pakatan Rakyat malah dari rakyat, ahli lembaga KWSP, MTUC dan CUEPACS kerana ia melibatkan tabungan simpanan hari tua pekerja, sedangkan sudah ada sumber dana lain yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya bakal pemilik sendiri," katanya.

Izzah menjelaskan, kadar faedah atau kadar keuntungan yang akan dikenakan ke atas pinjaman seperti yang diumumkan Timbalan Ketua Pengarah DBKL , Datuk Mohd Amin Nordin, (pada 31 Jan 2012) adalah 6.5 peratus, di mana 1 peratus adalah untuk kos perkhidmatan dan 5.5 peratus kepada KWSP.

"Kadar faedah 6.5 peratus terlalu tinggi kenapa kadar yang lebih rendah, seperti 2 peratus yang dikenakan kepada pinjaman mudah (soft loan) RM250 juta projek National Feedlot Center (NFC) melibatkan suami dan keluarga salah seorang Menteri dalam kabinet Kerajaan Pusat tidak digunakan.

"Kerajaan sepatutnya tidak membezakan di antara kadar faedah pinjaman untuk golongan kaya dengan golongan berpendapatan rendah. Pada kadar 6.5 peratus selama 25 tahun, harga rumah asal RM35,000 mencecah RM70,800, iaitu dua kali ganda harga rumah asal.

"Sekiranya kadar 2 peratus digunakan, sama seperti yang diberi oleh kerajaan BN kepada projek NFC, peminjam akhirnya hanya membayar sebanyak RM44,400." jelas beliau.

Katanya, pemberian kadar faedah yang hanya memihak kepada golongan atasan juga dilihat di dalam projek Lebuhraya Pantai Barat bernilai RM7 billion, di mana pinjaman mudah (soft loan) RM2.24 bilion diberikan oleh kerajaan pusat kepada Kumpulan Europlus pada kadar faedah 4 peratus, termasuk subsidi 3 peratus ke atas pinjaman komersil kumpulan tersebut.

"Untuk memenuhi aspirasi dan membela rakyat berpendapatan rendah, skim memiliki rumah PPR-PA ini juga mestilah diperluaskan kepada semua rakyat di seluruh negara kerana rakyat berpendapatan rendah bukan semuanya tinggal di Kuala Lumpur.

Skim ini mesti memberi peluang kepada semua penyewa tidak kira status ekonomi atau bangsa untuk memiliki rumah yang dapat memberi jaminan tempat tinggal serta menjadi asas membangunkan harta keluarga dengan mudah dan telus," katanya.

Justeru menurut Izzah , untuk memperkayakan lagi proses demokrasi "mengutamakan rakyat", dicadangkan penduduk PPR-PA diberi peluang melalui satu referendum memilih di antara tiga cadangan iaitu :

i) Cadangan Kerajaan untuk skim pinjaman tajaan KWSP pada kadar faedah 6.5 peratus;
ii) Cadangan untuk skim pinjaman mudah (soft loan) pada kadar faedah ala-'NFC' sebanyak 2 peratus; atau
iii) Skim Sewa Hingga Milik - Tanpa Faedah.

Pilihan (ii) dan (iii) boleh ditawarkan kerana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan memiliki dana mencukupi walaupun keputusan yang beliau ambil adalah untuk menggunakan dana KWSP.

"Pakatan Rakyat menerima cabaran berdebat yang dikeluarkan Menteri di mana tajuknya hendaklah "Apakah kaedah pembiayaian terbaik untuk Skim Pembiayaian Khas Program PPR-PA?".

"Debat ini juga mesti disiar langsung di kaca televisyen seperti mana debat di antara Ketua Menteri Pulau Pinang dan Presiden MCA akan disiarkan dalam saluran Astro. Ini barulah demokrasi yang berdasarkan keperluan rakyat untuk mendapat informasi telus dan tepat untuk membuat pilihan yang adil," ujar beliau.


Sumber: TVSNEWS

Program Sumbangan Beg Sekolah Di Desa Latania

Posted: 14 Feb 2012 05:00 PM PST

Desa Latania, Klang, 14 Februari 2012 - Sebanyak 100 buah beg sekolah telah disumbangkan kepada murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah di flat Desa Latania hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan tersebut adalah YB Dr Xavier Jayakumar, ADUN Seri Andalas. Turut menghadiri program tersebut adalah Encik Manaf, Ahli Majlis MBSA dan Ketua Kampung, Tuan Haji Miswan.

Dalam program tersebut, YB Dr Xavier Jayakumar turut berucap memberi penerangan ringkas tentang program-program Kerajaan Negeri Selangor yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

Program tersebut telah dikoordinasikan oleh sukarelawan Encik Nageswaran dan Puan Saraswathy.

YB Dr Xavier Jayakumar berharap dengan sumbangan beg sekolah ini dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga dan memberi keselesaan kepada murid-murid untuk ke sekolah.



Tiada ulasan:

Nuffnang