Khamis, 6 Oktober 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Bila Umno nak tolong Melayu?

Posted: 05 Oct 2011 10:58 PM PDT

Apabila PM menyatakan kuota Bumiputera akan dimansuhkan pada pelancaran NGO Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) untuk melahirkan Melayu baru abad ke-21, semua rakyat menunggu penuh harapan, sama ada PM berkata benar atau akan bertukar nada dan irama sekali lagi?

Tetapi yang timbul dalam hati kecil saya pula adalah selama 54 tahun merdeka dan 41 tahun berkuota Bumiputera, kenapa kebanyakan orang Melayu masih diselubungi kemiskinan bandar apatah lagi luar bandar?

Jadi bila Umno nak tolong semua Melayu? Mari kita lihat pendekatan diambil selama ini untuk membangunkan ekonomi orang Melayu.

Pada tahun 70an, DEB dilahirkan untuk menghapuskan kemiskinan melalui kuota, kemudian pada 90an lahir pula Wawasan 2020 untuk memajukan negara melalui industri berat yang memang 'berat sebelah' keuntungannya dan pada dekad 2010 pula lahirnya Model Ekonomi Baru yang hanya baru pada nama dan lama sama saja pada isi serta kroninya.

Apa yang jelas, ketiga-tiga dasar perdana ini gagal untuk membawa kemajuan ekonomi saksama kerana dasar-dasar ini hanya menjadi alasan untuk kroni berselindung menjadi 'orang tengah' sahaja sementara pelaksanaannya yang berat sebelah dan tidak sama rata, tidak sama rasa dan tidak sama adil adalah untuk semua Melayu lain.

Sebaliknya, rasuah dan ketirisan berdasarkan Dasar Mengkronikan dan bukan Merakyatkan Ekonomi telah memperlihatkan RM50 bilion daripada RM52 bilion saham untuk Bumiputera hilang dijual mudah dan murah, 80 peratus daripada 40 peratus atau 2.4 juta isi rumah berpendapatan rendah kurang RM3,000 sebulan adalah Melayu, 80 peratus daripada lebih 400,000 penganggur adalah Melayu, 80 peratus daripada 80 peratus tenaga kerja berpendidikan SPM atau lebih rendah tanpa kemahiran adalah Melayu dan 80 peratus daripada lebih 1.6 juta peminjam yang hutang PTPTN juga Melayu.

Adakah ini pencapaian yang sepatutnya kita banggakan hasil daripada kuota? Sekiranya Umno ikhlas dan komited untuk menolong semua Melayu menjadi Melayu abad ke-21, Umno mesti bawa reformasi ekonomi dan politik melalui satu revolusi pendidikan yang dapat dilaksanakan melalui pendekatan lompatan gergasi (quantum leap) dan lonjakan paradigma (paradigm shift) dengan menubuhkan satu Tabung Pelaburan Pendidikan Nasional yang akan memacu dan menggandakan usaha pendidikan rakyat secara luar biasa dan luar lingkungan. Inilah strategi lautan biru (blue ocean strategy) yang akan menebus maruah dan mengangkat martabat bangsa melangkau abad ke-21.

Revolusi pendidikan ini bakal melahirkan masyarakat berilmu, mampu bersaing dalam dunia tanpa sempadan dan bangunkan sosioekonomi secara mampan.

Peruntukan tahunan yang dijangkakan untuk menjayakan Tabung ini ialah sebanyak RM20 bilion setahun atau lebih kurang 3 peratus KDNK purata setahun.

Tabung ini yang dirancang untuk berfungsi selama 10 tahun dengan dana RM200 bilion keseluruhannya akan menawarkan lebih 5,000,000 biasiswa dan bantuan pelajaran ke institut pengajian tinggi di dalam dan luar negara, geran penyelidikan dan pembangunan berganda, insentif guru dan pensyarah yang lumayan, membina beribu perpustakaan kecil sebagai pusat ilmu masyarakat dalam dan luar bandar, pembangunan pendidikan teknikal yang menyeluruh, latihan kemahiran golongan pekerja berkualiti dan peningkatan teknologi maklumat untuk pendidikan yang berkesan.

Sumber dana untuk Tabung ini ialah daripada empat sumber asas, iaitu pertama, sumbangan bermandat 20 peratus keuntungan tahunan selepas cukai daripada Petronas dan GLC, kedua daripada sumbangan Pengagihan dan Penstrukturan 20 peratus Ekuiti Bersenarai dan Tidak Bersenarai Bumiputera ke dalam tabung, ketiga daripada sumbangan hasil cukai khusus keuntungan besar peneroka bukan Petronas di dalam Medan Minyak Pinggiran negara (Marginal Oilfileds) dan keempat daripada sumbangan swasta dan peribadi yang dikecualikan cukai.

Sumber dana paling besar adalah daripada khazanah minyak negara yang mesti digunakan untuk mendidik modal insan anak-anak kita yang menjadi khazanah sebenar negara.

Sememangnya Revolusi Pendidikan ini menjadi ujian sama ada Umno memang benar-benar menolong semua orang Melayu atau hanya segelintir kroni Melayu.

Sebagai tanda ikhlas, mari kita lihat jika gagasan Tabung Revolusi Pendidikan ini diberi perhatian, disebut dan dirujuk oleh PM dalam pembentangan bajet Jumaat ini atau sebaliknya.

(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian, 5 Oktober 2011)

Tiada ulasan:

Nuffnang