PARLIMEN BUKIT GANTANG |
Fasa kedua 60 tahun PAS- Ahmad Lutfi Othman Posted: 05 Oct 2011 07:14 PM PDT Kongres Sambutan 60 Tahun PAS yang berlangsung pada 1 Oktober lalu di Pulau Pinang memang meriah dan bersejarah. Hadirin, saya kira 30,000 orang, sebahagiannya di dalam Dewan Milenium "berlagu lutut" pada majlis Rapat Umum Perdana di sebelah malamnya. Pekan Kepala Batas sesak teruk. Saya terpaksa perlahan-lahan menapak agak jauh dari tempat letak kereta. Ramai lagi yang berpusing-pusing mencari parkir. Mujur perut sudah diisi nasi kandar di gerai berdekatan.
Bagaimanapun, pelbagai cerita yang dikongsi daripada setiausaha masjid, Mohd Zamhuri Baharim dan penjaga kubur Mat Indera, Yaakob Din, dapat meringankan sedikit "sakit kepala" saya. Sayang kami tidak dapat memenuhi jemputan makan tengahari PAS kawasan yang disampaikan Bashir Ahmad, pegawai khas Dato' Seri Nizar Jamaluddin untuk Dun Sepetang. II. Selain pengumuman tawaran menarik oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan Alternatif 2012 kepada media, 4 Oktober lalu, beberapa penekanan yang dibuatnya elok juga diberi tumpuan. Di antaranya, Anwar menekankan: "Golongan maha kaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus-lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan maha kaya ini seronok melancong dan berbeli-belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata. "Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35 peratus dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai. "Statistik rasmi dari kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca-merba dan tidak sekata agihan kekayaannya. "40 peratus rakyat Malaysia datang daripada isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. Tiga perempat dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya dalam negara (termasuklah golongan maha kaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% kekayaan negara. "Angka ekonomi negara rendah-rendah belaka, kecuali kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan harga gula melonjak 66%, harga 1 kilogram ayam melonjak 37%; susu bayi, 26%; teh tarik, 25%; dan roti putih, 20%. "Unjuran angka inflasi membayangkan jika keadaan ini berterusan sehingga 2015 akibat kegagalan BN mengawal harga barang, rakyat akan menanggung kos barangan harian yang melonjak 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6%." Justeru, rakyat tiada pilihan selain bertindak menukar kerajaan. Pembolotan khazanah kekayaan negara mesti dihentikan. Rasuah yang membarah bagai tiada kesudahan. Undang-undang tidak mampu menyekat keserakahan nafsu pemimpin Umno-BN dan suku-sakatnya. Pengalaman saya mengikuti beberapa kes rasuah berprofil tinggi membuktikan bahawa peluang untuk melakukan salahguna kuasa hanya dapat ditutup melalui undang-undang yang berat, penguatkuasaan yang tegas dan integriti diri yang tinggi. Begitu banyak ruang dan peluang salahguna kuasa yang tidak mampu dikesan oleh undang-undang, apatah lagi dengan realiti Malaysia Boleh! Dalam masa sama, Dato' Seri Najib Razak tentu tidak akan melepaskan peluang semasa membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat ini, bagi menarik sokongan kepada BN. Pastinya ia bajet terakhir sebelum PRU13 dan usah terkejut dengan tawaran-tawaran itu nanti. |
Ops Lalang: Dewan Rakyat kecoh Posted: 05 Oct 2011 07:50 AM PDT KUALA LUMPUR, 5 Okt: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencabar kerajaan khususnya ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman mendakwanya di mahkamah jika mendapati beliau mengeluarkan kenyataan menghasut. Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga enggan menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat bahawa Pemuda Umno menghasut orang Melayu menyertai himpunan sejuta umat Melayu pada tahun 1987. Mahfuz membangkitkan perkara tersebut sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 dan menimbulkan kemarahan Tajuddin yang memintanya menarik balik dakwaan tersebut. Beliau mendakwa Pemuda Umno ketika itu menghasut Orang Melayu menyertai himpunan tersebut dengan membawa senjata tajam untuk membasahkan darah Orang Cina dan membawa mancis untuk membakar rumah mereka. Menurut Mahfuz, kejadian tersebut menyebabkan Ketua Polis Negara ketika itu terpaksa menghalang himpunan tersebut dengan melakukan operasi lalang yang menyebabkan beliau dan beberapa yang lain ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Operasi Lalang tahun 1987 yang menyebabkan ramai yang menjadi mangsa ISA termasuk saya sendiri dan beberapa orang yang ada dalam Parlimen hari ini, ekoran ketegangan kaum yang berpunca daripada kenyataan Najib mewakili Pemuda Umno dan Lim Kim Sai mewakili MCA. "Berlaku cabar mencabar hingga kepada peringkat nak mengadakan perhimpunan sejuta umat melayu, dibuat road show dengan membuat kenyataan hasut Orang Melayu hadir perhimpunan dan bawa senjata tajam untuk basahkan darah Orang Cina dan bawa mancis api untuk bakar rumah orang cina," katanya. Tajuddin terus bangun meminta beliau menarik balik kenyataan tersebut namun ditegur oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan menyuruhnya duduk. Ekoran itu juga Tajudin yang kecewa dengan tindakan Speaker, keluar meninggalkan dewan. Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen selepas itu, Mahfuz sekali lagi menegaskan beliau tidak akan menarik balik kenyataannya itu kerana mempunyai bukti. "Saya tidak menarik balik kenyataan saya dalam dewan tadi, sebaliknya kalau itu dianggap kenyataan menghasut boleh heret dan dakwa saya di mahkamah. "Saya hanya menyebut sejarah bagaimana isu salah guna kuasa apabila Menteri Dalam Negeri diberi kuasa dan menyalahgunakan kuasanya," katanya yang pernah menjadi Ketua Pemuda PAS sebelum ini. |
You are subscribed to email updates from PARLIMEN BUKIT GANTANG To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan