Khamis, 3 November 2011

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Kerja lain: Graduan ISMP bantah Muhyiddin

Posted: 02 Nov 2011 08:08 PM PDT



KUALA LUMPUR, 3 Nov 2011 : Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) 'cari kerja lain' sebelum ini telah menimbulkan kemarahan sekaligus mengguris hati ribuan graduan dan bakal graduan ISMP di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kampus-kampus lain.

Susulan dari ketidakpuashatian itu, hampir seribu mahasiswa UPSI telah mengadakan piket di perkarangan Sudut Pidato Universiti tersebut semalam sebagai tanda protes.



Setiausaha Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Yuyu Luna ketika dihubungi Harakahdaily menjelaskan piket yang berlangsung selama empat jam itu telah menyaksikan ucapan-ucapan menuntut hak penempatan guru untuk graduan ISMP yang dikatakan telah dinafikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Piket tengah hari semalam telah dianjurkan oleh Gabungan Bertindak Mahasiswa yang dicetus oleh wakil LMP sebuah 'front' Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Adam Adli dan wakil Gabungan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Wan Ahmad Fathi.

"Gabungan mahasiswa ini turut digerakkan bersama wakil Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), serta 'front' mahasiswa UPSI yg lain," jelasnya.

Tambah Yuyu lagi, piket itu kemudian diakhiri dengan penyerahan memorandum Tujuh Tuntutan Mahasiswa ISMP oleh YDP Majlis Perwakilan Pelajar UPSI kepada TNC Penyelidikan dan Inovasi, Datuk Noraini.

"Tujuh tuntutan itu termasuklah menuntut Timbalan Perdana Menteri menyediakan penempatan yang mencukupi kepada graduan ISMP, mengurangkan pengambilan Guru Sandaran Tidak Tetap serta Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dan memperincikan bajet pendidikan yang lebih telus dalam menyediakan penempatan guru.



"Tuntutan lain termasuklah menuntut agar unjuran pengambilan guru yang tepat dan telus dikeluarkan agar universiti boleh membuat unjuran pengambilan pelajar yang tidak merugikan," ujarnya lagi.

Yuyu juga memberitahu gabungan itu berhasrat untuk menyerahkan 10,000 tanda tangan mahasiswa kepada Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

"Petisyen tersebut telah diedarkan disekitar kampus dan kolej-kolej kediaman dan sehingga kini tandatangan yang kita perolehi menjangkau angka sepuluh ribu.

"Ia bakal diserahkan sendiri oleh wakil-wakil mahasiswa kepada Timbalan Perdana Menteri pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan nanti," tambahnya lagi.

Sebelum itu, Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan yang disiarkan Buletin Utama pada 30 Oktober lalu bahawa tiada lagi jaminan penempatan bagi graduan ISMP yang tidak ditaja KPM.

Selain itu, beliau turut menyebut bahawa graduan pendidikan perlu mencari kerja di tempat lain yang sesuai dengan ijazah mereka.

Muhyiddin turut menyifatkan keutamaan penempatan turut diberikan kepada Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) manakala penempatan graduan ISMP akan dibuat setelah selesai penempatan GSTT dan KPLI.

Yuyu berkata, Muhyiddin sekarang berdepan dengan kemarahan mahasiswa di UPSI jika isu tersebut tidak diselesai segera selain memenuhi tujuh tuntutan memorandum tersebut.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6332-kerja-lain-graduan-ismp-bantah-muhyiddin-

Tiada ulasan:

Nuffnang