Sabtu, 8 Oktober 2011

Ahli Parlimen Kota Belud

Ahli Parlimen Kota Belud


PR, mengapa berpaling daripada pekerja?

Posted: 07 Oct 2011 10:14 AM PDT


Syukurlah Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan Parlimen malam tadi. Perbahasan berlangsung selama lima jam sebelum Rang Undang-Undang terbabit diluluskan.

Undang-undang ini besar faedahnya. Selain daripada memberi hak lebih besar kepada pekerja wanita, menyeragamkan pembayaran gaji menerusi akaun bank dan sebagainya, ia turut melindungi pekerja kontrak (yang berjuta bilangannya terutama di ladang-ladang) daripada ditindas majikan, contohnya ketua syarikat yang membekalkan pekerja ke ladang-ladang, kilang-kilang dan projek pembinaan.

Kerajaan menerima banyak aduan daripada pekerja - gaji mereka tidak dibayar, diberhentikan kerja tanpa sebab dan potongan KWSP serta SOCSO tidak dilakukan.

Ringkasnya, mereka bagaikan menjadi hamba di tempat kerja. Apa yang menyedihkan, sukar bagi kerajaan menyalahkan majikan berikutan tiada peruntukan undang-undang mengenainya. Undang-undang asal menyatakan hanya pemilik ladang, kilang atau projek pembinaan boleh dipersalahkan bagi kesalahan sedemikian. Bagaimanapun, dalam banyak keadaan, pemilik mendakwa mereka sudah membuat pembayaran kepada majikan syarikat yang membekalkan pekerja. Apabila pihak berkuasa bertanyakan perkara ini, majikan berkenaan mendakwa kononnya mereka tidak tahu apa-apa atau lebih teruk lagi, melarikan diri.

Undang-undang ini akan mengakhiri semua tindak-tanduk tidak berasas itu kerana menerusinya, semua syarikat yang membekalkan pekerja DIWAJIBKAN berdaftar secara rasmi dan tertakluk kepada pengawasan tegas serta tindakan undang-undang jika melanggarnya. Undang-undang ini disokong Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menyambut baik langkah perlindungan terhadap pekerja yang ditindas.

Pembangkang menentang rang undang-undang ini kerana bimbang ia akan menggalakkan sistem penggajian pekerja kontrak. Mereka mendakwa, undang-undang itu akan mendorong syarikat mengetepikan pekerja tetap dan menggantikannya dengan pekerja kontrak. Mereka mendakwa perniagaan pekerja kontrak akan berkembang dan penindasan akan berlaku dengan lebih meluas.

Saya amat kecewa dengan hujah itu. Pertamanya, rang undang-undang itu dan Akta lain mempunyai peruntukan mencukupi bagi mengelak pekerja tetap digantikan dengan pekerja kontrak. Tambahan pula, undang-undang ini bukan mempersoalkan sama ada sistem pekerja kontrak itu buruk atau sebaliknya. Perdebatan itu boleh dilakukan pada masa lain di pentas berbeza.

Tidak kiralah sama ada pembangkang suka atau tidak, sistem pekerja kontrak yang tidak disenangi dan sudah lama menjadi sebahagian daripada kaedah penggajian terutama di ladang, akan dikekalkan. ILO sendiri mengakui hakikat ini. Malah, berikutan keadaan itu, adalah penting bagi pekerja berkenaan mendapat perlindungan lebih baik dan menyeluruh.

Pembangkang mempunyai dua pilihan. Mereka boleh menentang undang-undang ini berikutan kepercayaan mereka kononnya ia akan menggalakkan penggajian pekerja kontrak atau menyokongnya supaya pekerja kontrak boleh dilindungi daripada penindasan, dikasari, ketidakadilan dan eksploitasi yang berlaku sejak berdekad lamanya.

Di akhirnya, seperti dijangka, pembangkang tanpa segan-silu akan memberi keutamaan terhadap kepercayaan mereka.

Bagi ahli-ahli Parlimen BN, pilihannya cukup jelas. Kami memilih untuk bersama pekerja yang menderita, dihina dan dilayan seperti hamba oleh majikan tidak berperikemanusiaan dan tidak bertanggungjawab. Ini adalah masanya untuk kita membela nasib pekerja dan saya gembira melihat Ahli Parlimen BN membuktikan komitmen mereka.

Tiada ulasan:

Nuffnang