Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Jeneri |
Posted: 16 Jan 2012 04:28 AM PST ALOR SETAR, 16 Jan: Pembaharuan dan kemajuan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri Kedah yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mendapat pujian Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Baginda bertitah, pelbagai program pembangunan yang sedang giat direncanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kini menampakkan hasil. "Beta harap aktiviti pembuatan yang kini berkembang pesat dapat terus dimajukan sehingga menjadi tumpuan utama selain menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur dan mendirikan kilang perindustrian di Kulim Hi-tech Park, Sungai Petani, Kuala Ketil, Gurun, Yan dan Bukit Kayu Hitam", titah baginda semalam dipetik Sinar Harian. Baginda bertitah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam. Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah. "Beta amat sukacita kerana Kedah sentiasa aman dan sejahtera setiap masa. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hangat yang berlaku akhir-akhir ini, tetapi ia dapat dikawal hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan rakyat," titah baginda. Baginda turut melahirkan kesyukuran kerana Kedah terhindar daripada keganasan dan ketegangan antara kaum yang kritikal seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendokong prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang. "Tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku dan rakyat yakin dengan kestabilan politik negeri ini. Beta harap semua pihak komited menjalankan tugas, ikhlas, amanah serta telus dalam mengendalikan urusan pentadbiran," titah baginda. Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, seluruh kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan rakyat haruslah bertakwa kepada ALLAH SWT agar mendapat keberkatanNya. "Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap amat penting untuk merancang dan melaksana dasar dan program Kerajaan Negeri. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang teguh pada konsep amanah dan kepimpinan berintegriti," titah baginda. |
You are subscribed to email updates from Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Jeneri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan