Rabu, 6 Julai 2011

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Stadium Merdeka Tolak Tempahan BERSIH

Posted: 06 Jul 2011 02:13 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 6 JULAI : Pihak pengurusan Stadium Merdeka telah menolak lokasi itu dijadikan tempat himpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan di Facebook BERSIH 2.0, pegawai tempahan memberikan beberapa 'alasan' untuk menolak tempahan itu.

"Antara alasan yang tidak jelas yang dibekalkan oleh pegawai itu adalah 'majlis pengurusan sukan dalaman' dan 'kerja-kerja ubahsuai'.

"(Ini) di sebalik kenyataan ada rancangan bagi mengadakan 'Konsert Raksaksa 2' pada 9 Julai di Stadium Merdeka," petik kenyataan itu.

Konsert Raksaksa 2, memaparkan legenda tempatan seperti Sweet Charity dan Blues Gang, bagaimanapun telah ditunda sehingga 1 Oktober kerana faktor keselamatan.



Najib kata dia adil

Posted: 06 Jul 2011 02:00 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

MENGULAS tentang rancangan unjuk rasa Bersih 2.0 bagi menuntut perjalan pilihan raya bersih dan adil serta mewujudkan sebuah SPR yang adil dan bersih, maka Perdana Menteri Najib berkata bahawa dirinya dan kerajaannya telah mengendali perjalanan pilihan raya dan mewujudkan SPR yang adil dan bersih.

Alasan mudahnya betapa ia bersih dan adil ialah ada pembangkang berjaya mengalahkan BN di lima negeri dalam Pilihan Raya Umum 2008 dulu dan ditambah pula BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihan raya itu.

Termasuk akal setengah orang yang tidak panjang akalnya dengan alasan itu.

Oleh kerana adanya cerita jenaka arnab tertidur di tengah perlumbaannya dengan kura-kura, maka kalah arnab oleh kura-kura dalam perlumbaan itu. Adakah dapat diterima dalam realitinya kura-kura juga sama pantas berlari dengan arnab?

Pembangkang lima negeri dalam pilihan raya lalu bukan bukti perjalanan pilihan raya sudah adil dan bersih. Ketempangan yang wujud itu menyebabkan BN kalah dilima negeri saja. Kalau ia tidak tempang ia bukan kalah dalam banyak negeri lagi, malah belum tentu Putrajaya sentiasa dikuasainya.

Mungkin Najib dan kerajaannya betul-betul adil dan bersih, tetapi dia mesti mencari logik yang lain.

Pada Najib apa yang dibuatnya sudah dirasakan adil dan bersih tetapi ia perlu diuji dan disemak imbang. Diodit dulu apa yang dibuat dan apa yang dikata.

Tidak ramai orang yang didakwa di mahkamah mengaku bersalah. Cakapnya tidak diterima terus. Bicarakan dulu dan hakim serta mahkamah akan menentukan dia bersalah atau tidak.

Semua orang kata Firaun adalah sekejam-kejam pemerintah. Al-Quran yang Maha Benar itu mengatakan Firaun kejam, tetapi Firaun tidak pernah dirinya kejam dan zalim.

Bukan Firaun saja tidak mengaku dia zalim. Bahkan Haman dan Qarun serta orang-orang yang mendapat nikmat dari pemerintahannya mengaku Firaun adalah seadil orang.

Al-Quran merakamkan sekalian orang yang pernah beriman mengaku beriman apabila ditanya Allah. Setengah yang mengaku beriman itu sebenarnya tidak beriman. Setiap yang beriman itu mesti melalui ujian dulu sebelum masing-masing disahkan beriman di hadapan Allah.

Sebelum Najib mendakwa dirinya dan kerajaannya sentiasa adil dan bersih, dunia menyaksikan betapa Hosni Mubarak, Muamar Ghadaffi, Basher Asad dan lain-lain mengaku diri mereka dan pemerintahan mereka adalah adil dan bersih.

Tidak pernah Bosni Mubarak memenangi pilihan raya Presiden dengan undi kurang dari 98 peratus. Tidak ada siapa di negaranya sepanjang pemerintahannya sanggup berkata dia tidak adil dan tidak bersih.

Yang dapat menentukan dia bercakap benar atau hanya berbohong ialah amalan demokrasi di negara itu. Jika demokrasi itu mati, yang mati akan dikata hidup, yang zalim dikata adil dan yang adil dikata kejam.

Di hadapan mata kita, orang yang mengaku adil di Mesir, di Libya, di Yaman dan di Syria semuanya dikata tidak adil oleh orang-orang di jalan raya. Gadaffi dan Basher Asad masih berkuasa tetapi di jalan raya orang memekik mereka kejam. Hosni Mubarak dan Ben Ali dari Tunisia sudah tidak dapat mempertahankan diri bahawa mereka itu adil dan bersih.

Ia adalah antara hujah bahawa sesorang pemimpin yang mendakwa dirinya begitu dan begini belum dapat dijamin betul bagai yang didakwanya. Ketentuan adil dan kejamnya akan dapat dilihat dari sebuah pemerintahan yang telus yang memberi ruang kepada semua institusi dan orang melakukan semak dan imbang.

Najib dan kerajaannya boleh jadi benar adil dan bersih bagai yang didakwanya. Tetapi pernan semak dan imbang dalam pemerintahannya tidak begitu berbuka. Terlalu banyak yang memperikai kejituan perjalan mahkamah, jabatan peguam negara dan personaliti pimpinan setengah polis, tiada apa yang dilihat kerajaan Najib dapat membetulkannya.

Maka payah rasanya dakwah Najib tentang adil dan bersih kerajaannya hendak dipertahankan. Apabila kita tidak dapat terima bulat-bulat dakwaan Najib tentang keadilannya dan kerajaannya, maka kita tidak boleh melihat bulat-bulat Tok Guru Nik Aziz, Azizan Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng betul belaka.

Mereka boleh jadi betul dan boleh jadi tidak betul. Apa pun ketelusan mereka dan kerajaannya akan menentukan kedudukan mereka. Dengan berbagai tunjuk perasaan kecil dan sederana dan banyak aduan polis dan aduan SPRM yang dibuat terhadap kerajaan mereka akan dapat menentukan mereka telus atau sebaliknya.

Bagi mengetahui Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain telus atau tidak lebih mudah disemak imbang dari menyemak imbang pentadbiran Najib dan BN.

Unjuk rasa yang dicadang Bersih itu adalah langkah bagi membetulkan guna demokrasi. Bila demokrasi itu lurus maka mudah diketahui kerajaan dan ketuanya adil atau tidak.

harakahdaily/-

Soal Najib, Rosmah: Peguam pembelaan masih tunggu

Posted: 06 Jul 2011 01:59 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

Janji pihak pendakwaan bagi mengaturkan pertemuan beberapa saksi utama termasuk perdana menteri dan isterinya untuk disoal oleh pihak pembelaan masih belum ditunaikan, kata peguam kanan Karpal Singh.

Walaupun dua bulan sudah berlalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri dalam pertuduhan meliwat ke atas dirinya, namun peguamnya masih belum diberi akses untuk menyoal saksi utama yang ditawarkan, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika mendedahkan perkara itu, Karpal menyoal bagaimana pihaknya dapat membuat persiapan jika pihak polis dan pendakwaan gagal membekalkan saksi berkenaan.

"Hingga hari ini, kita hanya mampu menyoal lima saksi termasuk doktor Pusrawi, tetapi mereka bukan saksi utama. Pada mulanya, pihak polis dan pendakwaan banyak membantu. Namun, sekarang mereka tidak lagi beri bantuan.

"Malah pegawai penyiasat, Supt Jude Blacious Pereira, juga tidak lagi kelihatan. Mahkamah telah mengarahkan Jude dan pihak pendakwaan untuk membantu tetapi tiada yang menghulurkan pertolongan. Macam mana kita nak sediakan pembelaan?" soal Karpal.

Katanya lagi, sehingga sekarang tiada persiapan dibuat bagi pihak pembelaan menyoal Najib dan Rosmah.

Sebelum ini kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju saksi disoal oleh peguam di kompleks mahkamah Jalan Duta.

"Kenapa harus kita pergi Pejabat Perdana Menteri - kita mahu tempat berkecuali dan ini sudah dipersetujui sebelum ini," kata Karpal.

Pihak pendakwaan menawarkan 72 saksi kepada pihak pembelaan, termasuk 27 saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan dalam kes membaitkan Anwar itu.

Hafiz Yatim
malaysiakini/-

30,000 ahli PAS Johor ke himpunan Bersih 2.0

Posted: 06 Jul 2011 01:50 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Pemuda PAS Johor akan mengerahkan lebih 30 ribu ahli dan penyokong untuk hadir secara beramai-ramai ke Perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan di Stadium Merdeka, Sabtu ini.

Mereka tidak perlu bimbang untuk hadir kerana himpunan itu bukan himpunan haram, sebaliknya himpunan halal yang dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan Malaysia dan tidak bertentangan dengan Akta Polis 1967.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, tambahan pula, Jawatankuasa Bersih 2.0 tidak perlu mendapat permit daripada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan dalam stadium kerana kawasan tersebut adalah kawasan persendirian.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi Rakyat Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), ini telah jelas dinyatakan dalam seksyen 27A Akta Polis 1967 (Akta 344) dan yang perlu dipohon adalah kebenaran pemilik stadium sahaja.

Katanya, Pemuda PAS menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Bersih 2.0 pada 5 Julai lalu.

"Rakyat jelata bersyukur atas keprihatinan Tuanku memberi nasihat berguna kepada semua pihak dan Tuanku sendiri telah berjanji akan menyampaikan segala tuntutan Bersih 2.0 kepada pihak kerajaan," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Pertemuan itu juga, menurut beliau, merupakan pengiktirafan Tuanku terhadap Bersih 2.0 untuk menuntut suatu pilihanraya yang bersih dan adil di negara tercinta ini.

Beliau berkata, sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin telah menuduh Bersih 2.O adalah pertubuhan haram, dikaitkan dengan fahaman komunis dan dituduh sebagai golongan yang mahu mencetuskan suasana huru hara dalam negara.

Atas tuduhan itu, pihak polis telah menangkap lebih daripada 100 orang, melarang ceramah Bersih, mengeledah rumah suspek, membuat sekatan jalan raya, melarang memakai baju kuning dan lain-lain lagi.

"Pemuda PAS mendesak Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menarik balik segala tuduhan tersebut kerana ia adalah tuduhan yang serius dan telah menyebabkan suasana tidak selesa di kalangan rakyat negara ini.

"Jika tuduhan ini tidak ditarik maka seolah-olah telah berlaku komplik di antara nasihat Yang di-Pertuan Agong dengan arahan Menteri Dalam Negeri. Rakyat merasa keliru terhadap masalah ini," tegasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak pun telah memberi kebenaran bersyarat untuk mengadakan perhimpunan di stadium. Pihak Bersih 2.0 pun telah bersetuju dengan cadangan pihak kerajaan.

" Jika Menteri Dalam Negeri tidak menarik balik tuduhan terhadap Bersih 2.0 maka Menteri Dalam Negeri juga telah berkomplik dengan Perdana Menteri.

"Selain itu, semua pihak termasuk media dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang telah melebelkan Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan haram hendaklah menarik balik tuduhan tersebut," katanya.

harakahdaily/-

Hisham: BERSIH masih haram

Posted: 06 Jul 2011 01:42 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

Walaupun telah mengadap Yang Di-Pertuan Agong semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, BERSIH 2.0 masih sebuah perhimpunan haram.

"Ia masih lagi diharamkan. Tiada sesiapa mengatasi undang-undang. Hanya bila berjumpa dengan Tuanku tidak bermaksud ia halal," katanya.

Beliau juga berkata, pengharaman gabungan NGO itu sebelum ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk atas nasihat peguam negara.

malaysiakini/-

Elektrik: Syarikat IPP diutamakan, rakyat diketepikan

Posted: 06 Jul 2011 01:40 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Senator Pakatan Rakyat mempersoal tindakan kerajaan menaikkan tarif elektrik sebelum selesai semakan semula terma-terma perjanjian pembelian tenaga (power purchase agreement-PPA) dengan pihak penjana tenaga bebas (IPP).

Salah satu inisiatif semakan semula terma-terma PPA ini yang dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini adalah untuk mengurangkan keuntungan pihak IPP menerusi pengurangan bayaran yang akan mengurangkan kadar kapasiti yang dikenakan ke atas pihak TNB oleh pihak IPP.

Senator Mumtaz Md Nawi dari PAS berkata, inisiatif ini menunjukkan kerajaan sedar terlalu banyak keuntungan yang diperoleh IPP namun dalam masa yang sama terus membebankan rakyat dengan menaikkan tarif elektrik.

"Maknanya kerajaan sedar terlalu banyak keuntungan yang diperoleh IPP tapi mereka naikkan tarif (elektrik) sedangkan mereka boleh tunggu sampai akhir tahun, dah habis bincang dengan IPP baru naikkan tarif.

"Bila kerajaan bincang dengan IPP sejauh mana mereka akan bertolak ansur kerana apa yang paling penting rakyat patut diutamakan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Mumtaz dalam soal jawab lisan di Dewan Negara meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan siapakah pemilik Penjana Tenaga Bebas (IPP) serta status rundingan dengan IPP bagi meminda terma perjanjian untuk mengurangkan bebanan rakyat dan jumlah pendapatan yang dijana oleh IPP dari mula ditandatangani sehingga 2010 dan sumbangan kewangan langsung dari IPP terhadap rakyat dalam tempoh tersebut.

Menteri dalam jawapannya memberitahu sebanyak 14 syarikat IPP yang telah diluluskan lesen untuk beroperasi di Semenanjung Malaysia antaranya TNB Janamanjung di Perak, Genting Sanyen Power Sdn Bhd, Port Dickson Power Bhd dan Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd.

Kerajaan juga bersetuju untuk menyemak semula terma-terma PPA dengan pihak IPP yang merupakan sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula industri bekalan elektrik.

Ekoran jawapan tersebut, Mumtaz berkata, kerajaan lebih mementingkan 14 syarikat tersebut yang menjana pendapatan sebanyak RM107 billion daripada tahun 1996 hingga 2010 dan mengenepikan kepentingan rakyat.

"Terma apa yang dipinda? Ia mesti ada terma-terma yang nak dipinda dan bilakah ianya akan dipinda? Kenapa ianya tidak dipinda sebelum kerajaan menaikkan sebarang tarif elektrik?

"Yang terlibat dengan IPP ialah 14 buah syarikat tetapi yang menerima kesan daripada peningkatan tarif elektrik ialah rakyat kira-kira 27 juta," katanya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Mumtaz turut mendakwa kejadian blackout semakin kerap berlaku meskipun kerajaan berkata IPP diperkenalkan untuk menstabilkan sistem pembekalan elektrik daripada mengalami gangguan seperti brownout atau blackout.

Menteri juga memberitahu, pihak IPP diminta untuk menyumbang 1 peratus daripada jumlah hasil tahunan yang telah diaudit dengan mengambil kira kos bahan bakar bagi tahun sebelumnya kepada Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).

Tambah Mumtaz juga, kerajaan seharusnya menjelaskan nilai sebenar 1 peratus itu.

"Dalam kes ini berapakah nilai sebenar kerana sepatutnya mereka boleh mengemukakan nilai sebenar keuntungan bersih oleh IPP.

"Hari ini selepas tarif elektrik dinaikkan kita lihat kes-kes melibatkan blackout masih lagi berterusan dan makin banyak dan ini tidak mencapai target sedangkan IPP mendapat untung yang besar.

"Jumlah yang diminta 1 peratus satu kenyataan yang longgar. Sepatutnya jumlahnya yang kita nak tahu. Seolah-olah kerajaan terpaksa mengemis dengan IPP," katanya.

Menteri memberitahu, jumlah sumbangan terkumpul yang telah diterima oleh AAIBE sejak ditubuhkan pada tahun 1997 hingga kini adalah sebanyak RM 929,798,911.80.

Cukai luar biasa

Sementara itu, Senator Dr Syed Husin Ali dari PKR dalam sidang media sama mencadangkan kerajaan mengenakan cukai luar biasa ke atas IPP sementara menunggu kajian PPA ini selesai.

"Sekarang kerajaan nak kaji soal PPA dengan IPP dan sementara tunggu keputusan sepatutnya kerajaan boleh mengenakan cukai luar biasa (ke atas IPP)yang boleh dilakukan mengikut undang-undang kerana kita tak tahu bila kabinet akan buat keputusan.

"Kita harap akan disegerakan dan mesti diadakan cukai luar biasa kerana keuntungan IPP itu terlalu besar dan tidak digunakan untuk kepentingan rakyat terbanyak," kata bekas timbalan presiden PKR itu.

harakahdaily/-

Gaddafi beri syarat serah kuasa

Posted: 06 Jul 2011 01:21 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

Saif al-Islam (kiri) dan Muammar Gaddafi.
Pemimpin Libya mahu jaminan keselamatan, anak bertanding pilihan raya

MOSCOW: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersedia menyerahkan kuasanya, sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan beliau, kata pegawai tinggi kerajaan Russia yang dipetik akhbar utama negara itu, Kommersant.

Akhbar itu menyiarkan laporannya sehari selepas ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen, mengadakan perbincangan dengan Presiden Russia, Dmitry Medvedev dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma mengenai cara menamatkan perang Libya di bandar peranginan Laut Hitam, Sochi.

"Gaddafi sudah memberi isyarat beliau bersedia menyerahkan kuasa sebagai pertukaran jaminan keselamatannya," kata akhbar terbabit ketika memetik kenyataan pegawai kanan Russia yang namanya tidak didedahkan.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sehari selepas Rasmussen dan Medvedev dikatakan bertelagah mengenai isu Libya, selepas beliau menggesa gencatan senjata disegerakan, manakala NATO mahukan jaminan dari Tripoli sebelum langkah itu boleh diambil.

Pegawai itu berkata, Perancis sudah menyatakan kesediaan memainkan peranan dalam usaha mencairkan sebahagian akaun keluarga Gaddafi dan membantu beliau daripada dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Kommersant juga melaporkan Gaddafi mahu anaknya Saif al-Islam dibenarkan bertanding dalam pilihan raya jika beliau meletak jawatan, syarat yang mungkin ditolak pemberontak.
Kerajaan Libya kelmarin berkata ia sedang mengadakan perbincangan dengan tokoh pembangkang, tetapi tiada persetujuan dicapai mengenai masa depan Gaddafi.

Saif al-Islam sebelum itu memberitahu akhbar Perancis, tiada persoalan untuk mengakhiri pemerintahan bapanya sejak 42 tahun lalu, manakala Majlis Peralihan Kebangsaan mengulangi kenyataannya Gaddafi boleh terus tinggal di Libya jika beliau bersedia menyerahkan kuasa. – AFP/Reuters

9 mendulang emas di lapang sasar kena tahan

Posted: 06 Jul 2011 01:00 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

SEGAMAT: Kegigihan sembilan lelaki mengisi masa lapang hujung minggu masing-masing dengan menceroboh lapang sasar Kementerian Pertahanan dekat Jementah di sini, untuk melombong emas secara haram berakhir dengan ditahan anggota tentera menerusi dua tangkapan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Mereka ditahan sepasukan tujuh anggota tentera dari Kem Syed Sirajudin, Gemas, yang meronda lapang sasar terbabit sebelum terserempak kumpulan lelaki itu ketika sedang asyik melombong secara mendulang emas dengan menggunakan kuali untuk mengayak tanah dan pasir dalam usaha mengesan hablur emas.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali, berkata tujuh lelaki termasuk seorang lelaki keturunan Vietnam yang sudah mempunyai taraf penduduk tetap, ditahan ketika sedang mendulang kira-kira jam 5.40 petang pada Jumaat lalu.

"Dua lagi lelaki seorang daripadanya petugas Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) dan rakannya penduduk tempatan ditahan pada Sabtu kerana kegiatan sama.

"Mereka yang mendirikan pondok untuk berteduh di kawasan itu, dikesan menjalankan kegiatan terbabit berbekalkan pam air dan gerudi bagi memecah tanah sebelum menggunakan kuali untuk mengayak mengesan hablur emas yang tersembunyi," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, anggota tentera turut merampas dua motosikal lasak dipercayai digunakan kumpulan lelaki terbabit untuk memasuki kawasan larangan itu serta sebuah botol berisi tanah yang bercampur habuk emas, generator pam air dan mesin gerudi.

"Ketika disoal siasat, kumpulan lelaki terbabit mendakwa masing-masing menceroboh kawasan itu secara bersendirian untuk mengambil kesempatan mencari emas kerana mendengar khabar mengenai kehadiran logam berharga di kawasan itu.
"Kawasan yang tidak berpagar itu dikatakan menjadi tumpuan kegiatan pihak yang menceroboh untuk melombong emas secara haram menggunakan kaedah mendulang sejak lapan bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, habuk emas yang dikumpul hasil kegiatan melombong itu dijual kepada peraih di Muadzam Shah, Pahang dan berdasarkan harga emas semasa, mereka dipercayai mampu meraih hasil yang lumayan.

berita harian/-

ASP dituduh rasuah

Posted: 06 Jul 2011 12:45 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

IPOH – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas dua tuduhan menerima rasuah di Kerian pada 6 Julai tahun lalu.

Chong Kean Heng, 53, dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 5 Ogos ini sebagai sebutan semula kes selepas tertuduh mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguambela, Abdul Aziz Ibrahim bagaimanapun memohon mahkamah supaya mengurangkan wang ikat jamin tersebut kepada RM10,000.

Selepas membuat pertimbangan, Julie Lack membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 melalui seorang penjamin.

Tertuduh turut menghadapi empat pertuduhan rasuah dan akan dituduh di Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

Rakaman CCTV di SPRM KL 'diganggu'

Posted: 06 Jul 2011 12:45 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperolehi dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur telah diganggu, kata seorang pakar audio-visual dari makmal polis Cheras hari ini.

ASP Fauziah Che Mat memberi keterangan pada hari ketiga inkues kematian penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamad, yang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan tersebut pada 6 April.

Menjawab soalan DPP Amalina Ismail, ASP Fauziah berkata, pada pendapatnya, rakaman telah diganggu oleh seseorang yang mempunyai pengetahuan mengenai sistem CCTV.

Bagaimanapun, saksi berikutnya, pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohd Yusof Akope, berkata gangguan dalam rakaman tersebut adalah kerana "kesilapan manusia" dalam sistem keselamatan yang baru dipasang itu.

malaysiakini/-

Tandas awam cermin sifat masyarakat

Posted: 06 Jul 2011 12:30 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

PENGURUSAN dan penggunaan tandas awam yang seteruk ini hanya akan memalitkan imej buruk terhadap identiti dan budaya orang tempatan.

PADA musim cuti sekolah yang lepas, kompleks beli-belah dan pasar raya hiper di ibu kota seperti biasa dibanjiri pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pada musim beginilah kebersihan tandas awam menjadi semakin 'tergugat' lantaran digunakan oleh ramai pengunjung. Malangnya, memang ada segelintir anggota masyarakat yang tidak prihatin terhadap kepentingan orang lain ketika dan selepas menggunakan tandas awam.

Lebih teruk sekiranya tempat-tempat tumpuan ramai itu tidak cukup atau tidak ada pekerja yang membersihkan kemudahan awam tersebut. Tanggungjawab memastikan tandas tersebut bersih seolah-olah menjadi cabaran besar. Rata-rata orang ramai mengatakan kebersihan tandas awam tidak mencapai tahap yang memuaskan terutamanya pada musim cuti dan perayaan. Kualiti kebersihannya jauh sekali kalau hendak dibandingkan dengan tandas yang disediakan di hotel mewah, hentian rehat lebuh raya dan juga beberapa gedung beli-belah yang berstatus tinggi.

Tidak beretika

"Segelintir anggota masyarakat kita bersalah kerana mereka tidak beretika ketika menggunakan tandas awam," kata aktivis sosial, Gurmukh Singh. Katanya, ada yang sengaja tidak mahu menggunakan pam tandas setelah menggunakannya dan ada pula yang mencangkung di atas mangkuk tandas. Itu akan mengotorkan mangkuk tandas dan adakalanya mangkuk tandas akan pecah. "Imej negara akan tercalar. Apa kata pelancong jika mereka terpaksa menggunakan tandas awam yang kotor?" kata beliau.

Tandas bersih

"Saya berpuas hati dengan tandas di sepanjang LebuhRaya Utara-Selatan di negara anda kerana ia bersih, tidak seperti yang terdapat di stesen-stesen minyak di kebanyakan tempat," kata seorang pelancong dari Kanada, Mike Brown. Kerajaan melancarkan Kempen Tandas Bersih pada tahun 1997 bagi menimbulkan kesedaran dalam masyarakat tentang perlunya tandas awam yang bersih. Menurut data yang dikeluarkan Pertubuhan Tandas Dunia (WTO), secara puratanya seorang individu menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau sama dengan enam hingga lapan kali satu hari. Ini bermakna secara purata, seseorang itu menggunakan tandas selama tiga tahun dalam hidupnya.

Menurut pertubuhan itu lagi, masalah kebersihan tandas merupakan isu di seluruh dunia disebabkan separuh daripada penduduk dunia tidak mempunyai sistem sanitasi yang baik. Ada juga tandas yang tidak mempunyai struktur reka bentuk yang sesuai. Menurut Gurmukh Singh, kebersihan tandas awam adalah penting kerana ia mencerminkan sifat dan perangai masyarakat di sesebuah negara. "Terima atau tidak, masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa kebanyakan kualiti kebersihan tandas awam di negara ini adalah di bawah tahap yang sepatutnya.

"Kita perlu lihat negara lain contohnya Jepun yang telah menetapkan kebersihan sebagai satu keutamaan dan dengan mudahya masyarakat negara itu mengamalkan budaya kebersihan tandas," kata beliau. Beliau memberikan contoh rakyat negara Jepun yang mengamalkan kebersihan tandas sejak lama dahulu. "Bagi mereka, tidak kira berapa maju sesebuah negara atau betapa cantiknya bangunan atau premis, kalau tandas tetap kotor maka negara itu akan dianggap mundur. Begitulah sikap mereka terhadap kebersihan tandas," tambah beliau.

Penting bagi perniagaan

Bagi pemilik sebuah restoran di Kota Damansara dekat sini, yang mahu dikenali sebagai Mohan, kebersihan tandas penting bagi perniagaan beliau. Katanya kebersihan tandas membuatkan pelanggan selesa untuk singgah dan makan di restorannya. "Tetapi saya perlu menyediakan pekerja khas yang bekerja sepenuh masa untuk menjaga kebersihan tandas. Tanpa ada orang menjaganya, aspek kebnersihan akan terjejas selepas beberapa orang sahaja menggunakan tandas itu," kata Mohan.

Katanya walaupun seseorang itu biasa dengan kebersihan, mereka juga akan membiarkan tandas awam itu kotor kalau kemudahan itu didapati sudah kotor apabila mereka menggunakannya. Bagi Mohan, notis pesanan dan peringatan perlu diletakkan di tandas awam bagi mengingatkan pengguna supaya menjaga kebersihan kemudahan itu. "Saya juga meletakkan peringatan bahawa tandas tidak akan bersih dengan sendiri tanpa mereka yang menggunakannya mengambil inisiatif membersihkan kemudahan itu," tambahnya.

Menurut Mohan, tandas yang bersih di restoran atau kedai makan akan menarik lebih ramai pelanggan dan itu baik untuk perniagaan kerana pelanggan akan puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Bagi Ahmed Waheed dari Bangladesh, yang bertugas sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya hiper di Kota Damansara, dia berasa bangga kerana berjaya memastikan tandas awam di premis itu sentiasa bersih ketika beliau bertugas. "Saya cuci tandas ini bersih-bersih selepas digunakan orang lain," kata Ahmed yang ditemui semasa warga asing itu melakukan tugasannya. Gurmukh Singh mempunyai satu nasihat bagi pengguna tandas awam. "Gunalah tandas awam seperti anda guna tandas sendiri di rumah. Anda perlu ada etika ketika menggunakannya." - Bernama

kim kes liwat

Posted: 06 Jul 2011 12:05 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

Pemuda Umno bantah BERSIH di Stadium Merdeka

Posted: 06 Jul 2011 12:02 AM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

Pemuda Umno hari ini membantahan keputusan BERSIH 2.0 yang memilih Stadium Merdeka sebagai tempat baru berhimpun pada Sabtu ini.

Ketua penerangan pergerakan itu Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, bantahan itu dibuat atas pelbagai alasan, terutamanya atas faktor sejarah tempat berkenaan.

"Kami bantah di Stadium Merdeka. Ia bukan tempat perhimpunan politik. Buatlah di negeri Pakatan Rakyat. Lagi pun Stadium Shah Alam sudah ditawarkan," katanya.

Stadium Merdeka dianggap sebagai tempat istimewa ekoran menjadi tempat di mana kemerdekaan Tanah Melayu diisytiharkan pada 31 Ogos 1967 di hadapan 10,000 orang.

Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga pagi tadi mengumumkan pihaknya akan berhimpun di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini selama dua jam mulai jam 2 hingga 4 petang.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Reezal Merican yang juga pengerusi perhimpunan anti-BERSIH - PATRIOT - mendakwa, keputusan BERSIH memilih tempat itu menunjukan gabungan NGO itu mempunyai agenda lain.

Sehubungan itu, Reezal Merican mengingatkan supaya BERSIH 2.0 tidak "memainkan" Titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dengan "mencetuskan" perkara tertentu.

"Tindakan mahu berhimpun di Stadium Merdeka menunjukkan mereka ada agenda tersirat," dakwanya lagi.

Jimadie Shah Othman
malaysiakini/-

Bayi lelaki empat bulan meninggal dunia tersedak susu

Posted: 05 Jul 2011 11:30 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

JOHOR BAHRU 6 Julai – Seorang bayi lelaki yang baru berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak ketika minum susu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini hari ini.

Bayi itu disahkan meninggal dunia pukul 9.55 pagi ini di sebuah klinik berdekatan di mana dia dihantar untuk mendapatkan bantuan.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat. – Utusan

Kepala gadis tersepit pada pintu bas

Posted: 05 Jul 2011 09:30 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

GADIS malang ini terpaksa menahan sakit apabila kepalanya tersepit di pintu sebuah bas.

ANHUI - Seorang gadis mengalami nasib malang apabila kepalanya tersepit pada pintu bas ketika mahu turun di satu perhentian bas di bandar Maanshan, wilayah Anhui, China.

Kejadian itu berlaku apabila pemandu bas berkenaan tidak sabar dan terus menutup pintu bas. Ini menyebabkan kepala gadis itu tersepit dan terpaksa menahan sakit sehingga ke satu perhentian bas seterusnya kerana pemandu bas tidak menyedarinya.

Mujurlah beberapa penumpang yang lain menyedari keadaan itu menjerit ke arah pemandu bas supaya memberhentikan bas dan membuka pintunya.

Sebaik sahaja berjaya melepaskan kepalanya, gadis yang kelihatan malu itu segera turun dari bas. Selepas mengurut-urut lehernya buat seketika, dia terus berjalan laju tanpa membuat sebarang aduan. - Agensi

Sekatan polis: Kuala Lumpur sesak teruk

Posted: 05 Jul 2011 09:28 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya pagi ini menyaksikan kesesakan teruk akibat sekatan jalanraya yang dilakukan oleh polis dalam usaha melumpuhkan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) yang dijadualkan Sabtu ini.

police parliament blockade traffic jams in city area 140708 02
Antara jalan-jalan yang terjejas adalah Lebuhraya Persekutuan berhampir Subang Parade, Subang Jaya berhampiran Kolej Segi College, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan lebuh raya KL-Seremban di Seri Kembangan.

Kebanyakan pengguna jalanraya berang dengan tindakan polis itu sehingga menyebabkan ramai yang terkandas dalam perjalanan dan lewat ke destinasi masing-masing.

BERSIH mahu berhimpun di Stadium Merdeka

Posted: 05 Jul 2011 09:24 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -



Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga mengumumkan bahawa pihaknya akan berhimpun di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini, jam 2 petang.

NONE
Perkara itu diumumkan oleh Ambiga pada sidang medianya di ibu negara pagi ini.

Sehubungan itu, Ambiga juga menuntut pihak berkuasa menghentikan segala hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penyokong sejak minggu lalu dan berterusan sehingga hari ini.

Tidak kurang 100 orang termasuk wakil rakyat dari Pakatan ditangkap dan ditahan kerana memiliki dan memakai baju BERSIH. Malah ada juga yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat kerana dsidakwa terbabit dengan gejala subversif.

Ambiga juga mahu semua yang ditahan itu dibebaskan pada kadar serta merta.

Bekas presiden Majlis Peguam juga mahu sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi mengkaji tuntutan BERSIH yang mendesak pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini.

Israel bedil militan di sempadan Gaza

Posted: 05 Jul 2011 09:15 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

GAZA: Tentera udara Israel membedil Semenanjung Gaza menyebabkan dua lelaki bersenjata daripada kumpulan Palestin yang ada kaitan dengan al-Qaeda, terbunuh ketika menghampiri pagar sempadan, menurut sumber tentera dan militan.

Kedua-dua yang terbunuh itu serta seorang rakan mereka adalah anggota kumpulan radikal yang menentang pemerintahan Hamas di Gaza.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel menyatakan pihak tentera udara menyerang "sepasukan pengganas yang bersiap sedia untuk melancarkan roket" menyeberangi sempadan. - Reuters

Pakatan: Bebaskan semua tahanan, tarik balik haram Bersih 2.0

Posted: 05 Jul 2011 09:07 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Pakatan Rakyat menggesa Putrajaya harus melepaskan semua tahanan yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti Bersih 2.0 serta menarik balik semua bentuk pengharaman terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) termasuk kemeja-T.

Selain itu, tegas pemimpin Pakatan Rakyat, enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, yang kini ditahan di bawah Ordinan Darurat, juga perlu dilepaskan.

Tindakan harus dibuat ekoran titah Yang di-Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0, diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Selain itu, kata pemimpin Pakatan Rakyat, langkah Yang di-Pertuan Agong mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa pemandu Bersih termasuk pengerusi Datuk Ambiga Sreenevasan membuktikan gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bukan pertubuhan haram seperti mana yang didakwa Kementerian Dalam Negeri.

"Ya, sepatutnya apabila Yang di-Pertuan Agong telah bertitah dan memberi pandangan baginda dalam isu ini dan baginda tidak mengatakan Bersih adalah pertubuhan haram malah baginda juga meminta kerajaan sedia ada menyelesaikan perkara ini secara baik.

"Kalau Bersih ini pertubuhan haram, mengapa Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan berunding untuk mencari jalan penyelesaian? Malah baginda juga perkenan untuk membenarkan Bersih menghadap baginda untuk berbincang.

"Jadi atas hujah ini tidak timbul Bersih adalah pertubuhan haram atau sebagainya dan apa jua tindakan yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri dan polis sangat bertentangan dengan amalan demokrasi dan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub kepada The Malaysian Insider.

Oleh itu, tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu semua mereka yang ditahan perlu dibebaskan serta-merta dan semua pengharaman yang dibuat ke atas Bersih harus ditarik balik.

"Sesiapa sahaja yang ditahan dalam isu Bersih ini harus dibebaskan serta-merta kerana ia bertentangan dengan hasrat dan titah Yang di-Pertuan Agong.

"Malah semua pengharaman termasuk kemeja-T Bersih 2.0 juga harus ditarik balik," katanya.

Minggu lalu Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram, malah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan kemeja-T Bersih 2.0 yang dijual dan dipakai adalah bahan haram dan menjalani undang-undang negara.

Lebih 200 orang aktivis dan pemimpin politik Pakatan telah ditahan. Polis menegaskan pihaknya telah menutup segala bentuk perbincangan dengan sekretariat Bersih 2.0.

Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan "yang pentingnya."

"Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik," titah baginda.

Malah Yang di-Pertuan Agong bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

Semalam, Bersih 2.0 mengumumkan perhimpunan akan diadakan di stadium seperti mana yang dicadangkan kerajaan.

Menurut Ambiga, keputusan itu dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sementara itu, Naib Presiden PKR N. Surendran berkata Putrajaya sepatutnya secara serta-merta membebaskan kesemua individu yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti Bersih 2.0.

Selain itu, tegas beliau, semua pengharaman terhadap Bersih 2.0 termasuk kemeja-T harus ditarik balik.

"Pandangan saya jelas semua mereka yang ditahan termasuk enam yang ditahan di bawah Ordinan Darurat mesti dilepaskan dengan serta-merta kerana Yang di-Pertuan Agong tidak mengatakan Bersih dan Himpunan Bersih 2.0 adalah haram.

"Sepatutnya selepas titah Yang di-Pertuan Agong kerajaan harus membebaskan mereka semua dan semua pengharaman termasuk baju Bersih 2.0 ditarik balik malah ia dibenarkan dipakai secara terbuka," katanya.

Tambah peguam hak asasi itu, namun sehingga kini Putrajata melalui Kementerian Dalam Negeri polis masih belum membebaskan semua tahanan sambil menyifatkan "melanggar titah Yang di-Pertuan Agong."

"Sekarang Himpunan Bersih 2.0 akan dibuat di stadium, sepatutnya polis dan Kementerian Dalam Negeri melepaskan semua tahanan, tarik balik pengharaman dan ia jelas dalam mesej yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong tapi mereka enggan ikut.

"Yang paling penting adalah titah Yang di-Pertuan Agong, baginda tidak kata Bersih 2.0 ini pertubuhan haram... Agong kata ia harus diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau menyerahkan keputusan kepada polis untuk menentukan nasib kesemua individu yang ditahan.


PAS Sarawak Condemn Zulhaidah Arrest for Wearing BERSIH T-Shirt

Posted: 05 Jul 2011 08:42 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

MIRI: Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Keadilan Rakyat, Zulhaidah Suboh ditahan di Lapangan Terbang Miri petang semalam kerana memakai baju-T berwarna kuning dengan tulisan BERSIH yang disifatkan sebagai mempromosikan perhimpunan haram 9 Julai ini, sekali gus menjadikannya tangkapan pertama di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Ling Sie Kiong yang bertindak sebagai peguam beliau turut mengesahkan mengenai penahanan Zulhaidah, ketika ditemui di Balai Polis Pusat Miri di sini petang semalam,Zulhaidah yang tiba di Lapangan Terbang Miri sekitar jam 1.40 petang semalam, ditahan dan disoal siasat sebelum dibawa ke Balai Polis Pusat Miri pada jam 3.15 petang.

Menurut Ling, Zulhaidah dihadap ke Mahkamah Majistret jam 8.30 pagi ini untuk ditahan reman. Berdasar maklumat terkini,Zulhaidah ditahan reman selama tiga hari lagi. Ketua Penerangan PAS Sarawak,Sdr Azwani dan Ketua Pemuda ;Mohd Arif;turut berada di perkarangan Kompleks Mahkamah pagi ini.

Dalam kenyataan ringkas,Ketua Penerangan PAS Sarawak kesal dengan tindakan penguasa menahan seorang wanita dan berstatus ibu hanya sekadar kerana memakai T-Shirt kuning.Ini merupakan satu usaha menakutkan rakyat,namun beliau yakin desakan dan ugutan sebegini akan meningkatkan simpati dan sokongan rakyat pada BERSIH dalam memperjuangkan satu pilihanraya yang adil dan bersih

Bagi beliau,Parti Islam Se-Malaysia PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman BERSIH 2. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini. Maka sewajarnya tangkapan sebegini tidak berlaku dan PAS Sarawak menuntut segera pembebasan Puan Zulhaidah.

pas miri/-

Apa penduduk dapat Najib ke Jengka esok

Posted: 05 Jul 2011 08:38 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 6 Julai: Kunjungan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak ke Bandar Pusat Jengka esok untuk mengisytiharkan nama baru Bandar Pusat Jengka kepada Bandar Tun Abdul Razak Jengka dijangka tidak akan membawa banyak manfaat kepada penduduk-penduduk bandar tersebut.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Pertukaran nama itu, kata beliau hanyalah sebagai satu perisytiharan bagi membina reputasi dirinya di sebalik kejayaan bekas Perdana Menteri dan arwah ayahnya Tun Abdul Razak kerana hakikatnya nasib penduduk di Bandar Jengka sememangnya jauh ketinggalan dengan apa yang cuba dipamerkan kepada Najib.

"Kini, di serata tempat daripada jalan masuk ke Bandar Jengka, terpampang gambar Allahyarham Tun Abdul Razak bagi mengembalikan nostalgia tersebut.

Sempena kunjungan PM kali ini, Bandar Jengka dihiasi dengan pelbagai daya tarikan dengan tersergamnya khemah, jalan-jalan diturap, longkang dibersihkan dan pelbagai gambaran seolah-olah ia sebagai sebuah bandar serba canggih dan menarik.

Beginilah pembohongan dan gambaran palsu yang sering dihidangkan kepada pemimpin-pemimpin setiap kali mereka berkunjung atau mengadakan lawatan rasmi," kata Tuan Ibrahim.

Muslihat melawat

Lawatan Najib ke Bandar Jengka esok, Tuan Ibrahim berpendapat lebih menjurus kepada keadaan terdesak bagi menarik dan mengekalkan sokongan peneroka kepada kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Lawatan ini dilakukan di saat Felda berhadapan dengan pelbagai saman daripada para peneroka yang tidak berpuas hati terhadap pengurusan yang tidak telus, menekan dan menipu mereka sekian lama," kata beliau, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Isu utama di Jengka

Menurut Tuan Ibrahim, pelbagai isu utama yang masih belum selesai seringkali menghantui penduduk, sebagai contoh, isu utama ketiadaan bekalan air bersih bagi penduduk Bandar Jengka masih belum selesai.

Beliau memberikan contoh kawasan Matau yang terletak di Bandar Jengka di mana tempat ini merupakan pengasas kepada pembentukan Bandar Jengka, sehingga kini masih tidak mempunyai bekalan air bersih.

"Penduduknya masih menggunakan air telaga sebagai kegunaan seharian mereka. Perkara ini tidak sepatutnya terjadi di saat negara diwar-warkan akan mencapai status negara maju menjelang 2020," bidas beliau.

Nasib penduduk Matau

Matau sebagai sebuah penempatan utama dan asas kepada Bandar Jengka kini masih terbiar sebagai kawasan setinggan, dedah Tuan Ibrahim, sambil berkata bahawa sehingga kini penduduk di situ masih mengharapkan agar mereka diberikan geran kekal.

"Mereka sememangnya layak untuk mendapatkan hak milik tanah tersebut, memandangkan merekalah generasi awal yang meneroka kawasan itu.

Kini setelah Bandar Jengka membangun, nasib mereka masih belum berubah. Hampir setiap tahun, mereka mendapat surat arahan pindah, ugutan rumah mereka akan dirobohkan, dan di atas alasan itu jugalah mereka tidak diberi kemudahan bekalan air bersih hingga kini," terang beliau dengan kesal.

Keadaan di Bandar Jengka dan janji

Walaupun Jengka merupakan kawasan Felda yang paling luas di Malaysia, namun kata Tuan Ibrahim kawasan tersebut masih dibelenggu dengan terlalu banyak kemudahan asas yang belum disempurnakan.

Isu air bersih menjadi isu utama hampir di semua kawasan Felda bahkan Bandar Jengka seringkali berlaku gangguan bekalan air walaupun setiap kali kunjungan para pemimpin ke kawasan Jengka, mereka mengisytiharkan peruntukan bagi mengatasi masalah bekalan air, tambah beliau.

Terakhir, kata Tuan Ibrahim, ialah semasa kempen pilihan raya di Kerdau di mana beliau ialah Pengarah Pilihanraya untuk PAS ketika itu di mana PM telah mengisytiharkan peruntukan sejumlah RM10 juta bagi mengatasi masalah bekalan air.

Sebelum itu, sewaktu kunjungan PM menghadiri program korban Perdana beberapa tahun lalu di sini, isu bekalan air turut disentuh, tambah beliau.

"Namun janji hanya tinggal janji, sekadar pemanis bicara. Kini kunjungan beliau pada 7 Julai ini (esok), rakyat akan sekali lagi akan mendengar pelbagai perisyhtiharan projek untuk memancing undi rakyat, namun selepas program beliau selesai, segalanya akan kekal sebagaimana sebelumnya," beliau memberikan ingatan.

Harapan penduduk Bandar Jengka

Selain itu, Tuan Ibrahim juga menyampaikan mesej kepada PM bahawa penduduk Jengka mengharapkan agar jalan utama yang menghubungkan Bandar Jengka dengan Kampung Awah serta jalan utama dari Jambatan Kuala Krau ke Bandar Jengka dilebarkan.

"Jengka yang didiami oleh ratusan ribu penduduk, kebanyakannya menggunakan motorsikal sebagai kenderaan utama mengharapkan kunjungan PM kali ini memberi harapan baru kepada masalah yang mereka hadapi," kata beliau yang juga bekas Adun Jengka.

harakahdaily/-

Baju Bersih: Ahli MPP PKR ditahan polis

Posted: 05 Jul 2011 08:23 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

SUBANG JAYA, 6 Julai: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa, Ketua AMK Subang, Juzaharim dan blogger Milo Suam ditahan polis kira-kira jam 2.30 pagi tadi dan dibawa ke Balai Polis USJ 8, di sini.

Harakahdaily difahamkan, mereka ditahan kerana pihak polis menjumpai beberapa helai baju Bersih di dalam kereta semasa ditahan di Jalan Gleenmarie.

Kira-kira 100 orang termasuk ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat telah ditangkap polis sejak minggu lalu kerana memakai baju Bersih atau berwarna kuning.

Mereka yang membawa atau menjual baju T Bersih juga ditangkap.

Semalam, seorang peniaga Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Bharu kerana dituduh memakai dan memiliki baju T Bersih.

harakahdaily/-

Ulama terkenal Indonesia Zainuddin MZ meninggal dunia

Posted: 05 Jul 2011 07:45 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

JAKARTA, 5 Julai — Ulama dan pendakwah Indonesia yang terkenal dengan panggilan "Dai Sejuta Umat" Zainuddin MZ, meninggal dunia di Hospital Pusat Pertamina di sini hari ini akibat serangan jantung.

Zainuddin (gambar), 60, yang suatu ketika dulu pernah menceburkan diri dalam dunia politik tetapi kemudiannya kembali aktif berdakwah, meninggal dunia pada pukul 9.22 pagi.

Laporan Bernama Online menyebut ribuan masyarakat menziarah jenazah beliau di kediamannya di Jalan Gandaria 1, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono adalah antara yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menurut anak pertamanya Haikal Fitri, Zainuddin semalam mengeluh pening kepala kerana tekanan darah tinggi sehingga tidak berupaya pergi ke Blitar, Jawa Timur untuk berdakwah, dan beliau sendiri telah menggantikan bapanya ke majlis itu

Zainuddin dikebumikan di halaman belakang Masjid Jame Fajrul Islam, dekat rumahnya petang ini, sebagai menunaikan hajat beliau.

50 Individu Nyala Lilin Depan Bukit Aman

Posted: 05 Jul 2011 07:43 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 individu mengadakan perhimpunan aman dan menyalakan lilin di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini malam ini bagi menuntut polis membebaskan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Mereka mula berhimpun sejak 8.15 malam dan antara yang hadir termasuk kaum keluarga enam aktivis terbabit, ahli politik, anggota Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dan anggota Lawyers for Liberty.

Pengerusi PSM Dr Mohd Nasir Hashim berkata pihaknya telah pun menyerahkan bantahan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai perkara ini dan memohon kerjasama polis agar kesemua enam aktivis itu dibebaskan.

Kumpulan itu bersurai secara aman kira-kira setengah jam kemudian.

Keenam-enam anggota PSM yang ditahan itu, termasuk Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas, pada Sabtu lepas, ketika menaiki bas menuju ke Pulau Pinang.

Kesemua anggota PSM itu dikatakan terlibat dengan pihak dari luar negara dan telah diresapi oleh anasir-anasir subversif.

Polis masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.- BERNAMA

Bekas ketua IMF berdepan tuduhan baharu

Posted: 05 Jul 2011 07:30 PM PDT

4 Syaaban 1432H. [MOD] -



PARIS - Seorang penulis Perancis berusia 32 tahun, Tristane Banon akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn kerana cuba merogolnya.
Perkembangan tersebut berlaku beberapa hari selepas Kahn dibebaskan daripada tahanan rumah di New York atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja hotel di New York.
Penulis tersebut memfailkan aduan cubaan merogol kepada pihak pendakwa raya Perancis, kata peguamnya, David Koubbi kepada majalah berita L'Express.
Menurutnya, cubaan merogol itu itu berlaku pada tahun 2003 ketika anak guamnya mewawancara Kahn di sebuah apartmen di Perancis.
Koubbi memberitahu, anak guamnya berasa sakit hati melihat Kahn terlepas begitu sahaja daripada dakwaan melakukan serangan seksual. Apatah lagi, apabila dia melihat bekas ketua IMF itu menikmati makanan di restoran mewah bersama rakan-rakannya.
Bagaimanapun, Kahn dilaporkan akan menyaman Banon yang mendakwanya melakukan cubaan merogol dengan tuduhan memfitnah.
Kahn telah mengarahkan peguamnya, Henri Leclerc dan rakan sekutunya, Frederique Baulieu memfailkan dakwaan ke atas penulis itu.
Kahn yang meletak jawatan daripada IMF selepas menghadapi tuduhan melakukan serangan seksual di hotel Sofitel, New York pada Mei lalu, menolak dakwaan Banon dengan menganggapnya cuma satu imaginasi. - AFP

Tiada ulasan:

Nuffnang