Selasa, 29 November 2011

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Penyelenggaraan Jalan dan Parit sekitar Dun Sri Muda

Posted: 28 Nov 2011 09:42 PM PST

Kini penduduk di sekitar Jalan Kebun dan Kampung Johan Setia boleh menarik nafas lega apabila masalah jalan rosak disekitar kampung terbabit telah diatasi.


Rata-rata penduduk kampung itu yang ditemui berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan semula laluan tersebut yang dijalankan bermula awal bulan ini.


Kerja-kerja tersebut merangkumi kerja penurapan jalan dan penyeleggaraan parit yang disalurkan menggunakan peruntukan MARRIS melalui Dun dan PBT terlibat.



Wakil pejabat Adun Sdr Azwan sedang memerhati kerja-kerja penurapan

Sebelum ini, beberapa batang jalan di Kampung Jalan Kebun dibawah seliaan MBSA juga telah diselenggara. Antaranya Lorong Abdullah, Lorong Abdul Aziz, Lorong Haji Said di Kampung Jalan Kebun dan di Lorong Hj Muhidin dan beberapa lorong lagi di Kampung Bukit Naga.

Sementara itu, beberapa lagi projek bakal menyusul.

Posted: 28 Nov 2011 02:26 AM PST

Ah Kau curi tumpuan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 28, 2011
Tan Ah Kau

JOHOR BAHRU - Dewan Kongres Nasional Tahunan Keadilan Ke-8 bertempat di Pulai Springs Resort, dekat sini, semalam gamat dengan perbahasan pertama daripada wakil PKR Selangor, Tan Ah Kau.

Meraih tepukan gemuruh daripada pimpinan tertinggi, perwakilan, pemerhati bebas serta pengamal media, topik perbahasan Ah Kau bertajuk 'Reformasi Pendidikan' ternyata berjaya menyampaikan mesej tersirat dan tersurat.

Lagak bersahaja Ah Kau disulami 'lawak sinis' ketika menyampaikan perbahasan lebih 30 minit, tidak kurang hebatnya seperti seorang 'Yang Berhormat' sebenarnya lebih menjurus kepada pemikiran pembangkang terhadap pendidikan anak bangsa.

Ucapan perbahasannya tidak hanya mencuit kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Negara, malah turut mengupas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

Di awal bicaranya, Ah Kau mensarankan setiap pimpinan dan perwakilan yang hadir supaya menghayati semangat 'Hijrah' bersempena sambutan Awal Muharam.

"Hayatilah semangat Maal Hijrah. Ia bukan soal berpindah semata-mata, tetapi kita beralih dari keadaan tidak adil kepada suasana lebih selesa.

"Menjadi hasrat kita untuk berhijrah ke Putrajaya dan ia perlu direalisasikan hasil daripada kerja kuat memperjuangkan agenda rakyat. Ini kerana PR tidak pernah mengorbankan kepentingan awam," katanya.

Ah Kau berkata, pakatan pembangkang juga dicadangkan merangka PIPP negara baru yang lebih memberi tumpuan kepada pendidikan.

"Sedar atau tidak, anak bangsa pada hari ini, sering sahaja dijadikan 'tikus putih' bagi menjalankan kajian khususnya bidang pendidikan.

"Lihat sahaja soal pelaksanaan PPSMI sebelum ini. Kini, isu Auku pula hangat dibicarakan dan mangsanya adalah pelajar-pelajar. Jadi, saya mencadangkan agar satu PIPP Negara baru dirangka oleh PR," katanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Posted: 28 Nov 2011 02:15 AM PST

Dasar di Selangor bakal diteruskan di Johor- Khalid Ibrahim

(Oleh: Masdar Wahid)



JOHOR BAHRU 27 Nov: Segala dasar yang diamal pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor akan dilaksana di Johor jika negeri itu ditawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Berucap di Kongres KEADILAN Nasional ke 8 hari ini, Khalid berkata, reformasi yang dilaksana di Selangor terbukti berkesan dan memanfaatkan rakyat negeri itu.

Menurut Khalid, antara perkara pertama yang bakal dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat ialah menyelesaikan masalah air di Johor yang masih tertangguh sehingga kini.

"Sebelum berucap saya sudah periksa sekali lagi isu air di Johor dan didapati ia masih tidak diaudit dan ini antara punca mengapa masalah air di Johor sehingga kini tidak selesai.

"Jika Pakatan berjaya perintah, kita mampu menyelesai masalah ini dalam masa dua tahun, insyaallah," katanya menggulung perbahasan menyokong ucapan dasar Presiden hari ini.

Beliau dalam pada itu memaklumkan kerajaan Selangor akan mengadakan forum bagi membincang Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang disalahgunakan Umno-BN.

"Malaysia negara kaya, tetapi mengapa masih ada rakyat miskin, kerana Umno gagal menguruskan kekayaan ekonomi negara dengan baik," tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23676

Posted: 27 Nov 2011 02:32 AM PST

Kongres Nasional KEADILAN: Ucapan Dasar Timbalan Presiden

MALAYSIA TANPA UMNO



MUKADIMAH

Alhamdulillah, kita dapat berhimpun pada pagi ini dengan satu tekad untuk meneruskan agenda perubahan. Kongres tahun ini bukan sahaja merupakan acara tahunan tetapi merupakan perhimpunan yang terpenting untuk menyemak persediaan kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13. Ianya menjadi lebih bermakna apabila kongres ini diadakan di negeri Johor sebagai isyarat bahawa KEADILAN sudah bersedia untuk menembusi negeri yang suatu ketika dahulu merupakan fixed deposit UMNO.

Saya gembira dan berbangga kerana berada di kalangan anak muda yang berani, yang mempunyai hati dan kecekalan seperti Arjuna. Anak muda yang memiliki jiwa dan semangat perjuangan yang sentiasa bergelora seperti 'anak jantan'.

Apa tanda (si) anak jantan?
Matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang
Langkahnya menghentam bumi

Pilihan Raya Umum ke 13 adalah sebuah medan pertempuran yang paling dashyat. Inilah medan Kuru Setre seperti yang disebut dalam Mahabrata. Pilihan Raya ini adalah penentu masa depan rakyat dan negara Malaysia. KEADILAN perlu siap siaga untuk mengambil alih tanggungjawab memimpin rakyat menuju Malaysia Baru.

Ini kerana, Pilihan Raya ini adalah Pilihan Raya untuk menyelamatkan rakyat.

Mengimbau kembali sejarah lebih sedekad lalu, ketika hampir setiap minggu rakyat berhimpun di tengah kota Kuala Lumpur. Gerakan Reformasi September 1998 adalah wahana untuk memenuhi amanah dan cita-cita murni rakyat. Reformasi yang kita laungkan ketika itu, bukanlah sekadar menumbuk langit, tetapi dengan semangat juang dan cita-cita murni untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat dan membangunkan semula institusi kenegaraan yang telah dirosakkan oleh pemimpin UMNO yang durjana dan rakus. Daripada iltizam dan cita-cita murni kebangkitan rakyat ini telah lahir Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya mengambil pendirian politik yang progresif untuk bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan muncul sebagai sebuah parti keramat yang bernama Parti Keadilan Rakyat.

Dalam kekalutan lanskap politik negara yang berada di bawah hegemoni UMNO, politik perkauman sempit menjadi tembok untuk menghalang agenda reformasi daripada mendapat tempat dalam masyarakat. Rakyat disogok dengan pelbagai propaganda jahat untuk mencetuskan rasa takut dan curiga dalam masyarakat majmuk sehingga mereka takut untuk berubah. Meskipun rakyat Malaysia mahukan perubahan, namun mereka tetap terpasung dalam ketakutan dan kebimbangan bahawa kaum mereka tidak lagi akan mendapat keistimewaan.

Ketika masyarakat terus bergulat dengan ketakutan ini, KEADILAN telah meletakkan tanda noktah untuk menjadi sebuah parti politik yang bukan hanya mewakili satu-satu kaum, tetapi merentasi semua kaum dan keturunan yang ada di Malaysia. Slogan 'Keadilan Untuk Semua', 'Ketuanan Rakyat' dan 'Demi Rakyat' adalah cerminan kepada perjuangan yang dibawa, untuk menyelamatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama serta kedudukan sosio ekonomi.

Sebagai anggota dan pendukung KEADILAN, kita harus menginsafi betapa murninya perjuangan refomasi untuk mengembalikan hak serta keadilan kepada semua rakyat. Asas perjuangan ini telah dipasak ke bumi Malaysia dalam Deklarasi Permatang Pauh yang menyatakan tekad rakyat yang berbilang bangsa dan agama untuk melancarkan gerakan reformasi total.

Alhamdulillah kita bersyukur, perjuangan yang bersandarkan keyakinan yang tinggi bahawa kebenaran pastinya akan menang, telah menempa kejayaan dengan kemenangan lima buah negeri dalam Pilihan Raya Umum ke 12. Lebih bermakna lagi apabila terbentuknya muafakat Pakatan Rakyat yang sebelumnya dikenal sebagai Barisan Alternatif. Setelah Pilihan Raya Umum 2008, Pakatan Rakyat turut menang 9 daripada 16 Pilihan Raya Kecil yang diadakan. Rakyat Sarawak turut menyambut gelora perubahan ini dengan melakar lanskap politik baru Sarawak. Rakyat Sarawak di pedalaman tidak ketinggalan dalam agenda reformasi.

Mereka memberi kemenangan bermakna kepada KEADILAN di Ba' Kelalan, Krian dan Batu Lintang. Hari ini, masyarakat FELDA juga telah bangkit bersama KEADILAN menyatakan keberanian mereka menentang penyelewengan yang berlaku secara terang-terangan. Ini membuktikan bahawa momentum perubahan berterusan dan masih bertiup kencang dari Perlis hingga ke Sabah.

Namun bukan hanya kejayaan itu yang harus kita banggakan. Lebih bermakna lagi apabila perjuangan gerakan reformasi dan KEADILAN sebagai sebuah gerakan dan parti politik pelbagai kaum berjaya mendapat tempat dalam hati rakyat. Ini sekaligus mengubah lanskap politik Malaysia daripada politik yang bersandarkan kepada kotak perkauman yang sempit kepada keterbukaan politik demi kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

Inilah wajah baru politik Malaysia dalam sejarah dunia moden yang dipelopori oleh KEADILAN sebagai aspirasi seluruh rakyat Malaysia. Malaysia kini menuju ke arah pembentukan sistem dua parti. Melalui sistem ini rakyat akan mengalami anjakan paradigma dalam membuat penilaian politik dengan lebih rasional dan berasaskan maklumat. Justeru itu, sebarang usaha dari parti serpihan termasuk yang ditaja UMNO untuk menggugat demokrasi pastinya akan tersungkur dan ditolak oleh rakyat. Rakyat mesti menolak mereka kerana mereka bersekongkol dengan musuh demokrasi. Mereka ini tidak lebih dari kembiri politik.

Tsunami politik yang berlaku mencerminkan keazaman dan iltizam politik rakyat melakukan perubahan. Rakyat yang idealis daripada pelbagai kaum dan susun lapis hidup telah bangkit menolak diktator, perasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah bermaharajalela lebih 50 tahun. Kebobrokan politik UMNO sudah tidak dapat dibendung lagi, kerakusan mereka mengagihkan kekayaan rakyat kepada keluarga dan kroni memperlihatkan sikap zalim, tamak haloba, angkuh dan
tidak bertanggungjawab mereka kepada rakyat yang dipimpin.

Sekali lagi kita bersyukur kerana muafakat politik yang dibentuk melalui Pakatan Rakyat telah menjadi alternatif kepada pilihan rakyat untuk melaksanakan perubahan.

MALAYSIA TANPA UMNO

Kepercayaan bahawa hanya UMNO yang boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat sebenarnya telah dimitoskan lebih daripada separuh abad. Hari ini, KEADILAN sudah bersedia untuk menerajui gerakan rakyat untuk memecahkan mitos ini. KEADILAN akan menerajui Malaysia tanpa UMNO.

Rakyat Malaysia mahukan perubahan. Anggota KEADILAN terutamanya Angkatan Muda dan Wanita menyedari bahawa parti ini adalah sebuah parti reformasi. Parti yang mahukan perubahan demi kemaslahatan rakyat. Parti yang mahu memenuhi aspirasi rakyat untuk melaksanakan keadilan sejagat.

Sudah tiada lagi harapan rakyat yang boleh disandarkan kepada UMNO. Tidak ada lagi alasan rasional yang boleh mempertahankan kerakusan serta pengkhianatan UMNO kepada rakyat. UMNO bukan sahaja sudah hilang idealisme perjuangan, tetapi juga sudah muflis nilai serta bankrup moral untuk mempertahankan hak dan
kepentingan rakyat.

Apakah perjuangan UMNO yang dibawa untuk membela nasib masyarakat Melayu dan rakyat pada hari ini? UMNO yang dikenal khususnya oleh generasi muda hari ini adalah sebuah parti tua yang anti demokrasi, anti intelektual, anti hak asasi manusia, anti pekerja, sarat dengan politik fitnah dan membudayakan rasuah. Malah UMNO pada hari ini juga anti Melayu. Sasterawan Negara Usman Awang pernah mengingatkan kita:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun…

Apakah UMNO masih membawa pekerti Melayu seperti yang dinukilkan oleh Usman Awang? Jawapannya pasti tidak. Perjuangan UMNO pada hari ini hanyalah perjuangan untuk membela tembolok kerabat dan bukannya rakyat. Budaya politik UMNO pada hari ini adalah berteraskan politik maki hamun, cerca dan fitnah.

Peribadi Melayu yang diwariskan oleh UMNO pada hari ini adalah watak Melayu yang tidak boleh dipertahankan lagi. Malah UMNO lah yang telah membunuh ciri-ciri kemelayuan yang dianjurkan oleh Islam. Layakkah perjuangan yang menjulang perasuah dan menghalalkan fitnah digelar sebagai perjuangan Islam? Layakkah perjuangan UMNO yang sehingga kini tidak dapat menjelaskan ke mana lesapnya saham milik Melayu-Bumiputra bernilai RM 52 bilion dijulang sebagai perjuangan mempertahan ketuanan Melayu?

Sewajarnya kupasan Profesor Syed Muhammad Naquib al Attas dalam syarahan pengukuhannya "Islam dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu" diteliti dan ditelaah. Islam hadir ke rantau ini meniup nafas segar ke dalam ruh umat Melayu. Islam menjadi pendorong kepada orang Melayu untuk menjadi umat yang berakhlak tinggi,berhemah dan berilmu. Gerakan Islam bermula dengan kebangkitan literasi.

Syed Muhammad Naquib menyanggah tesis Van Leur dan Schrieke. Kedua-dua sarjana tersebut menganggap Islam sekadar membentuk lapisan nipis dalam sejarah dan kebudayaan orang Melayu. Walhal, Islam bagai cahaya yang menerangi rantau ini, membentuk tingkah laku, cara hidup dan weltanschauung (pandang dunia/worldview
) kita. Hadirnya Islam bagai "Habis Gelap Terbitlah Terang." (meminjam judul buku Raden Adjeng Kartini)

Akan tetapi, sekarang ini, memerhati dengan teliti budaya politik yang dipelopori UMNO, maka tidak hairanlah mereka seolah-olah membenarkan tesis Van Leur dan Schrieke. Fitnah, angkuh, zalim dan rasuah menjadi sebahagian dari jasad dan ruh UMNO. UMNO kini menjadi teras kepada politik gelap.

Makanya KEADILAN sebagai wahana perjuangan murni yang mendapat dukungan generasi muda tidak boleh tergelincir dari landasan memajukan kepada khalayak budaya politik baru yang mencerahkan, berhikmah dan membebaskan. Cabaran ini semakin mendesak kerana UMNO telah menyuburkan jiwa perhambaan melalui neofeudalisme dan gagal membina jiwa merdeka.

Lihat sahaja dalam isu National Feedlot Corporation (NFC). RM 250 juta yang diperuntukkan untuk mengurangkan kebergantungan impot bahan makanan telah disalahgunakan untuk membeli kondominium mewah. Sehingga hari ini Menteri yang berkenaan masih lagi berkuasa, malah mendapat kekebalan dari Timbalan Presiden Umno. Di mana 'Ketuanan Melayu' yang laungkan jika hak rakyat dirampas dan diagihkan kepada Menteri untuk keluarga dan kerabat.

Rakyat miskin dibiarkan merempat sementara institusi negara meneruskan pembelaan kepada kerabat Umno yang rasuah dan melakukan penyelewengan.

Begitu juga dengan soal pengurusan ekonomi dan perbelanjaan negara yang tidak berhemah. Tatakelola yang tidak disiplin dan amanah menyebabkan rakyat diheret untuk berhadapan dengan hutang negara yang sudah melewati RM 1 trilion termasuk hutang isi rumah. Jumlah ini mewakili 53% daripada Keluaran Dalam Negara ekonomi UMNO yang cuai, tidak cekap serta ketirisan.

Umno juga mempertahankan undang-undang kuku besi yang mencabuli hak asasi manusia untuk menjamin kelangsungan kekuasaan mereka. Hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan sebagai the supreme law of the land dicabul serta dipasung dengan kekuasaan. UMNO tidak punya iltizam politik untuk melakukan perubahan melainkan sekadar retorika politik.

Ternyata 'transformasi politik' Umno gagal. Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sempena Hari Malaysia. Tetapi kerajaan tetap meneruskan penahanan di bawah akta zalim ini. Dua minggu yang lalu, 13 orang ditahan di Sabah di bawah ISA. Tambah parah lagi apabila kerajaan mengumumkan bahawa akta yang akan digubal untuk menggantikan ISA tetap menggunapakai elemen tahan tanpa bicara yang bertentangan dengan fundamental liberties.

Kini, kita dilemparkan dengan Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan di Parlimen. Akta yang jelas bertentangan dengan hak untuk berhimpun yang dijamin oleh Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan. Jelas, ruang demokrasi semakin disempitkan oleh tirani tua yang semakin nazak.

Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) (a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Malangnya pemimpin UMNO meremehkan keputusan ini dan berkeras menafikan hak asasi mahasiswa.

Sistem pendidikan negara diambang keruntuhan. Bagaimana tradisi ilmu dapat berkembang dengan kondusif dan subur sedang kebebasan akademik para mahasiswa dan pensyarah dinafikan. Tambah malang lagi apabila mahasiswa dan pensyarah ditekan daripada berkata benar untuk menyampaikan ilmu.

(Dia lah yang menciptakan manusia. Dia lah yang telah membolehkan manusia [bertutur] memberi dan
menerima kenyataan)

Ayat ke 4 surah Ar Rahman ini mengungkapkan anugerah Allah SWT kepada manusia. Esensi kemuliaan insan, atau Jawhar al Insanniyyah itu antaranya kekuatan pengungkapan, hak untuk menyampaikan dan menyatakan kebenaran. Oleh kerana itu kemahuan pemerintah untuk membelenggu hak kebebasan rakyat untuk bersuara bukan hanya bercanggah dengan Perlembagaan tetapi juga bercanggah dengan pesan al Quran.

Jika UMNO dibiarkan terus kekal berkuasa maka generasi muda sebagai harapan kepada masa depan negara tidak akan muncul sebagai generasi yang berwibawa dan unggul dalam sebuah negara moden.

Inilah realiti Malaysia pada hari ini. Perdana Menteri memperdayakan rakyat dengan pemberian palsu. Di mana nilai seorang pemimpin negara jika tidak boleh berpegang kepada janjinya. Sedangkan pepatah Melayu menyebut lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.

Dari tuan pergi-pergi,
Eloklah menebang buluh bambu,
Dari pegang kata Perdana Menteri,
Lebih baik pegang tali lembu.

KEADILAN sebagai parti yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat harus menggalas tanggungjawab dan harapan rakyat seluruhnya untuk mempunyai kehidupan baru yang jauh lebih baik di negara sendiri.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat telah membuktikan keunggulannya mentadbir beberapa buah negeri. Pentadbiran yang berteraskan disiplin dan amanah menjamin keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyat. Kekayaan dari penghasilan negeri telah diagih kepada seluruh rakyat tanpa sebarang prasangka dan diskriminasi untuk memastikan hak rakyat dikembalikan kepada mereka. Prinsip KEADILAN jelas. Khazanah negeri adalah hak rakyat dan bukan kurniaan Sang
Penguasa.

Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa prestasi ekonomi di negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah baik. Analisis Audit melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kedudukan Wang Tunai Negeri Selangor yang merupakan aset Kerajaan Negeri menunjukkan peningkatan yang ketara pada tahun 2010 berjumlah RM 301.07 juta (48.8%) menjadi RM 918.27 juta berbanding RM 617.20 juta pada tahun 2009. Peningkatan baki Wang Tunai pada akhir tahun 2010 adalah disebabkan jumlah penerimaan iaitu RM 1,753.44 juta adalah lebih tinggi berbanding pembayaran berjumlah RM 1,452.37 juta iaitu lebihan sejumlah RM 301.07 juta memandangkan Kerajaan Negeri telah berjaya menurunkan perbelanjaan mengurus sebanyak 24.9% berbanding tahun 2009.

Kerajaan Negeri Selangor juga membuat bayaran balik sejumlah RM 253.16 juta termasuk anuiti tahun semasa RM 79.70 juta. Ini bermakna Kerajaan Negeri membayar pinjaman prinsipal berjumlah RM 173 juta.

Pengurangan hutang secara mendadak sebanyak RM173.46 juta ini sudah tentu akan menghasilkan penjimatan kepada rakyat dan mengurangkan beban hutang rakyat dengan Kerajaan Persekutuan kerana caj anuiti tahunan berjumlah RM 17 juta dalam tahun 2011 dapat dijimatkan.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat tuntas memperjuangkan hak rakyat. Buku Jingga adalah bukti dokumen Pakatan Rakyat untuk memartabatkan rakyat dalam bidang sosio ekonomi. Inilah keyakinan rakyat bahawa KEADILAN mempunyai keupayaan untuk menerajui Malaysia tanpa UMNO.

ANAK MUDA PENERAJU DEMOKRASI TULEN

Pilihan Raya Umum ke 13 adalah demi rakyat. Generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk melakar sebuah negara yang demokratik. Maka, Angkatan Muda dan Wanita harus menggembleng usaha dan kekuatan untuk memastikan agenda reformasi berjaya. Perjuangan cita-cita murni rakyat untuk melakukan perubahan harus diterajui oleh KEADILAN. Pakatan Rakyat berikrar untuk bersama-sama rakyat demi merealisasikan cita-cita murni ini.

Kita harus menjadi peneraju kepada cita-cita murni rakyat untuk membentuk sebuah negara madani yang demokratik. Reinhold Niebuhr menyebut: "Man's capacity
for justice makes democracy possible; but man's inclination to injustice makes democracy necessary." (Kemampuan manusia untuk berlaku adil menjadikan
demokrasi itu satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kejahatan menjadi demokrasi itu satu kewajiban).

Ungkapan ini disebut oleh beliau dalam bukunya 'Children of light and children of darkness'. Siapakah 'children of light' dan siapa pula 'children of darkness'? 'Children of light' atau anak-anak pencerahan ini adalah anak muda dan wanita di hadapan saya yang berjuang untuk demokrasi, hak asasi dan berjuang untuk menegakkan keadilan sejagat. Anak-anak kegelapan atau 'children of darkness' adalah UMNO yang anti kepada demokrasi, anti kepada kebebasan, anti kepada keadilan sejagat dan bersekongkol untuk meneruskan hegemoni yang mencengkam kehidupan rakyat.

Justeru saya menyeru Angkatan Muda dan Wanita merangkul bakat serta potensi generasi muda yang mahu bersama kita. Kita wajar meneladani Liu Bei yang tajam mengesan bakat Zhuge Liang. Zhuge Liang menyertai perjuangan Liu Bei sedangkan umurnya baru sekitar 20 an. Oleh itu, Angkatan Muda dan Wanita perlu menyediakan ruang untuk bakat ini berperanan dengan lebih berkesan. Terbukti dalam kisah Zhuge Liang tadi, beliau tiada tandingannya sebagai strategis
biarpun dalam usia yang muda. Pimpinan Angkatan Muda dan Wanita perlu menelaah karya besar San Guo Yan Yik (Kisah Tiga Negara).

Saya telah menerima senarai cadangan calon-calon yang dikemukakan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Wanita dan Angkatan Muda. Saya berasa amat gembira kerana anak-anak muda diberikan kepercayaan untuk ditampilkan sebagai calon. Saya akan mengangkat perkara ini kepada Presiden dan Biro Politik supaya anak muda dan wanita diberikan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Usaha terdesak Perdana Menteri UMNO yang mengisytiharkan "perang cyber" terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat dengan melancarkan Konvensyen Media Sosial menunjukkan keterdesakan pemerintah untuk meraih sokongan anak muda.

Usaha terbaru ini hanya memperlihatkan kepada kita kedangkalan Perdana Menteri dan penasihat medianya. Mereka gagal menanggapi lanskap media sosial dan mengapa anak muda tuntas menggunakan wahana ini untuk menyuarakan pendirian mereka. Warga media sosial tidak mahu diperalat untuk politik fitnah dan maki hamun.

Kekuatan berfikir, keteguhan imaginasi dan sikap kritis warga media sosial perlu diraikan. Mereka bersama gelombang reformasi semata-mata mahu memastikan Malaysia yang lebih baik untuk semua. Mereka sedar rakyat dan negara ini berhak kepada yang lebih baik. Maka tidak hairanlah warga media sosial begitu bersemangat menyuarakan pendirian mereka kerana di situlah mereka bebas bersuara mengkritik kebejatan yang berleluasa.

Justeru, KEADILAN harus bersedia untuk menjadi sebuah parti hati nurani rakyat. Dengan cita-cita luhur untuk membangunkan sebuah negara yang demokratik, kita harus melaksanakannya dengan memberi pemahaman serta menjalankan kegiatan advokasi melalui penubuhan yayasan-yayasan politik untuk membangunkan demokrasi dalam negara. Paling membanggakan apabila Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif awal dengan memperuntukkan geran sebanyak RM 5 juta untuk program pengukuhan demokrasi.

Kita perlu membawa agenda yang lebih besar untuk membangunkan nilai demokrasi di Asia. Generasi muda harus lebih peka. Dunia kini, kita dilanda gelombang pendemokrasian sejagat. Ini bermakna masyarakat sejagat sudah mengambil pendirian untuk tidak lagi berkompromi dengan musuh demokrasi. Kita perlu mengubah dasar luar negara yang bersikap non-intervention kepada Dasar Pembangunan Demokrasi Asia. Inilah iltizam KEADILAN atas keyakinan kita bahawa perjuangan demokrasi adalah perjuangan untuk memartabatkan kemuliaan insan.

PENDIDIKAN SEBAGAI AGEN PENCERAHAN

Ronggowarsito, pujangga besar Keraton Jawa dan anak didik Pesantren Ponorogo pernah meramalkan akan tiba suatu zaman yang dikenali sebagai zaman edan; zaman kegilaan. Edan atau zaman kekalutan ini diungkapkan pujangga besar Jawa itu dalam kumpulan syairnya yang dikenali sebagai Serat Kalathida.

51. Beginilah bunyinya bait ke tujuh Serat Kalathida yang dinukil Ronggowarsito:

Amenangi jaman édan,
éwuhaya ing pambudi,
mélu ngédan nora tahan,
yén tan mélu anglakoni,
boya kéduman mélik,
kaliren wekasanipun

Menyaksikan zaman gila,
serba susah dalam bertindak,
ikut gila tidak akan tahan,
tapi kalau tidak mengikuti (gila),
bagaimana akan mendapatkan bagian,
kelaparan pada akhirnya

Sudah hampir dua abad ramalan itu dinukil Ronggowarsito. Kini kita menyaksikannya sendiri bagaimana kegilaan dan kekalutan menguasai zaman kita. Kita menyaksikan bagaimana keadilan cuba dibungkam dan kezaliman dijulang dan diagungkan.

Kita lihat bagaimana yang memperjuangkan kebenaran difitnah dan dinista manakala para pendusta diangkat sebagai wira. Yang lebih malangnya buat negara dan bangsa ini, kita menyaksikan bagaimana "mediocrity" berleluasa. Mediocre dan philistinism membudaya dan mengakar dalam masyarakat. Inilah bukti kita hidup di zaman edan, zaman kegilaan.

Walaubagaimanapun kita harus sedar, "mediocrity" atau "Ke-laihan" ini tidaklah muncul secara tiba-tiba. Kekalutan dan kegilaan lah yang membenarkan "Ke-laihan" ini. Sebagaimana yang disampaikan kepada kita oleh Ronggowarsito, "ikut gila tidak akan tahan, tapi kalau tidak mengikuti (gila), bagaimana akan mendapatkan bagian," sesungguhnya tepat memperihalkan muslihat, tipu daya dan ugutan UMNO ke atas rakyat Malaysia.

UMNO tidak punya cita-cita untuk memastikan anak muda berfikiran kritis dan bebas. Bagi memastikan kelangsungan hegemoni, suara anak muda wajib dibungkam dan minda mereka harus dipasung. Ini kerana kebebasan dan keberanian untuk berfikir adalah musuh kepada kepada UMNO.

Menyedari keampuhan daya fikir sebagai senjata membongkar mitos hegemoni UMNO, Dr. Mahathir menjadi dalang memastikan AUKU dilaksana. Undang-undang bejat ini, berselindung di sebalik alasan mahukan para mahasiswa menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata ternyata merupakan suatu pembohongan. Berpuluh-puluh tahun selepas AUKU dilaksanakan, ternyata Dr. Mahathir mahu melumpuhkan daya fikir anak muda. Beliau sedar anak muda yang kritis pasti enggan bersama kekuasaan yang korup dan menindas.

Kesan "mediocrity" yang membudaya itu ternyata bukan sahaja menjejaskan pembangunan mahasiswa kritis malah telah dengan sengaja mencipta iklim ketakutan, "climate of fear," agar dunia akademik diam membisu dari menyatakan kebenaran. Inilah antara dosa terbesar Dr. Mahathir kerana dengan sengaja mahu memperbodoh masyarakat. Beliau mahukan rakyat iyakan sahaja titahnya. Rakyat dipaksa merajakan Dr. Mahathir.

Dunia akademik yang lesu pastinya menjejaskan mutu pendidikan. Buktinya tiada universiti Malaysia yang disenaraikan Times Higher Education 400 Top World University Ranking untuk tahun 2011/2012. Sedangkan National University of Singapore berada di kedudukan 40 terbaik dari 400 universiti seluruh dunia.

Marilah sekali lagi kita menjenguk pesan pujangga besar Ronggowarsito. Ternyata pujangga itu tidaklah meninggalkan kita terkontang-kanting, gantung tidak bertali tanpa penyelesaian. Beliau memberi saranan bagaimana mahu berhadapan dengan tipu daya UMNO dalam baris akhir bait tersebut. Ronggowarsito mengungkapkan "Seuntung manapun orang gila, masih lebih untung orang yang berwaspada."

Menyedari hakikat ini, kita perlu melakukan reformasi terhadap sistem pendidikan di negara ini. Pendidikan sememangnya menjadi teras kepada pembangunan demokrasi dan masa depan negara bangsa yang lebih baik. Melalui sistem pendidikan yang bebas dan tidak dikongkong oleh kekuasaan politik, maka perkembangan ilmu akan berlangsung dengan baik sekaligus menjadi agen pencerahan kepada rakyat.

Pencerahan yang secara mudah membawa maksud menggalakkan perkembangan pemikiran untuk berlangsung. Kita tidak mahu sistem pendidikan yang hanya melatih generasi muda untuk menghafal dan mengingat secara teknikal. Kita mahu pendidikan yang melatih perkembangan ilmu dan daya fikir melalui tesis, anti tesis dan sentesis yang dilontarkan. Ianya selari dengan slogan pencerahan; 'Sapere Aude' atau beranilah menggunakan kefahaman sendiri.

Keberanian berfikir untuk membongkar pembelengguan jiwa dan minda adalah antara langkah pertama untuk keluar dari segala bentuk eksploitasi manusia ke atas manusia. Eksploitasi atau gerakan pembodohan, pembutaan dan pembisuan ini perlu ditentang sekerasnya untuk membebaskan rakyat dari zulumat atau kegelapan.

Falsafah pendidikan yang berteraskan kekuasaan politik sebagaimana yang berlaku pada hari ini hanya melahirkan mahasiswa dan pensyarah yang pasif serta mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Sedang golongan ini adalah golongan yang seharusnya menyebarkan idea dan memperkembangkan ilmu di kalangan masyarakat, kekuasaan politik hadir untuk menafikan suara dan kebijaksanaan mereka melalui akta-akta yang zalim dan tidak rasional.

Kerana takutkan pensyarah seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dan mahasiswa UKM4 menyatakan kritikan terhadap pemerintah maka mereka dikongkong dari berbicara dengan bebas. Ini mengingatkan saya kepada sajak Taufik Ismail yang berjudul "Takut 66, Takut 98":

Mahasiswa takut pada dosen
Dosen takut pada dekan
Dekan takut pada rektor
Rektor takut pada menteri
Menteri takut pada presiden
Presiden takut pada mahasiswa

Akibatnya kita akan memiliki generasi muda yang pasif. Walhal, seharusnya generasi muda yang mendapat pendidikan universiti adalah agen kepada perubahan.

Alhamdulillah, kita dapat lihat pada hari ini generasi muda serta pensyarah sudah mulai bangkit menyatakan kebenaran. Biarpun masih ada lagi segelintir profesor kangkung yang memperalatkan akademik untuk survival kerjaya mereka, namun kita yakin generasi muda dan sebahagian besar ahli akademik yang lain mempunyai pertimbangan rasional dan kritis untuk meneruskan perjuangan mereka menuntut kebebasan akademik dan autonomi kampus.

Sistem pendidikan yang hanya memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik harus berubah kepada sistem pendidikan yang berupaya melahirkan masyarakat yang inovatif dan mempunyai daya saing yang tinggi. Kita mahu melahirkan generasi muda yang dikenal sebagai generasi tweakers seperti yang diungkap oleh
Malcolm Gladwell dalam rencana The Tweaker: The Real Genius of Steve Jobs.

Dunia yang serba canggih dengan teknologi hari ini tidak akan bermakna tanpa penghayatan kita bahawa segalanya berlaku melalui sebuah proses panjang yang mengerah segenap daya fikir dan imaginasi manusia. Maka menjadi tanggungjawab sistem pendidikan kita untuk melahirkan insan-insan seperti Steve Jobs yang boleh berbangga dengan Apple dan Pixar atau George Lucas dengan siri Filem Star Wars.

Fikiran inilah yang dibawa oleh Malcolm Gladwell dalam rencana di Majalah The New Yorker. Apa yang menjadi perhatiannya ialah kekuatan yang mendasari serta berjaya membangun generasi yang kita kenal sebagai Generasi Tweakers; generasi yang kukuh kekuatan daya ciptanya, berani serta yakin untuk bersaing dengan
sesiapa sahaja namun tidak tercabut dari akar budayanya. Inilah tema sebenar yang harus dibawa oleh sistem pendidikan kita untuk menempuhi cabaran pada masa akan datang sebagai sebuah negara moden.

MELAKAR KEMENANGAN RAKYAT

Pilihan Raya Umum ke 13 adalah Pilihan Raya Umum yang penting buat rakyat Malaysia. Kesemua jentera dan kekuatan harus digerakkan sekarang sebagai penerus kepada momentum yang sedia ada. Sekali lagi kita harus ingat bahawa Pilihan Raya ini bukanlah semata-mata untuk kemenangan KEADILAN tetapi Pilihan Raya ini adalah Pilihan Raya untuk rakyat. Kemenangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bermakna kemenangan rakyat menentang kezaliman dan kebobrokan UMNO.

Selaku mereka yang tergolong sebagai generasi muda, Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN perlu menjadi conscience of majority and minority. Menjadi dhamir rakyat. Kita perlu memastikan supaya gerakan perubahan oleh rakyat terus berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang. Generasi muda perlu menyatakan tekad untuk menerajui perubahan yang bakal berlaku.

Keyakinan kita, rakyat menuntut perubahan. Tidak ada rakyat yang mahu mempertahankan kebejatan yang berlaku. Inilah zeitgeist atau semangat zaman. Nilai dan semangat ini pastinya diterajui oleh generasi muda khususnya pada zaman ini. Zaman dimana generasi muda menerajui perubahan yang berlaku.

Mutakhir ini kita dikejutkan dengan satu gerakan yang menggelar diri mereka 'occupy'. Anak muda di kota- kota besar seperti New York, London dan Portland menyatakan protes terhadap elit korporat dan kekuasaan yang membolot khazanah negara. Mereka membawa slogan bahawa mereka mewakili 99% rakyat. Manakala hegemoni yang terus menerus membolot khazanah negara hanya terdiri dari 1% sahaja.

Ini merupakan cerminan bahawa anak muda menuntut supaya peranan mereka untuk melakukan perubahan diiktiraf. Semangat inilah, semangat zaman, zeitgeist yang sedang membara dalam jiwa generasi muda hari ini.

Begitu juga Arab Spring yang membuktikan bahawa generasi muda mampu menggerakkan perubahan untuk rakyat. Keazaman dan tekad mereka untuk menuntut keadilan, kebebasan dan demokrasi adalah nilai yang seharusnya dikongsi bersama oleh generasi muda di Malaysia. Biarpun jarak kita jauh beribu batu, namun kita harus punya keyakinan bahawa nilai ini tetap akan dikongsi bersama dengan tekad bahawa zaman ini adalah zaman perubahan.

Malah Kung Fu Tze dalam Lun Yu menukilkan "si hai zhi nie jie xiong di" yang bermakna 'empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara'. Maka yakinlah bahawa kita tidak keseorangan dalam perjuangan menuntut perubahan ini.

Kita semua sedang menelusuri liku-liku yang sama. Namun kita perlu terus memastikan agar perubahan ini terlaksana. Biarpun pelbagai serangan yang dilakukan oleh Umno untuk memastikan agar perjuangan kita untuk membela nasib rakyat ini terencat, kita harus terus mara dengan yakin.

Peringatan keras untuk Umno, apa pun konspirasi untuk memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim, kami anak-anak muda dan wanita berikrar akan bangkit meruntuhkan tembok kezaliman penjara untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Pakatan Rakyat telah sepakat bahawa Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat sudah bersedia. Kita sudah ada Dasar Bersama, kita sudah ada Buku Jingga, kita sudah ada Belanjawan Pakatan Rakyat. Kita sudah bersedia ke Putrajaya. istiqamah, pintu kebenaran akan terbuka luas dan kita perlu memimpin rakyat untuk terus melaksanakan perubahan.

Yakinlah teman-teman seperjuanganku,

Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia yang
demokratik
Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia yang
makmur
Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia yang
aman dan harmoni
Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia yang
bebas
Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia Baru
milik rakyat

Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Gombak.

Ucapan Dasar Timbalan Presiden ini disampaikan pada 25 November 2011 di Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-8 yang diadakan di Pulai Spring Resort, Johor Bahru.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23522

Tiada ulasan:

Nuffnang