Ahad, 11 September 2011

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Pesara maut diserang sakit jantung

Posted: 11 Sep 2011 03:42 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -



SEREMBAN — Seorang pesara Tabung Haji maut setelah dia dipercayai diserang sakit jantung ketika memandu keretanya di Km 1, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, malam tadi.
Kejadian pada pukul 7.30 malam itu turut menyebabkan kereta yang dipandu Kamaruzzaman Yeop Idris, 55, merempuh tiga kenderaan lain di hadapannya.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, Kamaruzzaman memandu seorang diri.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat.

Penoreh bunuh gadis dihukum gantung

Posted: 11 Sep 2011 03:41 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -



ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penoreh getah selepas dia didapati bersalah membunuh seorang gadis dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Haris Abdul Talib, 28, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
Mohd Haris dituduh membunuh Farhanim Ahmad Ibrahim, 17, sebelum mayatnya yang telah reput ditemui pencari madu lebah dalam belukar di kampung Carok Kapas di Kupang, Baling.
Dia melakukan pembunuhan ke atas Farhanim antara 29 Mac 2009 pukul 6 pagi hingga 4 April 2009 pukul 2.40 petang di kawasan belukar terbabit dan dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori

Hadi : Jangan Nafikan Sejarah

Posted: 11 Sep 2011 03:38 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -



GOMBAK 11 SEPT : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada pimpinan Umno supaya memberitahu kepada rakyat Malaysia tentang fakta sebenar sejarah kemerdekaan dan bukan menyembunyikannya demi kepentingan politik semata-mata.

Tegasnya, sejarah kemerdekaan perlu didedahkan secara telus supaya rakyat terutamanya generasi akan datang tidak keliru dengan sejarah Malaysia.

"Perjuangan menentang penjajah bermula sejak 1511 ketika kedatangan Portugis... ingat, bukan perjuangan menuntut kemerdekaan bermula dengan Umno pada 1946.

"Jangan nafikan sejarah, sepatutnya ahli-ahli sejarah jangan tutup fakta ini, parti-parti yang ditubuhkan di Tanah Melayu diharamkan oleh British,"

Hadi berkata demikian pada ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi.

Tambah beliau, ramai pemimpin mahu pun pejuang kemerdekaan yang telah dihukum pada zaman penjajah namun pada masa kini, penjajahan secara moden pula sedang berlaku di negara ini.
"Pemimpin-pemimpin yang berjuang dihukum, ada yang dihukum gantung, dibuang daerah, dibuang ke Mekah pun ada... namun perjuangan menuntut kemerdekaan tidak boleh dihapuskan. Perjuangan ini berterusan dan kita perlu sedar bahawa penjajahan termasuk melalui pemikiran.

"Manusia tidak akan merdeka selagi wujudnya penghambaan, pemerintah yang zalim, pemerintah yang tipu... inilah perjuangan Islam. Walaupun penjajah asing sudah tiada tapi pemikiran mereka, amalan, kejahatan mereka masih wujud. Perjuangan kemerdekaan belum selesai... walaupun penjajah British sudah balik, tetapi penjajahan pemikiran masih wujud," katanya.

Isu sejarah kemerdekaan negara muncul ekoran kenyataan kontroversi timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Mohamad mengatakan pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan di balai polis Bukit Kepong dan membunuh 25 orang semasa pemberontakan komunis pada 1950, yang mengundang kritikan banyak pihak terutamanya pemimpin Umno.

Beliau juga mengatakan Ahmad Indera atau Mat Indera, salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah itu adalah seorang pejuang kemerdekaan.

Dalam pada itu Hadi berkata, PAS menerima secara terbuka kehadiran masyarakat berbilang kaum di negara ini sambil menyifatkan mereka sebagai "mangsa penjajah" yang dibawa sebagai hamba.

"Pada masa sama, PAS menerima kenyataan masyarakat majmuk yang ada di Malaysia, kaum Cina, kaum India dan kaum bukan Islam yang ada adalah mangsa mereka (penjajah), mereka diangkut oleh penjajah ke sini, jadi pekerja di ladang, bukan sahaja penjajah memperhambakan orang Melayu tetapi memperhambakan orang Cina, orang India dan hanya segelintir sahaja orang Melayu yang senang, orang Cina yang senang dan orang India yang senang.

"Islam mengajar kita wajib menerima masyarakat majmuk. Islam adalah agama rahmat untuk keseluruhan manusia, Islam mewajibkan kita adil kepada masyarakat majmuk," katanya.

MP Mahu Status IWK Dibentang Di Parlimen Bulan Hadapan

Posted: 11 Sep 2011 03:38 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -



SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya membentangkan hal yang berkaitan kepentingan awam melalui saluran yang betul seperti sidang parlimen dan bukannya diketahui melalui "sumber-sumber" tertentu dalam kementerian.

Ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, status sebenar syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) yang pernah diselamatkan oleh kerajaan menggunakan duit rakyat sebelum ini, hakikatnya memerlukan penelitian yang serius memandangkan ia pernah merugikan dana awam.

"Saya amat kecewa dengan ketidaktelusan urus tadbir negara seperti IWK ini yang kita tahu pernah diselamatkan kerajaan dengan RM 700 juta dibayar dulu dan hutang sekarang ni RM 1.5 Billion. Jadi kami minta bentang perkara ini ke parlimen, jangan cakap belakang," kata beliau kepada TV Selangor hari ini.

Dr Dzul mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam yang memberitahu bahawa pusat akan menggabungkan IWK dengan sebuah unit kerajaan atas keputusan yang dibuat oleh Majlis Ekonomi Kebangsaan baru-baru ini.

Bagaimana identiti unit tersebut tidak didedahkan Husni.

Terdahulu, portal The Malaysian Insider yang memetik sumber dalamannya melaporkan, IWK akan diswastakan dalam waktu terdekat dan bakal diambil alih oleh sebuah syarikat agensi pelaburan strategik 1MDB.

Difahamkan konsortium yang akan diketuai oleh 1MDB itu turut membabitkan Puncak Niaga.

Pada 2000, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad membayar hampir RM200 juta untuk memiliknegarakan IWK demi menjaga kepentingan awam dan mengelakkan gangguan perkhidmatan.

Langkah itu diambil untuk menangani masalah hutang syarikat tersebut ketika itu dianggarkan RM700 juta.

Malah, rancangan baru kerajaan pentadbiran Najib ini dilihat kemungkinan mencetuskan kritikan yang sama kerana ia membabitkan 1MDB dan Puncak Niaga, sebuah syarikat yang berhubung kait secara politik dengan Putrajaya.

Justeru Dr Dzul yang juga ahli majlis pimpinan PAS pusat menyatakan betapa dolak-dalik kerajaan Umno-BN ini merupakan perkara biasa menjelang pilihan raya umum.

"Satu perangai saya tengok dekat pilihan raya ini,(pusat) suka cakap berbelit. Contohnya macam 6 peratus prepaid, dia kata Telco buat. Cukai ini bukan Telco tapi kerajaan. Dalam kes IWK ini, kita dengar mengenai 1MDB dan Puncak Niaga dari sumber dalaman, bukan kita reka cerita.

"Ringkasnya, saya kata tak boleh percaya apa. Tampil ke depan, cadangkan dan bentangkan di parlimen. Jangan cuba-cuba sahaja," tegas Dr Dzul lagi.

Penoreh getah maut disambar petir

Posted: 11 Sep 2011 03:34 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -


MARANG: Seorang penoreh getah maut disambar petir ketika berteduh daripada hujan di dalam rumah rakit berhampiran sangkar ikan milik bapa saudaranya di Kampung Batangan, di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Farizuddin Adnan, 27, bersama seorang sepupunya dilaporkan berlindung di rumah rakit tersebut setelah hujan lebat ketika mereka sedang melakukan kerja mengangkat

pukat. Menurut sepupu mangsa, Muhammad Hairi Syahiddin Mohd, 18, ketika kejadian dia dan sepupunya masuk kedalam rumah rakit tersebut untuk berlindung sebelum tiba-tiba kedengaran bunyi petir yang kuat.


"Saya mendengar bunyi dentuman petir yang kuat dan saya berpaling ke belakang melihat badan arwah terbakar, saya bergegas memanggil ayah yang berada di luar rumah ketika itu dan cuba memadam api di badan mangsa." 

"Setelah api berjaya dipadamkan kami bergegas membawa arwah ke klinik kesihatan berhampiran namun arwah disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini. 
Sementara itu, ibu mangsa, Zainun Hitam, 52, berkata anak keduanya itu keluar rumah selepas waktu Asar dan dia menyangkakan anaknya pergi menoreh getah.
 
Namun dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya disambar petir dan terus bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui anaknya dalam keadaan badan sebelah kiri hangus terbakar. 

"Sebelum ini arwah ada menunjukkan sikap pelik apabila pergi makan nasi ke rumah neneknya di mana sebelum ini arwah tidak pernah berbuat demikian," katanya. 

Kejadian ribut petang semalam turut menyebabkan beberapa buah rumah di kampung berkenaan rosak dipukul ribut. 





PAS gesa bina segera rumah mangsa tanah runtuh

Posted: 11 Sep 2011 02:55 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -



CAMERON HIGHLANDS, 10 Sept: PAS Pahang menggesa pihak kerajaan menyegerakan bantuan perumahan untuk keluarga Orang Asli mangsa bencana tanah runtuh di Sungai Ruil, yang masih ditempatkan di Dewan Jubli Perak di sini.

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata, bantuan tersebut amat mendesak kerana keadaan di tempat penempatan sementara sejak tragedi itu bulan lalu didapati tidak selesa.

"Bagi kami pembinaan semula rumah mangsa yang musnah dalam tragedi tanah runtuh ini amat mendesak kerana ada ahli keluarga mereka yang cedera dan memerlukan suasana kediaman yang selesa untuk pemulihan.

"Di samping itu juga ramai anak keluarga mangsa berkenaan terdiri daripada kanak-kanak yang masih bersekolah jadi sudah tentulah memerlukan suasana lebih sesuai untuk pembelajaran mereka terutama menjelang musim peperiksaan sekarang," katanya kepada Harakahdaily ketika melawat keluarga tersebut kelmarin.

Rombongan yang membuat lawatan kebajikan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, turut disertai Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands, Ustaz Abdul Karim Noor serta ahli-ahli jawatankuasanya sebelum itu telah beramah mesra dengan mangsa enam keluarga yg masih ditempatkan di situ.

Pada 7 Ogos lalu, tujuh penduduk Kampung Orang Asli Sungai Ruil maut selepas rumah mereka musnah akibat ditimbus banjir lumpur dan tanah runtuh.

Sejak itu pelbagai pihak dan agensi kerajaan berjanji untuk membina semula rumah-rumah mangsa yang musnah sama sekali dalam tragedi berkenaan.

Mereka merupakan antara 60 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Perkampungan Orang Asli berkenaan.

Sementara itu, Roslan juga meminta pihak kerajaan memperjelaskan dakwaan penduduk Orang Asli yang ditemui bahawa tapak projek perumahan Taman Golden Hills yang dibina bersebelahan dengan kampung mereka pada asalnya merupakan tanah yang diwartakan sebagai rezab Org Asli.

"Jika dakwaan tersebut benar, pihak kerajaan perlu memberikan penjelasan bagaimana pihak pemaju boleh diberikan laluan untuk projek perumahan mewah tersebut.

"Selain itu PAS Pahang juga menggesa kerajaan menyediakan pelan atau skim perumahan mampu milik untuk penduduk Orang Asli Sungai Ruil menggantikan rumah-rumah kediaman mereka yang amat daif dan terdedah kepada risiko bencana dalam jangka panjang," ujarnya.

Rakyat keliru "fakta" Malaysia tidak pernah dijajah

Posted: 11 Sep 2011 02:53 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Kenyataan jurucakap Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Zainal Kling semalam bahawa Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, mencetus kekeliruan baru terhadap pemahaman sejarah di kalangan rakyat.

Bukan sahaja dilihat sebagai "fakta sejarah baru", namun ianya juga dilihat bercanggah dengan apa yang diajar kepada rakyat dalam mata pelajaran sejarah di sekolah sejak berpuluh tahun dahulu.

Seperti biasa, laman sosial Facebook, Twitter dan blog antara yang digunakan rakyat negara ini membangkitkan kekeliruan itu.

Jika benar Malaysia tidah pernah dijajah British, antara persoalan yang dilontarkan termasuklah kenapa kita menuntut merdeka sedangkan tidak pernah dijajah.

Selain itu ada juga natara mereka mempersoal siapakah perdana menteri Malaysia yang pertama ketika "dinaungi" British, kenapa 31 Ogos 1957 diwartakan sebagai hari merdeka sedangkan tidak pernah dijajah dan perlukah tarikh 31 Ogos tersebut disambut lagi selepas ini.

Dr Zainal Kling dalam sidang media semalam berkata, berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Katanya, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun.

Sehubungan itu, beliau mahu "fakta" sejarah itu dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik.

Kenyataan itu bagaimanapun mengundang kekeliruan banyak pihak yang selama ini diberi kefahaman bahawa Tanah Melayu sememangnya dijajah sehinggalah merdeka pada tahun 1957.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dalam reaksi spontanya juga mempersoal kenyataan Dr Zainal Kling tersebut dengan berkata "Kalau kita tak pernah dijajah, buat apa sambut merdeka?"

Katanya, jika benar dakwaan beliau itu, bermaksud tarikh 31 Ogos 1957 bukanlah tarikh merdeka.

"Jadi Dr Zainal secara tidak langsung nak bagitahu rakyat dah terkena tipu 54 tahun oleh Umno ke?" sindir beliau lagi.

Selain Tuan Ibrahim, turut membidas kenyataan MPN itu termasuklah Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Prof Zainal Kling kata bahawa 'kita tidak pernah dijajah, siapa kata kita pernah dijajah itu kesalahan besar'..ertinya selama ini ramai yang tertipu..seruan menghalau penjajah, bebas dari penjajah, merdeka dari penjajahan itu semua itu tidak benar.. satu kesalahan besar.." tulis beliau secara sinis di laman Facebooknya.

"Kemerdekaan lawan bagi kehambaan atau penjajahan..ertinya tiada hari merdeka yang sebenar..kita tidak pernah dijajah..buku sejarah mesti diubah semula..entahlah..siapa yang hendak berteori silalah lagi..macam-macam ada.." tambah beliau.

Evakuasi pelajar Syria, mengapa menari ikut rentak media?

Posted: 11 Sep 2011 02:51 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -



Kebangkitan rakyat Syria menentang kezaliman rejim Bashar Al-Assad ternyata menjadi episod derita yang berlarutan hingga ke hari ini, tatkala kebangkitan umat sebangsa mereka di negara-negara jiran berjaya mencapai hasil yang didambakan. Bermula sebagai rayuan membebaskan tahanan politik oleh ahli keluarga mereka yang terbabit, desakan menghapuskan undang-undang darurat ala-ala Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia dan seruan kebebasan berpolitik sejak 16 Mac awal tahun ini, rakyat bertukar angin apabila mula tekad menuntut pertukaran kerajaan setelah tuntutan-tuntutan awal ibarat menggertak dinding batu - buat kering tekak, tapi dinding tidak bergerak.
Saya yang kebetulan terperangkap dalam cetusan demonstrasi pertama tanggal 18 Mac di Masjid Umawi berdekatan Souq Hamidi, tatkala demonstran cuba mengheret Syeikh Ramadhan Buti yang menyampaikan khutbah untuk bersama-sama kelompok mereka sebelum disuraikan secara ganas oleh mukhabbarat rejim, sehinggalah ke tragedi mutakhir Lailatul Qadar Berdarah Ramadhan lalu, di antara dua titik peristiwa besar itu, memerhatikan bahawa graf kebangkitan rakyat khususnya di Dimashq, yang menjadi prioriti penulisan ini, di tahap mendatar.
Selain beberapa keypoint events yang mencuri perhatian dunia, misalnya penangkapan sekelompok remaja yang menconteng graffiti anti-kerajaan di dinding bandar Dara'a, bermulanya kemasukan tentera di sana tanggal 25 April, pembunuhan dan penyeksaan syahid kanak-kanak Hamzah Al-Khateeb pada 29 April, kepungan dan serangan ketenteraan ke atas penduduk Jisr Al-Shoghour tanggal 12 Jun yang menyebabkan 12,000 rakyat Syria lari ke Turki, selain tiga 'ucapan janji kosong' Presiden Bashar Al-Assad kepada rakyatnya dan siri sekatan ekonomi dan ancaman ke atas Syria daripada negara-negara luar, tidak ada tanda-tanda sejarah baru akan terukir dengan mudah dalam masa terdekat.
Berita kematian dan tunjuk perasaan yang disiarkan setiap hari berlaku di beberapa bandar seperti Dara'a, Homs dan Hama tidak dinafikan agak merungsingkan, tetapi bagi menilai isu secara tepat dan adil, lokasi kejadian yang terlalu jauh tidak menjadi ancaman kepada pelajar Malaysia yang kesemuanya berada di Dimashq, sebagaimana rakyat di Pahang dan Perak tidak terusik oleh perang saudara di Selatan Thailand.
Kajian dan analisa terhadap referendum yang dilakukan oleh Security Action Force (SAF), badan yang ditubuhkan khas oleh Persatuan Pelajar Malaysia di Syria (PPMS) untuk memantau tahap keselamatan pelajar, mendapati bahawa tidak ada seorang pelajar pun yang pernah diancam sejak revolusi bermula awal tahun ini. Pada masa sama, pungutan pendapat pihak berautoriti samada daripada kerajaan, pimpinan masyarakat tempatan, masyayikh dan pihak pengurusan universiti, meletakkan situasi di Dimashq dalam keadaan stabil. Malah lima tanda aras bahaya yang akan menyebabkan berlakunya evakuasi, antaranya berlaku tembak-menembak antara dua pihak di dalam bandar dan kedutaan negara-negara besar ditutup seperti yang ditetapkan oleh kedutaan sendiri awal tahun ini, belum pun berlaku.
Pelajar mampu berulang-alik ke kuliah setiap hari dengan selamat, menduduki peperiksaan, mengadakan dan menerima jemputan ke rumah terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri setiap hari, malah masih boleh mengadakan majlis perkahwinan di sini. Dalam krisis kewangan yang berlaku, ternyata pelajar bijak mencari jalan keluar - sambil memohon cadangan penyelesaian daripada kedutaan - tanpa ada yang mati kebuluran dan merayu pertolongan ke sana ke mari seperti digembar-gemburkan media.
Justeru kami berasa terkejut tatkala Kementerian Luar mengumumkan proses evakuasi pertengahan September ini dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 September lepas. Tindakan yang dianggap terburu-buru dan drastik itu, dilihat sebagai tindakan populis untuk menunjukkan betapa kerajaan mengambil berat keadaan pelajar dan mendengar kehendak penjaga di Malaysia yang dukacita dihidangkan dengan maklumat yang tidak tepat, selain hasil tekanan media yang tidak putus menggambarkan seolah-olah pelajar Malaysia di sini berada di ambang kematian. Tidak mengambil pengajaran daripada insiden serupa di Mesir, kerajaan terjelopok ke lubang yang sama untuk kali kedua.
Kami menggesa kerajaan, supaya menghormati keputusan dan tidak mengabaikan keadaan pelajar yang baru mendaftar untuk sesi baru kemasukan ke universiti di sini atau berada di hujung pengajian, dan memilih untuk kekal di Syria bagi meneruskan pengajian dan tidak pulang ke tanahair.
Sungguh, tidak ada yang akan membuatkan kami lebih bahagia daripada dapat pulang ke tanahair dengan tiket 'percuma' untuk menumbangkan pemerintah yang zalim dan menegakkan Islam di segenap ruang yang kami jejaki, tetapi buat masa ini kami sanggup menangguhkan kebahagiaan tersebut demi untuk tidak pulang dengan tangan kosong.
Kepada ibu bapa dan penjaga pelajar yang telah memilih kekal, tingkatkanlah tawakkal dan keyakinan kepada Allah. Anak-anak kalian, manifestasi ilmu dan iman yang bukan sahaja dipelajari malah cuba diamalkan. Bagi yang pulang, tunaikanlah hak kepada masyarakat, kerana tiket 'percuma' tersebut, hakikatnya adalah hasil cukai daripada titik peluh mereka.
Kerajaan boleh memilih untuk menari mengikut paluan gendang sesiapapun, tetapi kami pelajar yang celik mata hati dan peka terhadap perkembangan semasa, memilih untuk terus thabat berpijak di bumi nyata.
Pelajar Malaysia di Syria

Nik Aziz lawat keluarga Allahyarham Noramfaizul

Posted: 11 Sep 2011 02:50 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -



SERDANG, 10 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meluangkan masa melawat keluarga Allahyarham Noramfaizul, wartawan BernamaTV yang maut akibat terkena tembakan semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan tiba di kediaman keluarga Allahyarhan di Taman Serdang Raya kira-kira jam 9.30 pagi ini.

Turut serta dalam kunjungan itu delegasi Dewan Muslimat PAS Pusat yang diketuai Siti Zailah Yusuf.

Kunjungan tersebut sebagai tanda simpati terhadap kelurga atas pemergian Allahyarham Noramfaizul.

Kehadiran mereka disambut ibu bapa serta isteri dan dua anak Allahyarham.

Pada kunjungan itu juga, Tuan Guru Nik Aziz turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham.

Beliau juga menasihatkan ahli keluarga Allahyarham bersabar atas ketentuan Ilahi ke atas Noramfaizul.

Dalam kejadian pada Jumaat 2 September lalu, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Beliau yang terkena tembakan itu di dada bagaimanapun meninggal dunia ditempat kejadian.

Insiden itu turut menyebabkan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, cedera di lengan.

Wacana Merdeka makin tambah kekeliruan

Posted: 11 Sep 2011 02:49 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -



IPOH, 10 Sept: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menyifatkan Wacana Merdeka yang dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) semalam gagal menjelaskan tajuk asal perbincangan mengenai tragedi Balai Polis Bukit Kepong: Siapa wira sebenar.
Malah, kata Ketua Penerangan PAS negeri, Ahmad Nuri al-Amin berkata pentas wacana tersebut lebih menjadi medan mencetuskan polemik baru yang menyanggah fakta besar yang telah diterima pakai selama 54 tahun dengan menafikan sejarah kemerdekaan negara.
Katanya, penafian terhadap kemerdekaan negara pada tahun 1957 itu lahir dari fakta yang disebut berulang kali oleh para panelis wacana bahawa Tanah Melayu langsung tidak pernah dijajah oleh British, suatu kenyataan yang tidak disiarkan oleh media massa perdana yang dikuasai kerajaan.
Malah, menurutnya bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar juga menggambarkan bahawa penubuhan Umno pada tahun 1946 bukan untuk mendapatkan kemerdekaan negara tetapi hanya untuk memastikan bahawa Tanah Melayu dikembalikan kepada pemerintahan dahulu.
Tambahnya, manakala penekanan Tun Hanif berkaitan tragedi Bukit Kepong hanya mengisyithar bahawa kematian pasukan polis sebagai wira walaupun tidak menafikan polis ketika itu di bawah pemerintahan British.
Katanya, nama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sering menjadi sebutan Tun Hanif semalam sepatutnya turut dijemput pihak IDR bagi menjelaskan isu berkaitan Ahmad Indera @ Mat Indera.
"Jika ianya diadili sebaiknya, wacana tersebut perlu dihadiri juga oleh Haji Mohamad untuk memperkatakan perkara tersebut.
"Sesungguhnya hasil wacana semalam telah menimbulkan lebih banyak kekeliruan dari menjelaskan keadaan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Soalnya, bagaimana status pejuang-pejuang Melayu Perak seperti Datuk Maharaja Lela Pandak Lam yang dihukum buang negeri dan pejuang-pejuang Melayu lain yang terbunuh ketika dikatakan menentang British.
Katanya, jika Tanah Melayu tidak dijajah, siapakah yang mereka tentang dan siapakah pula yang menghukum dan membunuh mereka.
"Adakah ini angkara Melayu gunakan British untuk menentang dan membunuh sesama Melayu?" soalnya lagi.

Saya perjuang Islam, bukan komunis - Mat Sabu

Posted: 11 Sep 2011 02:48 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -


GOMBAK, 11 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pegangan dan perjuangannya adalah Islam sejak kecil lagi dan bukan komunis seperti dilabel Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia.

Berucap dalam ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi, Muhamad berkata pegangannya dan perjuangannya terhadap Islam tidak pernah berubah sejak dulu lagi.

"Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama.

"Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain.

"Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya merujuk kepada serangan Umno dan media terhadapnya ekoran pandangannya dalam isu Rumah Pasung Bukit Kepong.

Kira-kira seribu hadirin hadir pada ceramah malam tadi.

Mengulas lanjut Mohamad berkata tuduhan sebegitu bukan baru kerana berlaku sejak zaman penjajah lagi.

Umno warisi penjajah

Di zaman British ujarnya, golongan ulama dan golongan kiri dianggap penentang dan ditangkap serta dibunuh.

"Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita.

"(Tuduhan) Ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang Umno mewarisinya," tegasnya lagi.

Mohamad dalam satu ceramahnya di  Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pad 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang menyerang polis British di Rumah Pasung Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis tersebut.

Seminggu selepas itu, Utusan Malaysia dalam laporan 27 Ogos melaporkan kenyataan Mohamad sebagai berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Mohamad yang tidak pernah mengaitkan komunis dalam isu itu kemudiannya menafikan perkara itu dan menganggap laporan akhbar Umno itu sebagai fitnah terhadapnya dan PAS.

Ekoran laporan itu juga, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis.

Mengulas perkara itu, Mohamad malam tadi berkata semalam genap 15 hari beliau diserang.

"Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu.

"Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya terhadap tindakan Utusan itu.

Khairy budak baik

Sementara itu, menjelaskan kenapa beliau menolak debat dengan Khairy Jamaluddin, beliau berkata bukan Ketua Pemuda Umno itu yang banyak menghentamnya tetapi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekoran itu katanya, beliau hanya mahu berdebat dengan Muhyiddin yang dilihat lantang mengritik beliau sehingga menyuruh beliau bertaubat.

"Bagi saya Khairy budak baik dan berpotensi jadi pemimpin PAS akan datang. Buat apa nak berdebat dengan adinda Khairy.

"Muhyiddin yang banyak kata pada saya, jadi biarlah saya berdebat dengan Sohibussamahah Muhyidin Yassin," sindirnya.
Turut menyampaikan ceramah malam tadi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

PKPIM desak kerajaan kota janji mansuh PPSMI

Posted: 11 Sep 2011 02:47 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 11 Sept: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran bertegas untuk terus mempertahankan keputusan yang dicapai dan mengotakan janji untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sebelum ini, pihak kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, ujarnya cadangan Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan memberi autonomi kepada sekolah untuk memilih sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik adalah sangat mengejutkan.
"PKPIM menganggap keputusan Kabinet yang diumumkan sebelum ini tidak dipandang secara serius oleh kerajaan dan keputusan ini boleh berubah pada bila-bila masa memandangkan terdapatnya usaha-usaha pihak tertentu seperti Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang mahu mempengaruhi pihak kerajaan secara konsisten untuk memastikan pemansuhan dasar berkenaan ditarik balik.
"Dengan ini, PKPIM mengulangi pendirian membantah dan menolak PPSMI," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, PKPIM menuntut agar pihak kerajaan tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak yang mewakili suara individu dan minoriti yang mahukan dasar PPSMI dikembalikan.
Menurutnya, sudah jelas betapa PPSMI bukan hanya mengancam kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang dilindungi kedudukannya oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, bahkan mengancam masa depan pelajar dan hala tuju pendidikan Malaysia.
PKPIM, tegasnya komited memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Pendidikan.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya PKPIM menyokong pandangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zakarshi yang mengkritik dan mempersoalkan kajian yang dilakasanakan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berkenaan 50% ibu bapa yang mahukan dasar PPSMI ini diteruskan.
"Dapatan yang diperolehi oleh JMM ini tidak melambangkan hasrat sebenar majoriti rakyat yang menolak dasar ini.
"Hal ini disokong dengan adanya kajian ilmiah oleh pelbagai pihak yang merangkumi seluruh negara mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI ini," ujarnya.
Katanya, keputusan dan rumusan kajian yang telah dilaksanakan ini menunjukkan keputusan sebaliknya selepas dasar ini diperkenalkan kerajaan dalam keadaan tergesa-gesa.
PKPIM juga, ujarnya ingin merakamkan kesedihan dan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sahabat handai Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad, tokoh pejuang bahasa yang konsisten dalam memperjuangkan agar dasar PPSMI ini ditamatkan.
"Mewakili suara generasi muda di Malaysia, PKPIM bertegas bahawa semangat perjuangan Allahyarham dan para cendekiawan dalam memastikan fungsi dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan akan dikembalikan semula pada tempatnya," katanya.

Hina Islam: Jingga 13 mohon mengadap Agong

Posted: 11 Sep 2011 02:45 AM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -


SHAH ALAM, 11 Sept: Kegagalan serta sikap lepas tangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menangani isu sebuah laman web yang menghina Agama Islam serta boleh memesongkan akidah, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum berhubung dengan isu berkenaan.

Jurucakapnya, Fariz Musa yang dihubungi mengesahkan NGO terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak malah menyifatkan isu tersebut bukan dalam bidang kuasa mereka.

"Inilah jalan yang perlu kita ambil dan bukan niat kita untuk memanjangkan permasalah tersebut kepada Agong tetapi bila melihat sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak maka kami rasa wajar perkara ini diketengahkan.

"Sehingga sekarang kita belum mendapat apa-apa jawapan dari pihak Jakim mahupun kementerian, jadi kita berpendapat mereka memang tidak mahu bertindak," jelas Fariz

Tambah Fariz lagi pertemuan yang akan diadakan pada 12 September jam 10 pagi itu akan turut disertai pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat.

"Kami bersama semua pemimpin  akan mengadakan satu pertemua dengan Yang di-Pertuan Agong di atas penghinaan kesucian agama Islam telah dihina oleh individu yang tak bertamadun di halaman sosial.

"Jingga 13 akan menyerah memorandum tentang gagalnya Menteri menyelesaikan masalah ini walaupun laporan yang telah di buat," sambungnya lagi.

Beliau juga mengharapkan kerjasama dari semua pihak agar dapat bersama dengan Jingga 13 pada pertemuan tersebut supaya kesucian Agama Islam terus terpelihara.

"Bagi memelihara kesucian Islam dari terus dihina serta mengharapkan agar Jamil Khir mahupun Jakim tidak memandang mudah tentang permasalah ini, saya menyeru mana pihak diluar turut serta bersama dalam pertemuan itu esok," tambah beliau.

Pada 7 September yang lepas,  Jingga 13 telah menyerahkan memorandum kepada SKMM dan juga Jakim dalam aduan individu yang menghina Islam di internet, namun ia gagal diserahkan kerana Jakim memberi alasan bahawa isu menghina Islam itu bukan bidang kuasa Jakim.

Parti Umno rekaan British semakin tergugat

Posted: 10 Sep 2011 08:28 PM PDT

13 Syawal 1432H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA

Saya ingin membuat kenyataan media terhadap beberapa persoalan yang mengejutkan Negara akhir-akhir ini , pada asasnya saya melihat ada satu kecenderungan dari para professor yang menjadi pengampu kepada kerajaan BN yang mahu perbodoh rakyat.

Keadaan ini tidak boleh kita biarkan kerana kesannya amat buruk kepada masa depan negara.

Dari sudut lain saya menjagkakan juga merupakan strategi untuk terus menerus mengalih pandangan rakyat kepada isu lain yang lebih besar, juga selepas isu komunis nampaknya kurang menjadi.

Benarkah negara ini tidak pernah dijajah?.

kenyataan ini saya tujukan khas kepada ahli sejarawan yang diiktiraf kerajaan umno-bn, walaupun mereka ini bergelar profesor, namun tindakan mereka yang cuba menegakkan benang basah semata-mata menjaga kepentingan survival politik Umno-Bn telah mengenepikan nilai intelek mereka sebagai ahli akademik terbilang.

Apalagi saya ulangi isu ini sengaja dimainkan Umno-Bn bagi mengaburi mata rakyat terhadap salahlaku kerajaan pusat yang perkuda SPR dan juga JPN.

Ahli akademik sepatutnya menjadi pembela nilai ilmu lebih-lebih sejarah tanah air, terkini Malaysia sedang berada diambang kehancuran jika negara cuma membiarkan orang seperti Profesor Zainal Keling yang telah mengeluarkan pendapatnya bahawa katanya Malaysia tidak pernah terjajah.

Saya mencadangkan supaya dia mesti segera diperiksa tahap mentalnya, kenyataan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah tidak masuk akal, bahkan jika benarlah begitu, ini bermakna menurut fakta oleh beliau menerangkan bahawa hari kemerdekaan cuma perlu disambut di Pulau Pinang dan juga Melaka sahaja.

Sekarang ramai dikalangan rakyat Malaysia yang berpelajaran tinggi, mereka mengkaji tentang sejarah tanah air, dalam masa sama Umno-Bn terus menggelapkan fakta hakikat bahawa penjajah British telah meninggalkan "bekas pegawai" mereka sejak tanah air mendapat kemerdekaan pada tahun 1957.

Tidak ramai yang ambil tahu bahawa United Melay National Organitation atau Umno itu sendiri adalah cetusan orang putih, malah idea penubuhannya datang dari orang yang bukan berbangsa Melayu, bagaimana layak mereka mendakwa Umno pembela bangsa.

Dari segi fakta, mustahil pejuang tanah air yang digelar British dengan nama kumpulan berhaluan kiri bermazhab komunis, kerana kita tahu bahawa komunis menolak secara total sebarang fahaman berbentuk keagamaan, individu seperti seperti Mat Indera adalah seorang agamawan malah nama beliau telah tercatat di dalam sebuah buku terbitan Yayasan Warisan Johor yang bertajuk Pengukir Nama Johor sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan.

Malah sebagaimana yang dijelaskan di dalam salah satu kajian ilmiah di Universiti Malaya pada tahun 1973 yang menyatakan bahawa Mat Indera memang merupakan tokoh pejuang dari Johor di era pra kemerdekaan, ini amat jelas sekali dari segi pembuktian yang berfakta.

Begitu juga nama-nama seperti Rosli Dohbi, Datuk Maharajalela di Perak, Tok Gajah, Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Negeri Sembilan and Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan lain-lain lagi juga mesti diberi tempat dalam sejarah untuk jasa mereka sebagai pejuang kemerdekaan.

Sejarah hari ini telah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya, sebut sahaja kemerdekaan di sekolah, maka nama yang hanya keluar dan disebut-sebut cumalah tokoh-tokh umno Umno sahaja, ini .

Sebut soal pengorbanan dalam perjuangan, Tunku Abdul Rahman cuma sedikit dari apa yang para pejuang sejati Tanah Melayu pasca pra kemerdekaan telah lakukan, bahkan jika hendak diikutkan Tunku cuma perunding dan bukannya pejuang untuk menghalau penjajah.

Saya mahu katakan bahawa penjajah British sengaja "membela" pemimpin Melayu yang pro mereka pada era tersebut dengan bertujuan cuma untuk menjaga astet dan lombong mereka sahaja, tidak lebih dari itu.

Pada 31 Ogos 1957 British telah tinggalkan satu parti yang direka khas yang diberi nama United Melay National Organitation atau Umno bagi menyaingi Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dikepalai Dr Buhanuddin Al-Helmy dan rakan-rakannya.

Parti Umno rekaan British ini semakin tergugat dan isu Mat Sabu disensasi dan diputar belit demi untuk menutup fakta sebenar bahawa dialah penghniat kepada orang melayu dengan bersekongkol dengan penjajah, rakyat mula tahu tentang sejarah penubuhan Umno itu sendiri.

Saya juga ingin bertanya kepada mereka yang bertanggungjawab "membela" profesor-profesor ini, adakah wang rakyat telah dibazirkan begitu sahaja selama 53 tahun apabila menjelang hari kemerdekaan?

Jika benar negara tidak dijajah, sila kembalikan semula wang rakyat yang diperuntukkan untuk sambutan tersebut, begitu juga cuti umum pada tarikh tersebut perlu dimansuh kecuali di Pulau Pinang dan Melaka.

Di sini saya ingin menggesa ilmuan-ilmuan dan pakar sejarah supaya bangkit menentang penyelewengan fakta sejarah, nilai ini penting untuk tatapan generasi muda supaya mereka boleh belajar bagaimana orang terdahulu membina jati diri untuk mempertahankan negara dari sebarang bentuk jajahan yang berbentuk fizikal mahupun pemikiran.

Diamnya BN dalam isu ini bermakna mereka juga yang terlibat secara rasmi dalam pembohongan 1Malaysia terhadap sejarah, rakyat perlu hukum pembohong sejarah pada PRU 13 nanti, ubah sekarang selamatkan Malaysia.

Drs Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 10 September 2011

Tiada ulasan:

Nuffnang