Isnin, 17 Oktober 2011

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Dua mayat warga asing reput dan berulat ditemui di Gerik

Posted: 17 Oct 2011 06:15 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

GERIK: Dua mayat dipercayai warganegara asing ditemui dalam keadaan reput dan berulat di bawah Jambatan Kupang, Jalan Gerik-Kupang kira-kira jam 1 petang tadi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dipercayai rakan mereka ditemui masih hidup dalam keadaan tidak bermaya berhampiran dua mayat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manaf Bahari ketika dihubungi mengesahkan penemuan dua mayat itu dan mengesyaki ia berunsurkan jenayah.

Katanya, dua mayat itu dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala seorang lagi lelaki yang ditemui masih hidup dirawat di hospital sama.

TM sudah kenakan cukai 6% sejak Mac

Posted: 17 Oct 2011 02:00 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Para pengguna telefon, khususnya pelanggan-pelanggan Telekom Malaysia Berhad (TMB) yang mendapatkan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di negara ini, mungkin tidak menyedari cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus sudahpun dikenakan ke atas mereka sejak bulan Mac lalu.

Meskipun terdapat kenyataan daripada pihak TM yang mengatakan pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti, kenyataan tersebut ternyata meleset.

Seorang pelanggan TMB, Rizal Ibrahim, 37, dari Damansara Damai, Selangor, menjelaskan, kenyataan itu boleh dibuktikan menerusi bil yang diterima pada bulan Mac lalu khususnya bagi bil bulan Februari 2011.

Menurut beliau, perkara itu disedari setelah beliau meneliti bil TMB yang diterimanya pada bulan Mac lalu yang didaftarkan atas nama isterinya, Rosyati Omar bagi mendapatkan perkhidmatan telefon dan multimedia daripada syarikat itu.

Katanya, beliau amat terkejut apabila menyedari perkara itu kerana sebelum itu para pelanggan hanya dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 5 peratus sahaja. (Gambar atas)

"Ini menunjukkan cukai tersebut telah dinaikkan dalam diam. Untuk menyembunyikan cukai sebanyak 6 peratus itu pula, ia tak ditulis di bahagian depan bil seperti sebelumnya, tetapi di bahagian belakang bil, manakala di bahagian hadapan hanya ditulis dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sahaja," katanya ketika menghubungi Harakahdaily. (Gambar bawah)

Harakahdaily pada 11 Oktober lalu melaporkan, pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti.

Berdasarkan laporan sebuah blog really.tigaline.com, perkara itu disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka.

Blog itu telah menyiarkan rakaman perbualan dengan operator TM bagi membukti perkara itu. Ini bermakna hanya cukai prabayar sahaja yang ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan yang dibuat oleh rakyat Malaysia baru-baru ini.

12 September lalu, media melaporkan, cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadualkan mulai 15 September ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri, di sini, pada hari itu.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Rizal berkata, beliau amat kesal dengan tindakan pihak TMB kerana menaikkan cukai tersebut tanpa dimaklumkan secara rasmi kepada para pelanggannya terlebih dahulu.

"Selain itu, tindakan tersebut telah dilakukan lebih awal dari yang dinyatakan itu sehingga menyebabkan para pelanggan keliru dan tertipu dengan realiti sebenar," katanya yang juga seorang peniaga.

harakahdaily/-

Himpunan anti murtad: PAS beri sokongan bersyarat...

Posted: 17 Oct 2011 01:40 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PAS Selangor akan hanya menyokong konvensyen Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober ini jika penganjurannya bertujuan memantapkan akidah umat Islam dan bukannya menimbulkan ketegangan agama di negara ini.

Bercakap pada sidang akhbar hari ini, pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata PAS berharap penganjuran himpunan itu tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.

"Sebarang usaha untuk melaga-lagakan antara penganut-peganut pelbagai agama dengan tidak terdapat sebarang bukti kesalahan yang diputuskan di mahkmah perlu dijauhi.

"Tindakan seperti ini hanya bertujuan untuk menutup masalah yang menimpa umat Islam, di mana akidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya dan sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada pihak lain," katanya.

Abdul Rani yang juga ADUN Meru berkata PAS pada dasarnya menyokong usaha memanatpkan akidah umat Islam kerana ia satu-satunya cara membina kekuatan Islam.

Bagaimanapun, pihak penganjur sepatutnya memfokus kepada ancaman sebenar Islam seperti "perkauman, sekularisme dan materialisme" dan membincangkan penyelesaian berhubung ancaman itu.

"Adalah diharap pihak penganjur tidak akan terpengaruh dengan usaha pihak tertentu untuk menimbulkan ketegangan di antara agama di negeri Selangor ini.

"Tindakan sedemikian adalah satu agenda politik dan bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Sekumpulan NGO Islam akan menganjurkan sebuah majlis yang dinamakan Himpunan Sejuta pada Sabtu ini dengan tema "Selamatkan Akidah Umat ".

Menurut laman web kumpulan itu, antara objektif himpunan itu adalah "mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan di kalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011."

Pada 3 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan di premis gereja Methodist di Damansara Utama berikutan terdapat maklumat usaha memurtadkan umat Islam akan dilakukan.

Premis gereja itu digunakan oleh sebuah NGO, Harapan Komuniti bagi majlis makan malam yang turut dihadiri oleh beberapa umat Islam.

Setakat ini, 25 NGO telah mengikrarkan sokongan terhadap Himpunan Sejuta Umat yang dijadualkan di Stadium Shah Alam, termasuk PAS.

malaysiakini/-

Warga Singapura Dirompak Di JB, Akhbar Singapura Pertikai Jaminan Keselamatan Polis Johor

Posted: 17 Oct 2011 01:30 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Belum terjamin... warga S'pura dirompak di JB

MESKIPUN ada jaminan daripada Ketua Polis Johor bahawa negeri itu selamat bagi warga Singapura dan penjenayah tidak menyasari warga republik ini, seorang wanita Singapura telah menjadi mangsa rompak, ironinya pada hari yang sama jaminan itu dibuat.

Gambar: CERMIN DIPECAH: Perompak memecahkan tingkap kereta Cik Farah sebelum melarikan begnya berisi wang $2,300. Keretanya ditinggalkan di sebuah bengkel kereta di JB. -- Foto FARAH

Cik Farah (bukan nama sebenar), 55 tahun, kehilangan wang $2,300, kad pengenalan dan beberapa kad kredit apabila tingkap depan keretanya dipecah.

Beg jenama Braun Buffel berwarna coklat yang diletakkan di atas tempat duduk di situ, dibawa lari.

Semasa kejadian pada sekitar 5.45 petang Jumaat lalu, kereta Toyota Camry yang dipandunya sedang berhenti, sementara menunggu lampu trafik di sebuah simpang yang sibuk dekat Hotel Thistle Johor Bahru.

Beliau sedang dalam perjalanan ke pasar Larkin seorang diri untuk membeli barang bagi perniagaan runcitnya - rutin beliau dua kali seminggu sejak setahun lalu.

'Semuanya berlaku sekelip mata. Bunyi kuat apabila tingkap dipecahkan membuat saya terkejut.

'Saya sangka kereta saya dilanggar tapi bila saya nampak tangan capai beg saya, saya sedar saya dirompak,' kata Cik Farah semalam.

Menurut ibu empat anak itu kejadian berlaku terlalu cepat dan beliau tidak sempat mengecam muka kedua-dua lelaki itu, yang kemudian melarikan diri menaiki motosikal.

Namun beberapa saksi memberitahu beliau kededua lelaki tersebut berbadan kurus dan berbangsa Melayu.

Pembonceng motosikal itu, yang dilihat tidak memakai topi keledar, telah turun daripada motosikal sebelum memecahkan tingkap kereta Cik Farah, merampas begnya dan naik semula motosikal lalu memecut.

'Saya menekan hon lama dan sekuat-kuatnya tetapi tidak sebuah pun kereta di depan yang perasan saya dirompak.

'Kalau salah seorang pemandu di depan saya buka pintu kereta, perompak tersebut tak boleh lari,' kata Cik Farah, meluahkan rasa kesal atas sikap sesetengah pemandu yang tidak ambil kisah.

Katanya, beliau trauma seketika dan menangis memikirkan kejadian itu.

Pagi Jumaat lalu, Ketua Polis Johor, Dato' Mohd Mokhtar Haji Shariff, mendedahkan tanggapan bahawa Johor sebuah negeri dengan kadar jenayah yang tinggi adalah salah.

Katanya, daripada 14.1 juta warga Singapura yang melawat Johor tahun lalu, hanya 0.002 peratus atau 320 orang menjadi mangsa jenayah di situ.

Cik Farah berkata semasa beliau membuat laporan di balai polis Johor Bahru Central pada petang itu, beliau bertemu seorang warga Singapura yang menceritakan pengalaman serupa, namun berlaku sehari sebelumnya.

'Saya nasihatkan warga Singapura yang ke Seberang Tambak agar jangan letak beg di atas tempat duduk, mahupun di paha.

'Biar duit kita hilang, jangan kita pula cedera terkena serpihan kaca,' kata Cik Farah yang masih akan ke Johor tetapi tidak lagi seorang diri. -bhs

Mesir haramkan diskriminasi

Posted: 17 Oct 2011 01:20 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KAHERAH - Majlis Tertinggi Tentera Mesir yang memerintah negara itu melarang diskriminasi berasaskan kaum, jantina atau agama melalui peraturan baru yang diumumkan, kelmarin.

Perintah itu dikeluarkan selepas pergaduhan kaum antara penunjuk perasaan terdiri daripada penganut agama Kristian dan tentera Mesir yang menyebabkan 25 orang terbunuh, Ahad lalu, iaitu keganasan paling buruk sejak penggulingan bekas presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu.

Di bawah peraturan baru itu, tindakan berupa diskriminasi terhadap seseorang atau kumpulan berdasarkan jantina, kaum, bahasa atau agama akan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

Individu yang didapati bersalah melakukan diskriminasi terhadap orang lain boleh dipenjara tiga bulan atau didenda sebanyak 100,000 pound Mesir (RM52,350).

Sebelum ini, penunjuk perasaan dan ahli politik mendakwa tentera Mesir bertindak ganas semasa kekacauan minggu lalu itu, sama seperti polis yang berkhidmat di bawah pemerintahan Mubarak.

sinar harian/-

Air zamzam, air terbaik di dunia

Posted: 17 Oct 2011 01:00 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KAHERAH: Tidak kiralah sehaus mana pun kita, sekiranya dapat secawan air zamzam, ia pasti dapat menghilangkan dahaga dan memberi tenaga.

Setelah melakukan banyak kajian mengenai sifat kimia dan fizikal dalam air zamzam, Dr Hamdi Saif dari Universiti Iskandariah membuat kesimpulan, air zamzam adalah air yang terbaik di dunia.

Dia menemui yang air itu mempunyai keseimbangan sempurna dalam elektrolit dan mineral surih yang penting untuk kesihatan tubuh badan.

Di samping itu, air itu adalah semula jadi, bersih dan tulen, dan bebas daripada semua mikroorganisme patogenik.

Kata Dr Hamdi, "Air zamzam sangat bagus digunakan untuk membantu mengubat penyakit buah pinggang, jantung dan pelbagai penyakit kronik yang lain."

Air zamzam telah dianalisis di makmal di dunia Arab dan Eropah dan dibandingkan dengan air botol biasa daripada negara lain.

Mendedahkan hasil analisis itu, Dr Hamdi berkata, "Tidak seperti air lain, air zamzam mengandungi jumlah kalsium, magnesium dan florida yang cukup. Ia adalah sifat unik yang dapat menyegarkan jemaah yang kepenatan."

"Kami dapati air zamzam selamat diminum dan tiada tarikh luput. Air ini 100 peratus tulen, tidak mengandungi klorin atau bahan kimia lain," katanya -SG

Hudud sebagai pendekatan tangani gejala sosial

Posted: 17 Oct 2011 12:50 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 Okt: Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) merujuk kepada hasrat kerajaan Negeri Kelantan yang ingin melaksanakan sistem berteraskan hudud adalah suatu langkah yang baik.

"Pihak kami mewakili suara pelajar mahasiswa Islam di Kelantan menyambut baik hasrat tersebut," kata Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad.

Jelasnya, hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam.

Katanya, perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati'e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan yang harus diterima oleh umat Islam negeri ini.

"Pihak kami yakin hudud boleh dilaksanakan di Kelantan atas sebab majoriti masyarakat di negeri ini adalah beragama Islam dan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukuman Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 hanya tinggal untuk digerakkan sahaja dengan kelulusan kerajaan pusat," ujarnya.

Beliau mengetuai penyerahan memorandum PPIK yang menyokong hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kepada Menteri Besar Kelantan yang diwakili Dr Fadzli Hassan, Exco Kerajaan Kelantan, semalam.

Namun demikian, katanya pendidikan serta penerangan mengenai hudud harus dibuat secara kosisten kepada masyarakat terutama kepada yang bukan Islam, agar masyarakat dapat menerima perlaksanaan ini dengan berteraskan ilmiah, bukan sekadar sokongan politik semata-mata.

PPIK, tegasnya mengecam tindakan pihak yang mempolitikkan isu hudud demi kepentingan politik mereka dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menggambarkan hukuman itu zalim dan tidak adil yang turut dimomokkan kepada orang bukan Islam.

Jelasnya, sedangkan perlaksanaan hudud hanya melibatkan orang Islam dan yang bukan Islam boleh diberikan alternatif lain.

Ini, katanya sebagaimana kisah pasangan orang Yahudi yang telah berzina dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda merujuk kepada kitab mereka iaitu Taurat dan didapati dalam itu juga menyatakan hukuman bagi penzina adalah rejam.

"Ini adalah kenyataan atau gambaran perlaksanaan hudud kepada bukan Islam dan pihak kami amat kesal dengan orang Islam yang lebih mementingkan kedudukan politiknya dengan memburuk-burukan agamanya sendiri.

"Pihak kami juga yakin bahawa perlaksanaan hudud ini menjadi satu pendekatan baru dalam menangani kes-kes dan gejala sosial yang berlaku di Kelantan," katanya.

Ini, ujarnya lagi boleh dijadikan kajian (eksperimen) bagi membuktikan sejauh mana kesan perlaksaan hukuman itu yang akan dirujuk oleh negeri-negeri lain dan seterusnya ke peringkat negara.

"Akhir sekali pihak kami menegaskan bahawa Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan keIslaman dan pendidikan serta mewakili suara pelajar mahasiswa di Kelantan yang tidak mempunyai pertalian dengan mana-mana parti politik, mendesak agar pihak kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agama membenarkan hudud ini dilaksanakan di Negeri Kelantan," katanya.

harakahdaily/-

Ratusan peserta berenang 1.8km

Posted: 17 Oct 2011 12:45 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

RATUSAN perenang berenang sejauh 1.8 kilometer di Pelabuhan Victoria, Hong Kong semalam.

HONG KONG - Ratusan perenang semalam mengambil bahagian dalam pertandingan berenang sejauh 1.8 kilometer (km) selepas ia dihentikan selama 33 tahun kerana bimbang tahap pencemaran air di salah sebuah pelabuhan yang tercantik di dunia di disini.

Laut tenang dan langit yang mendung, para perenang memulakan renangan dari Lei Yue Mun, Kowlooon sehingga Quarry Bay.

Beratus-ratus penonton bersorak apabila perenang tiba di garisan penamat.

"Saya telah mendengar segala-galanya mengenai perlumbaan merentasi pelabuhan. Ia sangat indah kerana memberi peluang terakhir kepada peserta untuk menikmatinya," kata seorang perenang, David Wong, 22, selepas menamatkan pertandingan.

Pertandingan merentasi pelabuhan pertama kali diadakan pada tahun 1906 apabila Hong Kong masih di bawah jajahan Britain.

Ia kemudian dihentikan selepas satu pertandingan pada tahun 1978 kerana bimbang dengan tahap pencemaran air laut. - Agensi

25,000 buku 'kemewahan' Rosmah diedarkan

Posted: 17 Oct 2011 12:15 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sebanyak 25,000 naskhah buku berkaitan dakwaan pemborosan isteri perdana menteri Rosmah Mansor akan diedarkan kepada orang ramai, terutamanya di kawasan pedalaman Melayu, kata penerbitnya NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Buku nipis 16 halaman bertajuk Penjelasan Isu Cincin: Imelda Rosmah Boros itu dilancarkan di Pejabat PKR di Rembau semalam.

Pengerusi NGO yang dekat dengan Pakatan Rakyat itu Badrul Hisham Shaharin berkata, buku itu menjelaskan urutan peristiwa berkaitan cincin RM24.45 juta yang memuatkan jawapan terhadap dakwaan beliau cuba memburukkan imej Rosmah.

Badrul Hisham juga menyenaraikan beberapa soalan yang didakwanya hanya Rosmah dan Jabatan Kastam Diraja dapat menjawabnya.

"Saya juga melampirkan bukti baru terhadap dakwaan saya berkenaan cincin tersebut dalam buki ini," Badrul Hisham yang juga bekas pengerusi Majlis Pimpinan Pusat PKR.

malaysiakini/-

Apa muslihat sorok Laporan Ketua Audit Negara?- Anwar

Posted: 17 Oct 2011 12:00 AM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 17 Okt: Selepas masuk minggu kedua Belanjawan 2012 dibentangkan pada 7 Oktober lalu, Dewan Rakyat masih belum dibekalkan dengan Laporan Ketua Audit Negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya, terdapat usaha untuk menyorokkan kandungan laporan berkenaan supaya ia tidak dibahaskan.

"Bila Dewan mahu menyerahkan? Apakah ini muslihat untuk menyorok dan menangguhkan supaya kandungannya tak dapat dibahaskan?," soal Anwar di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru itu beliau mahu Speaker Dewan Rakyat memberi jaminan bagi memastikan Laporan Ketua Audit Negara diserah dan dibentangkan secepat mungkin.

Ini kerana menurut Peraturan Mesyuarat 20 (1), Dewan Rakyat, Speaker dan ahli mesyuarat mesti dibekalkan dengan Laporan Ketua Audit Negara, sedangkan perbahasan Belanjawan 2012 telah memasuki minggu kedua.

"Speaker perlu memastikan perjalanan mesyuarat. Laporan Ketua Audit Negara mesti disediakan," tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Speaker II Dewan Rakyat, Tan Sri Ronald Kiandee turut mengakui Dewan Rakyat masih tidak menerima Laporan Ketua Audit Negara untuk dibentangkan meski pun telah dua minggu perbahasan Belanjawan 2012 berlangung.

"Saya pun senasib dengan Yang Berhormat sekalian, masih belum terima Laporan Ketua Audit Negara," katanya.

Hal ehwal Parlimen adalah dibawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz yang dimaklumkan kini sedang berada di luar negara.

Sementara itu, difahamkan Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentangkan kerana dibimbangi memberi persepsi berbeza terhadap pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat yang mempunyai rekod cemerlang.

keadilandaily/-

Kereta masuk sungai 2 warga asing maut

Posted: 16 Oct 2011 11:55 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing maut dan seorang rakan warga tempatan cedera apabila kereta yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam Sungai Bunus di sini awal hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.45 pagi apabila kereta jenis Honda berwarna putih yang dinaiki Jason Price Krull, 28, yang datang dari arah Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Munsyi Abdullah dipercayai terbabas.

"Mangsa berasal dari Kanada manakala kewarganegaan seorang lagi tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang pengenalan diri pada mayat atau dijumpai dalam kereta berkenaan.

"Polis sukar mengenal pasti seorang lagi mangsa itu yang turut meninggal di tempat kejadian," katanya kepada Bernama.

Abdullah berkata siasatan awal polis mendapati kereta terbabit adalah milik warga tempatan yang cedera dan pihaknya sedang menyiasat bagaimana kereta tersebut boleh dipandu oleh warga asing berkenaan.

Beliau berkata, kesemua mangsa berumur lingkungan awal 20-an dipercayai pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara dan mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat," tambahnya.

Bernama

Diabetes ancam golongan muda

Posted: 16 Oct 2011 11:50 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kalangan pegawai perubatan yang menghadiri simposium setengah hari semalam.
BANDAR SERI BEGAWAN,

Gaya hidup yang kurang aktif dan pemakanan tidak seimbang adalah antara penyebab utama peningkatan kejadian penyakit diabetes di kalangan orang ramai.

Malah penyakit itu menunjukkan trend membimbangkan apabila jumlah penghidap penyakit diabetes di kalangan golongan muda semakin bertambah.

Jumlah penghidap penyakit diabetes dikhuatiri akan terus meningkat jika orang ramai tidak mengambil langkah mengubah gaya hidup mereka supaya lebih aktif dengan melakukan senaman, memakan makanan kurang lemak dan gula serta mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Perubatan, Konsultan Kardiologi, Nobel Heart Center, Mt Alvernia Centre, Dr Soon Chao Yong ketika menyampaikan ceramah bertajuk Diabetes and The Heart dalam Simposium Kesihatan 2011 di Hotel The Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau menjelaskan perubahan gaya hidup pada masa kini yang mana generasi muda kurang mengamalkan kegiatan aktif dan perubahan dari segi saiz makanan yang dimakan menjadi antara penyebab meningkatnya diabetes.

Dr Soon menjelaskan mengenai masalah dan cara mengurangkan kadar penyakit diabetes.P
Beliau mengakui masalah diabetes tidak hanya terhad kepada negara-negara yang maju tetapi negara membangun termasuk rantau Asia turut mencatatkan peningkatan dalam jumlah penghidap penyakit diabetes.

Menurutnya, diabetes adalah penyakit yang disebabkan jumlah penduduk yang semakin menua, pemakanan tidak sihat, masalah obesiti dan gaya hidup kurang aktif.
Diabetes yang dikaitkan dengan pembangunan dijangka akan terus meningkat disebabkan pembangunan pesat di negara-negara membangun.

Menyentuh mengenai masalah diabetes pada pesakit jantung, Dr Soon berkata mereka yang mempunyai penyakit jantung dan diabetes mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami serangan atau kematian yang berkaitan dengan penyakit jantung.

Beliau mengongsi bahawa kaedah terbaik mengurangkan berlakunya diabetes adalah menerusi pengurangan faktor risiko iaitu mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, memastikan berat badan di tahap seimbang serta mengamalkan pemakanan seimbang.

Di samping itu, kempen kesedaran yang terus dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit diabetes dan cara terbaik mencegahnya adalah antara usaha yang harus diketengahkan kerana mencegahnya adalah mudah.

Simposium kesihatan itu dihadiri 150 pegawai perubatan dan pegawai profesional kesihatan bersekutu kerajaan dan swasta. Tiga tokoh menyampaikan ceramah mereka termasuk Dr Soon, Konsultan Pusat Neurologi,

Neuroscience, Stroke and Rehabilitation (NSRC), Dr Christian Jacobi bertajuk Brain Attack-How to Manage? dan Pakar Psikologi Klinikal, Bahagian Psikologi Komuniti, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Dayang Syahmun Metassan bertajuk Resilience in Patients (Daya Pemulihan Pesakit).

Permata Online

Kelantan pinda enakmen emas

Posted: 16 Oct 2011 11:49 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan akan meminda Enakmen Kewangan Kelantan 1995 bagi membolehkan negeri itu membeli, menyimpan serta melabur emas dan perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pindaan itu akan dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula minggu ini.

"Dengan adanya pindaan ini ia bertujuan mengizinkan Kerajaan Negeri membeli, menyimpan dan melabur logam-logam berharga seperti emas, perak dan lain-lain supaya mata wang ini diguna pakai di Kelantan dan tidak bergantung kepada mata wang kertas yang semakin lemah nilainya," lapor Sinar harian.

Beliau berkat demikian pada sidang media selepas Forum Rakyat di sini, kelmarin.

Beliau memberi contoh negeri Utah di Amerika Syarikat sudah membuat undang-undang seperti ini peringkat negeri itu yang membolehkan mata wang jenis ini diterima kembali.

"Begitu juga Singapura juga sudah melaksanakannya sejak tahun 1965 lagi," tambahnya.

Menurutnya lagi, Kelantan mahu menjadi perintis memperkenalkan enakmen itu di Malaysia dan menegaskan ia bidang kuasa Kerajaan Negeri dan tidak perlu kelulusan Kerajaan Pusat.

Negara-negara lain juga mengambil pendekatan sama seperti China yang mengalihkan polisi mereka apabila menyedari US Dollar lemah lalu menetapkan 10 peratus simpanan antarabangsa mereka dalam bentuk jongkong emas.

Katanya, langkah itu turut diikuti India dan Korea Selatan tetapi apa yang menghairankan Malaysia masih lagi tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Husam berkata, lazimnya masyarakat Islam diminta membahagikan simpanan mereka mengikut portfolio yang merangkumi emas, perak, mata wang kertas dan sebagainya.

"Bagaimanapun dalam negara kita sekarang ringgit disimpan dalam mata wang kertas terutama sekali US Dollar dan juga Euro. Dalam sejarah mata wang Islam terdapat dinar, dirham dan fulus.

"Fulus boleh menjadi ringgit Malaysia. Setiap mata wang memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing tetapi apabila ada tiga kombinasi itu ia menjadi kuat," katanya.

Menurutnya, sebagai komoditi harga emas akan naik dan turun, apabila harga emas turun, fulus boleh berperanan tetapi apabila harga emas naik, dinar pula sebagai ganti.

Dengan cara itu, katanya, kekayaan yang dimiliki dapat diselamatkan kerana kombinasi mata wang jenis itu diguna pakai.

harakahdaily/-

Peluru berpandu di Spratly

Posted: 16 Oct 2011 11:49 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PELANCAR peluru berpandu 'Hsiung Feng II' dipamerkan pada hari kebangsaan Taiwan sempena ulang tahun revolusinya yang ke-100, dua minggu lalu.
Taiwan ambil tindakan selepas Vietnam guna jet pejuang

TAIPEI: Taiwan meluluskan rancangan untuk menempatkan peluru berpandu di kawasan tuntutannya di Laut China Selatan ketika kebimbangan semakin disuarakan mengenai berita bahawa negara lain yang menuntut kawasan sama sudah memperkuatkan kekuatannya di wilayah perebutan.

Jawatankuasa Pertahanan Taiwan meluluskan cadangan untuk mengekalkan unit pengawal pantai di pulau Taiping dan Pratas.

Menteri Pertahanannya, Kao Hua-chu menyarankan unit pengawal pantai memerlukan sistem pertahanan udara maju seperti peluru berpandu Tien Chien I berbanding peluru berpandu era Chaparral 1980 an.

Enam negara termasuk Taiwan, Vietnam dan China menuntut sebahagian atau keseluruhan Kepulauan Spratly yang kaya dengan sumber minyak.

Penggubal undang-undang, Lin Yu-fang berkata penghantaran peluru berpandu perlu berikutan laporan kerajaan baru-baru ini mengenai Vietnam menempatkan tentera di kawasan itu.

Vietnam dilaporkan menghantar jet pejuang buatan Russia Su-27SK dan Su-30MK2 serta ribuan tentera laut di wilayah pertikaian itu.

Memberi maklum balas terhadap langkah Taiwan itu, Filipina semalam berkata pihaknya sudah bersedia mempertahankan kawasan tuntutan di Laut China Selatan tetapi enggan menyifatkan rancangan Taiwan menghanatar peluru berpandu ke kawasan itu sebagai sesuatu yang perlu dirisaukan.

Jurucakap Jabatan Pertahanan, Zosimo Jesus Paredes berkata negara itu menikmati hubungan baik dengan Taiwan dan percaya cadangan itu membekalkan peluru berpandu kepada unit pengawal pantai di kawasan itu dan dakwaan itu bukanlah ancaman kepada Filipina.

"Kami tidak boleh memberitahu Taiwan apa yang boleh atau tidak boleh dibuat. Selagi mereka tidak memasuki kawasan yang sudah diduduki, kami tiada masalah. Hidup dan terus hidup," katanya.

Bagaimanapun, katanya Manila bersedia untuk mempertahankan hulu pulau kecil itu yang kini sudah diduduki di Spratly. Beliau tidak menjelaskan lebih lanjut.

China menuntut keseluruhan Laut China Selatan termasuk Spratly, kumpulan pulau dan pulau kecil yang dipercayai mempunyai simpanan minyak dan mineral.

Sementara itu, Amerika Syarikat merayu supaya bertenang Jumaat selepas Taiwan nampaknya bersedia menghantar peluru berpandu ke Laut China Selatan kerana bimbang dengan dakwaan negara musuh membina pertahanan di pulau yang menjadi perebutan.

"Kami meminta semua pihak menuntut supaya menyelesaikan pertelingkahan menerusi cara damai mengikut undang-undang antarabangsa dan tanpa menggunakan ancaman kekerasan," kata jurucakap Pentagon, George Little. – Agensi

Lelaki didakwa bunuh pemberi maklumat diarah bela diri

Posted: 16 Oct 2011 11:40 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini memerintahkan seorang pekerja sendiri, K Marimuthu, 37, membela diri terhadap tuduhan membunuh seorang pemberi maklumat polis tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zakiah Kassim mengeluarkan perintah itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atau tiada keraguan munasabah terhadap tertuduh semasa pendakwaan dijalankan.

Ketika membacakan keputusannya, Zakiah berkata mahkamah tidak sangsi mengenai keterangan lapan orang saksi dalam kes itu dan jelas Marimuthu berniat membunuh Md Rashid Mahmud, 48, walaupun pistol yang digunakan untuk menembak mangsa tidak dikemukakan sebagai bahan bukti.

Marimuthu dituduh membunuh dengan menembak Md Rashid di Jalan Batu Kelikir-Ladang Kelapa Sawit OSK Properties Sdn Bhd berhampiran pasar raya Econsave Jalan Kuala ketil, Sungai Petani, pada 5 petang 28 Ogos 2008.

Zakiah menetapkan 20 November ini untuk mendengar perbicaraan pembelaan diri Marimutuhu, yang diwakili peguambela, Burhanudeen Abdul Wahid, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud.

- Bernama

Pemancing terkejut lihat mayat terapung

Posted: 16 Oct 2011 11:30 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SEREMBAN: Mayat hampir reput ditemui terapung di permukaan air di sebatang sungai di Jalan Bukit Kadir, Nilai, di sini, awal kelmarin oleh seorang pemancing.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pemancing berusia 30-an itu terperanjat apabila mengetahui objek terapung yang terapung di sungai itu sebenarnya mayat dan terus menghubungi polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, sejurus menerima maklumat itu, beberapa anggota polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pihak Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sebelum membuka kertas siasatan. "Saya difahamkan, mayat berkenaan akan dibedah siasat hari ini (semalam) bagi mengetahui punca kematian dan identiti mangsa," katanya.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya gagal mengenal pasti mayat itu berikutan keadaan fizikal yang reput.

"Tambahan pula, tiada pengenalan diri ditemui dan jantina mangsa juga tidak diketahui," katanya.

"Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut, Bagaimanapun, kita akan buka kertas siasatan sekiranya laporan hospital menunjukkan ada unsur jenayah terhadap mangsa," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

metro/-

Larian lembu jantan versi AS

Posted: 16 Oct 2011 11:20 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SEORANG lelaki berlari di depan beberapa ekor lembu jantan yang bertanduk di bandar Cave Creek, Arizona kelmarin.

CAVE CREEK - Ratusan orang berlari bagi mengelak ditanduk beberapa ekor lembu jantan di bandar ini yang terletak di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Menurut pihak penganjur, larian itu adalah lebih selamat berbanding dengan acara yang terdapat di Pamplona, Sepanyol.

Pihak penganjur menyatakan bahawa lembu jantan yang digunakan dalam acara tersebut tidak mempunyai tanduk yang tajam seperti di Sepanyol kerana ia telah ditumpulkan.

"Saya masih menggeletar," kata seorang peserta larian itu, Maureen Borsodi dari Los Angeles selepas dia menamatkan larian.

"Ia seperti satu rusuhan," tambahnya.

Hampir 12 ekor lembu mengejar 200 orang dalam larian melibatkan satu minit.

Walaupun terdapat sejumlah kecil orang terjatuh, tidak ada seorang pun peserta yang mengalami kecederaan yang serius. - Agensi

Peniaga Perlu Timbang Rasa, Ada Yang Mati & Bersalin Dalam Kereta Kerana Kesesakan Lalulintas

Posted: 16 Oct 2011 09:45 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sebuah pasar malam di Kampung Delek Kiri, Klang telah menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk sehingga pernah meragut nyawa orang kampung apabila laluan ambulans tersekat oleh warong penjaja.

Pasar malam yang telah beroperasi selama dua dekad itu menjadikan simpang tiga jalan masuk ke kampung sukar dilalui kenderaan penduduk dan kenderaan kecemasan lain seperti trak bomba.

Kejadian-kejadian seperti ini yang menyebabkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengarahkan peniaga-peniaga pasar malam tersebut berpindah 150 meter ke hujung jalan yang sama supaya tidak menghalang simpang tiga tersebut.

Akan tetapi, segelintir peniaga pasar malam bertindak mengadakan demonstrasi pada hari Jumaat untuk membantah pemindahan itu. Mereka mendakwa perintah itu menjejaskan periuk nasi mereka.

Demonstrasi itu yang dipaparkan di TV3 juga menampilkan Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam yang turut mengkritik kerajaan Selangor. Hari ini ADUN Selat Klang Dr Halimah Ali menjelaskan sebab-sebab arahan pemindahan itu dikeluarkan.

"Sudah ada kematian disebabkan sakit jantung di mana ambulans tak boleh masuk. Ada yang bersalin dalam kereta kerana tidak boleh keluar. Ambulans tak boleh masuk ada yang sakit jantung yang telah meninggal."

Dr Halimah juga berkata mereka yang terlibat di dalam bantahan tersebut bukan mewakili suara semua peniaga pasar malam itu.

"Segelintir peniaga-peniaga yang tak mahu berpindah kononnya hilangnya customer, mereka dah lama. Katanya tak ada bangkangan dari penduduk. Ini tidak benar sebab saya dapat aduan daripada ketua kampung sendiri. Bahkan orang surau sendiri."

Halimah berkata demikian pada sidang media di UniSel. Beliau berharap, peniaga pasar malam akur dengan arahan MPK bagi menghormati perasaan penduduk.

"Saya nak nasihatkan kepada peniaga-peniaga yang majoriti bukan orang kampung itu dan penduduk terpaksa menerima. Masalah kerana mereka nak mengaut ke-untungan. Jadi saya harapkan semua jadi rasional. Kerajaan Negeri mengalu-alukan perniagaan tetapi jangan kita nak dapat keuntungan kita menyebabkan orang lain sakit, mati, susah."

KELAB GREENBOC/-

Taib dipanggil sebagai saksi dalam kes cerai anak

Posted: 16 Oct 2011 09:15 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Ketua Menteri Sarawk Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan dipanggil sebagai saksi dalam prosiding penceraian anaknya, Datuk Abu Bekir Mahmud, apabila kes bersambung pada 16 Januari nanti.

Ini kerana Abdul Taib tinggal bersama dengan anaknya dan isterinya ketika itu, Shahnaz A Majid dan adalah saksi berhubung pertikaian antara mereka, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

"Beliau bileh buktikan sama ada benar atau tidak (Bekir) membelasah (Shahnaz) kerana mereka tinggal di rumah yang sama," kata peguam Shahnaz, - Rafiee Shafiee.

malaysiakini/-

Afghanistan Tembak Tiga Pengebom Berani Mati

Posted: 16 Oct 2011 09:00 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KHOST, Afghanistan: Polis Afghanistan menembak mati tiga suspek yang disyaki merupakan pengebom berani mati di timur negara ini, pada Isnin.

"Pada waktu tengah hari, tiga suspek yang disyaki pengebom berani mati cuba memasuki bangunan Majlis Perbandaran dengan menaiki sebuah kenderaan yang dipercayai sarat dengan bom.

"Kami percaya Datuk Bandar merupakan sasaran mereka dan sejurus polis menembak mati ketiga-tiga suspek, kenderaan tersebut meletup menyebabkan seorang petugas di bangunan tersebut maut," kata jurucakap wilayah Paktia, Rohullah Samoon. – AFP

Sampai bila Malaysia akan diperintah oleh pemimpin yang gagal?

Posted: 16 Oct 2011 08:40 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Najib Razak menyindir Belanjawan Pakatan Rakyat sebagai bajet yang "menjanjikan bulan dan bintang" yang bunyinya sama seperti ejekan budak-budak sekolah yang masih berhingus.

Mungkin, ia bukanlah sesuatu terjangkau oleh fikiran mereka di pihak Barisan Nasional kerana Pakatan Rakyat bukan sekadar menjanjikan urus tadbir ekonomi yang baik malah menawarkan pentadbiran yang berintegriti dan telus seperti mana terbukti di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Bukti-bukti kejujuran Pakatan

Sebagai contoh, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang tidak berasaskan perkauman dan politik kronisme berjaya mencatatkan lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2008 melalui urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT).

Kejayaan ini yang disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara juga mendapat pujian Tranparency International di Malaysia kerana berjaya memerangi rasuah.

Pentadbiran yang bersih itu telah menghasilkan "dividen anti-rasuah" yang dikumpulkan bagi mengadakan program untuk membantu warga emas, orang kurang upaya dan banyak lagi yang mana kebanyakan penerimanya adalah kalangan orang Melayu dan umat Islam negeri.

Kerajaan Pakatan Selangor pula mengadakan banyak program membantu warga emas dan golongan miskin serta menghidupkan kembali projek perumahan rakyat yang terbengkalai sewaktu pemerintahan BN dahulu.

Yang terbaru, statistik Malaysia Industrial Development Authority (MIDA) mengenai pelaburan di Malaysia bagi separuh penggal tahun ini menunjukkan Selangor sebagai negeri paling banyak mempunyai projek yang diluluskan.

Sebanyak 158 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor dan ini merupakan 31% daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia, menurut Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok.

Kerajaan negeri Pakatan Kedah yang juga bebas rasuah telah berjaya mengamalkannya melalui cara kepimpinan melalui teladan di mana pimpinan negeri tidak menggunakan jet kerajaan, tidak tinggal di hotel mewah, malah membuat potongan gaji dan elaun yang dapat menjimatkan pentadbiran daripada pembaziran.

Begitu juga kerajaan negeri Pakatan Kelantan yang telah sekian lama diterima oleh anak negeri kerana cara hidup sederhana dan anti-rasuah yang diamalkan sejak lebih 20 tahun lalu.

Ini bererti Pakatan Rakyat mampu mentadbir negeri dengan baik, telus dan serius menangani masalah rakyat.

Memang benar Pakatan menawarkan pemberian tunai dan pelbagai program kebajikan kepada rakyat sebagaimana yang ditiru oleh BN tetapi ada satu perbezaan besar yang tidak ditawarkan oleh BN - pentadbiran yang adil, bersih, telus dan anti-rasuah.

Melihat Bajet BN 2012, ternyata bajet yang dibentangkan oleh Najib baru-baru ini bukan sekadar bajet pilihan raya tetapi memperlihatkan ketandusan idea pentadbiran BN, malah sebahagian daripadanya dicedok dari idea Belanjawan Pakatan Rakyat sendiri.

BN gagal angkat martabat insan

BN terdesak sehingga terpaksa mengulangi berapa banyak subsidi yang telah diberikan kerajaan kepada rakyat sedangkan perkara ini telah pun kita ketahui.

Malah, lebih memalukan apabila BN yang sebelum ini bermati-matian mengatakan subsidi akan menjadikan negara bankrap terpaksa menelan ludah sendiri apabila terpaksa mengekalkannya.

Sudah tentu ia bukan kerana BN sayangkan rakyat tetapi semata-mata mahu memancing undi dalam pilihan raya umum akan datang. Jika tidak, mengapa perlu lidah bercabang? Bukanlah Pakatan Rakyat lebih konsisten dalam membuat tawaran ikhlas kepada rakyat?

Rakyat berhak mendapat subsidi yang lebih banyak dari sekarang memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber ekonomi. Jika kerajaan BN kesempitan wang, ia adalah berpunca daripada pentadbirannya yang penuh dengan ketirisan, kebocoran dan tidak telus.

Ini menunjukkan bahawa BN gagal menangani masalah ekonomi dengan baik apatah lagi bergelut dengan pelbagai isu ketirisan wang negara yang parah.

Kalangan rakyat yang tinggal di bandar terutamanya telah lama dihimpit masalah ekonomi yang kian mendesak.

Apa yang Najib lakukan untuk membela nasib golongan ini? Menurunkan cukai, mengurangkan harga petrol? Jauh sama sekali.

Malah, diskaun tambang LRT dan monorel yang amat diperlukan oleh pelajar, pekerja awam serta kakitangan swasta tidak dipedulikan; sebaliknya mahu diberikan kepada warga emas yang amat jarang menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu.

Apakah pengecualian yuran sekolah yang sememangnya hanya beberapa ringgit itu sudah cukup untuk memperbaiki status ekonomi rakyat?

Apakah pemberian bonus untuk kakitangan awam sahaja mampu menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat terbanyak? Sedangkan jumlah pekerja yang ramai adalah dari sektor swasta. Jadi di mana pelaksanaan gaji minima untuk mereka?

Mengapa pula Akta Pekerjaan mahu dipinda untuk member lebih kuasa kepada majikan? Siapa sebenarnya yang dibela oleh kerajaan BN?

Najib dan BN bukan sahaja gagal menangani masalah ekonomi rakyat malah gagal mengangkat martabat insan untuk mendapat keadilan dan kesaksamaan yang sewajarnya.

Apakah kita sebagai rakyat wajar mendapat layanan sebegini dari sebuah kerajaan yang telah diberikan amanah? Dan sampai bilakah kita harus membiarkan negara ini ditadbir oleh orang-orang yang gagal?

*Tulisan ini dipetik dari Roketkini.

Pemuda PAS Perak himpun jentera PRU-13

Posted: 16 Oct 2011 08:30 PM PDT


Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 pada bila-bila masa, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak akan mengadakan Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) 2011 pada 27 November ini.

Himpunan yang akan diadakan di Parit Buntar itu akan mengumpulkan seluruh jentera pilihanraya Pemuda PAS Perak seluruh negeri yang bertemakan 'Gelombang Kuning' bagi menyediakan petugas Pemuda PAS kelak.

Untuk persiapan rapi, Pemuda PAS Perak telah melancarkan Tabung Khas Dana HEMPAP 2011 yang telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak Ustaz Shuib Din, di dalam program Liqa' Fikri Pemuda PAS Perak baru-baru ini.

Hadir sama bagi melancarkan tabung khas ini ialah Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan, Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Khairie Jamaludin dan Setiausaha Pemuda PAS Perak yang juga Pengarah HEMPAP 2011, Salman Saleh.

Himpunan besar ini mensasarkan peserta lebih 10,000 orang Pemuda PAS Perak yang turut dihadiri pimpinan tertinggi parti.

Sebarang sumbangan untuk HEMPAP 2011 ini bagi meringankan kos bagi himpunan tersebut, boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama 'Perak Care' no akuan 5580 1500 1720.

Sambutan PAS 60 tahun peringkat Perak, 29 & 30 Oktober

Posted: 16 Oct 2011 08:20 PM PDT


19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

IPOH, 17 Oktober: PAS Perak akan mengadakan Sambutan 60 Tahun Peringkat Negeri Perak pada 29 dan 30 Oktober di Masjid Tinggi Bagan Serai Perak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, program akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu dan Bagan Serai dipilih kerana ia merupakan salah satu tempat yang menjadi titik mula perjuangan PAS suatu ketika dahulu.

"Program akan bermula daripada 29 Oktober lagi dengan karnival jualan amal, pameran sejarah , sukan PASTI dan sukan rakyat, pertandingan pidato, persembahan kesenian rakyat yang akan dihadiri oleh naib presiden PAS Yb Dato Paduka Husam Musa serta ceramah pada sebelah malamnya oleh Forum Kemerdekaan yang akan disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu , Prof Dr Abdul Aziz Bari , Sdr Baharom Shah (Adik Mat Indera) serta Dr Azhar Bahari sebagai moderator.

"Keesokan harinya iaitu pada 30 Oktober, akan berlangsung Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun PAS dan Konvensyen Negara Berkebajikan Peringkat Negeri Perak oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohamad Sabu.

Selain itu tayangan video pengkisahan sejarah PAS serta pembentangan kertas dokumen Negara Berkebajikan oleh Yb Salahuddin Ayub juga turut diadakan.

Pada sebelah petangnya akan diadakan, Wacana Kemerdekaan yang membariskan,Tuan Haji Subki Abd Latif ( Kolumnis Harakah dan Veteran PAS) Sdr Mohd Fadhli Ghani ( Pengarah Arkib PAS Pusat ) dan Zainuddin Andika (Aktivis Pejuang Kemerdekaan)

Tambahnya, pada sebelah malam akan ditayangkan pengkisahan sejarah PAS Perak, serta penyampaian anugerah tokoh dan anugerah jasamu dikenang kepada tokoh-tokoh terpilih.

Kemuncaknya ialah Ceramah Perdana 60 Tahun PAS yang akan disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, Presiden PAS, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abdul Razak.

"Matlamat sambutan yang penting ini ialah bagi mencetuskan semangat bagi menghidupkan gelombang pilihan raya umum (PRU) 13 dengan memobilisasi semua peringkat penggerak dan petugas parti,serta menunjukkan keizzahan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang terus tegar memacu perjuangan di tanah air ini" katanya.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak turut menyatakan, bagi sebarang pertanyaan untuk penyertaan, perniagaan dan sebagainya boleh menghubungi urusetia di talian :05 2557237 ( PAS Perak ).

http://perak.pas.org.my/

Maut ditelan ombak besar

Posted: 16 Oct 2011 08:00 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ALOR GAJAH: "Saya cuba lempar pelampung ke arah lelaki itu sekuat mungkin, tetapi disebabkan angin kuat serta berombak, pelampung itu tak sampai kepadanya dan saya serta beberapa penduduk melihat mangsa tenggelam timbul dan terkapai-kapai sebelum hilang ditelan ombak besar," kata Abu Hurairah Jantan, 54,

saksi awal kejadian seorang lelaki yang dikatakan kurang siuman yang ditemui mati lemas ketika bermain air di pantai Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, di sini, kelmarin.

Katanya, mereka terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa, Azman Jaidin, 37, yang amat disenangi penduduk di kawasan itu.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Azman berada kira-kira 10 meter dari pantai.

Abu Hurairah berkata, dia yang baru tiba kira-kira lima minit di tempat kejadian dan menunggu hasil laut terlihat mangsa melambai tangan dan menjerit sekuat hati di tengah laut.

"Saya maklumkan kejadian itu kepada seorang penduduk sebelum kami cuba membantunya dengan mencampakkan satu pelampung kepadanya, namun usaha kami gagal," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, bapa mangsa, Jaidin Bidin, 70, berkata, sebelum kejadian, anaknya keluar dari rumah jam 7 pagi untuk minum di kedai berdekatan dan pulang semula ke rumah.

Katanya, anak bongsu daripada lima beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kerap keluar pagi dan balik semula ke rumah untuk makan tengah hari sebelum keluar semula pada sebelah petang.

"Selepas makan, arwah akan ke pantai setiap hari dan setiap kali keluar, dia membawa sedikit duit dalam poketnya untuk membeli rokok atau minum di warung.

"Kebiasaannya arwah keluar rumah tanpa memberitahu ahli keluarga, tetapi akan balik semula ke rumah," katanya yang sebak.

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, R Bajiyen, berkata pihaknya menerima panggilan jam 10.35 pagi dan bergegas ke lokasi mencari mangsa dengan kerjasama anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Dengan kekuatan 20 anggota unit skuba bomba dan anggota, 16 anggota JPAM dan 16 anggota polis bergabung tenaga menjalankan operasi mencari mangsa yang mengambil masa sejam setengah sebelum ditemui jam 12.30 tengah hari.

"Mangsa dijumpai terapung berdekatan lokasi awal dipercayai tempat mangsa lemas dengan jarak kira-kira 25 meter dan dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada polis," katanya ketika ditemui selepas kejadian.

metro/-

Tandas Jakarta terkotor di Asia

Posted: 16 Oct 2011 07:40 PM PDT

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kajian WTO letak Indonesia di tangga ke-12 daripada 18 negara
JAKARTA: Tandas di Indonesia dikategorikan sebagai tandas paling kotor di Asia, lapor satu kajian Pertubuhani Tandas Sedunia (WTO).

Organisasi itu meletakkan Indonesia di tangga ke-12 di kalangan 18 negara Asia yang diadili untuk tandas yang paling kotor.

"Kami mempunyai tandas yang paling teruk berbanding negara Asia Tenggara lain," kata pengasas Persatuan Tandas Indonesia (ATI) Naning Adiwoso.

"Walaupun kedudukan kami lebih baik daripada Vietnam tetapi kita jauh lebih teruk berbanding Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand," katanya.

Naning berkata kedudukan itu ditentukan WTO berdasarkan jumlah kuman ditemui di tandas yang diperiksa secara rawak setiap negara.

Naning berkata sekurang-kurangnya, 80 juta kuman ditemui dalam satu tandas dan kuman itu boleh membawa kepada penyakit berjangkit seperti demam kepialu.
Beliau menegaskan bahawa amalan mengepam tandas tidak mampu memusnahkan kuman, malah pembersihan dan sanitasi berterusan diperlukan.

"Pendidikan dalam keluarga memainkan peranan penting kerana ramai yang menganggap tandas kurang penting, justeru mereka membuang air besar atau kecil di sungai atau di tempat terbuka," katanya.

Beliau berkata dengan peningkatan penduduk, negara itu memerlukan jumlah tandas awam yang banyak.

ATI ditubuhkan 10 tahun lalu dengan sasaran mendidik rakyat Indonesia mengenai keperluan untuk mengamalkan kebersihan tandas. Organisasi itu akan mengadakan acara sebagai menyambut Hari Tandas Sedunia pada 19 November. – Agensi

Tiada ulasan:

Nuffnang