Selasa, 23 Ogos 2011

MOHD FIRDAUS JAAFAR

MOHD FIRDAUS JAAFAR


Ragui ayam sembelih, jangan pengguna 'disembelih'

Posted: 22 Aug 2011 04:44 PM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LaPAS) memandang serius laporan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) yang mendapati kira-kira 60,000 ekor ayam segar atau 30 peratus daripada bekalan ayam segar di negeri Johor diragui status halal dan kesuciannya.

Pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, LaPAS difahamkan ia berpunca daripada sikap segelintir pengusaha pusat penyembelihan yang menjalankan kerja-kerja penyembelihan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

"LaPAS mengucapkan tahniah kepada Jabatan Agama Islam Johor yang berjaya mengesan dan membuat serbuan ke atas premis terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi LaPAS, katanya isu sembelihan ayam halal adalah isu yang sangat penting kepada umat Islam.

Ujarnya, LaPAS percaya umat Islam tidak rela makanan yang masuk ke tubuh badan mereka dan menjadi darah daging berpunca dari sumber yang haram.

"Adalah diharapkan agar JAIJ dan kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi kawalan syariah dengan menghentikan operasi perniagaan mereka, menyita premis serta membekukan lesen perniagaan," katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.

Katanya, pengusaha seperti itu tidak layak untuk menjalalankan perniagaan mereka kerana tidak menjaga amanah umat Islam bagi menjaga halal dan haram pada makanan yang mereka usahakan. 

Ini juga, tambahnya sebagai peringatan keras agar pengusaha dan pembekal makanan bersikap lebih berhati-hati dengan mematuhi segala prosedur halal yang ditetapkan.

Beliau berkata, LaPAS turut mengharapkan agar Jabatan Agama Islam di negeri-negeri lain mengambil tindakan sama dengan menjejaki, mengesan, memantau serta menyiasat pembekal atau pengusaha pusat penyembelihan yang tidak mematuhi prosedur penyembelihan dengan betul.

Selain itu, ujarnya LaPAS meminta agar kerajaan memastikan bekalan ayam sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat menjelang Aidilfiitri.

Ini, katanya bagi mengelakkan sesetengah pengusaha atau penjual mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam sesuka hati mereka. 

Katanya, kawalan harga bagi ayam dan barang-barang keperluan amat penting bagi melindungi hak pengguna.

"Pengguna tidak rela mereka membeli makanan dan barang keperluan lainnya di musim perayaan ini dalam keadaan mereka pula 'disembelih' oleh penjual yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Tiada ulasan:

Nuffnang