Sabtu, 17 September 2011

Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Ayer Hitam

Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Ayer Hitam


Rumah Terbuka ADUN Ayer Hitam & PAS Kawasan Jerlun 2011

Posted: 17 Sep 2011 09:39 AM PDT


Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri YB ADUN Ayer Hitam & PAS Kawasan Jerlun diadakan pada 17 September 2011 mulai 2.30 - 5.30 petang di tapak gerai MDKP, Ayer Hitam. Orangramai mula memenuhi gerai makanan yang disediakan oleh petugas sejak 2 petang lagi. Mereka begitu gembira menikmati pelbagai jenis juadah hariraya yang disediakan oleh setiap UPU dan MKK masing-masing.

YB Ust Hj Abd Ghani tidak melepaskan peluang membantu Pengerusi MKK Kg Gandai, Ust Halim B Morad membakar sate kepada pengunjung. Sate menjadi menu kegemaran di setiap rumah terbuka Aidil Fitri dan pihak PKWR Ayer Hitam telah memperuntukkan 10,000 cucuk sate. Nampaknya sate yang disediakan telah habis awal dengan setiap pengunjung terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkannya.

YB Ust Hj Abd Ghani melayani tetamu dari kalangan kaum Tionghua yang turut serta dalam majlis tersebut. Kehadiran mereka menambahkan lagi seri majlis yang diadakan bahkan turut hadir Mr Puspa mewakili kaum India dan Mr Enam dan Mr Charun mewakili kaum Siam di Kg Kubang Chenok, Padang Sera. 

YB Ust Hj Abd Ghani selaku YDP PAS Kawasan Jerlun diapit oleh Abd Rahim B Md Jusoh (NYDP), Hj Azhar B Ibrahim (Setiausaha) dan Hj Ahmad Faudzi B Hj Omar (Bendahari) yang lengkap berpakaian rasmi suit melayu oren tua bersampin sedang menikmati ketupat dan gulai yang menjadi resipi utama rumah terbuka. 

YB Ust Hj Abd Ghani sedang menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang datang berkunjung. Mereka cukup gembira dan sanggup berbaris panjang untuk mendapat duit raya. Duit raya merupakan aktiviti utama kanak-kanak yang akan bertandang dari rumah ke rumah sejak awal pagi lagi hingga ke petang. Duit raya akan dikumpul samada untuk disimpan dalam bank atau dijadikan wang saku ke sekolah.   

YB Ust Hj Abd Ghani sedang melayani YAB Dato Seri Ust Hj Azizan B Abdul Razak yang turut serta meraikan majlis tersebut. Kehadiran beliau cukup bermakna sekali kepada penduduk dalam DUN Ayer Hitam yang sanggup menunggu ketibaannya pada jam 5.30 petang. Sebelum itu, beliau menghadiri perjumpaan Alumni Maktab Mahmud di Alor Setar.

YAB Menteri Besar sedang menyampaikan ucapan kepada pengunjung yang begitu teruja dengan gaya kepimpinannya mentadbir Negeri Kedah. Beliau sangat yakin dengan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang berjaya memerintah Kedah yang sudah menjangkau 3 tahun 6 bulan tanpa sebarang masalah kewangan dan menafikan khabar angin yang menyatakan ekonomi Kedah tidak stabil.    

Kelihatan YABerbahagia Toh Puan Hjh Faekah Bt Syeikh Hamzah sedang berbual mesra dengan isteri YB ADUN Ayer Hitam, Hjh Faridah Akma Bt Hj Wahid dan Ustazah Fatimah Bt Wan Teh, Ketua Muslimat PAS Jerlun sambil menikmati cendol dan ketupat.

Seorang waris muda, Mohamad B Hj Ahmad mengambil peluang menyerahkan kepala anak sulungnya untuk didoakan oleh YAB Menteri Besar dengan harapan anak tersebut akan menjadi anak yang berguna untuk berbakti kepada ibu bapa, agama dan negara. Inilah contoh kepimpinan YAB Menteri Besar yang sedia melayani pelbagai kehendak rakyat tanpa mengira latarbelakang mereka.

YAB Menteri Besar sedang bertanyakan tentang kesihatan veteran PAS, Hj Ibrahim B Md Hassan yang mengalami strok. Kini beliau hanya berkerusi roda tetapi masih bersemangat untuk hadir ke majlis tersebut untuk bertemu dengan YAB Menteri Besar. Beliau merupakan tukang masak kepada petugas pilihanraya PAS di setiap Pilihanraya Kecil antaranya di UPU Telok Era dalam PRK DUN Sanggang tahun 2000 yang menyediakan masakan kepada YAB Menteri Besar sendiri. 

Tiada ulasan:

Nuffnang