Sabtu, 5 November 2011

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


SOALAN PERSIDANGAN DUN N.SEMBILAN 21hb NOV 2011

Posted: 04 Nov 2011 07:29 AM PDT

SOALAN – SOALAN LISAN DAN BERTULIS
PERSIDANGAN KETIGA (BELANJAWAN)
PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI KE 12

SOALAN LISAN DARI ADUN PAROI
(OLEH YB HJ MOHAMAD TAUFEK BIN ABD GHANI)

HARI PERTAMA PERSIDANGAN DUN N.SEMBILAN 21hb NOV 2011(ISNIN)

SOALAN 1

PROGRAM SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI DAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE 54

Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 pada tahun ini ,Kerajaan Negeri Sembilan telah mengadakan banyak majlis sambutan di seluruh negeri;

a. Sila nyatakan jumlah majlis sambutan yang telah diadakan pada tahun ini mengikut DUN.

b. Berapakah kos mengadakan majlis-majlis tersebut dan dari manakah sumber kewangan diperolehi bagi menampung kos tersebut?


SOALAN 2

PASUKAN HOKI YAYASAN NEGERI SEMBILAN (YNS)

Pasukan hoki YNS adalah merupakan antara pasukan Hoki yang disegani di dalam Liga Hoki Malaysia.

a. Berapa orangkah pemain import di dalam pasukan hoki YNS dan berapakah kos yang dibelanjakan oleh YNS bagi mendapatkan pemain import tersebut?

b. Berapakah elaun bulanan yang diterima oleh setiap pemain import tersebut?


SOALAN 3

MENARA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN (MAINS)

Menara MAINS yang sedang di dalam pembinaan bakal menjadi mercu tanda baru di bandar Seremban;

a. Berapakah kos sebenar projek tersebut dan siapakah kontraktor yang dipilih bagi membina menara ini?

b. Apakah rasional bagi pihak MAINS untuk menjalankan projek pembinaan Menara MAINS ini?


SOALAN LISAN DARI ADUN PAROI
(OLEH YB HJ MOHAMAD TAUFEK BIN ABD GHANI)

HARI KE 2 PERSIDANGAN DUN N.SEMBILAN 22hb NOV 2011 (SELASA)

SOALAN 1

PERSIMPANGAN LAMPU TRAFIK DI TAMAN TUANKU JAAFAR

Persimpangan yang berhampiran dengan SK Taman Tuanku Jaafar ini merupakan kawasan yang sering mengalami kesesakan terutamanya di waktu pagi antara jam 7 pagi hingga jam 830 pagi setiap hari bekerja dan hari persekolahan. Disebabkan kesesakan ini juga menyebabkan kadar kemalangan di persimpangan ini juga semakin meningkat.

Apakah perancangan pihak kerajaan Negeri khususnya pihak MPS dan jabatan yang berkaitan dalam mengatasi msalah ini?

Apakah kerajaan tidak bercadang membina jejantas bagi memudahkan murid-murid sekolah melintasi jalan yang sesak ini dan berjaya mengelakkan berlakunya kemalangan yang melibatkan murid-murid sekolah tersebut?

SOALAN 2

STATUS TANAH BAGI PENDUDUK-PENDUDUK KG PASIR LINSUM , SILIAU ,RANTAU.

Kebanyakan penduduk-penduduk di Kg Pasir Linsum telah menduduki kampung tersebut selama lebih 20 tahun tetapi mereka masih tidak diberikan geran bagi tanah yang mereka duduki.

(a) Berapa orangkah penduduk di Kg Pasir Linsum ini dan berapa orangkah yang telah mendapat geran tanah mereka?

(b) Apakah masalah yang menyebabkan penduduk-penduduk tersebut masih tidak diberi geran tanah tersebut?

SOALAN 3

CAWANGAN UNIVERSITI AL-AZHAR DI REMBAU

Beberapa tahun yang lalu , kerajaan Negeri Sembilan ada mengisytiharkan dalam dewan yang mulia ini tentang cadangan ditubuhkan cawangan Universiti Al-Azhar di Rembau.

(a) Apakah status cadangan tersebut?

(b) Apakah halangan-halangan yang menyebabkan projek tersebut tidak berjaya direalisasikan?

SOALAN LISAN DARI ADUN PAROI
(OLEH YB HJ MOHAMAD TAUFEK BIN ABD GHANI)

HARI KE 3 PERSIDANGAN DUN N.SEMBILAN 23hb NOV 2011 (RABU)

SOALAN 1

PROGRAM "WORK AT KL , STAY IN SEREMBAN"

Program ini bertujuan untuk merangsang orang-orang yang bekerja di Kuala Lumpur supaya membeli rumah dan tinggal di Seremban.

Apakah program ini berjaya mencapai matlamatnya dan adakah kerajaan mempunyai data tentang pencapaian program ini? Jika ada, sila nyatakan data tersebut.

Jika program ini tidak mendapat sambutan , apakah yang menyebabkan kegagalan tersebut?


SOALAN 2

BANJIR KILAT

Pembangunan di kawasan Senawang dan Paroi semakin rancak berlangsung dan melibatkan banyak pembinaan taman perumahan dan rumah-rumah kedai. Antara tempat yang sering berlaku banjir lumpur adalah di laluan berhampiran SK Taman Tasik Jaya dan berhampiran projek pembinaan rumah kedai di hadapan Matahari Height.

a. Apakah perancangan kerajaan supaya pembangunan ini dapat diseimbangkan dengan pembinaan sistem perparitan yang baik bagi mengelakkan berlakunya banjir kilat terutama ketika hujan lebat?
b. Apakah peraturan-peraturan Majlis Perbandaran berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan di tapak projek yang perlu dipatuhi pihak pemaju?


SOALAN 3

ELAUN DATO-DATO ADAT DI NEGERI SEMBILAN

Institusi Adat merupakan institusi yang penting di Negeri Sembilan.

(a) Apakah jumlah elaun yang diterima oleh semua Dato-dato Adat mengikut kedudukan mereka?

(b) Apakah kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan elaun mereka bersesuaian dengan kos hidup yang meningkat dan tanggungjawab mereka yang semakin berat?

SOALAN – SOALAN UNTUK JAWAPAN BERTULIS PERSIDANGAN DUN NS

PERSIDANGAN KETIGA (BELANJAWAN) PADA 21 NOVEMBER , 22 NOVEMBER DAN 23 NOVEMBER 2011

PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI KE 12


SOALAN 1

PUSAT HALAL-HUB

Pusat sehenti atau berpusat berperanan untuk menempatkan kilang-kilang atau industri dalam pembuatan makanan halal yang mempunyai beberapa keperluan penting , khususnya dalam bentuk kawalan dan garispanduan yang ditetapkan. Kerajaan Negeri telah menyediakan Pusat Halal-Hub antaranya di Kawasan Perindustrian Pedas Perdana :

Nyatakan berapa kilang dan jenis industri (pembuatan makanan) yang terlibat yang telah membuka operasi di kawasan tersebut. Apakah syarat-syarat bagi menempatkan operasi kilang di Pusat halal-hub tersebut?

Apakah sasaran dari segi jumlah kilang yang beroperasi dan status sambutan yang diterima? Nyatakan bentuk kempen-kempen yang diadakan bagi menarik industri yang berkaitan untuk beroperasi dikawasan tersebut dan kejayaan yang dicapai.


SOALAN 2

TABUNG BENCANA ALAM

Kebanyakan Kerajaan Negeri menyediakan Tabung Bencana Alam sebagai antara pelan tindakan dalam menghadapi keadaan kecemasan dan bencana alam.

Berapakah jumlah peruntukan Kerajaan Negeri Sembilan untuk Tabung Bencana Alam tersebut?

Apakah pelan tindakan atau persediaan Kerajaan Negeri jika sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir besar, gempa bumi, dan sebagainya?

SOALAN 3

SUMBER BARU HASIL KERAJAAN NEGERI SEMBILAN

Dalam memastikan hasil atau pendapatan kerajaan semakin meningkat setiap tahun, kerajaan perlu meneroka sumber pendapatan baru berbanding dengan hasil sediaada melalui cukai tanah, cukai taksiran, sumber mineral dan sebagainya. Pendapatan kerajaan pada tahun-tahun yang lepas hanya mencUkupi untuk menampung perbelanjaan mengurus sahaja ;

Apakah sumber pendapatan baru yang telah kerajaan teroka bagi memastikan pendapatan kerajaan meningkat untuk tahun 2010, 2011 DAN 2012?

Apakah peranan yang telah dimainkan oleh kerajaan pusat terutama agensi-agensi yang berkaitan dalam membantu kerajaan negeri mencari sumber pendapatan baru?


SOALAN 4

KEMUDAHAN PINJAMAN ATAU BANTUAN KEPADA PENIAGA KECIL

Peniaga kecil merupakan antara kelompok yang besar dalam masyarakat. Sebahagian mereka menjadikan perniagaan kecil-kecilan samada sebagai penjaja dan sebagainya sebagai sumber pendapatan tetap, manakala yang lain sebagai mencari pendapatan tambahan terutama mereka yang berpendapatan rendah. Ramai peniagaan kecil mengadu, sukar untuk mendapat pembiayaan untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan :

Adakah kerajaan mempunyai rekod atau data-data mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan? Apakah bentuk bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan atau agensi yang terlibat dalam membantu mereka menjalankan perniagaan ?

Adakan pihak Yayasan Negeri Sembilan menyalurkan semula pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil? Apakah halangan yang menyebabkan bantuan zakat tidak boleh digunakan untuk membantu golongan asnaf menjalankan perniagaan kecil-kecilan berbanding dengan mereka bergantung kepada bantuan tetap atau fakir miskin?


SOALAN 5

PUSAT LATIHAN ORANG KELAINAN UPAYA (OKU).

Berdasarkan perkembangan semasa, terdapat pertambahan terhadap golongan orang kelainan upaya OKU, di Negeri Sembilan. Dikalangan mereka terdapat yang bekerja dan ramai lagi yang membuat aduan sukar mendapat pekerjaan :

Nyatakan bilangan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan sehingga kini dan bentuk-bentuk bantuan yang diberikan bagi membantu mereka.

Berapakah bilangan dan jumlah peruntukan untuk penerima bantuan tetap bagi golongan OKU untuk tahun 2009, 2010 dan 2011 (6 bulan pertama)?

Nyatakan senarai pusat latihan OKU di bawah kendalian kerajaan dan swasta. Apakah syarat-syarat untuk membuka pusat latihan OKU yatim oleh individu atau pihak swasta. Apakah kerajaan melihat kepentingan memberi latihan kepada OKU berbanding memberi mereka bantuan tetap sahaja?


SOALAN 6
OPERASI HOTEL BAJET

Pembukaan dan operasi hotel bajet difaham meningkat secara mendadak mutaakhir ini. Ia berdasarkan permintaan yang tinggi di kalangan perlanggan.

Bagaimanakah kawalan terhadap operasi hotel-hotel bajet ini, khususnya dalam mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja dan belia.

Nyatakan pihak-pihak yang bertanggung-jawab mengeluarkan lesen operasi dan bentuk kawalan atau peraturan yang dikenakan.

Nyatakan jumlah hotel bajet mengikut daerah dan Majlis Perbandaran. Apakah syarat-syarat bagi pembukaan dan operasi hotel bajet tersebut?


SOALAN 7


PEMBINAAN HOSPITAL BAGI DAERAH REMBAU

Kerajaan Negeri melalui kempen pilihanraya ke 12 yang lepas telah mengumumkan pembinaan Hospital Rembau dan perletakan batu asas telah dilaksanakan pada masa tersebut. Setelah lebih 3 tahun berlalu, ia telah di pertegaskan semula oleh salah seorang ADUN baru-baru ini :

Bilakah tarikh sebenar pembinaan hospital tersebut memandang telah terdapat hospital di daerah-daerah lain kecuali di Rembau?

Apakah dasar kerajaan dalam menentukan keperluan untuk membina hospital daerah dan apakah ianya berdasarkan rekod kependudukan yang jelas iaitu berkaitan tentang keperluan hospital berbanding dengan kadar penduduk di sesuatu kawasan atau lokasi?


SOALAN 8

PEMBINAAN GERAI-GERAI BARU BAGI PENIAGA KECIL

Kemunculan peniaga- peniaga kecil melalui pembinaan gerai – gerai tanpa kebenaran dan lesen dari pihak PBT begitu berleluasa, terutama di pinggir bandar Seremban dan Senawang. Ia mengambarkan kesungguhan mereka mencari sumber pendapatan yang halal tetapi kemudahan ruang niaga yang terhad :

Berapa unit pembinaan gerai oleh pihak Majlis Perbandaran Seremban, MPS dan Majlis Perbandaran Nilai, MPN sepanjang tahun 2010 dan 2011?

Apakah ada gerai-gerai yang telah siap dibina tetapi gagal menarik golongan peniaga untuk menyewa gerai-gerai tersebut?
Adakah pembinaan gerai-gerai tersebut mencukupi untuk menampung peniaga-peniaga kecil yang sediaada?

Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk membina gerai yang teratur di lokasi yang stretegik di Senawang/Paroi untuk menempatkan peniaga-peniaga kecil (makanan) berhampiran Taman Ixora ( berhadapan dengan klinik Tawakkal) dan berhampiran Taman Matahari Height (jalan Kg. Sentosa – Senawang).


SOALAN 9

PEMBERIAN TANAH UNTUK GENERASI KE 2 FELDA

Difahamkan pada persidangan-persidangan yang lalu , YAB Menteri Besar bersetuju untuk memberi tanah kepada generasi anak-anak peneroka Felda yang memerlukan.

(a) Apakah status terkini usaha kerajaan negeri tersebut?

(b) Apakah halangan-halangan yang timbul dalam menjayakan usaha kerajaan Negeri Sembilan tersebut?


SOALAN 10


PROJEK NAIKTARAF JALAN KE KG ESOK, CHENNAH

Projek ini merupakan projek yang perlu bagi memastikan rakyat khususnya di pedalaman mendapat kemudahan infrastruktur yang baik.

(a) Apakah status projek tersebut dan berapakah kos sebenar projek tersebut?

(b) Adakah projek ini diberikan secara runding terus ("Direct Negotiation") atau secara tender terbuka ("Open Tender")? Siapakah yang berjaya mendapat kontrak tersebut?

SOALAN DUN N.SEMBILAN 8hb OGOS 2011

Posted: 04 Nov 2011 07:25 AM PDT

SOALAN – SOALAN LISAN DAN BERTULIS
PERSIDANGAN KEDUA
PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI KE 12

SOALAN LISAN DARI ADUN PAROI
(OLEH YB HJ MOHAMAD TAUFEK BIN ABD GHANI)

HARI PERTAMA PERSIDANGAN DUN N.SEMBILAN 8hb OGOS 2011(ISNIN)

SOALAN 1

PROGRAM HIBURAN SEMASA BULAN RAMADHAN

Seringkali terdapat pihak swasta yang sering mengadakan Ekspo Hiburan Ria (Funfair) di kawasan lapang berhampiran Dataran Senawang (belakang Restoran Mac Donald) walaupun dalam bulan puasa yang mulia iaitu bulan Ramadhan;

a. Adakah kerajaan Negeri Sembilan melalui pihak berkuasa tempatan tidak berhasrat untuk tidak membenarkan aktiviti seperti itu dijalankan di dalam bulan Ramadhan?

b. Berapakah hasil pendapatan pihak berkuasa tempatan dari program tersebut dalam tempoh sebulan?


SOALAN 2

KENAIKAN HARGA BARANG KEPERLUAN

Kenaikan harga barang keperluan ini semakin serius dan kelihatan seolah-olah seperti tidak dapat dikawal lagi, semuanya berpunca dari kenaikan harga minyak diesel dan petrol juga NGV. Ianya dijangka semakin melambung lebih-lebih menjelang bulan Ramadhan dan Aidil Fitri ;

a. Bagaimanakah kerajaan negeri boleh membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang keperluan ini?

b. Apakah perancangan Kerajaan Negeri Sembilan untuk membendung kenaikan harga barang makanan dan keperluan menjelang bulan Ramadhan dan Sambutan Hari Raya Aidil Fitri?

SOALAN 3

GEJALA PONTENG SEKOLAH

Gejala ponteng sekolah semakin serius khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar. Pelajar-pelajar sekolah semakin berani ponteng sekolah walaupun mereka dihantar ke sekolah oleh pihak ibubapa tetapi sebenarnya mereka tidak hadir ke sekolah sebalik-baliknya melepak di sekitar kawasan sekolah. Ini berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang berada di kawasan pinggir bandar seperti di Taman Marida , Taman Seri Pagi ataupun di Rumah Rakyat Panchor.

a. Berapa orangkah pelajar yang ditangkap kerana kesalahan ponteng sekolah pada tahun 2010 dan selama 6 bulan dari bulan Januari 2011 hingga Jun 2011?

b. Apakah usaha pihak kerajaan khususnya melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan bagi mengatasi gejala ponteng sekolah ini?


SOALAN LISAN DARI ADUN PAROI
(OLEH YB HJ MOHAMAD TAUFEK BIN ABD GHANI)

HARI KE 2 PERSIDANGAN DUN N.SEMBILAN 9hb OGOS 2011 (SELASA)

SOALAN 1

TANAH PERKUBURAN UMAT ISLAM

Kini terdapat tiga buah tanah perkuburan yang boleh digunakan oleh umat Islam di sekitar bandar Seremban iaitu di Tanah Perkuburan Islam Makam Hj Said Seremban , Tanah Perkuburan Islam di Paroi Jaya dan Tanah Perkuburan Senawang berhampiran Taman Sri Kasih. Namun , hanya Tanah Perkuburan Islam yang masih mampu menampung keperluan umat Islam tetapi 2 buah lagi Tanah Perkuburan telah hampir penuh digunakan.

Mengikut statistik terkini di mana kepadatan penduduk khususnya umat Islam semakin meningkat , apakah perancangan kerajaan Negeri Sembilan bagi menyediakan tanah perkuburan yang baru di dalam kawasan Seremban?

Apakah usaha kerajaan negeri bagi menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan tanah perkuburan Islam sedia ada khususnya Tanah Perkuburan Makam Hj Said yang mana ianya terdedah kepada tanah runtuh terutama di kawasan yang berhampiran dengan tebing sungai?


SOALAN 2

PENGGUNAAN ALAT MULTIMEDIA SEWAKTU KHUTBAH JUMAAT

Di kebanyakan masjid-masjid di sekitar bandar Seremban telah dipasang alat multimedia bagi digunakan sewaktu khutbah Jumaat dibaca. Malangnya penggunaannya amat jarang sekali dan kini ianya dilihat seperti projek "Gajah Putih" sahaja.

(a) Kenapakah alat multimedia ini tidak dapat digunakan secara optima demi kebaikan umat Islam khususnya dalam usaha meningkat kefahaman Islam melalui khutbah Jumaat?
(b) Berapakah jumlah kos yang telah dibelanjakan oleh pihak masjid , pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan ataupun pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bagi memasang alat multimedia tersebut?
SOALAN 3

KAWASAN LOMBONG BIJIH TIMAH DI KAWASAN PERAIRAN LAUT DI KUALA LINGGI MELAKA

Mengikut maklumat yang diterima, pihak kerajaan Negeri Melaka telah mewartakan satu kawasan perairan laut di Kuala Linggi sebagai kawasan lombong bijih timah dan kini menjadai hasil pendapatan bagi kerajaan Negeri Melaka.

(a) Apakah kerajaan Negeri Sembilan tidak berhasrat untuk melihat wujudnya kemungkinan perkara yang sama sesuai dilaksanakan di perairan Negeri Sembilan?

(b) Adakah pihak kerajaan Negeri Sembilan tidak mengkaji samada lombong bijih timah di negeri Melaka ini berada di kawasan sempadan perairan Negeri Sembilan dan ada kemungkinan ianya telah memasuki sempadan Negeri Sembilan?


SOALAN – SOALAN UNTUK JAWAPAN BERTULIS PERSIDANGAN DUN NS

PERSIDANGAN KEDUA PADA 8 OGOS 2011 DAN 9 OGOS 2011
PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI KE 12


SOALAN 1


CUKAI TAKSIRAN

Cukai Taksiran adalah merupakan hasil tahunan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang digunakan untuk tujuan pengurusan, projek dan penyenggaraan setempat untuk manafaat pembayar cukai.

c. Berapakah cukai taksiran yang dikenakan mengikut kategori di bawah Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN)?

d. Bilakah tarikh kali terakhir cukai taksiran tersebut dinaikkan dan berapakah peratus jumlah kenaikan tersebut?

e. Adakah pihak Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai mempunyai perancangan untuk menaikkan cukai taksiran bagi kedua-dua Majlis Perbandaran tersebut pada tahun 2011 dan tahun 2012 ini?


SOALAN 2


BANDARAYA SEREMBAN

Pengumuman tentang Bandar Seremban akan dinaiktaraf sebagai Bandaraya Seremban telah dibuat beberapa kali , yang terakhir akan dilaksanakan pada tahun 2010 yang lalu tetapi sehingga kini ianya belum menjadi kenyataan.

c. Apakah punca-punca atau faktor-faktor yang menyebabkan pengisytiharan Seremban sebagai Bandaraya terpaksa ditangguhkan ?

d. Apakah perancangan Kerajaan Negeri Sembilan bagi mempercepatkan usaha-usaha menjadikan Seremban sebagai Bandaraya?

e. Adakah cukai taksiran di dalam bandar Seremban akan dinaikkan apabila ianya telah diisytiharkan sebagai Bandaraya Seremban?






SOALAN 3

PEMBINAAN LAPANGAN TERBANG TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA (TUDM) DI LABU


YAB Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan projek untuk membina sebuah lapangan terbang di Labu, Negeri Sembilan bagi menggantikan Lapangan Terbang TUDM di Sungai Besi.

(a) Berapakah keluasan tanah yang telah dijual kepada kerajaan pusat untuk projek tersebut? Sila nyatakan keluasan tanah tersebut milik kerajaan negeri dan berapakah keluasan tanah yang dijual tersebut milik rakyat?

(b) Berapakah harga sekaki persegi yang dibayar kerajaan persekutuan kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk membeli tanah tersebut?

(c) Berapakah harga sekaki persegi tanah milik rakyat yang diambilalih oleh kerajaan Negeri Sembilan?

(d) Adakah terdapat kes pengambilalihan tanah milik rakyat ini yang dibawa ke mahkamah akibat tidak puas hati dengan harga tanah yang dibayar oleh kerajaan Negeri Sembilan?


SOALAN 4

PENUBUHAN KELAS AGAMA DAN FARDHU 'AIN (KAFA) YANG BARU


Terdapat beberapa kawasan perumahan yang ingin menubuhkan Kelas Agama dan Fardhu 'Ain bagi mendidik generasi muda di kawasan tersebut.

(a) Benarkah semua permohonan baru bagi menubuhkan KAFA pada tahun ini telah dibekukan?

(b) Apakah alasan-alasan bagi pembekuan tersebut dilakukan?

(c) Bilakah penubuhan KAFA baru akan dibuka semula?








SOALAN 5

RUMAH KEDIAMAN UNTUK PEKERJA ASING DI TAMAN PERUMAHAN

Terdapat banyak pihak majikan yang menyewa rumah-rumah di Taman Perumahan di sekitar Senawang untuk dijadikan rumah kediaman bagi pekerja-pekerja asing mereka. Perkara ini telah menyebabkan timbul masalah gejala sosial yang serius.

(a) Apakah tindakan kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan bagi mengawal dan mengatasi permasalahan ini?

(b) Bolehkah pihak kerajaan berbincang dengan pihak majikan khususnya kilang-kilang memilih kawasan yang jauh dari taman perumahan sebagai rumah kediaman pekerja-pekerja asing sebagai contoh kawasan rumah kedai di Bandar Seremban Selatan?

(c) Berapakah kes pergaduhan dan kes pembunuhan yang melibatkan pekerja asing yang berlaku di kawasan rumah kediaman pekerja-pekerja asing tersebut di Negeri Sembilan bagi sepanjang tahun 2011 dan sehingga Jun 2011? Dan apakah usaha kerajaan Negeri untuk mengatasi kes seperti ini?


SOALAN 6

KEJADIAN MANGSA LEMAS DI KAWASAN HUTAN LIPUR ULU BENDUL, KUALA PILAH

Baru-baru berlaku kejadian yang disebut sebagai "Kepala Air" yang menyebabkan 3 orang kanak-kanak dibawa arus deras dan akhirnya dijumpai mati lemas di Kawasan Hutan Lipur Ulu Bendul.

(a) Adakah pihak yang berkaitan telah mengkaji apakah punca sebenar kepada kejadian tersebut?

(b) Mengikut maklumat dari para peniaga di kawasan tersebut , sejak kejadian tersebut didapati kehadiran pengunjung semakin berkurangan. Apakah usaha pihak kerajaan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengunjung di kawasan tersebut?

(c) Difahamkan antara punca kejadian "Kepala Air" yang menyebabkan paras air Sungai Terachi berhampiran kawasan tersebut naik secara mendadak. Apakah ada aktiviti-aktiviti yang berlaku di kawasan hulu sungai yang menjadi punca kepada kejadian tersebut?




SOALAN 7

KAWASAN PERUMAHAN RUMAH PANGSA DI DALAM DUN PAROI

Terdapat beberapa kawasan perumahan pangsa di dalam DUN Paroi iaitu Perumahan Pangsa di Taman Cengal Utama , Taman Casuarina , Taman Seri Pagi , Taman Lily dan Taman Tasik Jaya. Kini kebanyakan kawasan perumahan pangsa tersebut telah diserahkan pengurusan penyelenggaraan harta benda bersama kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang dianggotai oleh penduduk setempat.

(a) Adakah semua kawasan perumahan pangsa di dalam DUN Paroi telah diserahkan pengurusan penyelenggaraan kepada pihak penduduk? Sila nyatakan perumahan pangsa yang belum melaksanakannya lagi.

(b) Setakat hari ini, apakah masalah-masalah yang timbul apabila pengurusan rumah pangsa tersebut diserahkan kepada para penduduk?

(c) Apakah usaha kerajaan negeri jika terdapat jawatankuasa yang dipilih tidak mampu menguruskan penyelenggaraan perumahan tersebut dengan baik?


SOALAN 8

STESEN KOMUTER DI SENAWANG DAN SUNGAI GADUT

Kini perkhidmatan komuter oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah beroperasi di Stesen Senawang dan Sg Gadut.

(a) Berapa ramaikah orang yang telah menggunakan perkhidmatan di kedua-dua stesen ini sejak ianya mula dibuka? Adakah ia telah mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak KTM?

(b) Apakah masalah-masalah yang masih wujud di kedua-dua stesen ini yang masih menjadi rungutan pihak pelanggan seperti perkhidmatan kenderaan awam ke kawasan stesen ini, masalah banjir kilat di kawasan tempat letak kereta di Stesen Sungai Gadut atau apa-apa jua masalah yang berkaitan dengan perkhidmatan komuter tersebut?

(c) Perkhidmatan komuter ini juga kerap digunakan oleh para penduduk yang tinggal di Taman Tuanku Jaafar yang bekerja di Seremban dan Kuala Lumpur. Mereka sering menggunakan jalan singkat yang agak semak samun di sebelah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Senawang, Jalan Tampin dan ini membahayakan keselamatan pengguna-pengguna perkhidmatan tersebut. Apakah usaha pihak KTM dan pihak Majlis Perbandaran Seremban bagi mengatasi masalah ini sekaligus dapat meningkatkan bilangan pengguna perkhidmatan komuter tersebut?

SOALAN 9

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA KERAJAAN NEGERI SEMBILAN

Difahamkan kini hanya tinggal 2 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang masih di bawah Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Institiut Tahfiz Al-Quran (ITQAN) , Gemencheh dan Maahad Ahamadi , Gemencheh.

(a) Sekolah Menengah Agama Sains , Selaru , Kuala Pilah telah diserahkan kepada kerajaan persekutuan baru-baru ini. Kenapakah kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan menyerahkan sekolah tersebut kepada kerajaan persekutuan?

(b) Apakah kerajaan Negeri Sembilan mendapat apa-apa pembayaran hasil dari penyerahan tersebut?

(c) Adakah kerajaan Negeri Sembilan berhasrat untuk menyerahkan 2 buah sekolah lagi kepada kerajaan persekutuan? Jika ya , kenapa dan bilakah jangkaan tarikhnya?


SOALAN 10


CADANGAN MEMBINA KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI SEMBILAN YANG BARU.


Difahamkan bahawa tapak pembinaan kompleks tersebut terletak di Bandar baru Sendayan.

(a) Apakah alasan-alasan kerajaan negeri membina kompleks pentadbiran yang baru sedangkan bangunan sedia ada masih elok dan sempurna (tiada kerosakan serius)?

(b) Dimanakah lokasi sebenar tapak kompleks tersebut dan siapakah pemilik tanah tersebut?

(c) Berapakah kos sebenar pembinaan kompleks tersebut dan dari manakah sumber kewangan bagi membiayai pembinaan kompleks tersebut? Berapa peratuskah proses pembinaan tersebut telah berjalan?

Tiada ulasan:

Nuffnang