Jumaat, 8 Julai 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


MemBERSIHkan Pencuri, Perkuda, Penipu dan Penakut

Posted: 07 Jul 2011 06:36 PM PDT

Ada yang menghebohkan bahawa BERSIH adalah pertubuhan haram yang di pimpin oleh Dato' Ambiga, seorang peguam Hindu yang membela golongan murtad. Oleh itu, menurut mereka lagi, BERSIH tidak bersih dan PAS dengan menyertai BERSIH, terbukti tidak lagi mengutamakan Islam. PAS, menurut mereka, sanggup 'diperkudakan' orang seperti Dato' Ambiga demi ingin berkuasa. Hujjah dangkal mereka menzahirkan betapa terdesaknya mereka ini!

1. BERSIH DAN DATO' AMBIGA
BERSIH adalah program atau event yang dianjurkan oleh gabungan 62 NGO sah dan berdaftar. Dato' Ambiga dipilih untuk bertindak sebagai Pengerusi program BERSIH. Oleh kerana semua NGO yang bergabung di bawah BERSIH adalah sah dan berdaftar, maka BERSIH tidak boleh sewenang-wenangnya dilabelkan sebagai sesuatu yang haram, lebih-lebih lagi sebuah 'pertubuhan' haram.

Dalam soal ianya dipimpin oleh Dato' Ambiga, itu tidak menjadi satu masalah. Kepimpinan Dato' Ambiga adalah terhad kepada agenda yang dibawa oleh BERSIH, iaitu menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Agenda ini adalah sesuatu yang baik serta layak dan patut disokong oleh semua. Hakikat BERSIH menerajui usaha ini dan Dato' Ambiga adalah pengerusinya tidak mengurangkan kenyataan bahawa tuntutan BERSIH adalah sesuatu yang wajib disokong.

Sebagai contoh, sekiranya ada usaha mengejar seorang pencuri untuk menangkapnya, tidakkah usaha ini perlu dibantu? Sekiranya orang yang mengejarnya adalah seorang Hindu atau yang bukan Islam, adakah usaha ini tidak perlu dibantu oleh kita sebagai orang Islam? Sudah pasti perlu dibantu, lebih-lebih lagi apabila pencuri tersebut mencuri dari rumah kita semua, Hindu, Budha, Islam dan sebagainya, setiap hari dan setiap bulan selama berpuluh tahun.

Sekiranya pencuri itu orang Melayu, beragama Islam, adakah pencuri itu perlu dibiarkan? Sudah pasti tidak boleh dibiarkan. Itulah yang diberikan amaran oleh Rasulullah (SAW) sebagai 'AsSobiyyah', iaitu menolong kaum kamu dalam kezaliman. Rasulullah (SAW) tidak mengaku ummat! Maka pencuri Melayu beragama Islam lebih perlu untuk kita berusaha tangkap bersama kerana dia mencemar nama baik Islam dan bangsa Melayu. Dengan menangkapnya dapat kita halang dia dari terus menzalimi dirinya sendiri dan masyarakat secara umumnya; Islam dan bukan Islam.

Maka inilah keadaannya. BN mencuri kuasa melalui pilihan raya kotor dan dengan kuasa itu, mencuri dari rakyat, kita semua termasuk, untuk diberikan kekayaan Negara kepada kroni dan suku sakat mereka. Mereka adalah pencuri yang paling terkutuk, mencuri di siang hari, depan mata semua dan meminta rakyat merestui amalan mereka atas alasan kononnya ianya adalah untuk kebaikan kita bersama! Sudahlah mencuri, menipu pula. Mengadu-domba pula, sehingga sanggup dilagakan satu bangsa dengan satu bangsa yang lain, demi mempertahankan amalan mencuri mereka. Mereka memaksa polis membela mereka pula, sehingga rakyat yang tidak bersalah dipukul dan dipenjara!

Ini bukan pencuri biasa. Ini bagaikan Mafia! Lagi wajib ditentang.

2. MEMBELA GOLONGAN MURTAD
Dato' Ambiga sebagai peguam, sepertimana para peguam yang lain, pernah dan akan terus membela berbagai jenis orang yang dituduh melakukan berbagai jenis kesalahan. Adakalanya dia kena membela orang yang dituduh mencuri, adakalanya yang dituduh membunuh dan adakalanya juga orang yang menuntut untuk keluar dari Islam (murtad) disebabkan tidak lagi beriman pada Islam.

Itu adalah sebahagian tuntutan kerjayanya sebagai seorang peguam. Dalam soal ini, beliau bergerak mengikut lunas-lunas undang-undang yang sediada. Beliau tidak keluar dari ruang undang-undang Negara tetapi mengikut sistem perundangan yang telah dikuatkuasakan selama ini. Sekiranya dalam sistem itu ada ruang untuk seseorang menjadi murtad melalui sistem mahkamah sivil, maka salahnya adalah sistem perundangan yang membenarkannya.

Perlu juga diambil kira, Dato' Ambiga sendiri bukan orang Islam. Kefahamannya berhubung konsep kebebasan beragama adalah mengikut kefahaman dirinya sendiri, bukan mengikut kefahaman Islam. Sekiranya dia bertindak mengikut kefahamannya sendiri melalui ruang undang-undang yang sediada, kita tidak boleh menyalahkan dirinya. Kita kena tanya, mengapa ruang undang-undang sebegitu masih wujud. Mengapa tidak kes 'murtad' dibawa ke mahkamah Syariyyah?

Kedua, umat Islam perlu juga berusaha untuk memahamkan semua berhubung persoalan hukum murtad mengikut Islam dan meyakinkan mereka akan keadilan hukum itu. Dengan itu membuktikan keadilan Islam itu sendiri. Para ulama' juga perlu dibenarkan berhujjah mengenai hukuman terhadap orang murtad samada ianya hukum had atau ta'zir tanpa apa-apa tekanan politik dari mana-mana pihak.

3. PAS DIPERKUDAKAN BERSIH
Berdasarkan apa yang dikemukakan di atas, amat jelas bahawa BERSIH menentang amalan pilihan raya kotor yang diamalkan BN selama ini. Sesiapa yang menentang amalan ini dan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil adalah golongan yang telah bebas dari penipuan UMNO/BN. Sesiapa yang berdiri bersama UMNO/BN mempertahankan yang kotor, mereka diperkudakan UMNO/BN!

Kita tidak diperkudakan sesiapa kalau kita berdiri atas kebenaran dan keadilan, walaupun yang berdiri bersama atau dihadapan kita adalah orang bukan Islam. Ini adalah kerana kita berdiri di pihak yang benar. Kita hanya diperkudakan apabila kita berdiri mempertahankan yang kotor, rosak dan bobrok, walaupun yang berdiri di depan atau bersama kita adalah orang Melayu yang beragama Islam.

PAS semenjak dahulu lagi telah memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil. Dari dulu lagi PAS telah menentang penyalahgunaan kuasa oleh BN untuk membantu kemenangan BN dalam pilihan raya, seperti menggunakan Jabatan Penerangan, Radio dan Televisyen Malaysia, daftar pemilih yang tercemar dan lain lain. Oleh itu PAS, dan juga parti-parti politik PR yang lain, tidak 'mengikut' BERSIH, tetpai bersama BERSIH kerana mereka menuntut apa yang telah lama dipersetujui sebagai sesuatu yang ingin diperjuangkan bersama.

Ada yang bertanya, "kenapa PAS tidak memimpin BERSIH?" Hakikatnya BERSIH adalah program NGO dan NGO berhak membuat apa-apa aktiviti yang mereka inginkan. Yang baik, kita sokong, yang kurang baik kita tidak bersama atau tentang sekiranya ianya membawa keburukan. Tidak semestinya semua kegiatan dipimpin oleh PAS ataupun PR. Perlu diingat, bahawa parti komponen di dalam PR bukan sepertimana UMNO yang akan hijack program pihak lain semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Lagipun, sekiranya BERSIH dipimpin oleh PAS, maka akan dikatakan ianya bermotif politik kerana dipimpin sebuah parti politik. Oleh itu ada baiknya NGO mengadakan program bersama rakyat jelata supaya mereka yang ingin melihat keadilan untuk rakyat, di mana suara mereka didengari dan pilihan mereka dihormati, dapat digerakkan dan digabungkan bersama. Ini yang dinamakan 'civil society initiative' atau apa yang biasa diterjemahkan sebagai usaha masyarakat sivil atau, bagi saya, masyarakat awam. Ianya initiatif masyarakat awam yang tidak didorong mana-mana parti politik.

UMNO/BN sudah hilang sokongan masyarakat awam dan oleh itu takut pada pilihan raya yang bersih dari penipuan. Sepertimana yang saya sebutkan dulu, pilihan raya bersih = BN kalah.

4. UMNO/BN PENIPU dan PENAKUT
Akhir kata, amat jelas bahawa UMNO/BN adalah penipu dan penakut. Pada mulanya dikatakan "buatlah di Stadium dan pekik-pekiklah sekuat hati kamu di sana", tetapi sekarang, di Stadium pula tidak dibenarkan! Mereka tahu rakyat tidak inginkan mereka lagi dan oleh itu, sekiranya dibenarkan rakyat berkumpul untuk menunjukkan sokongan terhadap satu pilihan raya yang adil dan bersih, mereka yakin Stadium itu akan dibanjiri rakyat dari setiap lapisan masyarakat! Oleh itu mereka tiada pilihan lain, selain tarik balik cadangan mereka sendiri dan terus mengharamkan perhimpunan rakyat!

UMNO/BN melakukan ini walaupun ianya bercanggah dengan nasihat DYMM SPB YDP Agong. Siapa yang derhaka sekarang? 'Perhimpunan' demi 'perhimpunan' yang mengutuk BERSIH dibenarkan, setiap hari keluar akhbar. Tetapi perhimpunan menyokong BERSIH atau perhimpunan BERSIH itu sendiri tidak dibenarkan! UMNO/BN dalam ketakutan.

Saya rasa masanya sudah tiba. Saya rasa UMNO/BN pun sudah rasa begitu. Masa untuk negara ini diperintah oleh selain dari UMNO. PAS ganti UMNO!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Perjumpaan Dengan Pro Lintas

Posted: 07 Jul 2011 06:00 PM PDT

Kelmarin, pada hari Rabu 6 Julai, saya telah ke pejabat Pro-Lintas untuk mendapatkan penyelesaian terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi penduduk Sek 24 Shah Alam. Saya diberitahu bahawa mereka sedia maklum tentang masalah ini dan akan menerima pembentangan dari pihak pakar runding pada hujung bulan ini berhubung cara mengatasinya.


Saya juga telah sempat berbincang mengenai kadar Tol baru untuk jalan susur Highway Guthrie ke Puncak Perdana dan Puncak Alam. Mereka beritahu saya perlu berhubung dengan pihak lain kerana ianya di luar bidang kuasa mereka. Mereka akan memaklumkan nombor telefon pegawai yang berkenaan kelak untuk saya berhubung secara terus.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang