Isnin, 10 Oktober 2011

PARLIMEN BUKIT GANTANG

PARLIMEN BUKIT GANTANG


Politik yang halang hudud, bukan perlembagaan .

Posted: 09 Oct 2011 09:33 PM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Sikap negatif dan kefahaman yang salah menjadi punca mengapa tekad politik (political will) untuk melaksanakan hukum hudud tidak wujud di Malaysia.

Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta menjelaskan halangan sebenar pelaksanaan undang-undang itu di negara ini.

Tambahnya perlembagaan tidak menghalang kerana tidak ada peruntukan yang menuju ke arah itu.

Sebaliknya, beliau menambah, jika perlembagaan dibaca dengan betul dan tidak prejudis hudud boleh dilaksanakan.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Kanan IDEAS itu berkata sifat perlembagaan yang kononnya sekular itu pun tidak wujud.

"Tak mengapalah mereka boleh kata perlembagaan apa yang mereka mahu: sekular, taghut, anti-Islam dan sebagainya. Yang penting di dalam perlembagaan tidak ada peruntukan yang menyatakan perundangan Islam tidak boleh dilaksanakan," ujarnya.

Ditanya mengenai Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan Aziz berkata: "Peruntukan ini hanya mengingatkan kita yang segala tindakan dan undang-undang perlu akur dengan batasan perlembagaan. Pendeknya undang-undang, termasuk hudud, perlu dilaksanakan dalam kerangka dan skima perlembagaan.

Pada hakikatnya peruntukan yang didakwa mengkesampingkan Islam itu sebenarnya hendak mempastikan yang perlembagaan ini benar-benar berguna kepada semua orang sebab sekiranya perlembagaan boleh diketepikan maka ia tidak berguna. Itulah maksud Perkara 4(1)".

Dualisme

Mengenai isu diskriminasi dan dualisme dalam perundangan beliau menjelaskan: "Ciri ini sudah wujud lama di Malaysia; kita ada undang-undang sivil dan syariah dan kita mengambil pendekatan tidak mahu memaksakan hukum Islam kepada bukan Islam. Tetapi bagi orang Islam mereka tidak ada pilihan; mereka tertakluk kepada hukum Islam".

Aziz menegaskan pelaksanaan hudud tidak akan menjejaskan hak orang bukan Islam. Ini kerana ia hanya dilaksanakan di kalangan umat Islam sahaja.

"Tetapi apabila hudud tidak dilaksanakan ini adalah satu penafian hak terhadap umat Islam. Ini kerana perlembagaan - melalui Perkara 11(1) - menjamin hak umat Islam untuk menganut agama itu sebagaimana yang dituntut oleh syariat. Hidup di bawah sistem Islam ialah hak umat Islam yang tidak boleh dinafikan," tegasnya.

Mengulas mengenai bidang kuasa jenayah yang diletakkan di tangan persekutuan beliau berkata: "Kita perlu akur bahawa bidang kuasa jenayah di dalam negara kita ada dua; yakni sivil dan syariah. Manakala jenayah sivil adalah bidang kuasa persekutuan jenayah syariah adalah kuasa negeri".

Aziz berkata salah satu hujah untuk pendapat tersebut ialah bidang kuasa mengenai hukum syarak yang diletakkan di tangan negeri. "Kita perlu melihat isu-isu ini dalam konteks yang komprehensif; yakni dengan melihat keseluruhan kerangka dan skima perlembagaan", ujarnya.

Profesor undang-undang UIAM itu berkata mereka yang skeptikal dan anti-hudud sering mengambil pendekatan harfiah yang kaku dan pedantik. Jelasnya: "Dengan itu mereka kemudian menuding kepada bidang kuasa jenayah persekutuan dengan melupakan kenyataan bahawa hukum syarak adalah kuasa negeri dan ia ada konsep jenayahnya sendiri. Golongan anti-hudud juga membuat andaian bahawa Islam dalam perlembagaan kecil dan sempit; sesuatu yang tidak disebut oleh perlembagaan pun.

"Saya berpendapat oleh kerana perlembagaan tidak memberikan tafsiran kepada hukum syarak maka ini perlu dirujuk kepada hukum Islam yang sebenar. Dalam soal ini perlembagaan juga tidak menghalang. Saya berpendapat bidang kuasa itu harus dilihat dalam konteks hukum syarak dan bukan sebaliknya."

Aziz mengakui bahawa pandangan yang dikemukakan itu baru dan sebelum ini beliau sendiri berpendapat bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali oleh persekutuan kerana wujudnya bidang kuasa jenayah tadi.

Boleh laksana tanpa pinda perlembagaan

Katanya perubahan pandangan adalah sesuatu yang biasa dan apa yang dikemukakan sekarang ialah penemuan baru yang memberi isyarat bahawa hudud boleh dilaksanakan tanpa meminda perlembagaan.

Sehingga ini agak ramai yang mempunyai tanggapan bahawa pelaksanaan hudud memerlukan pindaan perlembagaan dan ini bermakna sokongan majoriti dua pertiga di parlimen.

Beliau menjelaskan apa yang perlu dibuat ialah pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mengecilkan bidang kuasa mahkamah syariah. "Saya berasa hairan mengapa parlimen membuat undang-undang atas satu perkara yang bukan miliknya", ujarnya.

Meskipun hudud adalah hak dan kuasa negeri beliau mengakui pelaksanaannya memerlukan bantuan kerajaan persekutuan.

"Bagaimanapun ini adalah satu tanggung jawab di sisi undang-undang dan kerajaan pusat tidak boleh membuat ugutan sebagaimana yang terjadi sebelum ini. Agensi-agensi seperti polis, umpamanya, mempunyai tanggung jawab untuk melaksanakan tugas mereka dan kerajaan pusat tidak boleh halang," katanya.

Aziz berkata sekiranya tafsiran baru ini terus ditentang maka apa yang Kerajaan Kelantan boleh lakukan ialah mengambil langkah-langkah perlu untuk melaksanakan dan terpulang kepada mereka yang menentang tadi untuk membawa isu ini ke mahkamah.

Beberapa tahun lalu bekas pemimpin Umno, Datuk Zaid Ibrahim, pernah membawa isu ini ke mahkamah. Bagaimanapun beliau kemudian menarik balik tindakan itu.

Bagaimanapun ketika Enakmen Hudud Kelantan diluluskan oleh Dun Kelantan pada 1993 semua Adun Umno dalam dewan menyokongnya.

Tiada ulasan:

Nuffnang