Sabtu, 17 September 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


PULAK DAH...

Posted: 17 Sep 2011 03:55 AM PDT

 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan bahawa langkah kerajaan memansuhkan akta ISA adalah "hasil perjuangan" Pakatan Rakyat

Sebaliknya langkah berkenaan merupakan keputusan yang dibuat oleh BN "kerana kita dengar isi hati rakyat yang mahu perubahan."

"Jadi jangan ada orang hendak 'claim credit' kononnya pengumuman itu adalah hasil perjuangan mereka."

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi segera yang ditimbulkan pemimpin Pakatan sebaik beliau membuat pengumuman tersebut pada malam Khamis lalu.

Pemimpin Pakatan antara lainnya mendakwa, langkah memansuhkan ISA merupakan salah satu usaha yang digariskan dalam manifesto Buku Jingganya.

Malah, kata Najib, pemansuhan akta itu juga dijalankan untuk memenuhi janji beliau semasa mengambil alih sebagai perdana menteri.

Tambahnya, tindakan itu akan meletakkan Malaysia atas landasan lebih progresif dan terbuka dalam memelihara ketenteraman awam.

"Perubahan yang saya umum itu kerana kita dengar suara dan isi hati rakyat," katanya dalam program Sirih Pulang ke Gagang di kampus Universiti Teknologi Mara, Shah Alam hari ini.(malaysiakini)

SEPATUTNYA DAH LAMA MANSUH - MURSYIDUL AM

Posted: 16 Sep 2011 04:57 PM PDT


MACHANG, 16 Sept: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah di saat-saat terdesak.

"ISA sepatutnya dihapus sejak lama dulu dan bukan di saat-saat terdesak seperti sekarang. Zaman komunis sudah lama berlalu, lagi pun tidak ada lagi fahaman komunis kecuali sekular di Malaysia.

"Sejak dahulu ISA telah membuat jenayah kepada alim ulama di Kelantan. Sebab itulah saya menyertai PAS kerana melihat pengkhianatan Umno terhadap alim ulama.

"Ulama PAS dikenakan ISA sedangkan kita ada mahkamah, hakim dan peguam," katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia di padang Majlis Daerah Machang di sini, hari ini.

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan dan Hari Malaysia diserikan pelbagai persembahan antaranya kebudayaan melibatkan Melayu, India dan Cina.

Selain itu pertunjukan mempertahankan diri dan tempur tanpa senjata oleh Rejimen Askar Melayu Diraja yang memukau hadirin.

Perdana Menteri malam tadi mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia.

"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," kata Najib.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, apa tujuan diwujudkan sistem kehakiman kalau rakyat disekat membela diri daripada tuduhan tertentu.

"Alim ulamak adalah golongan yang mengajar supaya manusia taat kepada Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dilarang Islam," tambah beliau.

Menurutnya juga Nabi Muhammad saw memerdekakan manusia daripada syaitan kepada mentaati Allah SWT seperti sering disebut dalam permulaan solat setiap hari.

Katanya, Nabi Muhammad saw ialah penganjur kemerdekaan yang sebenar di dunia, berjuang memerdekakan umat Islam daripada gangguan nafsu syaitan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap sebelum itu berkata, kedatangan Islam ke alam dunia membawa mesej dan sifat kemerdekaan bagi menyeru manusia membebaskan diri daripada belenggu jahiliah serta syirik.

"Konsep kemerdekaan komprehensif dilaksanakan di Kelantan melalui dasar 'Membangun Bersama Islam' iaitu mengemudi manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah SWT," katanya.

Beliau juga Pengerusi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kekantan dan Sambutan Hari Malaysia.

Sambutan kali ini disertai 75 kontinjen jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, badan-badan beruniform dan sekolah.

Sementara itu kontinjen terbaik dimenangi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), naib johan UITM Machang, manakala tempat ketiga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Zainuddin Ibrahim anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan.(harakahdaily)

Tiada ulasan:

Nuffnang