Pandangan Ilmuan & Pendakwah Islam
  Terhadap Bajet 2012
 Oleh
 Peserta Liqa Ilmuan Islam
 
 Dengan  nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani, Selawat dan salam  ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya,  sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.
 Kami  sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair dengan ini sukacita  untuk berkongsi sedikit respon kami terhadap bajet 2012 yang baru  dibentangkan Jumaat. Dengan status sebahagian besar kami yang kerap  diajukan soalan berkaitan kehidupan dari pelbagai aspek khususnya dalam  bab agama, kami merasa tanggungjawab untuk menyumbang idea dan ilmu,  justeru kami duduk mengadakan pertemuan di antara ilmuan dan beberapa  pendakwah yang berkesempatan bagi membincangkan BAJET 2012 walau  mengakui kami tidak mempunyai angka-angka lengkap dan terperinci berkait  pembangunan ekonomi Negara. Pun begitu, itu tidaklah menghalang kami  dari memberikan respon dari angka-angka dan cadangan yang termaktub di  dalam buku bajet 2012.
 
 
 Bajet  2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7  peratus. Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan  secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak  komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan  sektor.
 Pun  begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun  lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus. Perlu difahami unjuran hasil  kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna  kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9  billion.
 Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend  menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini.  Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September  2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011  menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan  meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion  bagi hujung tahun ini.
 Berhutang  itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan  konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
 من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله 
 Ertinya : Barangsiapa  yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya,  Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang  meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 ) 
  
 Juga sabda baginda:-
 اللهم  إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم  كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف 
 Ertinya : Ya  Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda  ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai  Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila  berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 ) 
  
 Berdasarkan  hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan  di  antara beberapa peserta pertemuan  ilmuan Islam dan pendakwah terlibat  dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.
 
 
 Secara  ringkas dan mudah, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi  penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-
 A) Sokongan sepenuhnya
 Kami memberikan sokongan sepenuhnya terhadap item-item berikut:-
 - Kewujudan  Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2  billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang  terpilih.
- Potongan  cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada  sukuk mudarabah, BBA, Istisna', murabahah, ijarah.
- Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
- Skim  pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu  dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang  berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada,  sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
- Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship.  Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di  universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang  cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan  kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti  syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
- Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
- Pertukaran  gaji kepada sistem satu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadar RM80 –  RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pada kadar 7-13  peratus.
- Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
- Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
- Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan. 
- Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swasta akan mendapat potongan cukai.
- Pelbagai  program membangun hal asasi di luar Bandar melalui dana bernilai RM5  bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda  diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi. 
- Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
- Jadual  dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60  jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30  ke RM 80 semalaman. 
- Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
- Naik pencen 2 peratus setahun.
- Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta. 
- Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan. 
- Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta. 
- Warga  emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaan sebagai   pesakit  luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan  Monorel 
- Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing. 
- Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
- Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam. 
- Galakan  sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi  rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap,  barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.

 B) Sokongan dan nota perhatian
 Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-
 - Pengecualian  cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hybrid.  Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya meluaskan lagi  galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam industri automatif,  malah juga wajar diberikan potongan cukai atau insentif yang sesuai  kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang mampu beroperasi secara  bersih dan kurang pencemaran melalui sistem 'tekonologi hijau', selain  itu kami juga ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji bagi mengenakan  cukai penalti atau khas kepada mana-mana kenderaan dan kilang yang  mengakibatkan sebaran 'carbon emission' berlebihan kepada persekitaran.
- Pengecualian  cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan perkembangannya. Dengan  kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga khidmat, servis dan makanan  yang disediakan oleh francais terlibat tidak dinaikkan bagi mengelakkan  tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan pihak kerajaan mampu  mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias menaikkan kualiti  perkhidmatan mereka.
- Skim  rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000,  dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu  berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama  suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian  masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan  masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu,  pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung  penjual untuk menaikkan harga rumah lalu  menambahkan risiko kemampuan  peluang golongan ini memperolehi rumah.
- Amanah  ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan 'micro credit', namun diharapkan  agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
- Sistem  bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini  mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem  transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan.. 
- Menggalakkan  Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional buka perkhdimatan  di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman riba 4 peratus. Ia  disokong namun mengapa tiada pilihan dana patuh Shariah? Juga disarankan  agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada badan professional tetapi  juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang ingin mengadakan khidmat  sepertinya.
- SME  'revitalization fund' untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1 juta boleh  diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang disediakan. Walau  bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan memberi pilihan  perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam.
- Bantuan  RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke bawah dalam  usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam  menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan  mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan  peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak  kami mengharapkan kerjaaan mampu merancang tatacara yang boleh digunakan  bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya  akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus  sebanyak setengah bulan gaji. Juga pihak kami juga menegaskan bahawa  agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan  mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, juga  tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN  boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
- Pemilik  teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais dan cukai  jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi tekanan  syarikat kepada pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan adalah  bertambah jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian  permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak.
- KARISMA:  Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin RM 100  sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma melihat  agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan  di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di tempat  awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan memberikan  pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU bekerja  (jika belum ada) 

  
 C) Komentar umum
  
 Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-
  
 - Belanjawan  defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang sihat.  Defisit menyebabkan keperluan kerjaaan untuk meminjam dengan faedah  riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah hutang-hutang  sebelum ini yang 'outstanding' pasti akan semakin menyesakkan. Bajet  kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk menaikkan hasil dan  pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
- Tiada  sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai  agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut dikaji segera  oleh kerajaan kerana bajet sepatutnya memberi perhatian dan sokongan  kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri  Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal Islam.
- Memberikan  galakan kepada industri Kewangan Islam agar melalui pengecualian cukai  bagi pemberian pembiayaan melalui konsep mudarabah dan musharakah (  equity financing) agar ia mula bertapak dengan lebih banyak berbanding  'debt financing'. Kita mengharapkan perbankan Islam ini mampu mencapai  paling kurang 5 peratus pembiayaan melalui sistem ini. 
- Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan.
- Peruntukan  untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga tiada  diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama ada  melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
- Pemberian  konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya yang akan  dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus dengan penuh  integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan rakyat akibat  menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
- Di  dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap pelbagai  perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali 'import tax' untuk  barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
- Terlalu  banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang mengharap dari  bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan khas yang  dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman sahaja. Justeru,  kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan bukan  sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau khas dianggotai  wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk mencatat setiap agihan  yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya secara suku tahunan  (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan rakyat.
- Pengecualian  cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang diberikan sehingga  10 tahun adalah terlalu panjang yang merugikan negara sedang Negara di  dalam kedaaan defisit, kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah  kepada lima tahun sahaja.
- Sekuriti  dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukan dengan peruntukan yang  mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita perlukan peruntukan  khusus untuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik seperti CCTV dan  lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu keselamatan rakyat  jelata.
- 'Green  tax' sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai bagi  syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang  membuat pencemaran diperlukan.
- Bagi  mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap kerajaan  mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini iaitu  pembelian rumah ketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta untuk  memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus  peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga  menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan  (bukan pelaburan), kami meminta pembiayaan dan pinjaman untuk pembelian  rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 %  sebelum ini.
- Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandar tidak disebut di dalam bajet kali ini.
- Selain  memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital swasta dan  klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital swasta yang  kian meningkat kos khidmat mereka.
- Transformasi  sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang baik tetapi plan  kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan keazaman mengelak  ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
- Tidak  disebut kali ini berkenaan cukai barangan 'dosa' ke atas rokok, arak,  judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi pendapatan Negara  dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka yang ingin terjebak  di dalam masalah terbabit.
- Kedai  1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit kecil  terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan KRIM yang 40% lebih  rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh 'membunuh'  kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami  mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di  kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan  pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
- Kadar  keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012 disebutkan  niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari berleluasa  lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan dari 5 % ke  10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami mencadangkan  agar kerajaan mengembalikannya kepda jadual cukai asal iaitu 30% secara  berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih  efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah 5-10 tahun pula  dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh diletakkan cukai  minima sekitar 1 peratus, ia dijangka penting untuk menjana pendapatan  kerajaan.
 
 Akhirnya,  kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa penyampaian  dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan dalam  belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan accountability  yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan benar-benar dirasai  manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami mengingatkan seluruh stakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT:
 إِنَّ  اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا  حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ  نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرً
 "Sesungguhnya  Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada  ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di  antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.  Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang  sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi  sentiasa Melihat". (An Nisa:58)
 Firman Allah juga :
 إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
 Ertinya  : sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja  (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. ( Al-Qasas : 26)
 Sabda Rasulullah SAW:
 "Tiada iman pada orang yang tidak beramanah" (Riwayat Ahmad)
  
  
 Dari kami untuk khidmat masyarakat,
  
 Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)
 Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
 Ustaz Dr. Maszlee Malik
 Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
 Ustaz Syed Mohd Norhisyam
 Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
 Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
 Ustaz Hj Aizam Mas'ud,
 Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,
 Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
 Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,
 Ustaz Ramadhan Fitri Elias,
 Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
 Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'
 Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz
 Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
 Ustaz Shauqi Othman
 Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta
 Dr. Mohd Nizam Barom
Sumber : http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/1001-respon-liqa-ilmuan-a-pendakwah-terhadap-bajet-2012.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan