Nuffnang

www.telokkemang.blogspot.com/

Posted by Tanpa Nama | Posted on 7:46 PTG

www.telokkemang.blogspot.com/


SOALAN PARLIMEN - YB. DATO' KAMARUL BAHARIN ABBAS

Posted: 02 Nov 2011 10:44 PM PDT

ISU ZAKAT

24 Oktober 2011

SOALAN 16 - LISAN

Dato' Kamarul Baharin bin Abbas [ Telok Kemang ] minta

PERDANA MENTERI menyatakan:-

(a) Rancangan dan perbelanjaan kebajikan wang zakat dari 2005 hingga 2010 dalam usaha-usaha mencegah kemungkaran dalam masyarakat Islam dan

(b) Cara mana pelaburan wang zakat dalam pelaburan harta dapat member faedah kepada umat.

JAWAPAN:

YB. Senator Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil khir bin Haji Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Tuan Yang Di-Pertua,

(a) Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, mengikut Jadual 9 Senarai II (1), Perlembagaan Persekutuan, Hal Ehwal Agama Islam termasuklah kutipan dan agihan zakat adalah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam (MAIN) masing-masing.

Saya percaya Kerajaan Negeri telah, sedang dan akan mengambil tindakan terbaik dari masa ke semasa mengikut kemampuan masing-masing bagi mengendalikan dan meningkatkan perkhidmatan pengurusan zakat. Maklumat mengenainya bolehlah merujuk kepada Majlis Agama Islam masing-masing.

Dalam melaksanakan agihan zakat, terdapat dua kaedah utama yang diamalkan

oleh MAIN dan agensi zakatnya bagi menyalurkan bantuan dana zakat kepada golongan asnaf. Kaedah pertama adalah melalui permohonan yang dibuat secara terus oleh pemohon dan kedua melalui pendekatan 'turun padang' di mana pegawai pengurusan zakat mengunjungi rumah atau tempat tinggal mereka yang memerlukan bantuan. Melalui pendekatan tersebut, MAIN menyediakan senarai pemohonan dan penerima bantuan zakat melalui bancian, siasatan dan kajian yang dibuat dari semasa ke semasa oleh pegawainya dengan kerjasama erat amil-amil, jawatankuasa masjid, persatuan penduduk, JKKK, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat. Tindakan bersepadu ini juga dapat memastikan bakal-bakal penerima zakat dapat dikesan secara menyeluruh.

Senarai pemohonan dan penerima diproses dan dikemaskini dari semasa ke semasa dalam pengkalan data pengurusan zakat. Senarai berkenaan disemak dan diperhalusi oleh Jawatankuasa Agihan negeri masing-masing bagi mempastikan mereka adalah tergolong dalam asnaf yang layak diberi bantuan menerusi pelbagai skim bantuan yang diperkenalkan tertakluk kepada syarat kelayakan dan had kifayah yang ditetapkan oleh negeri masing-masing.

Berdasarkan lapan asnaf itu, pelbagai skim bantuan ditawar dan diagihkan kepada para penerima yang layak. Antaranya bantuan kewangan bulanan, bantuan dermasiswa, bantuan perubatan, bantuan membina/membaiki rumah dan deposit membeli rumah kos rendah dan lain-lain. Dengan agihan dan skim-skim bantuan zakat seumpama inilah yang akan dapat membantu asnaf zakat daripada kedaifan dan kepinggiran.

Program-program pembangunan ekonomi yang mampu member impak yang tinggi (High Impact Program) kepada asnaf untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui skim bantuan zakat juga diwujudkan. Umpamanya skim latihan kemahiran, skim bantuan modal perniagaan, bantuan deposit sewa beli teksi, bantuan deposit membeli van/bas sekolah dan lain-lain. Di Wilayah Persekutuan misalnya, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan sebanyak 27 skim bantuan, sebahagian besarnya adalah seperti mana yang disebutkan.

Program-program skim bantuan ini membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan dapat berdikari membina hidup yang lebih selesa. Seterusnya mereka akan keluar pula sebagai pembayar zakat. Inilah bentuk 'pelaburan wang zakat' yang dikendalikan oleh MAIWP, Lembaga Zakat Selangor dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri yang lain agar dapat member faedah jangkamasa panjang kepada umat Islam.

(b) Sehingga hari ini dalam maklumat JAWHAR, tidak ada wang zakat dilaburkan secara langsung/komersil dalam apa-apa skim-skim pelaburan sekalipun ulama berpendapat dengan syarat-syarat tertentu/yang ketat adalah diharuskan mengambil wang zakat untuk tujuan pelaburan. Ini adalah kerana prinsip asasnya wang zakat adalah hak mustahik (asnaf zakat), ia hendaklah diagihkan dan diberikan kepada asnaf-asnafnya dengan segera. Pusat zakat Majlis-Majlis Agama Islam Negeri masih lagi berpegang teguh dengan prinsip dasar ini dengan memperkenalkan skim-skim bantuan serta program-program jangkamasa panjang yang memberikan impak yang tinggi untuk kebaikan dan manfaat umat Islam.

Sekian, terima kasih.

Comments posted (0)

YB BN

YB PAS

YB PKR

YB DAP