Rabu, 6 Julai 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


Stadium BERSIH

Posted: 06 Jul 2011 07:33 AM PDT

Kesudian SPB Tuanku menerima kunjungan dari wakil BERSIH untuk mengadap amat dihargai. Sepertimana juga titah Baginda yang jelas terbukti dibuat secara adil dan saksama. Hasil dari pertemuan tersebut pihak BERSIH sekali lagi membuktikan keikhlasan mereka dengan menyatakan kesediaan mereka untuk menganjurkan perhimpunan tersebut di dalam sebuah Stadium di Kuala Lumpur.

Cadangan untuk diadakan di Stadium telah terlebih dahulu dicadangkan oleh Hishamuddin dan diulangi oleh Najib sendiri. Oleh itu, sekarang kita ingin melihat sejauhmana pihak kerajaan BN akan mengotakan apa yang mereka sendiri nyatakan!

Dengan persetujuan BERSIH supaya perhimpunan diadakan di Stadium maka sepatutnya perhimpunan ini dan apa sahaja berkaitan dengannya seperti warna kuning TIDAK lagi diharamkan. Apabila ianya tidak lagi dianggap perhimpunan haram, maka sebarang sekatan jalan oleh pihak polis tidak lagi perlu diadakan. Tuduhan BERSIH adalah pengkhianat dan agen asing tidak perlu diulangi. Drama minggu ini yang mempamerkan berbagai jenis senjata dan Molotov Cocktail dalam botol plastik juga tidak perlu diteruskan.

Sebaliknya pihak keselamatan seharusnya memikirkan langkah yang perlu diambil bagi memudahkan perhimpunan tersebut diadakan. Mereka harus menghalang mana-mana pihak yang ingin mengganggu perhimpunan tersebut. Ianya patut dilayani seperti mana-mana perhimpunan yang sah seperti perhimpunan '1 Juta' belia di Putrajaya tempohari.

Sekiranya usaha menghalang dan mengharamkan tetap diteruskan, ini bererti tawaran Hishamuddin dan Najib TIDAK ikhlas. Ianya secara tidak langsung memberi gambaran bahawa titah SPB YDP Agong yang inginkan isu ini ditangani secara adil dan bijaksana, tidak diendahkan samasekali oleh pihak kerajaan yang tetap berkeras dengan agenda yang ingin menundukkan rakyat dengan apa cara sekali pun.

Adalah tidak munasabah pihak keselamatan bertindak sedemikian rupa apabila perhimpunan ini telah dipersetujui dan diberikan kelulusan oleh pihak kerajaan sendiri. Sebagai contoh, kesesakan lalu lintas yang jelas dihasilkan sekatan jalan raya pada hari ini 6 Julai, sedangkan kesediaan BERSIH untuk memindahkan perhimpunan ke Stadium telah dinyatakan sejak semalam lagi. Atau apakah mungkin pihak keselamatan sudah tidak mengendahkan lagi arahan PM dan Menteri dalam Negeri?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

BERSIH: Titah DYMM SPB YDP Agong

Posted: 06 Jul 2011 07:14 AM PDT

Dengan tersiarnya titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung perhimpunan BERSIH yang dijadualkan pada 9 Julai ini, maka sepertimana kebiasaannya, pihak kerajaan UMNO/BN cuba menafsirnya sebagai titah yang menyokong mereka dan menemplak pihak lawan. Mereka dengan segera cuba memutar-belitnya sebagai titah yang menuntut supaya perhimpunan itu dibatalkan dan keengganan untuk membatalkannya adalah sikap derhaka terhadap SPB Tuanku.

Sikap angkuh dan degil UMNO/BN jelas tertonjol apabila titah SPB Tuanku yang bertindak sebagai pihak yang berkecuali, menegur semua pihak, diputar-belit sebegitu rupa. Ianya jelas menzahirkan betapa UMNO/BN tidak menghormati semua pihak, termasuk institusi Raja-Raja Melayu sendiri dalam usaha mereka untuk mempertahankan kuasa mereka dalam pada rakyat yang sudah tidak lagi inginkan mereka.

TITAH SPB YDP AGUNG DIPERINCI
Sekiranya dilihat secara ikhlas terhadap apa yang dititahkan SPB Tuanku, ianya merupakan teguran kepada semua pihak, lebih-lebih lagi pihak kerajaan, kerana sanggup membenarkan suasana menjadi panas sehingga bagaikan tidak terkawal. Teguran SPB Tuanku bahawa Baginda yakin Perdana Menteri "berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin" harus dilihat sebagai satu cabaran kepada Perdana Menteri untuk membuktikan kemampuan beliau. Persoalannya sekarang adakah cara ianya ditangani membuktikan kemampuan PM atau sebaliknya?

a) Mengiktiraf Peranan BERSIH
Cara pihak kerajaan bertindak yang mempergunakan pihak keselamatan dengan terus mengharamkan perhimpunan BERSIH dan menuduhnya sebagai pembawa huru-hara, amat berbeza dengan semangat yang terkandung dalam titah SPB Tuanku yang mengiktiraf BERSIH sebagai sesuatu "bagi menyuburkan demokrasi dalam Negara kita ini". Pengiktirafan sebegini, yang tepat dan bebas dari unsur putar-belit politik BN, adalah apa yang perlu "untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin". Sudah pasti sekiranya BERSIH terus dituduh 'pengkhianat, untuk mencetus huru-hara, alat kuasa asing' dan sebagainya, tiada yang bermakna akan terhasil. Dengan itu, masalah ini tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Sebaliknya, yang akan terhasil adalah perbalahan dan permusuhan sedangkan inilah apa yang ingin dielak.

b) Peringatan Bagi BERSIH
Apabila dititahkan pula bahawa "kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan Negara-negara luar secara umumnya", ianya teguran yang dituju kepada pihak BERSIH. Titah ini mengingatkan BERSIH bahawa di Negara luar, demonstrasi dilayani dengan baik dan hak rakyat berkumpul diiktiraf dan dihormati pihak berkuasa, TIDAK seperti di Malaysia. Ini adalah kerana pihak berkuasa, iaitu UMNO/BN, ingin mempertahankan kuasa mereka walau apa sekalipun yang akan berlaku, sepertimana Gadafi di Libya.

Ketua Pemuda UMNO sendiri berdemonstrasi di Greece dalam isu halangan kerajaan Greece terhadap Flotilla yang ingin ke Gaza, sedangkan Greece adalah Negara yang muflis yang lebih berhak menghalang demonstrasi atas alasan 'kemusnahan yang akan menimpa ekonomi negara'. Tetapi Greece yang muflis dari sudut ekonominya tidak muflis dari sudut 'bertamaddunnya' dalam kaedah kerajaan bertindak terhadap rakyat dalam negaranya sendiri.

c) Peringatan Kepada Kerajaan BN
Seruan SPB Tuanku supaya kerajaan "melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana" perlu diambil berat oleh pihak kerajaan kerana apa yang mereka perlu faham ialah kuasa yang diberi adalah satu amanah. Amanah ini pula perlu diguna secara adil dan bijaksana, bukan dengan saja-saja ingin tunjuk kuasa, bertindak secara zalim, menuduh ini serta itu dan menahan orang di atas alasan gila seperti 'kesalahan' berbaju kuning!

Oleh yang demikian, kaedah yang digunakan kerajaan akan menghasilkan apa yang TIDAK ingin dilihat oleh SPB Tuanku, iaitu, seperti yang di titah Baginda, "negara bermasyarakat majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri atau sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan". Untuk mengelak dari keadaan ini berlaku, maka kerajaan diingatkan supaya bertindak secara 'adil dan bijaksana'.

d) Kaedah Penyelesaian Yang Tepat
Teguran "sebagai masyarakat yang bertamaddun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan", memperlihatkan kaedah 'adil dan bijaksana' yang dimaksudkan SPB Tuanku. Sedangkan pendekatan kerajaan adalah sebaliknya dan tuntutan supaya pilihan raya bersih dari penipuan terus tidak dihiraukan. Istilah 'rundingan' membawa erti saling hormat menghormati dan mengiktiraf kebenaran kedua-dua pihak. Sedangkan yang berlaku tidak lain dari penolakan dan penafian oleh pihak berkuasa dan penggunaan kekuasaan untuk mempertahankan kepentingan, walaupun jelas kelihatan bersalah.

e) Persoalan Demonstrasi Jalanan
Titah Baginda bahawa "demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik" menyejukkan hati kerana mengiktiraf niat disebalik demonstrasi itu. Sememangnya tiada siapa yang ingin turun ke jalan dan berhadapan dengan FRU jikalau kerajaan perihatin dan berunding dengan baik serta menghormati hak rakyat. Demonstrasi selalunya hanya dilakukan apabila tuntutan tidak diendahkan; walaupun terbukti tuntutan itu berasas.

Dalam pada itu, perlu juga dinyatakan disini bahawa keburukan hanya terhasil apabila demonstrasi dikasari dan tidak dibenarkan berjalan dengan aman oleh pihak berkuasa. Dengan pemerintah yang sediada, 'keburukan' pasti terhasil oleh kerana tindakan menghalang dan provokasi sudah pasti akan dilakukan secara terbuka.

f) Sifat Kesederhanaan dan Tolak Ansur
Titah Baginda berakhir dengan menyatakan pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur warisan pentadbiran negara dan sifat inilah yang wajar dicontohi. Sifat 'kesederhanaan dan tolak ansur' akan menentukan tuntutan yang berasas diterima dan dilaksanakan.
Sifat 'ekstrim dan keras' akan menyebabkan amalan yang songsang dipertahankan walaupun sudah terserlah kesongsangannya.

KESIMPULAN
Berdasarkan yang di atas, maka amat jelas bagi saya bahawa DYMM SPB YDP Agong tidak berpuashati dengan kaedah 'kuku besi' Perdana Menteri dalam mengendali isu ini. Maka saya amat berharap agar janganlah menjadi sebagaimana Gadafi. Ingin mempertahan kuasa sehingga negara sendiri hancur.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang