Sabtu, 5 November 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


Selamat Hari Raya Eidul Adha

Posted: 05 Nov 2011 06:30 AM PDT

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua Muslimin dan Muslimat. Semoga kita berjaya menghayati semangat pengorbanan dalam mencari kereDhaan Allah. "Tidak sekali-kali akan sampai pada Allah daging-daging dan darah binatang yang dikorbankan. Akan tetapi yang akan sampai adalah keTaqwaan kamu.." Al-Hajj 37.

9 Zulhijjah 1432H
KHALID SAMAD

Kenyataan Penuh Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor: Seksualiti Merdeka 2011

Posted: 05 Nov 2011 03:13 AM PDT

PAS Selangor sememangnya memahami perkembangan dan pembangunan pemikiran manusia yang sedang pesat berlaku di dunia semasa ini. Ianya bertujuan untuk menghasilkan tamadun manusia terbaik berpandukan pengalaman dan kuasa pemikiran manusia. Ianya dilakukan tanpa apa-apa batasan atau halangan, sama ada dari faktor kebudayaan, kebiasaan atau kepercayaan keagamaan.

PAS secara umumnya menyokong usaha untuk membebaskan manusia dari halangan-halangan kekolotan dan kepercayaan tahyul yang tidak berasas.

PAS menganggap kebebasan ini amat penting untuk membangunkan tamadun manusia yang maju dan aman. Namun, kebebasan ini bukan kebebasan mutlak kerana bagi PAS, umat Islam mempunyai panduan dari Allah dalam bentuk Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW).

Panduan ini, sambil menggalakkan kebebasan berfikir ini, meletakkan batas-batas tertentu supaya manusia tidak terlanjur dari matlamat ciptaannya sendiri dan rosak sehingga mendatangkan kerosakan di dunia dan juga di akhirat.

Di antara persoalan yang diusahakan sekarang ialah 'kebebasan seksual' dan 'seksualiti demokratik' di mana persoalan hak LGBT atau 'Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual' ingin diperjuangkan golongan tertentu dengan menganggap ianya merupakan di antara 'hak asasi manusia'.

Tanggapan sebegini adalah berdasarkan keyakinan bahawa manusia wujud tanpa adanya suatu perancangan dan matlamat yang jelas dan sebaliknya adalah hasil dari suatu kebetulan. Oleh itu, mengikut fahaman mereka, setiap manusia berhak untuk mengejar apa jua kecenderungan asalkan ianya tidak menyakiti pihak yang lain.

Amat jelas bahawa dari pandangan Islam, manusia diletakkan di atas bumi ini mengikut perancangan Maha Pencipta di mana, antaranya, lelaki hendaklah berkahwin dengan wanita demi memakmurkan bumi Allah. Perhubungan lelaki dan wanita dalam institusi kekeluargaan merupakan sesuatu yang saling membantu dan sesuai dengan fitrah manusia. Oleh itu, persoalan LGBT tidak dapat diterima atau dipersetujui oleh PAS.

Berdasarkan penjelasan ini, adalah jelas bahawa program yang seperti ini tidak boleh diterima oleh PAS. Kita menyeru semua, lebih-lebih lagi ummat Islam, untuk menolak program ini dan memahami bahawa ianya tidak ada kena mengena dengan persoalan hak asasi manusia.

Dari sudut pandangan Islam, hak asasi manusia adalah hak untuk menghayati dan memenuhi peranannya sebagai makhluk yang dijadikan Allah ia itu sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ini meliputi hak bersuara, menentang kezaliman, hidup bebas dengan kehormatan tanpa ancaman ditahan tanpa perbicaraan dan sebagainya.

Program yang memperjuangkan 'hak LGBT' adalah dari sudut Islam bukan bertujuan memperjuangkan hak asasi manusia. Sebaliknya ia memperjuangkan cara hidup songsang yang menjatuhkan martabat manusia sehingga terpesong jauh dari fitrah manusia itu sendiri.

Pada masa yang sama, PAS menyedari wujudnya masalah identifikasi seksualiti di kalangan golongan tertentu. Golongan yang sedang keliru dan berada dalam dilema ini perlu dibantu dan bukan dicaci. Masalah ini perlu ditangani melalui perbicangan dan perbahasan untuk mengukuhkan pendirian seseorang untuk berpegang kepada fitrahnya. Mereka perlu diberi kekuatan untuk menolak kecenderungan yang songsang dan bukan diberikan galakan untuk mengikutnya.

Akan tetapi, di mana masalah ini adalah semula jadi dan bukan suatu pilihan yang tersilap, maka penyelesaian lain perlu dikaji, dikenal pasti dan dipertimbangkan.

Dengan itu PAS menyeru Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan panduan dalam perkara ini.

PAS juga menyeru agar badan-badan keagamaan selain Islam turut menjelaskan pendirian dan sama-sama membantu dalam menangani permasalahan ini.

PAS Selangor juga bersedia dengan sikap terbuka untuk mengadakan pertemuan, diskusi dan dialog dalam mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan ini.

YB Dr Abd Rani Osman
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
4 Nov 2011

Video: Perbahasan Bajet 2012

Posted: 05 Nov 2011 03:09 AM PDT



Video ihsan MPPAS
-Pejabat YB Khalid Samad-

Tiada ulasan:

Nuffnang